Aug 24, 2009

HAJI ABU BAKAR AL-MUARI

Haji Abu Bakar Al-Muari


NAMA lengkapnya ialah Haji Abu Bakar bin Haji Hasan al-Muari bin Haji Ahmad bin Anggak bin Datuk Sijo Bukit Moh, Muar Bandar Maharani, Johor. Beliau dilahirkan pada tahun 1292 Hijrah/1875 Masihi, dan meninggal pada tahun 1357 Hijrah/1938 Masihi. Selama 34 tahun beliau berada di Mekah untuk menuntut ilmu, iaitu ketika usianya enam tahun (1881 M/1299 H.) dan pulang ke tanah air pada tahun 1915 Masihi.

GURU GURU NYA

Semua ulama yang telah disebut dalam riwayat Syeikh Abdullah Fahim dan Abdul Lathif Melaka, adalah juga guru kepada Abu Bakar. Ulama yang paling rapat dengannya ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Kepada ulama yang berasal dari Lingga, Riau itu beliau mendalami hadis Bukhari. Sementara Ilmu Qiraat dipelajarinya dan menerima ijazah daripada Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri, iaitu ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menjadi ketua qiraat tujuh di Hijaz pada zaman itu. Seperti Abdullah Fahim, beliau juga mendalami Ilmu Falak dan menerima ijazah daripada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Selain itu ada dua orang ulama, gurunya yang banyak disebut dalam tulisannya, iaitu Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atharid Bogor dan Syeikh Umar bin Abdur Rasyid as-Sumbawi.

AKTIVITI

Abu Bakar al-Muari adalah Qadi Muar dan pernah menjadi Mufti Johor, selama seminggu sahaja. Bersama-sama Abdullah bin Isa, Syed Abdul Qadir bin Muhammad, Abdus Syukur bin Ismail, Yusuf bin Muhammad, Syed Muhammad bin Othman bin Yahya, Haji Muhammad Yunus bin Haji Ibrahim dan Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, mereka menggubal `Undang-Undang Jam`iyah Percadangan' (Bandar Maharani Muar, Mac 1925, dicetak oleh Mathba'ah al-Khairiyah Muar 1925).Abu Bakar al-Muari adalah pengasas Madrasah Al-Arabiyah Al-Khairiah di Muar. Beliau bukan hanya mendirikan madrasah, tetapi keterlibatannya di Bandar Muar meliputi keseluruhan aspek pembangunan di Muar, terutama sekali yang melibatkan urusan keIslaman.

MURID MURID NYA

Murid-muridnya sangat ramai, bukan hanya murid di madrasah tetapi termasuk murid-murid yang menadah kitab di masjid, surau dan di rumahnya, sehingga beliau dikenali dengan nama `Haji Abu Bakar Alim'. Di antara tokoh yang pernah mendapat pendidikan di Madrasah Al-Arabiyah Al-Khairiah ialah saudara sepupu beliau yang bernama Tan Sri Mohamed Noah. Setelah Mohamed Noah menerima pendidikan di madrasah tersebut, Abu Bakar lalu menghantarnya belajar ke Timur Tengah. Mohamed Noah adalah ayah mertua kepada allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia yang kedua). Murid Abu Bakar yang lain ialah Ustaz Muhammad Yasin. Beliaulah yang meneruskan perjuangan pendidikan madrasah yang diasaskan oleh gurunya itu. Muhammad Yasin adalah ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin (sekarang Menteri Pertanian Malaysia).Murid Abu Bakar yang lain ialah Datuk Haji Mohd. Noor. Di antara anak beliau ialah Datuk Haji Juma'at, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, (sekarang Bendahari) Persatuan Sejarah Malaysia. Menurut keterangan Mohammad, anak kepada Abu Bakar Muar, kedua-dua tokoh di atas sangat memuji dan mengenang jasa orang tuanya (Abu Bakar). Mohamed Noah pernah berkata, ``Kalaulah aku tidak dididik oleh sepupuku, Abu Bakar, tiadalah aku dapat ke Timur Tengah. Barangkali aku pun hidup dalam kejahilan tiada kenal hukum-hakam Islam ... ``.Muhammad Yasin pula pernah berkata, ``Ketika aku akan belajar ilmu kemegahan dunia di Sumatera, setelah diketahui oleh Abu Bakar Alim, aku lalu dinasihatinya supaya belajar kepada beliau sahaja. Sekiranya aku melanggar nasihat beliau, mungkin aku menjadi seorang yang jahat.''

KARYA KARYA NYA

Abu Bakar al-Muari menghasilkan karangan dalam jumlah yang banyak. Ia ditulis dalam bahasa Arab dan Melayu. Oleh sebab ruangan yang disediakan sangat terbatas, semua karangannya tidak dapat disenaraikan di ruangan ini.Keterangan ringkas hanyalah sebagai berikut, bahawa beberapa karyanya merupakan polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi al-Azhari. Walaupun Syeikh Tahir Jalaluddin adalah sahabatnya yang sama-sama belajar di Mekah, namun pendapat kedua-duanya adalah berbeza.

Abu Bakar merupakan benteng pertahanan Kaum Tua, sedangkan Syeikh Tahir Jalaluddin adalah pelopor pergerakan Kaum Muda. Abu Bakar juga mengarang risalah menolak pendapat Hasan Bandung. Sebuah lagi karyanya di dalam bahasa Arab juga menolak beberapa pendapat Sayid Rasyid Ridha, ulama Mesir, tokoh reformis yang sangat terkenal.

Karya-karya Abu Bakar Muar yang bercorak polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin yang telah ditemui ialah Taman Persuraian, ditulis pada 6 Ramadan 1346 Hijrah/1927 Masihi di Muar, Bandar Maharani.Kandungannya menyatakan tentang sunat sembahyang ba'diyah Jumaat dan qabliyahnya. Ia membatalkan perkataan Syeikh Thahir Jalaluddin al-Minankabawi, guru Madrasah Al-Haji Taib Parit Jamil Muar yang mengatakan sembahyang qabliyah itu bidaah. Dan menyatakan sembahyang sunat Tahiyatul Masjid, rumuz-rumuz ulama fikah, tarikh Imam ar-Rafi'ie, Imam an-Nawawi dan Ibnu Hajar al-Haitami. Dicetak oleh Mathba'ah al-Khairiyah, Muar (tanpa tarikh). Dicetak dengan perbelanjaan ahli-ahli al-khair Johor, Muar, Segamat, Kota Tinggi dan Kukup. Salah satu sebab penyusunan karya ini ialah pertanyaan Haji Utsman bin Haji Muhammad Said, guru agama Bandar Maharani, 14 Syaaban 1346 Hijrah. Surat dilampirkan pada halaman awal dan setelah pada halaman akhir dilampirkan surat Haji Utsman bin Haji Muhammad Said, tarikh, Bandar Maharani, 18 Zulhijjah 1346 Hijrah yang menyambut baik kitab ini.Judul selanjutnya ialah Taufan Yang Memalui Atas Huraian Haji Thahir Al-Minankabawi. Diselesaikan 10 Rabiulawal 1351 Hijrah/1932 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Jamiliyah, Muar, 1351 Hijrah/1932 Masihi. Kandungannya merupakan polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi, sebagai tanggapan atas karya yang berjudul Huraian Yang Membakar.

Di dalam Taman Persuraian Haji Bakar, yang dipersoalkan ialah mengenai sembahyang qabliyah Jumaat. Ia merupakan kelanjutan judul Taman Persuraian. Polemik dengan Hasan Bandung pula, Abu Bakar Muar menyusun risalah berjudul Majlis Uraian Muar-Johor. Diselesaikan 20 April 1932 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menjawab dan membatalkan fatwa pengarang Al-Fatwa Persatuan Islam Bandung yang mengatakan babi itu najis dimakan bukan najis disentuh, dan mulut anjing pun belum tentu najisnya. Salah satu sebab disusun karangan ini atas permintaan anggota Gubahan Setia Kelab Muar yang ditandatangani oleh ketuanya, Abdus Syukur bin Ismail bertarikh 2 April 1932. Surat tersebut dicetak pada halaman 1-2.Mengenai sanggahan pendapat Sayid Rasyid Ridha selain dalam bahasa Arab, terdapat terjemahannya dalam bahasa Melayu yang diberi judul Sanggamara Dalam Perkara Menolak dan Membatalkan Perkataan Sayid Muhammad Rasyid Ridha Yang Berkata Dengan Niat Ushalli Itu Bid'ah. Sama ada yang dalam bahasa Arab atau pun yang dalam bahasa Melayu hingga kini belum ditemui.Cogan Perikatan. Diselesaikan pada 3 Zulkaedah 1346 Hijrah/1928 Masihi, dalam Muar, Bandar Maharani, Johor.

Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Khairiyah, Muar, 15 Syawal 1346 Hijrah/1928 Masihi. Kandungan risalah ini juga merupakan polemik kerana mempertahankan pendapat golongan Mazhab Syafie daripada serangan Kaum Muda yang menolak mengucapkan lafaz `Ushalli'. Karya Abu Bakar Muar selain yang bercorak polemik, dilengkapi pula dengan pelbagai disiplin ilmu, di antaranya tentang Ilmu Falak, ditulis dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan belum diberi judul, diselesaikan pada 28 Rabiuakhir 1323 Hijrah/1905 Masihi di Mekah. Kandungan ilmu falakiyah merupakan syarah nazam al-Fadhil Abil Hasan Ali bin Abi ar-Rijal al-Katib al-Qairuani. Ilmu Wafaq, juga dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan belum diberi judul. Diselesaikan pada 1 Zulhijjah 1323 Hijrah/1905 Masihi di Mekah.


Tentang faraid (cara-cara membahagi pusaka) ditulis kitab berjudul Nihayatut Taqrib fi Ma'rifatil Irtsi wat Ta'shib, juga dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan diselesaikan pada 28 Jamadilawal 1324 Hijrah/1906 Masihi di Mekah.Tentang kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., disusun risalah bernama Peringatan. Diselesaikan pada 2 Rabiulawal 1338 Hijrah/1919 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menyatakan kalimah-kalimah yang ada di dalam kitab Kisah Maulid an-Nabi bagi karangan Sayid Ja'far al-Barzanji yang harus diubah-ubahkan bacaannya, cetakan yang pertama, Mathba'ah al-Khairiyah, Bandar Maharani, Muar, 1938. Juga tentang kelahiran Nabi s.a.w. beliau susun Mastika Ajaib. Diselesaikan pada 9 Safar 1350 Hijrah/26 Jun 1931 Masihi, dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menyatakan hukum dan kelebihan membaca Maulid an-Nabi s.a.w., cetakan yang pertama Mathba'ah al-Jamiliyah, Parit Jamil, Muar, 1350 Hijrah/1931 Masihi. Sebab disusun risalah ini memenuhi pertanyaan anggota Gubahan Setia Kelab Muar.

Tentang tajwid, Abu Bakar Muar menyusun risalah Pertinjauan, Penggal Pertama. Diselesaikan pada 1 Syaaban 1342 Hijrah dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama, Mathba'ah al-Khairiyah, Muar, 1342 Hijrah/1924 Masihi. Pada halaman pertama sesudah halaman kulit terdapat salinan ijazah daripada gurunya, Syeikh Abdullah bin Muhammad Qasim Senggora yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 25 Zulhijjah 1334 Hijrah di Mekah.Hikayat Qadhi Dengan Harami, diselesaikan pada 12 Rabiulawal 1343 Hijrah dalam Bandar Maharani, Muar.

Cetakan yang pertama, Mathba'ah al-Khairiyah, Muar, 1343 Hijrah/1924 Masihi. Kandungannya merupakan sastera Islam, menceritakan kisah seorang qadi pada zaman pemerintahan Harun ar-RasyidAbu Bakar juga menyusun buku-buku pengetahuan lain, seperti buku mengenai masakan yang terkumpul dalam judul Jangka Rampaian yang terdiri daripada tiga jilid. Saya simpulkan saja bahawa Abu Bakar Muar telah melakukan penulisan sejak tahun 1323 Hijrah/1905 Masihi hingga 18 Muharam 1357 Hijrah/20 Mac 1938 Masihi. Judul terakhir karyanya ialah Jadwal Tarikh Antara Nabi Adam Dengan Nabi Muhammad s.a.w. Dan Lainnya.

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

AHMAD KHATIB SAMBAS

Syeikh Ahmad Khatib Sambas


MURSYID THARIQAT QADIRIYAH

KESOHORAN Syeikh Ahmad Khathib Sambas di kalangan pengamal Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, sama ada peringkat Nusantara mahu pun antarabangsa pada zamannya tidak dinafikan. Sekurang-kurangnya terdapat dua buah kitab yang ditulis dalam bahasa Arab oleh orang Arab, menceritakan kisah ulama-ulama Mekah dan nama Syeikh Ahmad Khathib Sambas juga terdapat di dalamnya. Kitab yang pertama, Siyar wa Tarajim, karya Umar Abdul Jabbar.


Kitab kedua, Al-Mukhtashar min Kitab Nasyrin Naur waz Zahar, karya Abdullah Mirdad Abul Khair yang diringkaskan oleh Muhammad Sa'id al-'Amudi dan Ahmad Ali. Kita sangat berterima kasih kepada kedua-dua penulis Arab itu, walau bagaimanapun ketepatan data dan fakta termasuk tahun lahir dan wafatnya perlu ditinjau kembali.Nama lengkapnya ialah Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar bin Abdullah bin Muhammad as-Sambasi. Lahir di Kampung Dagang, Sambas. Tarikh lahirnya hanya disebut oleh Umar `Abdul Jabbar, ialah pada bulan Safar 1217 H (kira-kira bersamaan 1802 M, pen:), tidak terdapat tulisan lainnya.

