Kitab Fiqh Mazhab Yang Empat |
1)Tersebut didalam “KITABUL FIQH ALA MAZAHIBIL ARBAAH” (Kitab fiqh bagi 4 mazhab) bagi Syeikh Abdul Rahman AL-JAZAIRI dalam bahasa Arab. Juzu 1 (Kitabus Solah) dari 7 juzu .
MengQada solat yg difardukan yang mana telah luput(ditinggalkan), Wajib diQada dengan segera. Sama ada luput dengan uzur atau luput dengan ketiadaan uzur. Tidak harus melambatkan Qada melainkan dengan ada keuzuran seperti bekerja mencari rezeki dan mencari ilmu yang wajib atasnya(fardhu ain). Dan tidaklah terangkat(hilang) dosa tinggal solat dengan hanya bertaubat sahaja. Tidaklah bermakna solat yg ditinggalkan dahulu itu tidak perlu diambil kira. Cuma menuju kehadapan sahaja. Lalu bersungguh-sungguhlahlah dia melaksanakan solat sunat dan ibadah sunat.
Dari sudut Mazhab Syafi’e
HARAM atas orang yang ada diatasnya sembahyang Qada yang mana wajib atasnya mengQada sembahyang itu dengan segera bahawa dia menyibukkan diri dengan sembahyang sunat Mutlak (apa jua sembahyang sunat), sama ada solat sunat Rawatib atau yang lainnya (sembahyang raya,terawih) hinggalah lepas tanggungannya daripada sembahyang Qada.
Dari sudut Mazhab Hambali
Haramlah diatas orang yang diatasnya itu ada sembahyang Qada bahawa dia sembahyang solat MUTLAK. Kalaulah solat ia,tidak akan terikat (tidak sah). Jika solat yang berkait seperti Solat Rawatib dan Witir maka harus baginya. Akan tetapi yang terutama baginya tinggalkan sembahyang sunat, buat sembahyang Qada.
Dari sudut Mazhab Maliki
HARAM diatas orang yang diatasnya ada sembahyang Qada bahawa ia sembahyang sesuatu daripada sembahyang sunat melainkan Sunat Fajar(subuh),Witir dan Sunat Raya. Maka apabila dia sembahyang sunat selain dari yang ini seperti sunat Tarawih adalah ia diberi pahala dari sudut diri sembahyang(suatu ketaatan) dan BERDOSA dari sudut arah melambatkan Qada. Maliki meringankan sedikit bagi Sunat Tahiyatul Masjid dan sunat Rawatib.
Dari Sudut Mazhab Hanafi
Menyibukkan sembahyang sunat tidak menafikan segera sembahyang Qada. Hanya sesungguhnya yang terutamanya perlu sibuk dengan Sembahyang Qada yang luput dan tinggalkan solat sunat melainkan sunat Rawatib,Dhuha,Tasbih,Tahiyatul Masjid,4 rakaat selepas zohor dan 6 rakaat selepas maghrib.
Pesan Guruku, yang dikatakan boleh sembahyang sunat oleh Mazhab yang selain Syafi’e ialah jika ia dibuat bersama dengan sembahyang Qada . Jika sunat Tarawih 20 rakaat,perlu sembahyang Qada juga 20 rakaat. Mana munasabah jika Tarawih 20 rakaat,sembahyang Qada 2 rakaat sahaja bahkan ada juga yang tidak membuat sembahyang Qada.
2) Tersebut juga didalam kitab “KASYFUL LISAM” diterjemah dari versi arab oleh Alalim Alalamah Syeikh Zainul Abidin Ibnu Muhammad Fathani, dan pengarang asalnya memindah masalah2 itu daripada kitab2 yang besar seperti TUHFAH bagi Ibnu Hajar, NIHAYAH bagi Ramli, dan SYARAH MINHAJ bagi Mahalli. Didalam juzu 2 (ms 22, 7 baris dari pihak bawah) dicetak di Darul Ihya Al-Kitab, Kaherah,Mesir.
Masalah – Ditanya tentang seseorang yang ada atasnya beberapa sembahyang fardhu yang luput dengan tiada uzur, maka bercita-cita ia hendak Qada selepas bulan Ramadhan dan ia hendak mengerjakan didalam bulan Ramadhan itu Sunat Tarawih. Adakah boleh ia lambatkan Qada’ nya sebab azamnya hendak Qada selepas Ramadhan.
Jawabnya – Wajib mengQada’kan solat dengan segera dan tiada harus ia berbuat TARAWIH dan sunat lainnya. Kecuali sebab tinggal solat itu dengan uzur. Jika ditinggalkan tanpa uzur(sengaja) tidak boleh dilambatkan Qada’nya, perlu disegerakan.
