Showing posts with label selempang merah. Show all posts
Showing posts with label selempang merah. Show all posts

Jan 15, 2011

DATO KIYAI SHAMSUDDIN

DATO' KIYAI SHAMSUDDIN
Dato' Kiyai Shamsuddin bin Haji Redzuan adalah seorang tokoh ulama tanah air yang disegani. Beliau lahir di Kepet, Madiun, Jawa Timur pada 11 November 1911. Menimba ilmu dari beberapa pesantren di Pulau Jawa sebelum berhijrah ke Malaysia,, antaranya ialah Pesantren Termas dan Pesantren Tebuireng yang masyhur. Beliau menuntut di Pesantren Termas, Jawa Timur, Indonesia selama 15 tahun iaitu dari tahun 1925 hingga 1939 yang merupakan anak didik KH Adnan bin Hj Abd Wahid

Beliau merupakan pendiri Madrasah Shamsuddiniah Assalafiah yang didirikannya pada tahun 1940. Madrasah ini terletak di Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Muar, Johor Darul Takzim dan masih ada sehingga kini. Kini ianya dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah. Selain daripada terlibat terus dalam bidang pendidikan, Dato Kiyai juga pernah memegang pelbagai jawatan penting di Negeri Johor, antaranya sebagai penasihat Sultan, Ahli Jemaah Majlis DiRaja Johor, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Ahli Jawatankuasa Lujnah Fatwa Negeri Johor. Beliau juga bukan sahaja alim dalam ilmu-ilmu agama, bahkan ahli dalam ilmu-ilmu pertahanan diri.

Mengikut cerita dari mulut ke mulut beliau juga dikenali sebagai ahli hikmah dan tabib. Ini dibuktikan beliau memegang sebagai wakil Muar dalam perkumpulan Selendang Merah yang dianggotai juga oleh Kiai Salleh di bahagian Batu Pahat pada zaman “Bintang 3“. Dan beliau sempat menjadi penasihat agama kepada 3 Sultan Johor.

Semasa zaman "Bintang 3" beliau adalah antara tokoh yang berjuang menentang pihak komunis dan mengerahkan anak-anak muridnya untuk berjuang sama demi mempertahankan maruah agama. Dato' Kiyai menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1 Ramadhan 1418 (9 Januari 1997) dan meninggalkan dua orang balu iaitu Hjh Rugayah binti Hj Sidek dan Hjh Maryam binti Hj Mohd Anuar.dan 18 orang anak termasuklah Shohibus Samahah Datuk Haji Mohd. Tahrir, mufti Johor sekarang.


Kitab Majmuu'atush Sholawaat
 Di antara karya beliau adalah sebuah kitab himpunan sholawat berjodol "Majmuu'atush Sholawaat" yang mengandungi berbagai sholawat yang masyhur termasuklah Sholawat Tafrijiyyah dan Sholawat Syifa`.

Pada mukaddimahnya pula disebut, antara lain hadits "lawlak" yang tidak lepas dari khilaf ulama mengenainya. Ada ulama yang mentsabitkannya, ada yang menolaknya dan ada pula yang walaupun tidak mentsabitkannya tetapi menyatakan bahawa maknanya shohih.

Insya-Allah wa bi 'awnihi, nantilah kita cuba bicarakan mengenainya. Apa yang zahir dari karya Dato' Kiyai ini, beliau nampaknya tergolong dalam kalangan ulama yang mentsabitkan hadits tersebut. Dalam mukaddimahnya tersebut beliau menulis antara lain:-



Sholawat itu satu amalan atau satu ibadah yang sangat-sangat besar pahalanya dan dituntut pada tiap-tiap orang mukminin memperbanyakkan sholawat atas Rasulullah (se)bagaimana firman Allah s.w.t.:

ان الله و ملائكته يصلون على النبي يا ايها الذين امنوا صلوا عليه و سلموا تسليما

Dan tiada syak lagi bahawa Rasulullah itu 'waashitah', bahkan Rasulullah itu:

اصل الإيجاد لكل مخلوق
كما قال ذو العزة و الجلال: لولاك لما خلقت الأفلاك

"Asal bagi kewujudan setiap makhluk", sebagaimana firman Tuhan yang empunya kemuliaan dan kebesaran (yakni dalam hadits qudsi) yang ertinya: " Jika tidak wujud Rasulullah, Allah ta'ala tidak menjadikan bumi dan langit."