Wafatnya di Mekah tetapi terdapat perbezaan pendapat mengenai tahun kewafatannya antara Umar Abdul Jabbar dengan Abdullah Mirdad Abul Khair. Abdullah Mirdad Abul Khair menyebut bahawa Syeikh Ahmad Khathib wafat tahun 1280 H (kira-kira bersamaan 1863 M, pen:), tetapi menurut Umar Abdul Jabbar, pada tahun 1289 H (kira-kira bersamaan 1872 M, pen:). Tahun wafat 1280 H yang disebut oleh Abdullah Mirdad Abul Khair sudah pasti ditolak, kerana berdasarkan sebuah manuskrip Fat-h al-'Arifin salinan Haji Muhammad Sa'id bin Hasanuddin, Imam Singapura, menyebut bahawa ``Muhammad Sa'ad bin Muhammad Thasin al-Banjari mengambil tariqat daripada gurunya, Syeikh Ahmad Khathib yang tersebut itu di dalam negeri Mekah al-Musyarrafah di dalam halwatnya, dan khatamnya pada hari Arba', yang ketujuh hari dari bulan Zulhijjah sanah 1286 Hijrah''. Jadi bererti pada 7 Zulhijah 1286 H, Syeikh Ahmad Khathib Sambas masih hidup. Oleh itu Syeikh Ahmad Khathib Sambas wafat tahun 1289 H yang disebut oleh Umar Abdul Jabbar menepati yang sebenarnya.

KEMUNCAK KEMASYHURAN

Manusia menjadi terkenal kerana berbagai-bagai sebab, Syeikh Ahmad Khathib Sambas terkenal kerana beliau sebagai Mursyid Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah. Pada zamannya, di Mekah tentang tariqat itu, Syeikh Ahmad Khathib Sambas merupakan Syeikh Mursyid yang teratas sekali. Ia bukan sahaja bagi masyarakat dunia Melayu, tetapi juga diakui oleh ulama-ulama dunia luar. Sepanjang sejarah perkembangan Tariqat Qadiriyah di dunia Melayu dari dahulu hingga sekarang memang tidak dapat dinafikan bahawa tokoh yang terbesar dan paling berkesan bagi ulama-ulama Jawi/Nusantara dalam penyebaran Tariqat Qadiriyah itu ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Nama beliau juga dikenal di Uzbekistan, kerana salah seorang murid beliau bernama Syeikh Abdul Murad, adalah seorang ulama Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang menerima tawajjuh kedua-dua tariqat itu daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas.
FAT-HUL 'ARIFIN

Fat-hul `Arifin termasuk salah satu istilah yang banyak dibicarakan di kalangan sufi. Tetapi yang dimaksudkan di sini ialah sebuah risalah atau kitab yang berasal daripada imlak Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Imlak tersebut ditulis oleh beberapa orang muridnya, dan yang sempat diterbitkan hanyalah versi catatan Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim al-Bali. Manuskrip Fat-hul `Arifin yang dinisbahkan kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas, yang ada pada penulis ialah: 1. Judul Silsilah Tariqat Qadiriyah wan Naqsyabandiyah yang dicatat oleh Abdul Hakim ibnu Marhum Lebai Abdul Kari Sambas, Kampung Asam.

Naskhah ini merupakan satu-satunya yang ditulis oleh orang yang berasal dari Sambas sendiri. 2. Manuskrip tanpa judul, hanya dinyatakan ``Talkin, zikir dan bai'ah tariqat yang diijazahkan oleh guru kita Maulana asy-Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar Sambas yang di dalam negeri Mekah al-Musyarrafah kepada sekalian muridnya''. Pada manuskrip ini dimulai nama pencatatnya bernama Haji Muhammad Sa'id bin Hasanuddin, Imam Singapura, bahawa beliau ``... mengambil talkin, dan bai'ah, dan tawajjuh, serta ijazah daripada gurunya Sayid Muhammad bin Ali al-'Aidrus. Dia mengambil daripada Sayid Ja'afar bin Muhammad as-Saqaf Pontianak, mengambil daripada Muhammad Sa'ad bin Muhammad Thasin al-Banjari mengambil daripada Syeikh Ahmad Khathib... ``

Manuskrip ini ditulis tahun 1286 H dan selanjutnya disalin oleh Sayid Ahmad bin Ismail al-'Aidrus pada hari Khamis, 4 Zulhijah 1293 H/21 Disember 1876 M, diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M. 3. Fat-hul `Arifin, naskhah yang ditulis oleh Haji Muhammad bin Syeikh Abdus Samad al-Kalantani diselesaikan pada tahun 1294 H/1877 M. Dalam manuskrip ini dikombinasikan dengan Tariqat Syathariyah.Tiga versi yang tersebut di atas merupakan manuskrip yang pernah diterbitkan iaitu versi catatan Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim al-Bali, beliau selesai menulis kembali setelah diteliti dan bersih daripada corat-coret pada bulan Rejab 1295 H/Julai 1878 M.

Naskhah tersebutlah yang ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, kemudian dicetak pertama kalinya oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah Mekah, 1305 H/1887 M, yang diterbitkan itu diberi judul Fat-hul `Arifin.Walaupun Syeikh Ahmad Khathib Sambas sebagai seorang tokoh sufi, namun selain ditonjolkan karya tasawuf Fat-hul `Arifin, beliau juga menghasilkan karya dalam bidang ilmu fikah. Penulis juga memiliki manuskrip fikah karya beliau, iaitu Fatwa Syeikh Ahmad Khathib Sambas Perihal Jumaat. Naskhah tulisan tangan itu dijumpai tahun 1986, bekas koleksi Haji Manshur yang berasal dari Pulau Subi, Kepulauan Riau.

Kandungan naskhah selain membicarakan masalah Jumaat terdapat pula fatwa beliau mengenai hukum penyembelihan secara Islam. Pada bahagian akhir naskhah terdapat pula suatu nasihat beliau yang panjang, kemudian ditutup dengan beberapa amalan wirid beliauselain amalan Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah. Sebuah karya (judul yang sebenar tidak terdapat) yang membicarakan fikah mulai taharah, sembahyang dan pengurusan mayat. Manuskrip tanpa dinyatakan tarikh, hanya terdapat tahun penyalinan dinyatakan ``... Hari Khamis, 11 Muharam 1281 H oleh Haji Ahmad ibnu al-Marhum Penggawa Nashir ahli al-Kayung jama'ah Tuan Syeikh Ahmad Khathib Sambas di Mekah al-Mukarramah ...'' Manuskrip di atas diperoleh di Kampung Mendalok, Sungai Kunyit, Kabupaten Pontianak, Kalimantan Barat, pada 6 Syawal 1422 H/20 Disember 2001 M.

MURID MURID NYA

Besar nian pengaruh Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang bersumber daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas di dunia Melayu, melebihi tokoh-tokoh penyebar Tariqat Qadiriyah seperti Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri dan lain-lainnya yang lebih dahulu. Di Jawa misalnya, dapat kita semak pada beberapa lembar tulisan Zamakhsyari Dhofier dalam bukunya Tradisi Pesantren, beliau menyebut, ``Dalam abad ke-19, organisasi-organisasi tariqat di Jawa memperoleh semangat dan dukungan baru daripada masyarakat. Hal ini disebabkan oleh kedatangan para pengikut Syeikh Ahmad Khatib Sambas dan Sulaiman Effendi dari Mekah''. Seterusnya, ``Namun yang cukup menarik ialah di Jawa Syeikh Ahmad Khatib Sambas dikenal sebagai pendiri suatu tariqat baru, Tariqat Naqsyabandiyah''.

Selanjutnya, ``Kedudukan Syeikh Ahmad Khatib sebagai seorang sarjana Islam perlu kita sedari betul-betul ...''. Selanjutnya, ``Adalah suatu hal yang penting bahawa seorang sarjana besar seperti Syeikh Sambas, kepada siapa hampir semua kiyai di Jawa menelusuri penealogi intelektual mereka juga dikenal sebagai seorang pemimpin tariqat''.Kalau demikian yang diperkatakan, sekarang mari kita menjejaki kemantapan sistem pengkaderan yang dilakukan kepada murid-muridnya. Salah seorang muridnya bernama Syeikh Zainal Abidin yang berasal dari Kelantan diutus oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas ke Kalimantan Barat sebagai `Ketua Khalifah' di sana. Jadi bererti murid-muridnya yang lain, yang semuanya berasal dari Kalimantan Barat, adalah di bawah pengawasan Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani.

Selanjutnya semua mereka disuruh supaya mendalami pelbagai ilmu kepada ulama yang berasal dari Kelantan itu. Kebenaran untuk mentawajjuh/ membai'ah sekali-kali tidak dibenarkan kepada murid-murid yang lain selagi Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani masih hidup, atau selagi beliau masih berada di Kalimantan Barat. Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani meninggal dunia di Kampung Sebedang, Sambas.Yang dilantik oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas sebagai khalifahnya di Mekah ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani, beliau mempunyai murid yang ramai sesudah Syeikh Ahmad Khatib Sambas. Untuk di Jawa terdapat tiga orang wakil khalifah, iaitu: Di Jawa Timur, Syeikh Ahmad Hasbullah bin Muhammad al- Manduri (Madura) dan lain-lain. Di Jawa Tengah, Syeikh Zarkasyi Barjan, Porwajo Syeikh Ibrahim Berumbung.

Di Jawa Barat, Syeikh Asnawi Banten dan lain-lain.Murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang bernama Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim berasal dari Pulau Bali. Beliau juga diberikan kebenaran mentawajjuhkan. Salah seorang muridnya yang menjadi ulama besar ialah Tuan Guru Haji Abdur Rahman yang berasal dari Ambon. Murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang bernama Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir berasal dari Sarawak. Di antara muridnya ialah Haji Muhammad Arsyad bin Abdur Rahman Pontianak. Murid Haji Abdul Lathif yang berasal dari Sarawak yang menjadi ulama besar, mengajar di Masjidil Haram, Mekah, ialah Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab as-Sarawaqi.

Tetapi selanjutnya Syeikh Utsman Sarawak ini menerima tawajjuh Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah sekali lagi daripada Syeikh Abdul Karim al-Bantani di Mekah.Masih banyak kisah murid-murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang belum sempat disebutkan di sini, penulis menyimpulkan saja bahawa institusi pengajaran Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang bersumber daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas yang masih kekal sampai sekarang ialah daripada muridnya yang bernama Syeikh Abdullah Mubarak. Pondok Pesantren yang beliau dirikan 7 Rejab 1323 H/ 5 September 1905 M masih kekal sam-pai sekarang, bahkan terkenal di seluruh Indonesia dan Malaysia. Sistem pelajaran Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang berasal daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas itu dikembangkan dengan penyesuaian pada zaman moden.

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

RAJA HAJI


Raja Haji

Pahlawan Teragung Nusantara

MASYARAKAT Melayu masih ramai belum mengetahui bahawa di Melaka ada beberapa orang tokoh dunia Melayu yang terkorban sebagai syuhada kerana membela kemuliaan Islam dan bangsa Melayu.
Mereka sanggup berkorban apa saja, termasuk harta dan nyawa, demi berjuang mengusir penjajah Portugis mahupun Belanda. Di antara sekian ramai yang gugur sebagai syuhada termasuklah seorang ‘ulama’ sufi dunia Melayu yang paling terkenal. Beliau bermakam di Melaka. Ulama yang dimaksudkan ialah Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i yang terkorban sebagai syuhada kerana berperang dengan Portugis.

Sejarah yang penting tentang tokoh besar yang syahid fisabilillah di Melaka juga ialah Raja Haji bin Upu Daeng Celak yang terkorban kerana melawan penjajah Belanda. Saya berpendapat bahawa Raja Haji ialah pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat semacam Hang Tuah memandangkan daerah operasinya di daratan dan maritim yang amat luas. Raja Haji inilah yang menjadi topik perbicaraan dalam artikel ini.

Daripada sebelah ayahnya, Raja Haji berasal daripada keturunan raja-raja di tanah Bugis, negeri Luwuk. Di sebelah ibunya pula berasal daripada keturunan raja-raja Melayu. Raja Haji lahir di Kota Lama, di Hulu Sungai Riau, pada tahun 1139 H/1727 M dan wafat pada hari Rabu di Teluk Ketapang, Melaka, 19 Rejab 1198 H/8 Jun 1784 M.
Hubungan dengan ulama

Raja Haji walaupun bukan seorang ulama, namun dibicarakan juga dalam ruangan ini, disebabkan beberapa faktor. Pertama adalah kerana beliau sempat bergaul dengan beberapa orang ulama. Dipercayai beliau sempat berjumpa dengan Saiyid Husein al-Qadri di Mempawah, iaitu guru ayah saudaranya Upu Daeng Menambon. Putera Upu Daeng Menambon bernama Gusti Jamiril ini mendapat pendidikan Islam yang padu. Gusti Jamiril adalah saudara sepupu Raja Haji, kedua-duanya sempat bergaul. Dengan demikian tata cara pergaulan Islam, sekali gus amalan keilmuan saudara sepupunya itu, berpengaruh terhadap Raja Haji.

Dalam masa yang sama Raja Haji dan Gusti Jamiril sempat belajar kepada Syeikh Ali bin Faqih yang berasal dari Patani. Beliau ini ialah Mufti Mempawah yang kedua, menggantikan Saiyid Husein al-Qadri. Makam beliau disebut ‘Keramat Pokok Sena’ terletak di Perkuburan Kampung Pedalaman Mempawah. Hubungan Raja Haji dengan Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Husein al-Qadri, Sultan Pontianak yang pertama juga sangat dekat. Saiyid Abdur Rahman al-Qadri ialah suami Utin Cenderamidi bin Upu Daeng Menambon. Faktor kedua, daripada keturunan Raja Haji ramai yang menjadi ulama di antaranya Raja Ali Haji (cucu beliau) yang sangat terkenal itu. Keturunan beliau yang turut menjadi ulama ialah Raja Haji Umar bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji dan lain-lain.
Gelaran yang disandang

Raja Haji menyandang pelbagai gelaran yang diberikan antaranya ialah Engku Kelana (1747M - 1777M), Pangeran Sutawijaya, Yang Dipertuan Muda Riau-Johor IV (1777M - 1784M), Raja Api, Marhum Teluk Ketapang, Marhum Asy-Syahid fisabilillah. Yang terakhir, secara rasmi atas nama sebuah pemerintahan, Raja Haji dianugerahi gelaran Pahlawan Nasional Indonesia memperoleh Bintang Mahaputera Adipradana oleh Presiden Republik Indonesia di Jakarta pada 11 Ogos 1997.
Tahun 1756M - 1758M Raja Haji bersama sepupunya Daeng Kemboja memimpin Perang Linggi melawan Belanda. Perang Linggi melibatkan pasukan-pasukan Melayu yang berasal dari Linggi, Rembau, Klang, Selangor dan Siak.

