Showing posts with label Tareqat Qadiriah. Show all posts
Showing posts with label Tareqat Qadiriah. Show all posts

Aug 24, 2009

AHMAD KHATIB SAMBAS

Syeikh Ahmad Khatib Sambas


MURSYID THARIQAT QADIRIYAH

KESOHORAN Syeikh Ahmad Khathib Sambas di kalangan pengamal Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, sama ada peringkat Nusantara mahu pun antarabangsa pada zamannya tidak dinafikan. Sekurang-kurangnya terdapat dua buah kitab yang ditulis dalam bahasa Arab oleh orang Arab, menceritakan kisah ulama-ulama Mekah dan nama Syeikh Ahmad Khathib Sambas juga terdapat di dalamnya. Kitab yang pertama, Siyar wa Tarajim, karya Umar Abdul Jabbar.


Kitab kedua, Al-Mukhtashar min Kitab Nasyrin Naur waz Zahar, karya Abdullah Mirdad Abul Khair yang diringkaskan oleh Muhammad Sa'id al-'Amudi dan Ahmad Ali. Kita sangat berterima kasih kepada kedua-dua penulis Arab itu, walau bagaimanapun ketepatan data dan fakta termasuk tahun lahir dan wafatnya perlu ditinjau kembali.Nama lengkapnya ialah Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar bin Abdullah bin Muhammad as-Sambasi. Lahir di Kampung Dagang, Sambas. Tarikh lahirnya hanya disebut oleh Umar `Abdul Jabbar, ialah pada bulan Safar 1217 H (kira-kira bersamaan 1802 M, pen:), tidak terdapat tulisan lainnya.

Wafatnya di Mekah tetapi terdapat perbezaan pendapat mengenai tahun kewafatannya antara Umar Abdul Jabbar dengan Abdullah Mirdad Abul Khair. Abdullah Mirdad Abul Khair menyebut bahawa Syeikh Ahmad Khathib wafat tahun 1280 H (kira-kira bersamaan 1863 M, pen:), tetapi menurut Umar Abdul Jabbar, pada tahun 1289 H (kira-kira bersamaan 1872 M, pen:). Tahun wafat 1280 H yang disebut oleh Abdullah Mirdad Abul Khair sudah pasti ditolak, kerana berdasarkan sebuah manuskrip Fat-h al-'Arifin salinan Haji Muhammad Sa'id bin Hasanuddin, Imam Singapura, menyebut bahawa ``Muhammad Sa'ad bin Muhammad Thasin al-Banjari mengambil tariqat daripada gurunya, Syeikh Ahmad Khathib yang tersebut itu di dalam negeri Mekah al-Musyarrafah di dalam halwatnya, dan khatamnya pada hari Arba', yang ketujuh hari dari bulan Zulhijjah sanah 1286 Hijrah''. Jadi bererti pada 7 Zulhijah 1286 H, Syeikh Ahmad Khathib Sambas masih hidup. Oleh itu Syeikh Ahmad Khathib Sambas wafat tahun 1289 H yang disebut oleh Umar Abdul Jabbar menepati yang sebenarnya.

KEMUNCAK KEMASYHURAN

Manusia menjadi terkenal kerana berbagai-bagai sebab, Syeikh Ahmad Khathib Sambas terkenal kerana beliau sebagai Mursyid Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah. Pada zamannya, di Mekah tentang tariqat itu, Syeikh Ahmad Khathib Sambas merupakan Syeikh Mursyid yang teratas sekali. Ia bukan sahaja bagi masyarakat dunia Melayu, tetapi juga diakui oleh ulama-ulama dunia luar. Sepanjang sejarah perkembangan Tariqat Qadiriyah di dunia Melayu dari dahulu hingga sekarang memang tidak dapat dinafikan bahawa tokoh yang terbesar dan paling berkesan bagi ulama-ulama Jawi/Nusantara dalam penyebaran Tariqat Qadiriyah itu ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Nama beliau juga dikenal di Uzbekistan, kerana salah seorang murid beliau bernama Syeikh Abdul Murad, adalah seorang ulama Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang menerima tawajjuh kedua-dua tariqat itu daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas.
FAT-HUL 'ARIFIN