Sungguh Junjungan Nabi itu adalah sebab bagi kewujudan segala yang ada di alam ini. Maka hendaklah kita sentiasa menjaga hubungan dengan orang yang menjadi sebab bagi kewujudan kita. Malanglah sesiapa yang memutuskan hubungan dengan baginda. Moga Allah merahmati Kiyai Haji Shamsuddin dan menempatkan beliau bersama para sholihin. Allahumma ... aamiin ... al-Fatihah.





Jan 14, 2011

KIYAI SALLEH (PANGLIMA SELEMPANG MERAH)

KIYAI SALLEH PANGLIMA SELEMPANG MERAH
Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim (1916 – April 21,1959) dilahirkan di Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar, Johor pada tahun 1916. Masa mudanya banyak dihabiskan dengan menuntut ilmu daripada beberapa orang guru termasuklah guru di kampung isterinya, Hajah Esah Haji Abdul Rashid, di Kayu Ara Pasong, Pontian, Johor.

Antara guru-guru Haji Mohd Salleh ialah Haji Hussein (belajar agama dan al quran), Haji Alias, Haji Adam dan Haji Ahmad. Beliau juga turut belajar daripada Haji Abdul Fadhil bin Abu Bakar Banten yang membawa ajaran Wirid Khaujakan di Johor selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim dan telah dilantik sebagai ketua kumpulan Wirid Khaujakan di Batu Pahat , Johor.

Haji Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Penghulu Salleh,Panglima Salleh atau "Kiai Salleh" atau "Panglima Salleh Selempang Merah" merupakan seorang pahlawan Melayu keturunan Banjar yang bangkit menentang kekejaman komunis semasa selepas kekalahan Jepun semasa Perang Dunia II. . Ada sesetengah orang kampong menggelarnya Salleh Hitam atau Salleh Keling kerana kulitnya yang agak gelap sedikit.

Dikatakan juga pernah Haji Mohd Salleh menyertai MPAJA (Rakyat Malaya Anti Tentera Jepun) atau Komunis pada tahun 1942 atas desakan berbentuk paksaan oleh ejen-ejen Komunis. Beliau juga dilantik sebagai Ketua Komunis Melayu Seri Medan pada tahun tersebut. Tetapi beliau tidak pernah menganiayai orang atau membantu Komunis secara langsung. Malah cukai untuk MPAJA yang dikutip oleh beliau dari orang kampong digunakan untuk kenduri kesyukuran serta jamuan makan untuk orang kampong.

JASA

Kepimpinan Haji Mohd Salleh mula terserlah tahun 1942 kerana kejayaannya menyatupadukan dan memimpin penduduk Melayu daerah Daerah Batu Pahat dari pelbagai suku iaitu Banjar, Jawa, Bugis serta Melayu untuk menentang MPAJA semasa zaman pemerintahan Jepun sehinggalah zaman Pentadbiran Tentera British (BMA) dan zaman darurat.

Sebelum ketibaan pihak British, pihak Malayan People Anti-Japanese Army MPAJA yang dikenali dengan pelbagai nama seperti Bintang Tiga (Lambang tiga bintang pada topi), Bucu Tiga (merujuk topi mereka yang berbucu tiga) dan Ketumbu Gila yang sebelum itu berjuang menentang Jepun di bawah payung Parti Komunis Malaya. Komunis telah mengambil kesempatan untuk berkuasa dan bertindak kejam terhadap orang-orang yang dianggap bekerjasama dengan Jepun. Mereka tidak mengenal mangsa dan menghukum sesiapa sahaja yang dianggap bersalah dengan mengikut undang-undang mereka dimana berlaku perbicaraan di mahkamah yang dipanggil Mahkamah Rakyat didalam hutan . Lazimnya mereka yang dibicarakan akan didapati bersalah dan dikenakan hukuman mati.