Sewaktu Syarif ‘Abdur Rahman al-Qadri memerangi Sanggau, Raja Haji ialah sebagai Pahlawan Perang. Perang berlaku pada 26 Muharam 1192H/24 Februari 1778 M sehingga 11 Safar 1192H/11 Mac 1778 M. Raja Haji pula melantik Syarif Abdur Rahman al-Qadri sebagai sultan yang pertama Kerajaan Pontianak sekali gus Raja Haji menyusun kerangka pentadbiran kerajaan itu.
Raja Haji merupakan satu-satunya pahlawan Nusantara yang pernah menjejak kakinya hampir ke seluruh negeri-negeri Melayu. Di antaranya Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Muntok/Bangka, Pontianak, Mempawah dan lain-lain. Jika kita bandingkan dengan semua pahlawan di Nusantara, seumpama Pangeran Diponegoro, Imam Bonjol, dan lain-lain, mereka hanya beroperasi di daratan saja dan tidak mengalami perang maritim. Jika kita bandingkan dengan Sultan Hasanuddin, beliau ialah seorang pahlawan maritim saja, tidak banyak pengalaman dalam peperangan di daratan. Kalau ada hanyalah sekitar Sulawesi Selatan.

Kalau kita banding dari segi yang lain pula, bukan bererti memperkecil-kecilkan pejuang yang lain, tetapi sejarah mencatatkan bahawa ramai pejuang ada yang menyerah kepada penjajah. Ada yang tertangkap kerana ditipu secara licik dan lain-lain. Semua yang tersebut berbeza dengan Raja Haji. Beliau lebih rela mati di medan juang daripada menyerah ataupun tertipu oleh pihak musuh. Pada 18 Jun 1784 M Raja Haji terbunuh sebagai syahid fisabilillah dalam peperangan melawan Belanda pimpinan Jacob Pieter van Braam di Melaka. Pasukan Melayu yang tewas bersama Raja Haji dianggarkan sekitar 500 orang. Sebagaimana pada mukadimah yang telah saya nyatakan, “... Raja Haji bin Upu Daeng Celak merupakan pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat sesudah Hang Tuah....”

Walau bagaimanapun, haruslah kita sedar bahawa kisah Hang Tuah lebih bercorak mitos. Berbeza dengan Raja Haji. Kisah beliau tercatat sebagai sejarah yang dibuktikan dengan data dan fakta yang tidak dapat ditolak. Oleh itu jika ditinjau dari segi sejarah bererti ‘Raja Haji pahlawan dunia Melayu yang terbesar dan terhebat, bukan Hang Tuah.’
Kejadian aneh

Raja Ali Haji dalam Tuhfat an-Nafis meriwayatkan kejadian aneh terhadap jenazah Raja Haji setelah mangkat dalam keadaan syahid fisabilillah seperti berikut, “Syahdan adalah aku dapat khabar daripada itu daripada orang tua-tua yang mutawatir, adalah sebelum lagi ditanamnya mayat Yang Dipertuan Muda Raja Haji, al-Marhum itu, maka ditaruhnya di dalam peti hendak dibawanya ke Betawi, sudah sedia kapal akan membawa jenazah al-Marhum itu. Maka menantikan keesokan harinya sahaja, maka pada malam itu keluar memancar ke atas seperti api daripada peti jenazah al-Marhum Raja Haji itu. Maka gaduhlah orang Melaka itu melihatkan hal yang demikian itu. Di dalam tengah bergaduh itu kapal yang akan membawa jenazah al-Marhum itu pun meletup, terbakar, terbang ke udara segala isinya serta orang-orangnya. Seorang pun tiada yang lepas.

“Syahdan kata qaul yang mutawatir, tiadalah jadi dibawa jenazah al-Marhum itu pindah ke negeri yang lain. Maka ditanamkan jua di Melaka itu, hingga datang diambil dari negeri Riau adanya. Dan kata setengah qaul yang mutawatir sebab itulah digelar oleh Holanda yang dahulu-dahulu dengan nama Raja Api adanya....” (Tuhfat an-Nafis, Naskhah Terengganu, hlm. 151)


Pada pandangan saya riwayat di atas mencerminkan kemuliaan seseorang yang wafat dalam syahid fisabilillah kerana berjuang untuk kepentingan agama Islam atau memperjuangkan bangsanya, iaitu bangsa Melayu yang dicintainya. Perjuangan demikian mencerminkan kerana patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu tulisan Abdullah Munsyi dalam buku Hikayat Abdullah yang mengatakan bahawa mayat Raja Haji ditanam tempat kandang babi perlu dipertikaikan dan dibahas secara ilmiah. Tulisan Abdullah Munsyi selengkapnya sebagai berikut, “Sebermula di balik kebun kompeni itulah ditanamkan Raja Haji. Iaitu seorang Raja Melayu yang berkuasa adanya. Asalnya iaitu keturunan Bugis. Maka isterinya bernama Ratu Emas. Maka ialah yang telah datang memerangi Melaka pada zaman Holanda – maka adalah daripada zaman itu sampai masa ini (maksudnya hingga masa Abdullah Munsyi menulis hikayatnya, pen:) kira-kira lebih sedikit daripada 60 tahun – maka hampir-hampir dapat Melaka olehnya.

Maka berkeliling jajahan Melaka dan kampung-kampung semuanya sudah didapatnya melainkan tinggallah Melaka bulat-bulat sahaja yang belum didapatnya. Maka pada masa itu segala bangsa yang ada di dalam Melaka masuk perang melawan Holanda daripada Melayu, Keling, Cina, Serani masing-masing ada dengan kapitannya dan kepala perangnya. Maka adalah beberapa tahun diperanginya lalu matilah Raja Haji itu dimakan peluru di Tanjung Palas nama tempatnya. Kemudian diambil Holanda mayatnya itu ditanamkan di balik kebun yang tersebut itu. Ada pun khabarnya yang kudengar, tempat itu kandang babi. Kemudian ada kira-kira 20, 30 tahun di belakang datanglah anak buah-anak buah Raja Haji itu dari Lingga dan Riau ke Melaka meminta izin kepada raja Inggeris hendak dipindahkannya kubur itu ke Riau. Maka diberikanlah izin. Lalu dibawanyalah pergi....” (Hikayat Abdullah, hlm. 57 - 58)

Riwayat Abdullah Munsyi tentang Raja Haji ditanam di kandang babi adalah sukar diterima disebabkan: Pertama, jauh berbeza dengan yang ditulis oleh Raja Ali Haji seperti tersebut di atas. Kedua, orang yang wafat keadaannya syahid fisabilillah adalah dimuliakan oleh Allah s.w.t.. Dalam al-Quran disebutkan bahawa “orang-orang yang mati syahid adalah tidak mati, dalam kubur mereka diberi rezeki.” Dalam hadis Nabi s.a.w. pula sangat banyak menyebutkan kelebihan orang yang mati syahid. Pandangan saya ini bukan bererti menuduh Abdullah Munsyi telah melakukan pembohongan dalam tulisannya, kerana beliau sendiri menyebut pada awal kalimatnya, “Ada pun khabarnya yang kudengar”. Oleh itu pelbagai andaian boleh dibuat. Yang pertama, boleh jadi khabar yang didengar itu sengaja diproses oleh pembohong-pembohong daripada kalangan penguasa penjajah ketika itu untuk menghapuskan kebangkitan jihad orang-orang Melayu Islam yang tidak suka negerinya dijajah oleh golongan yang bukan Islam. Kedua, kemungkinan tekanan kuasa penjajah memaksa supaya Abdullah Munsyi menulis sedemikian. Oleh itu kita perlu berfikir dan teliti setiap kalimat dan perkataan yang ditulisnya.

Selain itu jika kita berfikir secara kritis dan membuat analisis secara bebas, khusus pada konteks di atas, memang banyak kalimat ataupun perkataan demi perkataan Abdullah Munsyi mengandung unsur-unsur politik yang menguntungkan pihak penjajah pada zamannya. Sebagai contoh, walaupun Abdullah Munsyi mengakui bahawa Raja Haji adalah seorang Raja Melayu, namun pada sambungan kalimat Abdullah Munsyi menyebut pula bahawa asal Raja Haji adalah keturunan Bugis. Kenapa Abdullah Munsyi tidak menyebut Raja Haji dari sebelah ibunya adalah keturunan Melayu. Di sini dapat diduga, jika disebut Raja Haji orang Melayu semangat orang Melayu untuk berpihak kepada Raja Haji sukar dipadamkan.

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SAIYID ALWI BIN THAHIR AL-HADDAD

Saiyid Alwi Thahir Al-Haddad

Mufti Kerajaan Johor

KETURUNAN Nabi Muhammad s.a.w. berbangsa ‘al-Haddad’ adalah salah satu keluarga ‘Saiyid’ yang penting dalam penyebaran Islam, pendidikan dan dakwah di dunia Melayu. Contohnya, Habib Muhammad bin Thahir al-Haddad yang lahir di Hadhramaut.

Beliau pernah menyebarkan Islam di India, akhirnya meninggal dunia di Tegal, Indonesia. Makam beliau sentiasa diziarahi hingga sekarang kerana beliau diakui oleh masyarakat sebagai wali Allah. Yang diriwayatkan dalam artikel ini ialah bangsa ‘al-Haddad’ yang menjadi Mufti Johor. Nama lengkapnya ialah Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad bin Abdullah bin Thaha Abdullah bin Umar bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ahmad bin Abi Bakar Abu Thahir al-Alawi asy-Syarif al-Huseini. Sampai nasabnya kepada Saidina Ali bin Abi Thalib yang kahwin dengan Saidatina Fatimah binti Nabi Muhammad s.a.w.. Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad lahir di Bandar Qaidun, Hadhramaut, Yaman pada 14 Syawal 1301 H/7 Ogos 1884 M

Dalam Tasynif al-Asma' oleh Abi Sulaiman Mahmud Sa'id bin Muhammad Mamduh menyebut bahawa Saiyid 'Alwi bin Thahir al-Haddad meninggal dunia di Jakarta, ibu kota Indonesia, pada bulan Jamadilakhir 1382 H (hlm. 383). Nik Yusri Musa dalam kertas kerja berjudul Polemik Datuk Sayed bin Tahir al-Haddad dan A. Hassan Bandung: Gambaran Pemikiran Fiqh Nusantara menyebut bahawa Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad meninggal dunia pada 14 November 1962 M dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmudiah Johor Bahru (lihat Prosiding Nadwah Ulama Nusantara III, 2005 M/1427 H, hlm. 538).

Ditinjau dari segi tarikh wafat kedua-dua maklumat di atas adalah sepakat kerana 14 November 1962 M adalah bersamaan dengan 17 Jamadilakhir 1382 H. Tetapi tempat wafat masih perlu ditinjau kerana Tasynif al-Asma' hanya menyebut Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad wafat di Jakarta dan tidak menyebut di mana dikebumikan.
Dalam kertas kerja Nik Yusri Musa pula dinyatakan bahawa beliau dikebumikan di Johor Bahru, tetapi tidak menyebutkan di mana sebenarnya Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad wafat. Apakah memang benar beliau wafat di Jakarta kemudian jenazahnya dibawa ke Johor Baharu juga tidak dijelaskan. Sekiranya benar beliau wafat di Jakarta ada kemungkinan dikebumikan di Jakarta ataupun Bogor kerana Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad sebelum ke Johor memang tinggal di sana. Murid beliau pun memang ramai di Jakarta dan Bogor.
Seperkara lagi ketika tarikh wafat Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad, 14 November 1962 M itu, urusan penerbangan dari Jakarta ke Singapura mungkin sedikit terganggu kerana detik-detik awal konfrontasi Indonesia-Malaysia, sedangkan Singapura ketika itu dalam Malaysia. Oleh itu sejarah yang demikian perlu diselidiki dengan lebih kemas lagi.

Dalam kertas kerja Nik Yusri Musa juga dinyatakan bahawa Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad bertugas sebagai Mufti Kerajaan Negeri Johor dari tahun 1934 - 1961 (Ibid, hlm. 538). Maklumat ini berbeza pendapat dengan tulisan Othman bin Ishak dalam buku Fatwa Dalam Perundangan Islam yang menyebut bahawa Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad menjadi Mufti Johor tahun 1934 - 1941, Datuk Haji Hasan bin Haji Yunus menjadi Mufti Johor 1941 - 1947 dan Datuk Haji Abd. Jalil Hasan menjadi Mufti Johor 1961 - 1964 (lihat terbitan Fajar Bakti, 1981, hlm. 31).

Mufti Johor yang berikutnya ialah Datuk Haji Abd. Rahim bin Haji Yunus tahun 1965 - 1977. Sesudahnya ialah Datuk Saiyid Alwi bin Abdullah al-Haddad. Mengenai nama ini hendaklah diperhatikan bahawa pada hujung nama sama-sama menggunakan ‘al-Haddad’. Jadi bererti ada dua orang keturunan ‘al-Haddad’ yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Johor.

PENDIDIKAN

Guru-gurunya di Hadhramaut ialah Habib Ahmad bin al-Hasan al-Attas al-Alawi, Habib Thahir bin Umar al-Haddad, dan Habib Muhammad bin Thahir al-Haddad. Banyak bidang ilmu tradisi yang beliau peroleh daripada keluarganya sendiri yang berketurunan Nabi Muhammad s.a.w..