Fat-hul `Arifin termasuk salah satu istilah yang banyak dibicarakan di kalangan sufi. Tetapi yang dimaksudkan di sini ialah sebuah risalah atau kitab yang berasal daripada imlak Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Imlak tersebut ditulis oleh beberapa orang muridnya, dan yang sempat diterbitkan hanyalah versi catatan Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim al-Bali. Manuskrip Fat-hul `Arifin yang dinisbahkan kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas, yang ada pada penulis ialah: 1. Judul Silsilah Tariqat Qadiriyah wan Naqsyabandiyah yang dicatat oleh Abdul Hakim ibnu Marhum Lebai Abdul Kari Sambas, Kampung Asam.

Naskhah ini merupakan satu-satunya yang ditulis oleh orang yang berasal dari Sambas sendiri. 2. Manuskrip tanpa judul, hanya dinyatakan ``Talkin, zikir dan bai'ah tariqat yang diijazahkan oleh guru kita Maulana asy-Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar Sambas yang di dalam negeri Mekah al-Musyarrafah kepada sekalian muridnya''. Pada manuskrip ini dimulai nama pencatatnya bernama Haji Muhammad Sa'id bin Hasanuddin, Imam Singapura, bahawa beliau ``... mengambil talkin, dan bai'ah, dan tawajjuh, serta ijazah daripada gurunya Sayid Muhammad bin Ali al-'Aidrus. Dia mengambil daripada Sayid Ja'afar bin Muhammad as-Saqaf Pontianak, mengambil daripada Muhammad Sa'ad bin Muhammad Thasin al-Banjari mengambil daripada Syeikh Ahmad Khathib... ``

Manuskrip ini ditulis tahun 1286 H dan selanjutnya disalin oleh Sayid Ahmad bin Ismail al-'Aidrus pada hari Khamis, 4 Zulhijah 1293 H/21 Disember 1876 M, diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M. 3. Fat-hul `Arifin, naskhah yang ditulis oleh Haji Muhammad bin Syeikh Abdus Samad al-Kalantani diselesaikan pada tahun 1294 H/1877 M. Dalam manuskrip ini dikombinasikan dengan Tariqat Syathariyah.Tiga versi yang tersebut di atas merupakan manuskrip yang pernah diterbitkan iaitu versi catatan Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim al-Bali, beliau selesai menulis kembali setelah diteliti dan bersih daripada corat-coret pada bulan Rejab 1295 H/Julai 1878 M.

Naskhah tersebutlah yang ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, kemudian dicetak pertama kalinya oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah Mekah, 1305 H/1887 M, yang diterbitkan itu diberi judul Fat-hul `Arifin.Walaupun Syeikh Ahmad Khathib Sambas sebagai seorang tokoh sufi, namun selain ditonjolkan karya tasawuf Fat-hul `Arifin, beliau juga menghasilkan karya dalam bidang ilmu fikah. Penulis juga memiliki manuskrip fikah karya beliau, iaitu Fatwa Syeikh Ahmad Khathib Sambas Perihal Jumaat. Naskhah tulisan tangan itu dijumpai tahun 1986, bekas koleksi Haji Manshur yang berasal dari Pulau Subi, Kepulauan Riau.

Kandungan naskhah selain membicarakan masalah Jumaat terdapat pula fatwa beliau mengenai hukum penyembelihan secara Islam. Pada bahagian akhir naskhah terdapat pula suatu nasihat beliau yang panjang, kemudian ditutup dengan beberapa amalan wirid beliauselain amalan Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah. Sebuah karya (judul yang sebenar tidak terdapat) yang membicarakan fikah mulai taharah, sembahyang dan pengurusan mayat. Manuskrip tanpa dinyatakan tarikh, hanya terdapat tahun penyalinan dinyatakan ``... Hari Khamis, 11 Muharam 1281 H oleh Haji Ahmad ibnu al-Marhum Penggawa Nashir ahli al-Kayung jama'ah Tuan Syeikh Ahmad Khathib Sambas di Mekah al-Mukarramah ...'' Manuskrip di atas diperoleh di Kampung Mendalok, Sungai Kunyit, Kabupaten Pontianak, Kalimantan Barat, pada 6 Syawal 1422 H/20 Disember 2001 M.