Kekejaman Askar Bintang Tiga berleluasa di Tanah Melayu termasuk di kawasan Batu Pahat dan Muar di Johor. Masyarakat Melayu di kawasan Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, yang pada ketika itu tidak mempunyai kelengkapan senjatapi untuk mempertahankan diri telah memilih Haji Mohd Salleh untuk memimpin pakatan untuk mempertahankan diri dari kekejaman Askar Bintang Tiga.

Bintang Tiga juga menmperkenalkan peraturan-peraturan yang menyebabkan Orang Melayu menjadi marah dan bangkit menentang mereka. Antara peraturan-peraturan tersebut ialah:-
  • Mengutip cukai wang dari penduduk Batu Pahat berketurunan Melayu, Cina dan India dengan tinggi sekali.
  • Memaksa penduduk tempatan menyerahkan hasil tuaian kepada MPAJA.
  • Merompak hasil tuaian, tanaman dan ternakan penduduk kampong.
  • Menculik wanita muda tidak kira anak dara, janda atau isteri orang untuk dijadikan anggota komunis dan penggalak zuriat.
  • Memaksa penduduk tempatan menyertai MPAJA dengan tanpa alasan.
  • Menyerang kampong dan membunuh orang awam yang tidak berdosa tanpa alasan.
  • Mengadakan Mahkamah Rakyat yang tidak adil melaksanakan hukuman.
  • Melarang orang Islam bersolat berjemaah dengan alasan membuang masa.
Dengan hanya bersenjatakan parang panjang dan amalan Ayat Empat, Haji Mohd Salleh telah memimpin masyarakat Batu Pahat untuk menggempur kubu-kubu Askar Bintang Tiga di Bukit Berdiri dan Bukit Alam, Parit Sulong, di Parit Lubok, Semerah, di Kangkar Senanga, dan di Ayer Kuning, Bakri, Muar. Pasukan pejuang di bawah pimpinan Haji Mohd Salleh terkenal dengan gelaran tentera parang panjang dan 'Selempang Merah iaitu sejenis kain selendang berwarna merah yang dibekalkan kepada setiap orang ketika menghadapi atau berhadapan dengan musuh.

Terdapat pelbagai kisah mengenai kehebatan ilmu kebatinan Haji Mohd Salleh dan pengkutnya mendakwa ramai Askar Bintang Tiga melihat beribu-ribu pejuang yang tinggi menggalah menuju ke arah mereka untuk mencabut nyawa mereka, sedangkan yang datang itu hanyalah Panglima Salleh dan pasukanya yang dianggarkan berjumlah seratus orang sahaja.

Walauapapun yang sebenarnya berlaku, yang jelas adalah Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim berjaya menyekat kegiatan Askar Bintang Tiga pada masa itu secara berkesan sehinggalah pihak British kembali menjajah Tanah Melayu.

Kegagahan dan keberanian, Haji Mohd Salleh diiktiraf oleh Kebawah Duli Sultan Johor Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar yang bertitah pada 26hb Disember 1945 bahawa Haji Mohd Salleh adalah Panglima Melayu. Sejak itu Haji Mohd Salleh mendapat gelaran Panglima.

Sebagai mengenang jasa Haji Mohd Salleh, DYMM Sultan Johor telah mengurniakan beliau Pingat Ibrahim Sultan (PIS)pada 17hb September 1955. Haji Mohd Salleh menghembuskan nafas yang terakhir kerana diserang penyakit radang paru-paru di Hospital Besar Johor Bahru pada 21hb April 1959.

Rujukan

  • Buku Panduan Wirid Khaujakan disusun oleh Ahli Jawatankuasa Khaujakan bersama Ahli Majlis Fatwa Johor
  • Panglima Salleh Selempang Merah oleh Zaharah Nawawi. September 1986