Sungguhpun demikian yang lebih diutamakan ialah tentang hadis dan ilmu-ilmu yang dibangsakan kepada hadis itu. Berkali-kali Saiyid Alwi al-Haddad menamatkan kitab as-Sittah, Riyadh ash-Shalihin, Bulugh al-Maram, Jami' ash-Shaghir. Sehubungan dengan hadis Saiyid Alwi al-Haddad juga mempelajari kitab-kitab mengenai sanad hadis di antara kitab-kitab itu ialah ad-Dhawabidh al-Jaliyah fi al-Asanid al-'Aliyah karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Syamsuddin Abdullah bin Fathi al-Farghali al-Hamisyi. Demikian juga kitab ats-tsabat yang berjudul as-Samth al-Majid karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Shafiyuddin Ahmad bin Muhammad al-Qasyasy al-Madani. Saiyid Alwi al-Haddad telah berhasil memperoleh ilmu dan ijazah daripada para gurunya serta dengan sanad-sanad yang bersambung.

Selain guru tersebut, Saiyid Alwi al-Haddad juga memperoleh ilmu daripada ayah saudaranya Imam Habib Abdullah bin Thaha al-Haddad, juga dengan Habib Thahir bin Abi Bakri al-Haddad. Guru-guru beliau yang lain pula ialah al-Mu'ammar Sirajuddin Umar bin Utsman bin Muhammad Ba Utsman al-Amudi ash-Shiddiqi al-Bakari. Saiyid Alwi al-Haddad juga sempat mendengar riwayat hadis daripada al-Allamah as-Saiyid 'Abdur Rahman bin Sulaiman al-Ahdal yang wafat tahun 1250 H/1834 M.

Diriwayatkan bahawa Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang yang sangat cergas. Sedikit saja belajar namun pencapaian pengetahuan terlalu banyak. Ketika berumur 12 tahun Saiyid Alwi al-Haddad tamat belajar Ihya' 'Ulum ad-Din karya Imam al-Ghazali. Dalam usia 17 tahun beliau telah mulai mengajar dan mengajar kitab yang besar-besar dan ilmu yang berat-berat dalam usia 20 tahun. Ilmu-ilmu yang beliau ajar dalam usia itu ialah ilmu tafsir, hadis, fiqh, usul fiqh, tarikh, falak, nahu, sharaf, balaghah, falsafah dan tasawuf.

PEMIKIRAN

Saya mulai mengikuti tulisan-tulisan Saiyid Alwi al-Haddad sejak tahun 1966, iaitu yang dimuat dalam Warta Jabatan Agama Johor. Salah satu karya Saiyid Alwi al-Haddad bagi saya yang cukup menarik ialah sebuah karya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia yang diberi judul Sejarah Islam di Timur Jauh. Saya ringkaskan saja bahawa karya Saiyid Alwi al-Haddad yang telah diketahui sebagai berikut:

1. Anwar al-Quran al- Mahiyah li Talamat Mutanabi' Qadyani (dua jilid).
2. Al-Qaul al-Fashl fi ma li al-Arab wa Bani Hasyim min al-Fadhal. Kitab ini terdiri daripada dua jilid. Kandungannya merupakan sanggahan terhadap fahaman pembaharuan Islam yang dibawa oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati as-Sudani.
3. Al-Khulashah al-Wafiyah fi al-Asanid al-'Aliyah. Kitab ini menggunakan nama keseluruhan guru Saiyid Alwi al-Haddad tentang qiraat dan ijazah.
4. 'Iqd al-Yaqut fi Tarikh Hadhramaut.
5. Kitab as-Sirah an-Nabawiyah asy-Syarifah.
6. Dalil Khaidh fi 'Ilm al-Faraidh.
7. Thabaqat al-'Alawiyin (sepuluh jilid).
8. Mu'jam asy-Syuyukh.
9. 'Uqud al-Almas bi Manaqib al-Habib Ahmad bin Hasan al-'Athas.

Sekiranya kita sempat membaca keseluruhan karya Saiyid Alwi al-Haddad yang tersebut di atas, dapat disimpulkan bahawa sangat luas pengetahuan yang beliau bahaskan. Saiyid Alwi al-Haddad diakui sebagai seorang tokoh besar dalam bidang sejarah, ahli dalam bidang ilmu rijal al-hadis.

Lebih khusus lagi sangat mahir tentang cabang-cabang keturunan ‘al-'Alawiyin’ atau keturunan Nabi Muhammad s.a.w.. Setahu saya memang tidak ramai ulama yang berkemampuan membicarakan perkara ini selain Saiyid Alwi al-Haddad. Boleh dikatakan tidak ada ulama dunia Melayu menulisnya secara lengkap. Sekiranya ada juga ia dilakukan oleh orang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang pernah dilakukan Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Yahya al-Alawi, Mufti Betawi.

Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang ulama yang berpendirian keras dan tegas mempertahankan hukum syarak. Gaya berhujah dan penulisan banyak persamaan dengan yang pernah dilakukan oleh Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Yahya al-Alawi, Mufti Betawi. Saiyid Alwi al-Haddad selain menyanggah pendapat dan pegangan Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang lebih keras dibantahnya ialah A. Hassan bin Ahmad Bandung.

Bukan Saiyid Alwi al-Haddad saja yang menolak pegangan A. Hassan bin Ahmad Bandung tetapi perkara yang sama juga pernah dilakukan oleh Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar. Sanggahan Haji Abu Bakar Muar terhadap A. Hassan Bandung berjudul Majlis Uraian Muar-Johor. Di bawahnya dijelaskan judul, “Pada menjawab dan membatalkan Al-Fatwa pengarang Persatuan Islam Bandung yang mengatakan babi itu najis dimakan bukan najis disentuh dan mulut anjing pun belum tentu najisnya.” Sebenarnya apabila kita meninjau sejarah pergolakan Kaum Tua dan Kaum Muda dalam tahun 1930-an itu dapat disimpulkan bahawa semua golongan ‘Kaum Tua’ menolak pemikiran A. Hassan Bandung itu khususnya Kerajaan Johor yang muftinya ketika itu Saiyid Alwi al-Haddad yang mengharamkan karya-karya A. Hassan Bandung di Johor.

MURID-MURID

Saiyid Alwi al-Haddad mengembara ke pelbagai negara, antaranya Somalia, Kenya, Mekah, Indonesia, Malaysia dan lain-lain. Di negara-negara yang pernah beliau singgah, beliau berdakwah dan mengajar.
Di Jakarta, Saiyid Alwi al-Haddad pernah mengajar di Madrasah Jam'iyah al-Khair yang diasaskan oleh keturunan ‘Saiyid’ di Indonesia. Madrasah Jam'iyah al-Khair ialah sekolah Islam yang mengikut sistem pendidikan moden yang pertama di Indonesia, Saiyid Alwi al-Haddad pula termasuk salah seorang guru yang pertama sekolah itu diasaskan. Bahkan beliau ialah Wakil Mudir sekolah itu.

Mudirnya ialah Saiyid Umar bin Saqaf as-Saqaf. Para guru didatangkan dari pelbagai negara. Antara mereka ialah Ustaz Hasyimi yang berasal dari Tunis, Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang berasal dari Sudan (mengajar di Madrasah Jam'iyah al-Khair tahun 1911 - 1914), Syeikh Muhammad Thaiyib al-Maghribi yang berasal dari Maghribi, Syeikh Muhammad Abdul Hamid yang berasal dari Mekah.

Selain mengajar di Jakarta beliau juga pernah mengajar di Bogor dan tempat-tempat lain di Jawa. Muridnya sangat ramai. Antara tokoh dan ulama besar yang pernah menjadi murid Saiyid Alwi al-Haddad ialah:

1. Saiyid Alwi bin Syaikh Bilfaqih al-Alawi.
2. Saiyid Alwi bin Abbas al-Maliki.
3. Saiyid Salim Aali Jindan.
4. Saiyid Abu Bakar al-Habsyi
5. Saiyid Muhammad bin Ahmad al-Haddad.
7. Saiyid Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih.
8. Saiyid Husein bin Abdullah bin Husein al-Attas.
9. Syeikh Hasan Muhammad al-Masyath al-Makki.
10. Kiyai Haji Abdullah bin Nuh.

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

ABDUL QADIR TUAN MINAL

Syeikh Abdul Qadir Bin Syeikh Zainal Abidin Al-Fathani


SYEIKH Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani (Tuan Minal) termasuk salah seorang ulama yang diminati ramai umat Islam di dunia Melayu. Ada e-mel yang saya terima meminta saya menulis tentang beliau.
Sebenarnya latar belakang ulama ini telah dimuatkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia pada 18 Oktober 2004. Ulama yang telah ditulis mengenai dirinya tidak perlu ditulis ulang. Namun yang masih perlu disambung adalah mengenai keturunannya yang menjadi ulama.

Lima anak laki-laki Tuan Minal al-Fathani tercatat dalam sejarah menjadi ulama belaka. Salah seorang antara mereka ialah Syeikh Abdul Qadir bin Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani ialah seorang ulama. Beberapa anak dan keturunan beliau pun ramai yang menjadi ulama.
Salah seorang antara anak beliau yang menjadi ulama dan sangat besar pengaruhnya bagi umat Islam Patani ialah Haji Sulong al-Fathani. Hampir-hampir tidak terdapat seorang pun orang Islam yang berasal dari Patani yang tidak pernah mendengar sebutan nama Haji Sulong. Beliau diakui oleh masyarakat Patani sebagai Bapa Perjuangan Patani. Daripada keabadian sejarah inilah dijadikan keterangan judul artikel ini iaitu Abdul Qadir Tuan Minal: Ulama dan Ayah Seorang Pejuang.

Haji Sulong Al-Fathani


Adik-beradik Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani semuanya sempat menerima pendidikan langsung daripada Tuan Minal sendiri sama ada di Pondok Patani mahupun di pondok Sungai Dua, Seberang Perai.
Mereka ialah Haji Daud, Haji Abdul Qadir (yang sedang diriwayatkan), Haji Muhammad Soleh, Haji Umar, Haji Hasan dan Hajah Fatmah.

Antara mereka yang paling terkenal ialah Haji Muhammad Soleh al-Fathani yang menghasilkan sebuah kitab tentang tajwid judul Sirajul Qari yang tersebar di seluruh dunia Melayu. Haji Muhammad Soleh al-Fathani wafat di Mekah pada pagi hari Rabu, pukul 11 pagi, 15 Zulhijjah 1308 H/1890 M. Tetapi pada cetakan 1331 H/1912 M oleh percetakan yang sama, dinyatakan bahawa pengarangnya wafat pada tahun 1309 H/1891 M.
Syeikh Haji Muhammad Soleh al-Fathani juga menggubah untaian syair bercorak sastera klasik gurindam dalam Kasyful Litsam karya ayahnya, Tuan Minal.

Haji Umar bin Tuan Minal menghasilkan beberapa karya, antaranya Risalah Pada Menyatakan Sebab Jadi Murtad.

Demikian juga saudaranya, Haji Hasan bin Tuan Minal al-Fathani yang menghasilkan penulisan berjudul Pungutan Kanak-Kanak. Haji Hasan mendapat dua anak, yang menjadi ulama bernama Haji Muhammad, dan yang seorang lagi bernama Abdur Rahman. Haji Abdur Rahman ini ialah ayah kepada Ustaz Uthman Fauzi yang mendapat pendidikan di Universiti Azhar, Mesir.

Anak perempuan Tuan Minal al-Fathani juga menurunkan beberapa orang ulama. Hajah Fatmah binti Tuan Minal al-Fathani berkahwin dengan Tuan Guru Haji Abdur Rasyid Bandar Patani. Mereka mendapat anak bernama Ya’qub dan Hajah Khadijah. Khadijah (cucu Tuan Minal al-Fathani) kahwin dengan Tuan Guru Haji Abdul Aziz yang merupakan murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Haji Abdul Aziz membuka pondok pengajian. Daripada perkahwinan itu mereka memperoleh anak bernama Haji Abdul Wahhab. Haji Abdul Wahhab bin Tuan Guru Abdul Aziz pernah menjadi Ketua Majlis Agama Islam Patani. Selain itu Haji Abdul Wahhab juga memimpin sebuah pondok pengajian di tempatnya.

PERKAHWINAN DI MUAR

Menurut riwayat, Sultan Abu Bakar dari Johor pada tahun 1296 H/1879 M mulai berkenalan dengan Syeikh Ahmad al-Fathani di Istanbul, Turki. Selanjutnya Syeikh Ahmad al-Fathani pernah datang ke Johor menziarahi beberapa orang muridnya. Salah seorang yang ikut dalam rombongan Syeikh Ahmad al-Fathani ke Johor ialah muridnya Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani. Di Muar, rombongan Syeikh Ahmad al-Fathani ditempatkan di rumah muridnya yang merupakan antara orang yang kaya di Muar pada zaman itu.
Anak orang kaya Muar itu yang bernama Shafiyah dikahwinkan dengan Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani. Shafiyah kemudian lebih dikenali dengan nama Mik Muar saja di Patani. Perkahwinan itu memperoleh tujuh orang anak. Haji Sulong ibunya bukan Mik Muar tetapi adalah daripada isteri Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani yang berasal dari Kelantan.

Setelah Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani kahwin dengan Mik Muar, beliau tinggal di Muar selama beberapa tahun dan sempat mengajar berjenis-jenis kitab di Muar dan tempat-tempat lain di Johor. Daripada perkahwinan Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani dengan Mik Muar, tersebarlah ramai keturunannya di Patani dan Kelantan. Namun mereka terputus maklumat kekeluargaan dengan keluarga Mik Muar yang berada di Muar.