3)Tersebut juga didalam kitab Al-Hujaj Al-Qath’iyyah Fii Shihhah Al-Mu’taqadaat Wa Al-Amaliyyaat Al-Nahdhiyyah dalam bahasa arab dan FIQH TRADISIONALIS(bahasa indon) oleh KH Muhyiddn Abdusshomad, pengasuh Pesantren Nurul Islam(NURIS) Antirogo Jember.
Sila rujuk Hadis dari:
Diriwayatkan dari Anas RA, ia berkata Rasulullah SAW telah bersabda, “Apabila salah seorang dari kamu tertidur atau lupa sehingga meninggalkan solat, maka solatlah kamu ketika ingat.Kerana Allah SWT berfirman “tegakkan Solat untuk mengingati-KU”.”Kitab SHAHIH MUSLIM (no hadis 1104)
Dalam hadis lain,Dari Anas bin Malik, dari Rasulullah SAW bersabda “barangsiapa yang lupa(sehingga) sehingga meninggalkan solat, maka hendaklah ia mengerjakan solat itu manakala ia telah ingat”. Kitab SHAHIH AL-BUKHARI (no hadis 562)
Dua hadis diatas menjelaskan bahawa yang wajib mengQada’kan solat hanya orang yang meninggalkan solat kerana tidak sengaja. Sedangkan orang yang meninggalkan solat tanpa ada uzur seakan-akan tidak wajib mengganti solatnya.Tetapi sebenarnya maksud Hadis tersebut tidak seperti itu. Orang yang sengaja tidak melaksanakan solat juga berkewajipan untuk mengQada’kan solatnya. Sebagaimana yang dikatakan oleh IMAM NAWAWI dalam kitabnya:
“Sabda NABI SAW, “Barangsiapa yang lupa melakukan solat,maka hendaklah mengerjakannya manakala ia ingat”. Hadis ini menunjukkan kewajipan mengQada’kan solat yang ditinggalkan,baik kerana ada uzur misalnya tidur atau lupa atau tanpa keuzuran. Hadis ini (sengaja) membatasi dengan kata “nisyan(lupa)” kerana ada tujuan dan maksud tertentu. Iaitu untuk memberitahu bahawa jika orang yang meninggalkan solat kerana uzur masih wajib mengQada’kan solatnya, maka apatah lagi orang yang meninggalkan solatnya tanpa alasan yang dibenarkan, tentu mereka lebih wajib mengQada’kan solatnya. Masalah dalam Hadis ini termasuk pada perbahasan “menyebut sesuatu yang lebih rendah, tapi dimaksudkan sebagai peringatan kepada perkara yang lebih tinggi (al-tanbih bi al-adna ‘ala al-a’la). SYARAH AL-NAWAWI ALA MUSLIM, juzu 5,ms 183
Disamping itu,solat merupakan kewajipan seorang muslim kepada Allah SWT. Apabila tidak dilaksanakan,berarti seseorang mempunyai kewajipan hutang yang harus dibayarkan kepada ALLAH SWT. Sebagaimana Hadis Nabi SAW.
Dari Ibnu Abbas RA, beliau berkata “suatu hari seorang laki-laki mendatangi Rasulullah SAW. Dia bertanya, “Wahai Rasulullah,ibu saya telah meninggal dunia dan dia mempunyai hutang puasa.Apakah boleh saya menggantikannya?. Rasulullah SAW menjawab, “Ya Boleh,sebab hutang kepada ALLAH SWT lebih berhak untuk dilunaskan”. Kitab SHAHIH AL-BUKHARI (no hadis 1817)
Dapat kita ketahui bahawa betapa solat 5 waktu itu Wajib dikerjakan. Dalam keadaan apapun ia ditinggalkan, maka harus diganti. Bahkan jika ditinggalkan dengan sengaja tanpa alasan yang dibenarkan, ia wajib segera menggantikan solat yang ditinggalkan itu, dan lagi tidak dibenarkan mengerjakan perbuatan lain, meskipun perbuatan sunat sebelum habis mengQada’kan solat yang ditinggalkannya..
Sayugialah para pembaca dapat mengambil manfaat dari tulisan saya ini, dan apa yang ditulis bukanlah pendapat saya sendiri, tetapi mengambil nas-nas dari kitab2 Fiqh yang Muktabar.
Wallahu A'Alam….sesungguhnya hanya ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI…
No comments:
Post a Comment