MURID MURID NYA

Besar nian pengaruh Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang bersumber daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas di dunia Melayu, melebihi tokoh-tokoh penyebar Tariqat Qadiriyah seperti Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri dan lain-lainnya yang lebih dahulu. Di Jawa misalnya, dapat kita semak pada beberapa lembar tulisan Zamakhsyari Dhofier dalam bukunya Tradisi Pesantren, beliau menyebut, ``Dalam abad ke-19, organisasi-organisasi tariqat di Jawa memperoleh semangat dan dukungan baru daripada masyarakat. Hal ini disebabkan oleh kedatangan para pengikut Syeikh Ahmad Khatib Sambas dan Sulaiman Effendi dari Mekah''. Seterusnya, ``Namun yang cukup menarik ialah di Jawa Syeikh Ahmad Khatib Sambas dikenal sebagai pendiri suatu tariqat baru, Tariqat Naqsyabandiyah''.

Selanjutnya, ``Kedudukan Syeikh Ahmad Khatib sebagai seorang sarjana Islam perlu kita sedari betul-betul ...''. Selanjutnya, ``Adalah suatu hal yang penting bahawa seorang sarjana besar seperti Syeikh Sambas, kepada siapa hampir semua kiyai di Jawa menelusuri penealogi intelektual mereka juga dikenal sebagai seorang pemimpin tariqat''.Kalau demikian yang diperkatakan, sekarang mari kita menjejaki kemantapan sistem pengkaderan yang dilakukan kepada murid-muridnya. Salah seorang muridnya bernama Syeikh Zainal Abidin yang berasal dari Kelantan diutus oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas ke Kalimantan Barat sebagai `Ketua Khalifah' di sana. Jadi bererti murid-muridnya yang lain, yang semuanya berasal dari Kalimantan Barat, adalah di bawah pengawasan Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani.

Selanjutnya semua mereka disuruh supaya mendalami pelbagai ilmu kepada ulama yang berasal dari Kelantan itu. Kebenaran untuk mentawajjuh/ membai'ah sekali-kali tidak dibenarkan kepada murid-murid yang lain selagi Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani masih hidup, atau selagi beliau masih berada di Kalimantan Barat. Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani meninggal dunia di Kampung Sebedang, Sambas.Yang dilantik oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas sebagai khalifahnya di Mekah ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani, beliau mempunyai murid yang ramai sesudah Syeikh Ahmad Khatib Sambas. Untuk di Jawa terdapat tiga orang wakil khalifah, iaitu: Di Jawa Timur, Syeikh Ahmad Hasbullah bin Muhammad al- Manduri (Madura) dan lain-lain. Di Jawa Tengah, Syeikh Zarkasyi Barjan, Porwajo Syeikh Ibrahim Berumbung.

Di Jawa Barat, Syeikh Asnawi Banten dan lain-lain.Murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang bernama Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim berasal dari Pulau Bali. Beliau juga diberikan kebenaran mentawajjuhkan. Salah seorang muridnya yang menjadi ulama besar ialah Tuan Guru Haji Abdur Rahman yang berasal dari Ambon. Murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang bernama Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir berasal dari Sarawak. Di antara muridnya ialah Haji Muhammad Arsyad bin Abdur Rahman Pontianak. Murid Haji Abdul Lathif yang berasal dari Sarawak yang menjadi ulama besar, mengajar di Masjidil Haram, Mekah, ialah Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab as-Sarawaqi.