Cukup sukar bagi saya menjejaki kewarisan keluarga tersebut yang berada di Muar kerana orang kaya Muar (ayah Mik Muar) yang dimaksudkan nama beliau tidak diketahui oleh keturunannya yang berada di Patani. Yang mereka ceritakan hanya rumahnya di seberang sungai Muar merupakan rumah yang paling besar di Muar, berpagar tinggi dan mempunyai pintu gerbang yang bertanda anak kunci besar di atas pintu gerbang itu.

Rumah tersebut kemungkinan sudah tiada lagi kerana Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani berkahwin di Muar sekitar 80 atau 90 tahun lalu. Melalui artikel ini saya minta bantuan siapa saja yang mengetahui tentang kewarisan ini supaya menghubungi saya dengan tujuan menghubungkan kembali silaturahim yang telah terputus dan sekali gus dapat menyelesaikan banyak masalah selain memberikan penulisan sejarah yang lebih jelas.

Menurut riwayat, Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani telah berkahwin beberapa kali. Yang dapat dipastikan menjadi ulama ialah Haji Sulong dan Haji Abdur Rahim. Perkahwinan Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani dengan Shafiyah (Mik Muar) memperoleh tujuh anak iaitu Zainab, Maryam, Abdullah, Muhammad Nur, Khadijah, Mahmud dan Fatimah. Riwayat Haji Sulong akan saya bicarakan dalam artikel tersendiri menerusi tulisan lain dalam halaman Agama Utusan Malaysia, tetapi kerana terdapat sedikit kemusykilan nama beliau maka di sini dirasakan perlu saya memberi sedikit keterangan.

Karya-karya Haji Sulong semuanya menggunakan nama Haji Muhammad Sulum bin Abdul Qadir bin Muhammad al-Fathani. Dalam penelitian saya dan selepas berbahas dengan beberapa ahli keluarga ini, antaranya Haji Muhammad Amin bin Haji Sulong, Hajah Nik Wan Nafisah isteri Abdullah bin Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani, bahawa memang tidak terdapat anak Syeikh Zainal Abidin (Tuan Minal) al-Fathani bernama Muhammad.

Kami berkesimpulan bahawa munculnya nama ‘Muhammad’ yang dikatakan ayah kepada Syeikh Abdul Qadir Tuan Minal al-Fathani hingga kini belum diketahui sebab-sebabnya. Kemungkinan ia memang sengaja ditulis oleh Haji Sulong seperti demikian kerana dirujuk kepada Muhammad ayah Tuan Minal sendiri.
Haji Sulong ketika remaja selalu mengikut ayahnya Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani belajar dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Kesan kewibawaan dan kepimpinan Syeikh Ahmad al-Fathani tidak dapat dinafikan sebati dalam diri Haji Sulong. Dapat disimpulkan bahawa Haji Sulong ialah kader politik tempaan Syeikh Ahmad al-Fathani walaupun Haji Sulong ketika itu masih muda.

Haji Sulong ialah kader politik termuda Syeikh Ahmad al-Fathani; yang agak tua sedikit ialah Nik Mahmud bin Ismail Kelantan, yang kemudian setelah pulang ke Kelantan dikenali sebagai Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan.

Haji Sulong ialah seorang ulama besar Patani pada zamannya. Beliau merupakan pembangkit Revolusi Patani Merdeka pada zaman moden Pada zaman Perang Dunia Kedua. Pergerakan ulama Patani yang membuat tuntutan kemerdekaan, yang Haji Sulong dilantik sebagai ketuanya, dinamakan Hai-atun Nafaz al-Ahkam asy-Syar'iyah.

Mengenai kisah keulamaan dan ketokohan Haji Sulong yang hilang tanpa diketahui di mana kuburnya itu akan dibicarakan dalam satu siri tersendiri yang lebih lengkap.

Saya mula berkenalan dengan Haji Muhammad Amin bin Haji Sulong sejak tahun 1970. Banyak perkara yang dibicarakan terutama tentang sejarah ulama.

Beberapa tahun sebelum Haji Muhammad Amin meninggal dunia, selama dua hari dua malam kami sama-sama berada di rumah Abdullah Syam di Kota Bharu, Kelantan. Abdullah Syam juga ialah salah seorang cucu Syeikh Abdul Qadir Tuan Minal al-Fathani daripada isterinya Mik Muar.

Daripada Haji Muhammad Amin, saya memperoleh riwayat yang lengkap tentang Haji Abdur Rahim bin Syeikh Abdul Qadir Tuan Minal al-Fathani. Menurut Haji Muhammad Amin, Haji Abdur Rahim ialah seorang ulama besar yang sukar kita bandingkan pencapaian keilmuannya dengan Haji Sulong. Haji Abdur Rahim pernah menjadi Penolong Kadi di Pulau Pinang, pernah mengajar di Pulau Dua dalam Burma (sekarang Myanmar) dan pernah membuka pondok pengajian di Phuket, Thailand. Beliau juga pernah mengajar di Pasir Mas, Kelantan dan mengajar di Kampung Sirih Jabat, Patani.

Haji Abdur Rahim al-Fathani mendapat pendidikan daripada abangnya Haji Sulong dan selanjutnya belajar di Mekah. Berbeza dengan Haji Sulong yang sempat meninggalkan beberapa karya, Haji Abdur Rahim tidak diketahui sama ada beliau meninggalkan karya atau tidak.

Anak Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani yang perempuan daripada isterinya Shafiyah (Mik Muar) ialah Hajah Zainab yang berkahwin dengan seorang alim bernama Haji Daud yang membuka pondok pengajian di Legor, Thailand. Saudaranya yang lain bernama Hajah Maryam. Beliau ialah seorang ahli dalam bacaan al-Quran dan mengajar al-Quran termasuk hukum-hukum tajwid.

Anak beliau yang laki-laki pula ialah Abdullah. Beliau bukan seorang ulama tetapi menjadi Blat (Ketua Pemerintahan) di Daerah Penarik. Blat Abdullah berkahwin dengan Hajah Wan Nafisah bin Qadhi Haji Wan Ismail Jambu al-Fathani. Sama ada Blat Abdullah mahupun isterinya, Hajah Wan Nafisah (saudara sepupu saya), yang saya mula mengenali mereka pada tahun 1970, saya banyak mendengar pelbagai kisah mengenai keluarga besar yang diriwayatkan ini.

Walaupun Blat Abdullah ialah adik-beradik seayah dengan Haji Sulong, beliau tidak bercerita banyak tentang abangnya itu, kemungkinan berasa takut dengan pihak-pihak tertentu dalam kerajaan Thailand. Ia jauh berbeza dengan Haji Muhammad Amin, anak Haji Sulong sendiri. Haji Muhammad Amin tidak pernah berasa takut kepada siapa pun ketika menceritakan tentang peristiwa ayahnya Haji Sulong yang hilang secara misteri itu.

Haji Muhammad Amin berhasil menerbitkan wasiat terakhir Haji Sulong dalam sebuah karya yang diberi judul Gugusan Cahaya Keselamatan yang selesai ditulis semasa dalam penjara di Legor pada 3 Zulkaedah 1368 H/28 Ogos 1949 M. Karya ini sangat penting bagi bangsa Melayu-Patani. Cetakan pertama diterbitkan pada tahun 1377 H/1958 M.

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Aug 18, 2009

SHEIKH FADHIL BANTEN

Syeikh Fadhil Banten

PENYEBAR WIRID KHAUJAKAN DI JOHOR

APABILA riwayat Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar tersiar dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, penulis menerima panggilan daripada beberapa orang di Muar, antaranya Cikgu Haji Muhammad. Beliau menyatakan bahawa sezaman dengan ulama Muar itu ada lagi beberapa ulama yang sangat besar pengaruhnya dalam bidang kerohanian di kerajaan Johor, iaitu Syeikh Kiyai Haji Fadhil bin Haji Abu Bakar al-Banten. Daripada hasil wawancara, sebuah buku berjudul Amalan Wirid Khaujakan dan Huraiannya, susunan Ustaz Haji Ahmad Tunggal diterbitkan oleh Badan Kebajikan Jamaah Khaujakan Johor Darul Takzim, serta beberapa catatan. Maka ulama berasal dari Banten yang menaburkan baktinya di Johor dapat diperkenalkan. Beliau lahir di Banten, Jawa Barat sekitar tahun 1287 Hijrah/1870 Masihi dan meninggal dunia di Bakri, Muar, Johor pada 29 Jamadilawal 1369 Hijrah/18 Mac 1950 Masihi, dikebumikan di Batu 28 Langa, Muar.

Sebelum riwayat ini diteruskan, dirasakan perlu menjelaskan nama `Banten' kerana ada orang memperkata bahawa ulama yang diceritakan ini berasal dari `Bentan'. Hal ini terjadi hanyalah kerana ada orang yang tidak dapat membezakan antara Banten dengan Bentan. Banten, kadang-kadang disebut juga dengan Bantan, kadang-kadang Bantam. Banten pada zaman dulu mempunyai kerajaan sendiri. Setelah Indonesia merdeka ia dimasukkan ke dalam Propinsi Jawa Barat dan setelah reformasi, menjadi propinsi sendiri yang dinamakan Propinsi Banten.Ada pun Bentan adalah sebuah pulau di Kepulauan Riau, yang kedua terbesar sesudah Pulau Natuna. Bentan sangat penting dalam sejarah dan geografi, sama ada zaman kerajaan Melaka mahu pun zaman pembentukan kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang dan takluknya, zaman Riau-Johor dan terakhir sekali menjadi Riau-Lingga.

Ulama yang dikisahkan ini berasal dari Banten bukan dari Bentan. Banten memang ramai melahirkan ulama yang terkenal, antara yang terkenal di seluruh dunia Islam ialah Syeikh Nawawi al-Bantani yang diakui oleh dunia Islam dengan gelar Imam Nawawi ats-Tsani (Imam Nawawi yang ke-2). Sedang dari Bentan hingga kini belum diketahui nama ulamanya, yang ada hanyalah ulama Riau yang berasal dari pulau-pulau lainnya. Antara ulama Riau yang mengajar di Mekah peringkat guru pada Fadhil ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga .

PENDIDIKAN

Selain mendapat pendidikan dari kalangan keluarga sendiri, Fadhil juga memasuki pelbagai pondok pengajian di Banten. Sekitar usia tiga puluhan, barulah beliau melanjutkan pendidikannya di Mekah. Sewaktu masih berada di Banten lagi, Fadhil telah mengenal beberapa thariqat yang berada di Banten, antaranya ialah Thariqat Qadiriyah yang tersebar di seluruh Jawa yang dibawa oleh murid-murid Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar Sambas (lahir 1217 Hijrah/ 1802 Masihi, wafat 1289 Hijrah/1872 Masihi). Salah seorang khalifahnya yang paling terkenal, yang berasal dari Banten ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani (wafat 18 Safar 1315 Hijrah/19 Julai 1897 Masihi). Thariqat Naqsyabandiyah yang tersebar di Banten juga berasal daripada ulama Sambas tersebut melalui Syeikh Abdul Karim al-Bantani. Oleh itu dipercayai bahawa Fadhil telah ditawajjuh dengan kedua-dua thariqat tersebut oleh Syeikh Abdul Karim al-Bantani, ulama Banten yang sangat terkenal itu. Setelah berada di Mekah, Fadhil menerima pula Thariqat Tijaniyah, walau bagaimana pun tidak jelas daripada siapa beliau menerima thariqat itu. Selain belajar, di Mekah beliau membantu saudara sepupunya Hajah Halimah mengurus jemaah haji.

DATANG KE JOHOR

Penghulu Mukim Langa bernama Haji Daud sangat tertarik pada keperibadian, keilmuan dan kerohanian yang ada pada Fadhil, maka penghulu itu berusaha memujuk ulama yang berasal dari Banten ini supaya datang ke Johor. Akhirnya hasrat Daud tercapai juga. Maka dalam tahun 1915 Masihi, Fadhil Banten sampai di Johor. Beliau mengajar di Kampung Langa, Muar. Selain pelbagai ilmu Islam yang asas seperti fardu ain, Fadhil lebih menekankan Wirid Khaujakan atau Khatam Khaujakan yang sangat terkenal dalam ajaran Thariqat Qadiriyah dan Thariqat Naqsyabandiyah.Fadhil melebarkan sayap dakwahnya bukan hanya di Kampung Langa tetapi juga termasuk dalam Bandar Maharani (Muar), Bakri, Bukit Kepong dan tempat-tempat lainnya. Pendek kata banyak surau dan masjid yang menjadi tempat beliau mengajar. Ajaran beliau dapat diterima oleh semua pihak termasuk Sultan Johor.

SULTAN JOHOR PERLU PERTOLONGAN

Perang dunia kedua meletus antara tahun 1939 hingga tahun 1945. Dalam masa darurat itulah Sultan Ibrahim, Sultan Johor merasa perlu menyelamatkan Kerajaan Johor, termasuk diri peribadi dan keluarganya dengan apa cara sekali pun. Atas nasihat beberapa insan yang arif, baginda mendekati seorang ulama sufi yang sangat mustajab doanya. Ulama yang dimaksudkan Syeikh Fadhil. Beliau tidak perlu didatangkan dari luar kerana beliau memang telah bermustautin di Johor. Baginda menitahkan Datuk Othman Buang, Pegawai Daerah Muar ketika itu untuk mencari dan menjemput ulama sufi itu datang ke istana baginda. Hajat Sultan Ibrahim itu dipersetujui oleh Syeikh Fadhil, namun walaupun sultan telah menyediakan sebuah rumah dekat dengan istana di Pasir Pelangi tetapi beliau lebih suka tinggal di Masjid Pasir Pelangi. Pada waktu malam beliau hadir di sebelah bilik peraduan Sultan Ibrahim membaca wirid untuk menjaga keselamatan sultan. Walau bagaimana pun untuk lebih mudah melakukan pelbagai amalan wirid dan munajat kepada Allah, beliau memilih masjid yang lebih banyak berkatnya dari rumah. Oleh itu Fadhil lebih banyak melakukannya di dalam masjid.

