KIYAI SALLEH PANGLIMA SELEMPANG MERAH |
Antara guru-guru Haji Mohd Salleh ialah Haji Hussein (belajar agama dan al quran), Haji Alias, Haji Adam dan Haji Ahmad. Beliau juga turut belajar daripada Haji Abdul Fadhil bin Abu Bakar Banten yang membawa ajaran Wirid Khaujakan di Johor selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim dan telah dilantik sebagai ketua kumpulan Wirid Khaujakan di Batu Pahat , Johor.
Haji Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Penghulu Salleh,Panglima Salleh atau "Kiai Salleh" atau "Panglima Salleh Selempang Merah" merupakan seorang pahlawan Melayu keturunan Banjar yang bangkit menentang kekejaman komunis semasa selepas kekalahan Jepun semasa Perang Dunia II. . Ada sesetengah orang kampong menggelarnya Salleh Hitam atau Salleh Keling kerana kulitnya yang agak gelap sedikit.
Dikatakan juga pernah Haji Mohd Salleh menyertai MPAJA (Rakyat Malaya Anti Tentera Jepun) atau Komunis pada tahun 1942 atas desakan berbentuk paksaan oleh ejen-ejen Komunis. Beliau juga dilantik sebagai Ketua Komunis Melayu Seri Medan pada tahun tersebut. Tetapi beliau tidak pernah menganiayai orang atau membantu Komunis secara langsung. Malah cukai untuk MPAJA yang dikutip oleh beliau dari orang kampong digunakan untuk kenduri kesyukuran serta jamuan makan untuk orang kampong.
JASA
Sebelum ketibaan pihak British, pihak Malayan People Anti-Japanese Army MPAJA yang dikenali dengan pelbagai nama seperti Bintang Tiga (Lambang tiga bintang pada topi), Bucu Tiga (merujuk topi mereka yang berbucu tiga) dan Ketumbu Gila yang sebelum itu berjuang menentang Jepun di bawah payung Parti Komunis Malaya. Komunis telah mengambil kesempatan untuk berkuasa dan bertindak kejam terhadap orang-orang yang dianggap bekerjasama dengan Jepun. Mereka tidak mengenal mangsa dan menghukum sesiapa sahaja yang dianggap bersalah dengan mengikut undang-undang mereka dimana berlaku perbicaraan di mahkamah yang dipanggil Mahkamah Rakyat didalam hutan . Lazimnya mereka yang dibicarakan akan didapati bersalah dan dikenakan hukuman mati.
Kekejaman Askar Bintang Tiga berleluasa di Tanah Melayu termasuk di kawasan Batu Pahat dan Muar di Johor. Masyarakat Melayu di kawasan Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, yang pada ketika itu tidak mempunyai kelengkapan senjatapi untuk mempertahankan diri telah memilih Haji Mohd Salleh untuk memimpin pakatan untuk mempertahankan diri dari kekejaman Askar Bintang Tiga.
Bintang Tiga juga menmperkenalkan peraturan-peraturan yang menyebabkan Orang Melayu menjadi marah dan bangkit menentang mereka. Antara peraturan-peraturan tersebut ialah:-
- Mengutip cukai wang dari penduduk Batu Pahat berketurunan Melayu, Cina dan India dengan tinggi sekali.
- Memaksa penduduk tempatan menyerahkan hasil tuaian kepada MPAJA.
- Merompak hasil tuaian, tanaman dan ternakan penduduk kampong.
- Menculik wanita muda tidak kira anak dara, janda atau isteri orang untuk dijadikan anggota komunis dan penggalak zuriat.
- Memaksa penduduk tempatan menyertai MPAJA dengan tanpa alasan.
- Menyerang kampong dan membunuh orang awam yang tidak berdosa tanpa alasan.
- Mengadakan Mahkamah Rakyat yang tidak adil melaksanakan hukuman.
- Melarang orang Islam bersolat berjemaah dengan alasan membuang masa.
Terdapat pelbagai kisah mengenai kehebatan ilmu kebatinan Haji Mohd Salleh dan pengkutnya mendakwa ramai Askar Bintang Tiga melihat beribu-ribu pejuang yang tinggi menggalah menuju ke arah mereka untuk mencabut nyawa mereka, sedangkan yang datang itu hanyalah Panglima Salleh dan pasukanya yang dianggarkan berjumlah seratus orang sahaja.
Walauapapun yang sebenarnya berlaku, yang jelas adalah Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim berjaya menyekat kegiatan Askar Bintang Tiga pada masa itu secara berkesan sehinggalah pihak British kembali menjajah Tanah Melayu.
Kegagahan dan keberanian, Haji Mohd Salleh diiktiraf oleh Kebawah Duli Sultan Johor Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar yang bertitah pada 26hb Disember 1945 bahawa Haji Mohd Salleh adalah Panglima Melayu. Sejak itu Haji Mohd Salleh mendapat gelaran Panglima.
Sebagai mengenang jasa Haji Mohd Salleh, DYMM Sultan Johor telah mengurniakan beliau Pingat Ibrahim Sultan (PIS)pada 17hb September 1955. Haji Mohd Salleh menghembuskan nafas yang terakhir kerana diserang penyakit radang paru-paru di Hospital Besar Johor Bahru pada 21hb April 1959.
Rujukan
- Buku Panduan Wirid Khaujakan disusun oleh Ahli Jawatankuasa Khaujakan bersama Ahli Majlis Fatwa Johor
- Panglima Salleh Selempang Merah oleh Zaharah Nawawi. September 1986
No comments:
Post a Comment