Tetapi selanjutnya Syeikh Utsman Sarawak ini menerima tawajjuh Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah sekali lagi daripada Syeikh Abdul Karim al-Bantani di Mekah.Masih banyak kisah murid-murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang belum sempat disebutkan di sini, penulis menyimpulkan saja bahawa institusi pengajaran Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang bersumber daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas yang masih kekal sampai sekarang ialah daripada muridnya yang bernama Syeikh Abdullah Mubarak. Pondok Pesantren yang beliau dirikan 7 Rejab 1323 H/ 5 September 1905 M masih kekal sam-pai sekarang, bahkan terkenal di seluruh Indonesia dan Malaysia. Sistem pelajaran Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang berasal daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas itu dikembangkan dengan penyesuaian pada zaman moden.

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Aug 13, 2009

NASIHAT SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI

Alhamdulillah,akhirnya selesailah saya membaca dan menghayati mutiara kata dan nasihat-nasihat daripada Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani ini. Buku ini saya dapatkannya dari Perpustakaan Sultanah Zanariah UTM. Pada mulanya, perancangan ialah ingin mencari buku berkaitan aliran Tariqat, tetapi apabila terjumpa buku ini, hati ini tertarik rasanya ingin membacanya kerana Syeikh Abdul Qadir adalah ahli sufi yang amat terkenal didunia islam.

Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani atau nama sebenar beliau ialah Muhyiddin Abu Muhammad Abdul Qadir. Beliau adalah keturunan Rasulullah SAW melalui puteri Baginda Siti Fatimah Al-Zahra. Beliau adalah seorang ahli sufi yang tidak asing lagi di dunia islam, sehinggakan terdapat satu aliran Tariqat yang diasaskannya iaitu Tarikat Qadariah. Tulisan, nasihat dan buah fikiran beliau berkenaan dengan ketuhanan dan tasawuf sentiasa mendapat perhatian dan menjadi rujukan walaupun ianya telah berlalu lebih kurang 900 tahun yang lampau. Sama-samalah kita hayatinya dan semoga kita semua dapat mengambil sedikit pengajaran daripada tulisan ini.

TUNDUKKAN NAFSUMU SEBELUM ENGKAU DITUNDUKKANNYA.
(disampaikan di Madrasah al-Ma’murah,hari Ahad pagi,3 Syawal 545 H)

Sesungguhnya, siapa yang ingin memperbaiki dirinya, maka hendaklah dia berlatih memerangi nafsunya, sehingga dirinya bebas daripada cengkaman nafsu kerana seluruh nafsu itu mengajak kepada kejahatan.

Hai pemuda…! Nasihatilah dirimu sendiri terlebih dahulu sebelum kamu menasihati orang lain.
Janganlah engkau berlebih-lebihan dalam menasihati orang lain sedangkan dalam dirimu sendiri masih bersemayam sesuatu yang engkau perlu perbaiki
Celakalah engkau…! Sekiranya engkau tahu bagaimana membersihkan orang lain, sedangkan engkau buta untuk membersihkan dirimu sendiri. Bagaimana seorang yang buta dapat memimpin orang lain.

“Wahai hati…! Wahai roh…! Wahai manusia..! Wahai jin…! Wahai orang-orang yang berharap kepada Maha Raja..! Marilah kita ketuk pintu Maha Raja. Bersegeralah kamu kepada-NYA dengan tapak hatimu, dengan tapak takwa dan tauhid kamu, makrifat dan kewarakan kamu yang tinggi, kezuhudan kamu di dunia, di akhirat dan didalam sesuatu selain daripada yang berkaitan secara langsung dengan Tuhanmu”.

Ketahuilah…! Bahawa taubat itu adalah pusat kekuasaan dan menyesali segala perbuatan. Tanggalkanlah baju kederhakaanmu itu dengan taubat yang tulus ikhlas. Jika engkau bertaubat, hendaklah taubat itu lahir dari hatimu, bertaubatlah engkau zahir dan batin.