Akhirnya Sultan Ibrahim memperoleh ketenangan jiwa kerana keberkesanan dan keberkatan doa Syeikh Fadhil. Selanjutnya perang dunia kedua selesai dan baginda memberikan anugerah kepada ulama sufi tersebut. Ustaz Haji Ahmad Tunggal dalam bukunya menyebut, ``Sultan telah menganugerahkan pangkat kepada Haji Fadhil, iaitu ia dilantik sebagai Mufti Peribadi Sultan. Jawatan ini berbeza dengan Mufti Kerajaan. Mufti Peribadi adalah bertanggungjawab kepada sultan. Ia memberi nasihat dan fatwa jika dikehendaki oleh sultan.''Selain anugerah yang berupa kedudukan itu, Sultan Ibrahim juga membiayai Fadhil dan isterinya menunaikan ibadah haji, dan memberikan hadiah-hadiah yang tidak terkira besar dan banyaknya. Sumbangan yang tiada terhingga besarnya kepada Sultan Ibrahim ialah beliau telah membuka pintu kebebasan seluas-luasnya kepada Kiyai Syeikh Fadhil untuk menubuhkan kumpulan-kumpulan Wirid Khaujakan di seluruh Kerajaan Johor tanpa sebarang halangan. Berdasarkan tulisan Ustaz Haji Ahmad Tunggal, peringkat awal pembentukan kumpulan tersebut di Pontian diketuai oleh Haji Ahmad Syah. Di Batu Pahat oleh Kiyai Saleh. Di Muar oleh Haji Abdul Majid dan di Mersing oleh Haji Siraj bin Marzuki.

KETURUNAN DAN MURID

Daripada isteri yang pertama, Syeikh Fadhil memperoleh empat orang anak; seorang lelaki dan tiga perempuan. Anak lelakinya ialah Orang Kaya Penghulu Haji Abdul Hamid. Setelah isteri pertamanya meninggal dunia, beliau pindah ke Bandar Muar dan berkahwin lagi dengan seorang janda beranak dua. Kedua-duanya ialah Haji Othman bin Haji Azhari dan Haji Ali bin Haji Azhari yang meneruskan perjuangan Syeikh Fadhil. Antara murid Syeikh Fadhil ialah Sahibus Samahah Haji Ahmad Awang yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Johor. Murid dan anak tirinya, Haji Othman Azhari, dalam buku Amalan Wirid Khaujakan dan Huraiannya, pada tahun 1994 adalah sebagai Yang Dipertua Badan Kebajikan Jamaah Khaujakan, dan ramai lagi.

Daripada buku Amalan Wirid Khaujakan dan Huraiannya oleh Ustaz Ahmad Tunggal yang memperoleh pendidikan di Universiti Al-Azhar, Mesir itu banyak perkara yang dapat kita ketahui. Antaranya bahawa terasasnya Badan Kebajikan Jamaah Khaujakan yang sangat meluas di seluruh Johor adalah bermula daripada Syeikh Fadhil. Amalan Wirid Khaujakan masih subur dan berkesinambungan di Johor seperti juga di beberapa tempat lain di seluruh dunia Islam.Pada pandangan penulis, walaupun ada golongan anti amalan sufi yang menuduh bahawa orang-orang sufi mengamalkan perkara-perkara bidaah dan khurafat, tuduhan melulu seperti itu tidak berasas sama sekali kerana Wirid Khaujakan dan beberapa amalan golongan sufi selainnya juga bersumberkan al- Quran dan as-sunah.

Mereka yang beramal dengannya bukan terdiri daripada golongan awam saja tetapi juga termasuk ulama-ulama besar terkenal yang mampu membahas al-Quran dan hadis. Ia bukan diamalkan oleh orang-orang di dunia Melayu sahaja tetapi juga di tempat-tempat dalam belahan dunia. Penulis tidak sependapat dengan beberapa pandangan yang menuduh bahawa apabila beramal mengikut sufi mengakibatkan ketinggalan dalam membina kemajuan duniawi, kerana ternyata tidak sedikit golongan sufi yang menghasilkan karya, mencetuskan pemikiran yang bernas maju, menghasilkan sesuatu pemikiran baru pada setiap zaman dan lain-lain. Kebijakan Sultan Ibrahim yang memahami keadaan zaman darurat menghadapi huru-hara perang dunia kedua yang sukar diatasi dalam bentuk zahiri semata-mata, sehingga baginda memerlukan insan takwa seperti Syeikh Fadhil, patut dicontohi oleh pemimpin-pemimpin kita masa kini dan zaman-zaman yang akan datang.

Setelah kita mengetahui dalam dunia sekarang bahawa nyawa seolah-olah tiada harganya, situasi dunia yang tiada ketentuannya, termasuk dunia Melayu juga, maka patutlah umat Islam Melayu memperbanyak zikir, wirid, selawat dan lain-lain sejenisnya demi kebaikan dan ketahanan diri Muslimin dan dunia Melayu sejagat.

SYEIKH ABDUR RAHMAN SHIDDIQ AL-BANJARI

Syeikh Abdur Rahman Shiddiq Al-Banjari


MUFTI KERAJAAN INDERAGIRI

ULAMA yang diriwayatkan ini adalah keturunan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, sama dengan Tuan Husein Kedah al-Banjari yang diriwayatkan minggu lalu. Jalur keturunan dari sebelah ayahnya ialah Mufti Syeikh Haji Abdur Rahman Shiddiq bin Haji Muhammad Afif bin Haji Anang Mahmud bin Haji Jamaluddin bin Kiyai Dipa Santa Ahmad bin Fardi bin Jamaluddin bin Ahmad al-Banjari.Jalur keturunan yang menyentuh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, ulama dunia Melayu yang sangat terkenal, ialah bahawa ibunya bernama Shafura binti Mufti Haji Muhammad Arsyad bin Mufti Haji Muhammad As'ad. Ibu Mufti Haji Muhammad As'ad bernama Syarifah binti Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, iaitu daripada perkahwinan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dengan Tuan Bajut.

Dari jalur yang lain pula bahawa ibu Muhammad Afif bernama Sari binti Khalifah Haji Zainuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, iaitu daripada perkahwinan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dengan Tuan Guat.Berdasarkan catatannya sendiri yang penulis peroleh daripada keturunan beliau di Sapat dan Tembilahan, Inderagiri Hilir (1982) bahawa Haji Abdur Rahman Shiddiq lahir bulan Rabiulakhir, malam Khamis, sebelum Subuh, 1284 Hijrah/Ogos 1867 Masihi. Beliau memadamnya dan diganti dengan 1288 Hijrah/Jun/Julai 1871 Masihi. Penulis tidak sependapat dengan beberapa orang penulis yang menyebut bahawa Haji Abdur Rahman Shiddiq lahir pada tahun 1857 Masihi. Mengenainya barangkali satu kekeliruan menyesuaikan tahun 1284 Hijrah atau 1288 Hijrah ke tahun Masihi saja. Bahawa 1284 Hijrah bukan bersamaan dengan tahun 1857 Masihi tetapi yang betul ialah tahun 1867 Masihi. Catatan tambahan yang dilakukan oleh anaknya bahawa beliau wafat pada hari Isnin, jam 5.40, 4 Syaaban 1358 Hijrah/18 September 1939 Masihi, dalam usia 70 tahun.

PENDIDIKAN

Pendidikan asasnya diperoleh dari lingkungan keluarga ulama Banjar yang ada hubungan dengan beliau. Sama ada kedua-dua orang tuanya, mahu pun Abdur Rahman Shiddiq sendiri berhasrat untuk memperoleh ilmu yang banyak di Tanah Suci Mekah, namun beliau menempuh jalan yang berliku-liku. Abdur Rahman Shiddiq banyak memperoleh ilmu di alam terbuka, bumi dipijak, langit dijunjung di beberapa tempat yang dirantaunya. Mulai Banjar berlayar ke Jawa, ke Sumatera, sambil berlayar, di rantau orang mengajar dan berusaha untuk memperoleh wang untuk sampai ke Tanah Suci Mekah. Perjuangannya adalah suci untuk memperoleh ilmu memartabatkan Islam, semangatnya adalah teguh kukuh tidak akan terabai dan tergugahkan.

Sempat belajar dengan beberapa orang ulama di Padang, sambil berdagang emas dan perak di Padang. Beliau juga merantau ke daerah Tapanuli. Pernah mengajar kitab Sabilul Muhtadin, karangan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, datuk neneknya di Barus dan Natal di daerah Tapanuli. Berdasarkan catatan Abdur Rahman Shiddiq bahawa dalam musim haji tahun 1306 Hijrah yang bererti bersamaan dengan Julai 1889 Masihi barulah cita-cita Abdur Rahman Shiddiq sampai ke Mekah, dan tinggal di sana hingga tahun 1312 Hijrah/1894 Masihi.Oleh sebab Haji Abdur Rahman Shiddiq sampai di Mekah pada tahun tersebut di atas dinyatakan oleh beliau sendiri, maka penulis tidak sependapat dengan kenyataan Imran Effendy Hs dalam buku Pemikiran Akhlak Syekh Abdurrahman Shiddiq al-Banjari, halaman 16, 18 dan 63 yang menyebut bahawa Haji Abdur Rahman Shiddiq berangkat ke Mekah pada 1882/3 Masihi.

Catatan tulisan tangan Haji Abdur Rahman Shiddiq penulis miliki sejak tahun 1982 di Sapat daripada salah seorang keturunan beliau. Dalam catatan itu jelas bahawa sejak dilahirkan, catatannya berada di Padang pada 10 Zulhijjah 1305 Hijrah/18 Ogos 1888 Masihi, bahawa beliau bernama Abdur Rahman Shiddiq. Oleh sebab catatannya ditulis jauh sebelum beliau berada di Mekah, maka penulis juga tidak sependapat dengan buku di atas (halaman 18) yang menyebut bahawa gelar `Shiddiq' diberikan oleh gurunya, al-Syata (maksudnya Sayid Abu Bakri asy-Syatha) di Mekah.Sewaktu belajar di Mekah, beliau bersahabat dengan beberapa orang, di antara mereka ialah Tuan Husein Kedah al-Banjari, keturunan Banjar yang dilahirkan di Kedah ini (lahir 1280 Hijrah/1863 Masihi)usianya lebih tua beberapa tahun daripada Haji Abdur Rahman (lahir 1288 Hijrah/1871 Masihi). Sahabatnya yang lain ialah Haji Abdullah Fahim (lahir 1286 Hijrah/1869 Masihi), Tok Kenali (lahir 1287 Hijrah/1871 Masihi) dan ramai lagi. Mengenai guru-guru yang mengajar di Masjid al-Haram pada zaman itu telah banyak disebut pada siri-siri yang lalu, oleh itu tidak perlu dibicarakan lagi.

AKTIVITI

Sudah cukup jelas dan tidak perlu diragukan bahawa Haji Abdur Rahman Shiddiq pulang dari Mekah ialah tahun 1312 Hijrah/1894 Masihi. Oleh itu pendapat Imran Effendy Hs dalam bukunya (halaman 20) yang menyebut Haji Abdur Rahman Shiddiq pulang dari Mekah pada tahun 1890/1 dan pendapat Syafei Abdullah dalam bukunya Riwayat Hidup dan Perjuangan Ulama Syeikh H.A. Rahman Shiddiq, Mufti Inderagiri, menyebut tahun 1897 Masihi penulis tidak sependapat dan perlu penelitian yang lebih kemas lagi.Pulang dari Mekah terus ke Martapura, kemudian pindah ke Bangka dilanjutkan pengembaraan di seluruh Semenanjung menziarahi teman-temannya, di antaranya Tok Kenali. Beberapa sultan, di antaranya sultan Johor meminta beliau menjadi mufti , semuanya beliau tolak. Akhirnya Syeikh Haji Abdur Rahman Shiddiq membuka perkampungan sendiri yang kemudian diberi nama Parit Hidayat di Inderagiri Hilir. Di sanalah beliau membina umat membuka pengajian sistem pondok. Dalam masa kejayaannya membuka perkampungan untuk perkebunan kelapa dan pengajian itulah Syeikh Haji Abdur Rahman Shiddiq dilantik sebagai Mufti Kerajaan Inderagiri.

PENULISAN

Karya-karya Mufti Haji Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari yang telah ditemui penulis senaraikan sebagai berikut:

1. Asrarus Shalah, diselesaikan pada bulan Rejab 1320 Hijrah. Kandungannya membicarakan mengenai sembahyang. Cetakan yang pertama Mathba' Haji Muhammad Sa'id bin Haji Arsyad, Kampung Silong, Jalan Arab Street, Kedai Surat No, 82 Singapura, akhir Zulhijjah 1327 Hijrah. Cetakan selanjutnya oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1348 Hijrah/1929 Masihi (cetakan ketiga).

2. Fat-hul `Alim, diselesaikan pada 10 Syaaban 1324 Hijrah. Kandungannya membicarakan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah secara lengkap. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 28 Syaaban 1347 Hijrah/8 Januari 1929 Masihi.

3. Risalatut Tazkirah li Nafsi wa lil Qashirin Mitsli, diselesaikan pada 20 Syaaban 1324 Hijrah. Kandungannya merupakan tazkirah dan nasihat yang dipetik daripada Majmu' karangan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Cetakan pertama, Tempat Cap Haji Muhammad Amin, Singapura, 1324 H.

4. Risalah Amal Ma'rifat, diselesaikan di Sapat, Inderagiri, 8 Rabiulawal 1332 Hijrah. Kandungannya membicarakan akidah menurut pandangan tasawuf. Cetakan yang kedua, 30 Muharam 1344 Hijrah oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura.

5. Syair Ibarat dan Khabar Kiamat, diselesaikan 25 Zulhijjah 1332 Hijrah. Kandungannya menceritakan peristiwa Hari Kiamat ditulis dalam bentuk syair. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 9 Syaaban 1344 Hijrah.