SEGERA MENCAPAI PINTU TAUBAT
(Ahad,10 Syawal 545 H)
Sabda Rasulullah SAW :
“Barangsiapa yang dibukakan pintu kebaikan, maka hendaklah dia mencapainya, kerana sesungguhnya ia tidak mengetahui, bila pintu itu akan tertutup baginya”
Wahai pemuda. “Bertaubatlah kamu. Bukankah kamu telah melihat, bahawa Allah akan menguji kamu dengan berbagai dugaan hingga kamu bertaubat…? Sementara engkau tidak berfikir, mlahan engkau bertahan dalam kederhakaanmu itu.

-SAQJ berkata : “Tetaplah engkau untuk sentiasa redha dengan Allah, dalam keadaan petaka atau sengsara, dalam keadaan miskin atau kaya, dalam keadaan susah atau senang, dalam keadaan sihat atau sakit, dalam keadaan buruk atau baik, ketika memperoleh yang engkau kehendaki atau tidak. Aku tidak tahu ubat apa yang sesuai untukmu, selain daripada menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah yang Al-Haq. Jika dia menetapkan sesuatu yangmerugikan kamu, janganlah kamu benci kepada-NYA serta jangan pula kamu menjauhkan diri daripadanya.Kerana semua itu adalah ujian dan cubaan terhadapmu.

-jika sedar dan berubah,pasti Allah menukarkan kegelisahmu dengan ketenangan dan jiwamu akan menjadi tenang,tenteram dalam mentauhidkan-Nya.

Jika Al-Haq menghendaki agar hambanya menjadi baik, maka Dia akan memberikan Hidayah, mengajar mereka, mengawasi mereka, menerangi mereka, memberikan kesempatan kepada mereka, mendekatkan mereka kepada-Nya dan memberikan sinar kedalam hati mereka.

Celakalah kamu, kamu membaca dan menghafal sunnah Rasulullah, tetapi kamu tidak mengamalkannya. Engkau menyuruh manusia mengerjakan kebaikan sedangkan engkau sendiri tidak melakukannya.
Seperti Firman Allah SWT dalam surah Al-Shaf ayat 3 yang bermaksud :
“Sebesar-besar kebencian Allah, ialah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan”

Sesiapa yang telah beramal sehingga kemudian mereka mencapai satu kedudukan(maqam) dimana tiada lagi perintah ataupun larangan. Tidak henti-henti mereka menyendiri(khalwat) bersama ALLAH. Kerana meninggalkan ibadah-ibadah wajib, bermakna seorang itu telah jatuh Zindiq. Tidak ada kewajipan yang gugur dari seseorang, walau dalam keadaan bagaimana juapun dia, atau apa pun tahap dan maqamnya.

Wahai kaumku, Ambillah nasihat dari Al-Quran itu dengan mengamalkannya, bukan dengan mendiskusi, memperdebat, atau menseminarkannya.

“Tidak akan ada kebahagiaan di hatimu, apabila disana bersemayam sesuatu selain Allah, bahkan seandainya kamu sujud selama seribu tahun diatas bara api sekalipun, sementara hatimu kepada selain Allah, maka hal itu tidak bermanfaat kepadamu.

Hati..! Hatilah yang beriman…! Hatilah yang mengesakan Allah…! Hatilah yang memurnikan aqidah..! Hatilah yang ikhlas…! Hatilah yang bertakwa…! Hatilah yang memelihara diri daripada yang Haram dan Syubhat…! Hatilah yang yakin…! Hatilah yang zuhud…! Hatilah yang arif…! Hatilah yang beramal…! Hatilah yang memimpin seluruh tubuh manusia, sementara seluruh anggota adalah anggota pasukan dan pengikutnya. Oleh itu, jika kamu ingin menyucapkan LAILA HAILLALLAH, maka lebih dulu hendaklah kamu ucapkan dengan hatimu, kemudian kamu iringinya dengan lidah.

Jihad Batin – Lebih berat dari jihad zahir kerana jihad batin adalah satu jihad yang berterusan. Bermaksud memutuskan semua kehendak dan dorongan hawa nafsu untuk melakukan perkara-perkara yang terlarang serta mengekang keinginan terhadapnya.