6. Risalah Kecil Pelajaran Kanak-kanak Pada Agama Islam, diselesaikan 1 Safar 1334 Hijrah. Kandungannya merupakan pelajaran fardu ain untuk kanak-kanak. Cetakan yang ketiga oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1348 Hijrah/1929 Masihi.

7. Aqaidul Iman, diselesaikan di Sapat, Inderagiri, 16 Rabiulawal 1338 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang akidah. Cetakan baru oleh Toko Buku Hasanu, Jalan Hasanuddin Banjarmasin atas izin Mahmud Shiddiq, Pagatan, Kota Baru, Pulau Laut, Kalimantan Selatan, 1405 Masihi. Diterbitkan daripada salinan tulisan tangan oleh Hasan Bashri Hamdani.

8. Syajaratul Arsyadiyah, diselesaikan 12 Syawal 1350 Hijrah. Kandungannya membicarakan asal-usul Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan keturunan-keturunannya. Cetakan pertama oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura.

9. Risalah Takmilah Qaulil Mukhtashar, diselesaikan 10 Safar 1351 Hijrah. Kandungannya menceritakan tanda-tanda Hari Kiamat dan mengenai kedatangan Imam Mahdi. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, dicetak kombinasi dengan Syajaratul Arsyadiyah (103 halaman) oleh pengarang yang sama, dan Risalah Qaulil Mukhtashar fi `Alamatil Mahdil Muntazhar (55 halaman) karya Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari.

10. Mau'izhah li Nafsi wa li Amtsali minal Ikhwan, diselesaikan 5 Rejab 1355 Hijrah. Kandungannya merupakan kumpulan pengajaran akhlak. Cetakan yang pertama oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1355 Hijrah.

11. Beberapa Khuthbah Pakai Makna Karangan Jaddi as-Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya merupakan kumpulan khutbah yang pernah diucapkan oleh Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 101 Jalan Sultan, Singapura, tanpa dinyatakan tahun cetakan.

12. Majmu'ul Ayat wal Ahadits fi Fadhailil `Ilmi wal `Ulama' wal Muta'allimin wal Mustami'in, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya merupakan kumpulan hadis serta terjemahannya dalam bahasa Melayu. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1346 Hijrah/1927 Masihi.

13. Catatan, tanpa tarikh, ditulis dalam bahasa Arab dan Melayu. Kandungannya merupakan beberapa catatan Syeikh Abdur Rahman Shiddiq mulai lahir malam Khamis, sebelum Subuh 1288 Hijrah/ Jun/Julai 1871 Masihi. Wafat hari Isnin, jam 5.40, pada 4 Syaaban 1358 Hijrah/18 September 1939 Masihi, dalam usia 70 tahun. Tahun 1306 Hijrah beliau ke Mekah. Tinggal di sana hingga tahun 1312 Hijrah. Selain itu terdapat catatan kelahiran dan wafat anak-anaknya dan lain-lain.


Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SYEIKH ABDUL RAHMAN MINANGKABAU

Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah

PERKEMBANGAN thariqat shufiyah di Minangkabau sudah cukup lama. Mulai Islam masuk di Minangkabau, Thariqat Syathariyah serentak berkembang sama. Penyebar Islam yang pertama di Minangkabau ialah Syeikh Burhanuddin Ulakkan, salah seorang murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Daripada Thariqat Syathariyah ia berlanjutan dengan Thariqat Naqsyabandiyah.

Ulama yang diriwayatkan ini adalah ulama Minangkabau yang sangat memahami dan mengamalkan kedua-dua thariqat tersebut. Walau bagaimanapun, setelah wafat Syeikh Abdur Rahman al-Minankabawi dan Syeikh Ismail al-Minankabawi, terjadi pertikaian pendapat atau khilafiah mengenai 'Thariqat Naqsyabandiyah'. Pertikaian itu dimulai daripada beberapa tulisan Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif yang juga berasal dari Minangkabau tetapi mempunyai kedudukan yang tinggi sebagai imam dan khatib Mazhab Syafie di Mekah.

Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi dibantah keras oleh ulama besar lain yang berasal Minangkabau iaitu Syeikh Muhammad Sa'ad Mungka al-Minankabawi yang berasal dari Mungkar Tua, Minangkabau. Polemik antara mereka berjalan terus hinggalah kemunculan Dr. Syeikh Jalaluddin dengan 'Persatuan Pembelaan Thariqat Islam' (singkatan PPTI).
Beliau juga mendapat tentangan. Yang agak menarik ialah golongan yang menentang beliau adalah daripada lingkungan ulama Thariqat Naqsyabandiyah juga. Yang menentang ialah Syeikh Sulaiman ar-Rasuli yang termaktub dalam karya berjudul Tabligh al-Amanat fi Izalah al-Munkarat wa asy-Syubuhat. Selesai penulisan pada 19 Jumadilakhir 1373 H/23 Januari 1954 M. Dicetak oleh Mathba'ah Nusantara, Bukit Tinggi, 1373 H/1954 M.

Pendidikan

Nama lengkap ulama yang dibicarakan ini ialah Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah al-Minankabawi. Ulama ini dilahirkan pada tahun 1192 H/1777 M di Batuhampar, Payakumbuh, Sumatera Barat. Ayahnya Abdullah bergelar Rajo Baintan dan ibunya terkenal dengan sebutan Tuo Tungga. Memperhatikan nama orang tuanya, Abdullah, negeri asal dan tahun kelahirannya ada kemungkinan Syeikh Abdur Rahman ini adalah adik-beradik dengan Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi al-Minankabawi (wafat 1280 H/1863 M), ulama besar ahli Thariqat Naqsyabandiyah yang sangat terkenal yang dibicarakan sebelum ini.

Penelitian lanjut masih diperlukan. Pada sekitar usia 15 tahun Abdur Rahman belajar agama daripada seorang ulama di Galogandang, Batusangkar, juga di daerah Sumatera Barat. Dari sana, dia melanjutkan pelajarannya ke Tapaktuan, Aceh Barat, selama lapan tahun.
Kemudian, dia berangkat ke Mekah untuk melaksanakan haji dan memperdalam pelajarannya selama tujuh tahun. Dipercayai sewaktu beliau berangkat ke Mekah, pada masa itu di Mekah telah terdapat ramai ulama dunia Melayu yang terkenal di antaranya ialah Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi, Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman al-Falimbani, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain.

Dipercayai bahawa Syeikh Abdur Rahman Minangkabau pernah belajar daripada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dalam beberapa pengajian Syeikh Abdur Rahman Minangkabau bersama-sama dengan Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau menadah kitab belajar daripada ulama-ulama yang lebih tua kerana pada masa itu Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau, selain mengajar, juga belajar. Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau bertindak sebagai 'Ketua Thala'ah' (tutor) sedangkan Syeikh Abdur Rahman Minangkabau adalah di bawah kelompok tela'ahnya.

Selain belajar daripada ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu seperti yang disebut itu, Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau dan Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau juga sempat belajar daripada ulama-ulama yang berasal daripada bangsa Arab yang terkenal pada zaman itu.

Di antara mereka ialah Syeikh Utsman Dimyathi, Syeikh Muhammad Sa'id Qudsi, Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais, Saiyid Ahmad al-Marzuqi, Syeikh Abdullah Afandi dan ramai lagi.

Perbandingan ketokohan

Banyak cabang ilmu yang telah dikuasai oleh Syeikh Abdur Rahman Minangkabau. Yang paling digemarinya ialah tilawah al-Quran, sekurang-kurangnya tujuh qiraah dikuasainya dengan baik. Sebagaimana telah disebutkan, Syeikh Abdur Rahman Minangkabau juga adalah seorang penganut Thariqat Naqsyabandiyah dan merupakan seorang mursyid Thariqat Naqsyabandiyah, iaitu sama dengan Syeikh Ismail Minangkabau. Walau bagaimanapun, Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau lebih menyerlah dalam sejarah jika dibandingkan dengan Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau.

Populariti ini mungkin disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau mengajar di rumahnya di Mekah dan Masjid al-Haram Mekah, sedang Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau hanya mengajar di negerinya sendiri. Faktor lain ialah Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau menyebar ilmu dan Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah dalam kerajaan Riau-Lingga. Selanjutnya Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau membuka tempat suluk di Semabok, Melaka, Pondok Upih di Pulau Pinang dan juga membina tempat suluk di Kedah dan Perak.

Faktor lain pula, walau pun Syeikh Abdur Rahman Minangkabau juga menghasilkan karangan mengenai tasawuf, namun nama yang ditulis pada karangan hanya 'Abdur Rahman' saja, bererti belum cukup jelas. Dalam simpanan saya terdapat dua buah manuskrip karya beliau, sebuah mengenai Thariqat Syathariyah dan sebuah lagi mengenai Thariqat Naqsyabandiyah. Kedua-dua karya tersebut belum pernah diterbitkan dalam bentuk cetakan. Ini jelas berbeza dengan karya-karya Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau yang nama beliau ditulis secara lengkap. Karya-karya Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau selain dijumpai dalam bentuk manuskrip, beberapa judul karyanya juga tersebar berupa bahan cetakan.

Zawiyah Suluk

Walaupun realiti perbandingan di atas, kita tidak dapat memandang kecil peranan Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau kerana beliau telah menghabiskan waktu-waktu hidupnya belajar selama lebih 40 tahun, dan beliau pulang ke kampung halamannya, Batuhampar, pada usia lebih 60 tahun. Tak ubahnya seperti Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan beberapa ulama dunia Melayu lainnya yang pulang ke kampung halaman pada usia yang sudah sangat lanjut kerana jihad menuntut ilmu demi kemuliaan Islam.

Apabila Syeikh Abdur Rahman Minangkabau tiba di kampung halamannya, beliau segera melancarkan kegiatan dakwah dan pendidikan di lingkungan masyarakatnya yang masih sangat terbatas pengetahuan keagamaannya. Akhirnya beliau berhasil mendirikan zawiyah pendidikan menurut tradisi di Minangkabau, tak ubahnya seperti pondok di Patani atau pondok-pesantren di Jawa. Namun ada sedikit bezanya kerana di zawiyah beliau itu disediakan pula tempat untuk melakukan suluk.

Tradisi suluk di satu tempat secara dibimbing oleh seorang 'Syeikh Mursyid' sangat terkenal dalam Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah, tetapi beberapa thariqat lain tidak mempopularkan istilah itu, namun istilah yang lebih disepakati ialah 'khalwat'. Istilah 'khalwat' adalah berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang menyuruh Saiyidina Ali bin Abi Thalib Karramahullahu wajhah melakukan zikir dalam khalwat (maksudnya: melakukan zikrullah di tempat yang sepi seorang diri).

Lama kelamaan tempat suluk yang diasas dan dibimbing secara langsung oleh Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau itu dikenali dengan nama 'Kampung Dagang' kerana ramai orang pendatang menuntut ilmu ataupun bersuluk ke tempat itu. Dikatakan antara 400 hingga 1,000 orang datang belajar thariqat dan bersuluk di zawiyah Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau setiap tahun.

Generasi penerus

Apabila Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau wafat pada tahun 1317 H/1899 M, lembaga pendidikannya dilanjutkan oleh anaknya Syeikh Arsyad bin Syeikh Abdur Rahman Minangkabau. Pada masa pimpinan Syeikh Arsyad bin Syeikh Abdur Rahman Minangkabau, cabaran golongan penentang thariqat sangat dirasakan. Sebagai contoh, Syeikh Amrullah (datuk pada Prof. Dr. Hamka), adalah seorang pengamal Thariqat Naqsyabandiyah, tetapi anak beliau Dr. Syeikh 'Abdul Karim Amrullah adalah seorang tokoh pembaharuan yang menolak thariqat.
Ada orang meriwayatkan bahawa Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau selain aktif dalam bidang pendidikan dan dakwah Islam, beliau juga mempunyai beberapa orang keturunan yang aktif dalam bidang-bidang lainnya, termasuk politik. Menurut riwayat Dr. Muhammad Hatta yang dikenali di Indonesia sebagai tokoh 'Bapak Proklamator Kemerdekaan Republik Indonesia' bersama Soekarno adalah salah seorang keturunan Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau. Selain dianggap tokoh tertinggi Indonesia, Dr. Muhammad Hatta juga pernah menjadi 'Wakil Presiden Republik Indonesia' (yang pertama sewaktu Indonesia mulai merdeka). Selain itu nama beliau ditonjolkan pula sebagai 'Bapak Koperasi Indonesia'.

Pandangan

Thariqat shufiyah, termasuk Thariqat Naqsyabandiyah, atau apa pun namanya, adalah kaedah ke arah menyuburkan kerohanian dalam Islam. Oleh itu ajaran tersebut perlu dipertahan dan dikembangkan. Para ahlinya perlu memberi penjelasan kerana ada pihak-pihak tertentu yang beranggapan bahawa thariqat shufiyah adalah termasuk dalam kategori ajaran sesat. Anggapan seperti demikian perlu dijawab bahawa ajaran thariqat shufiyah adalah merupakan 'zikrullah'.
Sedangkan 'zikrullah' adalah sangat banyak disebut dalam al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. Dengan demikian perlu ditegaskan bahawa ajaran thariqat shufiyah adalah berdasarkan al-Quran, hadis Nabi s.a.w., dan ijmak ulama sejak dulu hingga sekarang.

Sejak dulu hingga sekarang, selain para ulama mengamalkan sesuatu thariqat shufiyah, dalam masa yang sama ia juga diamalkan oleh para sultan dan pembesar dalam dunia Islam termasuk sultan dan pembesar di dunia Melayu. Memperhatikan dunia yang penuh cabaran seperti sekarang ini, sangatlah perlu bagi kita, mulai rakyat jelata hingga para pemimpin yang beragama Islam, menyisihkan sedikit waktu untuk melakukan 'zikrullah'.