Wahai hamba…! Setiap yang engkau pandang sebagai kebaikan dan engkau mencintainya, maka cintamu itu adalah bukan cinta yang sejati. Engkau sedang terpedaya. Cinta yang hakiki adalah cinta yang tidak berubah, iaitu cinta kepada Allah, yakni cinta yang engkau lihat dengan dua mata hatimu, iaitu cinta para Al-Shiddiqin Ruhaniyyin. Mereka tidam menyintai dengan keimanan mereka, tetapi dengan keyakinan dan mata hati mereka. Terbukalah hijab yang menyelubungi mata hati mereka, sehingga mereka mampu melihat apa yang ada di alam ghaib, melihat sesuatu yang tidak mungkin bagi mereka untuk menjelaskannya.

Seorang yang berzuhud dan berada pada tahap permulaan, mesti menghindarkan diri daripada semua manusia dan orang-orang fasiq yang melakukan maksiat. Tetapi setelah mencapai tahap kesempurnaan, dia tidak akan menghindarkan,diri bahkan dia akan mencari mereka kerana penawar mereka itu ada padanya. Kerana apabila seseorang itu telah mengenal Allah, dia tidak akan menghindar dari sesuatu apapun dan tidak akan takut selain daripada Allah. Barangsiapa yang sudah sempurna ma’rifatnya kepada Allah, maka ma’rifat itulah yang akan menjadi pemandu baginya.

Seseorang bertanya kepada Syeikh bagaimana untuk mengeluarkan cinta kepada dunia.
“Hendaklah engkau melihat dengan kedua-dua mata hatimu kepada cacat-cela dunia ini. Perangilah hawa nafsumu hingga ia menjadi tenang. Jika nafsumu telah tenang, maka engkau akan mampu melihat cacat-cela dunia ini dan kamu akan bersikap zuhud terhadap dunia ini. Ketenangan itu akan wujud jika engkau memandang dari hati dan menyesuaikannya dengan bisikan batinmu.

“Jika engkau menginginkan kema’rifatan kepada Allah, maka engkau redhalah dengan qada dan qadar-Nya, dan janganlah engkau jadikan nafsu, syahwat, perangai, dan keinginanmu sebagai sekutu bagi-Nya dalam kedua-dua hal tersebut.”

Ketahuilah bahawa para guru amal dan guru ilmu akan menunjukkan engkau jalan menuju Allah. Langkah tahap pertama ialah dengan perkataan, dan pada tahap kedua ialah dengan mengamalkannya. Dengan cara ini, engkau akan bertemu dengan Allah.

Beramallah engkau kepadanya dan janganlah engkau mengharapkan pahala yang banyak. Beramallah dengan tujuan untuk mencapai dan meraih keredhaannya serta kedekata kepadanya. Pahala adalah keredhaan-Nya kepadamu dan kedekatanmu kepada-Nya dunia dan akhirat.

Peringkat pertama ialah engkau belajar kepada makhluk berkenaan hokum. Kemudian pada peringkat kedua hendaklah engkau belajar dari Khaliq mengenai ilmu Ladunni, Yakni ilmu-ilmu yang khusus untuk hati dan batin. Oleh itu carilah guru yang mursyid, kerana engkau tidak dapat belajar tanpa guru.

Barangsiapa di antara kamu yang ingin menghidupkan hatinya, maka hendaklah dia membiasakan berzikir kepada Allah didalam hatinya itu dan hendaklah dia merasakan ketenteraman bersama-Nya.Wahai hamba…! Berzikirlah engkau kepada Allah dengan hatimu sebanyak seribu kali dan dengan lisanmu sekali.

Berzikir yang dilakukan hanya dengan lisan tanpa menggunakan hati, tidak memberikan kemuliaan kepadamu. Zikir adalah zikir hati dan zikir batin, kemudian zikir lisan. Berzikirlah kamu kepada-Nya, sehingga zikir itu melebur dosa-dosamu, dengan demikian engkau tidak menanggung dosa sama sekali.