Marilah kita mulai melakukan 'zikrullah' di tengah-tengah kita mempercakapkan pelbagai persoalan duniawi. Perlu kita sedari bahawa yang kita percakapkan kadang-kadang ada manfaatnya, namun tiada dapat dinafikan barangkali lebih banyak yang sia-sia, melalaikan, dan merugikan. Bahkan ada yang menjadi dosa yang akan ditanggung di akhirat nanti. Kita mengharapkan mudah-mudahan para pemimpin yang beragama Islam termasuk dalam golongan ahli ibadah, ahli zikir dan betul serta tepat dalam berfikir untuk kepentingan umat.

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SAIYID UTSMAN BETAWI

Saiyid Utsman Betawi

Mufti Paling Masyhur

SAIYID Utsman Betawi seorang mufti di dunia Melayu yang paling banyak dipercakapkan orang. Realiti tersebut tidak dapat kita nafikan kerana memang banyak sebab orang bercakap mengenainya, sama ada orang yang suka mahu pun yang kontroversi. Setiap langkah kebijaksanaan seseorang ulama atau tokoh besar memang demikianlah yang akan berlaku.
Nama lengkap beliau ialah Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Umar bin Yahya al-Alawi, yang dipopularkan dengan "Habib Utsman Mufti Batawi". Lahir di Pekojan Betawi (Jakarta), 17 Rabiulawal 1238 Hijrah/2 Disember 1822 Masihi. Ibunya bernama Aminah anak Syeikh Abdur Rahman al-Mashri. Saiyid Utsman termasuk seorang ulama keturunan Nabi Muhammad s.a.w, masih asli darah Arab mengalir ditubuhnya. Beliau adalah sahabat ulama besar yang terkenal, ialah Saiyid Yusuf an-Nabhani, Mufti di Beirut.

Karangan Saiyid Utsman sangat banyak berbentuk naskhah, risalah-risalah dan kitab kecil. Kitab yang tebal kurang diketahui, namun keseluruhan karyanya, berjumlah 109 buah. Selain aktiviti mengarang, beliau adalah mufti di Betawi, di samping itu, di bidang bisnes Saiyid Utsman membuka perusahaan cetak sendiri. Dalam memutuskan sesuatu hukum Saiyid Utsman sangat tegas sekali, tanpa pandang siapapun sehingga mungkin kurang mendapat tempat dalam perkembangan kebudayaan asli di dunia Melayu, jika kebudayaan itu bertentangan dengan hukum-hukum syarak. Ini dapat dibuktikan daripada beberapa karya beliau.

Hampir semua ulama asli Jakarta yang ada sekarang merupakan pertalian daripada Saiyid Utsman turun ke murid, tidak ubah seumpama Syeikh Abdul Azhim dengan ulama-ulama Madura, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dengan ulama-ulama Minangkabau; Tok Kenali dengan ulama-ulama Malaysia dan lain-lain seumpama mereka.

Kelicikan seorang Belanda, Snouck Hurgronje kepada Saiyid Utsman mengakibatkan melunturkan namanya di kalangan ahli gerakan nasional Indonesia. Kekeliruannya dalam bidang politik, seolah-olah ia telah tertipu dengan berbagai-bagai pujuk rayu daripada sarjana Belanda itu. Tentang ini tidak saya ceritakan dalam artikel ini, kerana telah diriwayatkan oleh Mr. Hamid Alqadri dalam bukunya, C. Snouck Hurgronje Politik Belanda Terhadap Islam dan Keturunan Arab, diterbitkan oleh Sinar Harapan, cetakan pertama 1984.

Walau bagaimanapun, Saiyid Utsman tetap termasuk salah seorang yang dicurigai Belanda. Deliar Noer menulis, "Sedang Saiyid Utsman bin Yahya al-Alawi, yang disebut sebagai "seorang Arab yang berserikat dengan pemerintahan Hindia Belanda" dan yang menafsirkan perang jihad semata-mata sebagai peperangan melawan "nafsu-nafsu jahat". Jadi bukan perang fizik terhadap orang kafir, tidak mendapat kepercayaan penuh daripada kalangan Belanda. Ketika ia berdoa untuk keselamatan Ratu Belanda pada 1898, ia dituduh "mengelabui mata orang-orang Eropah dengan perbuatannya itu." (Gerakan Modern Islam di Indonesia, LP 3ES, 1997, hlm. 2).
Saya meragui tulisan Chaidar, "... terjadilah di sana yang agak meruncing di antara Syeikh Nawawi al-Bantani (ketika itu masih kanak-kanak) dengan Siayid Utsman al-Alawi." (Sejarah Pujangga Islam Syeikh Nawawi Al-Bantani, CV. Sarana Utama, 1978, hlm..60). "... bahawa ketika peristiwa itu terjadi Syeikh Nawawi al-Bantani belum dewasa lagi." (hlm. 62). Padahal Syeikh Nawawi al-Bantani lebih tua lapan tahun daripada Sayid Utsman al-Batawi. Syeikh Nawawi al-Bantani lahir tahun 1230 Hijrah, wafat 1314 Hijrah. Sedangkan Saiyid Utsman al-Batawi lahir 17 Rabiulawal 1238 Hijrah/2 Disember 1822 Masihi, wafat tahun 1333 Hijrah.
Saiyid Utsman al-Batawi ketika hidup seringkali mengadakan komunikasi melalui surat-menyurat dengan Saiyid Yusuf an-Nabhani di Beirut. Saiyid Utsman al-Batawi sependapat dalam berbagai-bagai jalan pemikiran dengan ulama Beirut yang terkenal itu, sama- sama bermazhab Syafie dan sama-sama menentang pemikiran Syeikh Muhammad Abduh dan Saiyid Rasyid Ridha, ulama pembaharuan yang muncul di Mesir itu.

Atas pengakuan Saiyid Utsman al-Batawi sendiri, bahawa beliau pernah belajar kepada ulama-ulama di Mekah iaitu; Syeikh Ahmad ad-Dimyathi, Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Saiyid Muhammad bin Husein al-Habsyi dan Syeikh Rahmatullah. Di Hadhramaut, beliau belajar kepada Saiyid Abdullah bin Husein bin Thahir, Saiyid Abdullah bin Umar bin Yahya, Saiyid Hasan al-Bahr dan lain-lain. Di Tunisia, beliau belajar kepada Syarif Muhammad bin Abdul Jawad al-Qabisi.

PENULISAN

Karya-karyanya ditulis dalam bahasa Arab, Melayu Jakarta, Jawa dan Sunda. Di antara yang dapat disenaraikan ialah;
1. Jawazu Ta'addudil Jumu'ah, ditulis tahun 1286 H.
2. Manhaj al-Istiqamah fi ad-Dini bi as-Salamah, selesai pada 5 Zulkaedah 1307 H/1890 H.
3. Mazil al-Auham wa at-Taraddud fi Amri Shalah al-Jumu'ah Ta'addud, ditulis tahun 1312 H.
4. Taftih al-Maqallatain wa Tabyin al-Mufsidin al-Makhba-ataini fi ar-Risalah al-Ma'mati bi Shulhi al-Juma'ataini, ditulis tahun 1313 H.
5. Al-Qawanin asy-Syar'iyah, ditulis tahun 1317 H.
6. Perhiasan Bagus.
7. Shifat Dua puluh.
8. Samth asy-Syuzur wa al-Jawahir fi Hilli Takhshish an-Nuzur li as-Sadah.
9. Kitab al-Faraidh.
10. Hadits Keluarga.
11. Maslak al-Akhyar.
12. Abadul Insan.
13. Iqazhuniyah fi ma Yata'allaqu bi Lahillah wa Shiyam.
14. Az-Zahrul Basim.
15. I'anah al-Mustarsyidin.
16. Thariq as-Salamah.
17. Salam al-Muslimin.
18. Terjemah Hukum Islam.
19. Sa'adah al-Anam.
20. Tamyiz al-Haq.
21. Perihal Hukum Azan.
22. Irsyad al-Anam.
23. Taftih al-'Uyun.
24. Miftah as-Sa'adah.
25. Tafsir Surah Kahfi.
26. As-Silsalah an-Nabawiyah.
27. Qamus Tiga Bahasa.
28. Qamus Kecil.
29. Hukum Gambar.
30. Hikam ar-Rahman.
31. Hadits Empat Puluh.
32. Bab al-Minan.
33. Mukhtashar al-Qamus.
34. Tujuh Faidah.
35. Dan lain-lain.

BAHASAN

Menurut riwayat, seluruh karangan Sayid Utsman berjumlah 109 judul besar dan kecil, tetapi yang terbanyak merupakan risalah-risalah kecil. Bahasan tentang karya beliau dituangkan di sini sekadarnya sahaja iaitu, yang dianggap perlu dan penting-penting saja. Terjadi peristiwa sedikit pertikaian faham antara Saiyid Utsman Betawi dengan Syeikh Ahmad Khatihb bin Abdul Lathif al-Minankabawi, pada beberapa aspek hukum mengenai solat Jumaat. Ada beberapa kitab karya kedua-duanya, yang bercorak "polemik" yang memakan waktu agak lama.

Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif Minangkabau diperkirakan umurnya jauh lebih muda dari Saiyid Utsman Betawi. Salah satu bukti bahawa Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau jauh lebih muda daripada Saiyid Utsman Betawi bahawa dalam tahun 1286 Hijrah Saiyid Utsman Betawi telah mengarang kitab, Jawazu Ta'addudi Juma'atain, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau waktu itu, baru berusia 10 tahun saja (beliau lahir pada 1276 Hijrah).
Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau menyusun sebuah kitab berjudul, Shulhul Juma'atain bi Jawazi Ta'addudil Juma'atain yang merupakan suatu penjelasan atas beberapa kesamaran sebuah kitab Saiyid Utsman Betawi yang ditulis pada 1312 Hijrah. Tulisan Syeikh Ahamad Khatib Minangkabau itu sebahagian sependapat dengan tulisan Saiyid Utsman Betawi dan di antaranya ada yang berlawanan. Tulisan Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau itu mengundang kemarahan Saiyid Utsman Betawi sehingga beliau menyusun kitab berjudul, Taftih al-Maqalatain wa Tabyin al-Mufasidatain (ditulis pada 1313 Hijrah). Untuk menyanggah kitab Saiyid Utsman Betawi itu, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau menyusun kitab berjudul, Istbat az-Zain li Shulhil Juma'atain bi Jawazi Ta'addud al-Jumu'atain fi Raddi 'alal Kitabil Musamma Taftih al-Maqalatain (ditulis pada 1313 Hijrah). Kitab-kitab polemik kedua-dua ulama besar dunia Melayu itu ditulis dengan bahasa Arab.

Sebenarnya sebelum terjadi peristiwa tersebut telah terjadi terlebih dahulu pertikaian di antara Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau dengan "Al-'Allamah Syeikh Salim bin Samir al-Hadhrami" sahabat Saiyid Utsman Betawi. Saiyid Utsman Betawi menyebut bahawa, karya beliau telah disambut dan diakui oleh beberapa ulama besar yang terkenal, iaitu selain Syeikh Nawawi al-Bantani dan Syeikh Junaid Betawi terdapat nama-nama Syeikh Muhammad Sa'id Ba Bashail, Mufti Syafi'iyah di Mekah, Saiyid Ahmad bin Zainal Dahlan Mufti Syafi'iyah Mekah, Saiyid al-Allamah Abdur Rahman bin Muhammad al-Masyhur, penyusun kitab fikah terkenal berjudul, Bughyatul Mustarsyidin, pujiannya atas kitab Saiyid Utsman Betawi judul, I'ahatul Mustarsyidin dan al-'Allamah as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi. Satu fenomena yang aneh, kerana semua ulama yang membenarkan karangan Saiyid Utsman Betawi adalah para guru Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau.

Karya

Dalam karyanya berjudul, a-Qawanin asy-Syar'iyah li Ahli al-Majalis al-Hukmiyah wa al-Iftaiyah (ditulis pada 1317 Hijrah) banyak juga perkara yang belum pernah dibahas oleh ulama dunia Melayu sebelumnya. Di- antaranya, Saiyid Utsman Betawi mengemukakan pedoman untuk memilih perkara-perkara 'yang muktamad dan 'yang tidak muktamad' menurut Mazhab Syafie, contohnya: 1. Qaul (pendapat, pen:) yang muktamad dalam Mazhab Syafie, iaitu yang dii'timadkan (diperpegangi) oleh Imam an-Nawawi dan Imam ar-Rafie. 2. Jika kedua-duanya bertikai, maka yang muktamad ialah pendapat Imam an-Nawawi. 3. Jika ada qaul yang disebut oleh salah seorang daripada kedua-duanya, maka itu juga dihitung muktamad. 4. Jika tidak terdapat qaul daripada kedua-duanya, maka yang muktamad ialah mengikut 'Ahli at-Tarjih'.
5. Jika bertentangan satu sama lain yang dikarang oleh Imam Nawawi sendiri, maka yang muktamad adalah yang dikarang terkemudiannya. Sebagaimana tertib satu-satunya Tahqiq, Majmu', Tanqih, Raudhah Minhaj dan lain-lain.

Demikian pula didahulukan qaul yang mufakat pada banyak kitabnya atas yang mufakat pada yang sedikit. Dan didahulukan qaul yang tersebut di 'Bab'nya atas yang tersebut pada bukan 'Bab'nya. 6. Sekalian qaul muktamad Imam Nawawi dan Imam Rafie, iaitu yang dii'timadkan oleh Syeikh Ibnu Hajar di dalam Tuhfah dan Syeikh ar-Ramli di dalam Nihayah. Tuhfah dan Nihayah dipandang yang paling muktamad daripada lainnya. 7. Jika bersalahan kitab Ibnu Hajar sendiri, maka didahulukan Tuhfah, kemudian Fath al-Jawad, kemudian al-Imdad, kemudian, Fatawa, dan seterusnya kitab-kitab yang lain.

Pada fasal yang kelima al-Qawanin asy-Syar'iyah, Saiyid Utsman Betawi memperkenalkan aturan mengenal susunan-susunan Minhaj dan Tuhfah.

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH