Showing posts with label Syeikh Ahmad Al-Fathani. Show all posts
Showing posts with label Syeikh Ahmad Al-Fathani. Show all posts

Mar 22, 2010

HAJI MUHAMMAD LIP (pengasas Pondok Ribath)

PONDOK Ribath Parit Perupok, Muar, Johor

Tulisan Haji Wan Mohd Saghir Abdullah.

PADA 1 Julai 2006 di Pondok Ribath, Parit Perupok, Jalan Temenggong Ahmad, Bandar Maharani, Muar, Johor diadakan upacara Maulid Rasul Pondok Ribath ‘Haul Ke-101 Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani’ serta para ulama Johor.
Upacara yang padat berupa seminar mulai pagi Sabtu hingga malam Ahad ditutup dengan tahlil untuk para ulama nusantara terutamanya ulama Johor, selanjutnya berakhir dengan satu ceramah.

Acara tersebut adalah anjuran Pondok Ribath, Muar dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (Pengkaji). Tujuan utama seminar adalah mendokumentasikan sejarah para ulama dan tokoh nusantara yang pada kesempatan tersebut difokuskan kepada Pengasas Pondok Ribath, Parit Perupok, Muar, iaitu Tuan Guru Haji Muhammad Lip. Yang saya perkenalkan dalam artikel ini adalah petikan kertas kerja dibentangkan pada seminar tersebut. Setelah selesai seminar banyak maklumat baru, maka beberapa pembetulan dan tambahan juga saya tulis dalam artikel ini.

ASAL USUL DAN PENDIDIKAN

Nama lengkap dari sebelah ayah ialah Haji Muhammad Lip bin Haji Hasan bin Arsyad bin Mahmud bin Abu Bakar. Hanya sampai pada nama Abu Bakar saja bahan yang bertulis yang saya peroleh dari kewarisan Pondok Ribath, Parit Perupok. Selanjutnya dicatatkan bahawa mereka berasal dari Melaka dan lebih jauh lagi berasal dari aliran darah Majapahit di tanah Jawa. Di sebelah ibu pula, ayahnya ialah Haji Hasan bin Haji Arsyad kahwin dengan Bainah (Mak Ulang) binti Ibrahim Latis. Ibrahim Latis kahwin dengan Puteh (Cepat). Ayah Puteh dikenali sebagai Panglima Hitam (Panglima Laut). Digelar begitu kerana beliau adalah seorang panglima yang mengawal laut dan pantai sekitar Parit Perupok, Parit Tok Akil, Parit Jong, Parit Sakai, dan lain-lain sekitarnya.

Haji Muhammad Lip lahir di Parit Perupok, Muar, 1322 H/1904 M, wafat 1409 H/1989 M. Mendapat pendidikan Islam dari ayah dan ibunya sejak kecil dan pernah masuk Madrasah Al-Attas di Johor Bahru. Muhammad Lip belajar pula di Madrasah Parit Raja, Muar sehinggalah umurnya 24 tahun. Selanjutnya Haji Muhammad Lip belajar daripada Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Taqin di Air Molek, Melaka. Beliau belajar di Air Molek Melaka itu mulai tahun 1925 M hingga tahun 1930 M.

Dalam masa belajar itu Tuan Haji Muhammad Lip adalah sebagai ‘Ketua Thala'ah’. Mereka di bawah bimbingannya yang menjadi tokoh-tokoh yang berperanan ialah Tuan Guru Haji Abdul Wahid bin Utsman, Sungai Udang, Melaka, Tuan Haji Husein, Umbai, Tuan Kadi Haji Abdullah, Durian Tunggal, Tuan Kadi Haji 'bdullah, Duyung, Melaka, Tuan Kadi Hakim, Johor, dan Tuan Haji Ahmad, Tengkera, Melaka.

Selanjutnya Haji Muhammad Lip bersama-sama dengan Haji Rahmat Khan belajar pula dengan Tuan Guru Haji Abdul Lathif Nuruddin Tambi. Tuan Guru Haji Abdul Lathif adalah seorang ulama besar yang mendapat pendidikan di Mekah. Beliau termasuk salah seorang murid kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Di antara ilmu yang dipelajari dari Haji Abdul Lathif ialah nahu, sharaf (dan lain-lain yang dinamakan ilmu alat), usuluddin, fiqh, tasawuf, dan lain-lain. Setelah itu, Haji Muhammad Lip belajar pula kepada Tuan Guru Haji Ahmad, Paya Rumput, Melaka. Dari Paya Rumput, Melaka Haji Muhammad Lip meneruskan pelajarannya ke Kelantan, belajar di Pondok Tok Kenali. Beliau sempat dalam asuhan Tok Kenali hanya sekitar dua tahun lapan bulan saja, sehingga Tok Kenali meninggal dunia pada 1933. Ilmu-ilmu yang paling utama yang diperolehi beliau daripada Tok Kenali ialah ilmu alat dan tasawuf.

Haji Muhammad Lip pulang ke kampung halamannya tahun 1934 dan seterusnya mulai mengajar di rumah ayahnya. Disimpulkan bahawa sekurang-kurangnya tiga orang di antara gurunya yang tersebut di atas ialah Haji Abdul Lathif, Haji Ahmad, Paya Rumput, dan Tok Kenali adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Oleh sebab itulah ‘Haul Kewafatan Ke-101 Syeikh Ahmad Al-Fathani’ diadakan di Pondok Ribath atas persetujuan bersama antara Pondok Ribath dengan Pengkaji.

Haji Muhammad Lip berkahwin dengan Hajah Halimah binti Abdur Razzaq. Ayah mertuanya ialah orang kaya di Muar pada zaman itu. Beliau membeli sebidang tanah yang kemudian diwakafkan untuk Haji Muhammad Lip menjalankan aktiviti menyebarkan ilmu-ilmu yang telah dipelajarinya. Haji Muhammad bin Yahya selanjutnya menyebut bahawa saksi tentang wakaf itu ialah Haji Muhammad bin Haji Saleh, yang kemudian menjadi Mudir Pondok Ribath. Saksi yang seorang lagi ialah Haji Abdur Rahman Yasin (Imam Trono). Beliau pernah menjadi Imam di Masjid Jamik Muar. Menurut Haji Muhammad bin Yahya (Muar) lagi, bahawa Pondok Ribath beroperasi mulai tahun 1934 hingga 1961. Proses sesudah tahun tersebut sampai sekarang (Julai 2006) kita saksikan sendiri, tidak diceritakan oleh Haji Muhammad bin Yahya.

JALINAN PENGAJIAN

Jalinan penurunan ilmu yang pelbagai dari Syeikh Ahmad al-Fathani kepada ulama Johor, termasuk Tuan Guru Haji Muhammad Lip terlalu panjang untuk dibicarakan. Sebagai contoh pada pengajian ilmu akidah atau ilmu tauhid Ahli Sunah wal Jamaah Johor yang ada hubungan dengan Syeikh Ahmad al-Fathani, di antara sejarah yang telah dikesan adalah sebagai yang berikut:

1. Karya Syeikh Ahmad al-Fathani judul Faridah al-Faraid, diajar di Johor sejak zaman peringkat murid Syeikh Ahmad al-Fathani hingga sekarang. Ustaz Katimun meriwayatkan kepada saya, yang didengar oleh beberapa orang bahawa beliau (Ustaz Katimun) belajar kitab Faridah al-Faraid hingga tamat daripada Cikgu Muhammad Yasin (iaitu ayah Tan Sri Muhyiddin Yassin). Cikgu Muhammad Yasin belajar kitab itu hingga tamat daripada Haji Abu Bakar Alim al-Muari. Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk salah seorang di antara guru Haji Abu Bakar Alim dalam pelbagai bidang ilmu ketika di Mekah. Haji Abu Bakar Alim sempat belajar secara langsung beberapa kitab karangan Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri termasuk juga Faridah al-Faraid yang dibicarakan ini.

2. Dalam rangka perundingan akan mengadakan perhimpunan ini, pada 8 Jun 2006, Ustaz Baharuddin bin Muhammad Saman (Mudir Pondok Ribath sekarang) memberitahu beliau telah tamat belajar Faridah al-Faraid daripada salah seorang Tok Guru Pondok dari Kedah. Ustaz Baharuddin juga mengajar kitab itu. Selain itu, beliau juga menceritakan bahawa pengasas Pondok Ribath bernama Tuan Guru Mat Lip bin Haji Hasan adalah murid Tok Kenali Kelantan. Oleh sebab Tok Kenali Kelantan adalah murid yang paling rapat kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, bahkan Tok Kenali mengaku sebagai khadam kepada gurunya itu, ini bermakna Pondok Ribath dapat dipisahkan dengan sejarah Syeikh Ahmad al-Fathani. Bererti sanad keilmuan yang pelbagai dapat dihubungkan secara jelas dan nyata yang tidak kita ragui.

3. Maklumat dari Ismail, Pustaka Fajar, ia menceritakan bahawa salah seorang anak perempuan Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya tinggal di Shah Alam berjiran dengannya. Anak perempuan Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya menceritakan bahawa ayahnya adalah belajar dan memperoleh ilmu dari Tok Kenali Kelantan. Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya adalah seorang ulama Johor yang menghasilkan beberapa karangan di antaranya ialah Risalah at-Tauhid, Suluh Mathla' al-Badrain, Cahaya Mustika Qaidah Membahagi Pusaka, Pelajaran Tasawuf Darjah V Bagi Murid-Murid Sekolah Agama Kerajaan Johor dan lain-lain. Oleh sebab Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya juga murid Tok Kenali Kelantan, maka secara pasti adalah seperguruan dengan Tuan Guru Haji Muhammad Lip. Sekali gus ada hubungan sejarah dengan Syeikh Ahmad al-Fathani.

ISTILAH RIBATH DAN WASIAT

Sekurang-kurangnya ada dua ulama dunia Melayu yang ada jalinan asal usul keilmuan Tuan Guru Haji Muhammad Lip yang pernah menyebut istilah Ribath dalam karya mereka ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Jam'ul Fawaid dan tulisan Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqah al-Azhar. Perkataan ribath mengandungi pengertian yang pelbagai iaitu ikatan, balutan, markas tentera, tempat yang diwakafkan untuk orang miskin, hati, pondok pengajian dan lain-lain.

Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menterjemahkan ribath sebagai bertunggu pada tempat takut (Jam'ul Fawaid, muka surat 178). Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, “ada pun kelebihan ribath, yakni menunggu tempat takut. Riwayat daripada Uthman bin Affan r.a, sabda Rasulullah s.a.w. ribath satu hari di dalam sabilillah itu afdal daripada puasa 1,000 hari dan berdiri 1,000 malam.”

Hadis yang lain pula riwayat Salman al-Farisi, Sabda Nabi s.a.w. bahawasanya ribath sehari di dalam sabilillah itu terlebih baik daripada puasa sebulan, dan berdiri sembahyang sebulan. Dan barang siapa mati, padahal dia murabith, dilepaskan daripada fitnah kubur. Dan disurat baginya amalnya seperti seelok-elok barang yang ada ia beramal hingga hari kiamat.” (Jam'ul Fawaid, muka surat 184).

Syeikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya Hadiqah al-Azhar menggunakan ayat 60, surah al-Anfal terjemahan dan tafsir ringkas Syeikh Ahmad al-Fathani ialah, “Dan bersedia oleh kamu bagi mereka itu, akan barang yang kuasa kamu daripada kekuatan dan daripada mengawali beberapa kuda pada negeri dan tepi-tepinya hal keadaan menakut kamu dengan dia akan seteru Allah dan seteru kamu ...” Syeikh Ahmad al-Fathani menafsirkan ayat itu dengan panjang, diutamakan dalam pemikiran pendidikan di dunia Melayu mahu pun pelbagai aspek yang ada hubungan dengannya.

Kesimpulannya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menggunakan banyak perkataan ribath pada konteks jihad fi sabilillah. Syeikh Ahmad al-Fathani menggunakan perkataan ribath dengan tafsiran yang sangat luas, mulai dari pendidikan hinggalah keseluruhan permasalahan keperluan umat Islam dan umat Melayu. Tuan Guru Haji Muhammad Lip meneruskan perjuangan dengan ‘Pondok Ribathnya’. Sebelum beliau meninggal dunia, pada malam Jumaat, 21 Ogos 1989, Tuan Guru Haji Muhammad Lip berwasiat kepada murid dan anak-anaknya. Wasiat seumpamanya adalah serupa dengan ulama-ulama yang terdahulu termasuk tiga guru beliau yang tersebut di atas iaitu, “Apa-apa yang Cikgu sudah ajar dalam kitab-kitab serta risalah-risalah yang diambil daripada al-Quran, hadis dan nas-nas syarak daripada ulama-ulama dan kitab-kitab muktabar jangan sesekali diubahkan.”

Aug 18, 2009

SYEIKH MAHMUD SYARWANI

SYEIKH MAHMUD SYARWANI

TERDAHULU daripada ulama yang dibincangkan dalam rencana ini, ada dua ulama luar yang berjasa menyebarkan Islam di dunia Melayu. Yang diriwayatkan ini adalah yang ketiga.
Ulama ini pula nama lengkapnya ialah Syeikh Mahmud bin Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani. Syeikh Mahmud asy-Syarwani meninggal dunia di Pontianak pada Rabu, pukul 1, 20 Jamadilakhir 1314 H/26 November 1896 M. Dikebumikan pada pagi Khamis, 21 Jamadilakhir 1314 H/27 November 1896 M di Perkuburan Al-Marhum Pangeran Bendahara Syarif Ahmad Al-Qadri Pontianak.

Sebelum meriwayatkan Syeikh Mahmud asy-Syarwani, terlebih dulu kita perlu perhatikan latar belakang hidup ayahnya, iaitu Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani. Beliau sangat terkenal dalam lingkungan Mazhab Syafie di seluruh dunia Islam. Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ialah murid seorang ulama yang sangat terkenal, iaitu Syeikh Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri (1192 H/1783 M - 1277 H/1861 M). Di antara sebab-sebab Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani terkenal adalah kerana beliau menulis sebuah karya yang sangat besar.

Dalam sejarah perkembangan Mazhab Syafie yang mutakhir, wujud dua kitab rujukan yang sangat terkenal. Pertama ialah Tuhfah al-Muhtaj asy-Syarh Minhaj, yang terdiri daripada 10 jilid karya Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami (lahir di Mesir, 909 H/1503 M, wafat di Mekah, 974 H/1567 M). Kedua ialah Nihayah al-Muhtaj ila asy-Syarh Minhaj yang terdiri daripada lapan jilid, juga tebal dan besar karya Imam Ramli (lahir 919 H/1513 M, wafat 1004 H/1596 M).

Kedua-dua kitab dan ulama tersebut bukan sahaja mempunyai pengaruh besar dalam Mazhab Syafie di seluruh dunia termasuk di dunia Melayu. Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani telah memperluaskan kandungan Tuhfah al-Muhtaj asy-Syarh Minhaj karya Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami dengan menulis sebuah hasyiyah. Manuskrip asli Hasyiyah Tuhfah karya Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani pernah dimiliki oleh Syeikh Ahmad al-Fathani (salah seorang murid beliau).

Syeikh Ahmad al-Fathani pernah menulis pentahqiqan Hasyiyah Tuhfah baik yang bersumber daripada manuskrip mahupun daripada kitab yang pernah diterbitkan.
Perlu saya catatkan bahawa Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani selain terkenal dengan Hasyiyah Tuhfah juga termasuk ulama besar di Mekah. Nama beliau selalu disebut-sebut seumpama Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (1232 H/1816 M -1304 H/1886 M) dan Syeikh Muhammad Sulaiman Hasbullah al-Makki (1233 H/1817 M - 1335 H/1917 M). Beberapa ulama dunia Melayu sempat belajar dengan kedua-dua ulama itu dan pada masa yang sama juga belajar daripada Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani.

Sumber penelitian

Khusus mengenai Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani, sumber utama saya adalah daripada salah seorang guru saya, Ustaz Haji Abdul Rani Mahmud (ketika hidup adalah Ketua Majelis Ulama Propinsi Kalimantan Barat). Cerita beliau saya dengar berkali-kali dalam rangka membahaskan kitab Tuhfah al-Muhtaj dan Hasyiyah Tuhfah. Disebabkan terjadi gerakan Wahabi di Mekah, salah seorang anak Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani yang bernama Syeikh Mahmud asy-Syarwani ad-Daghistani terpaksa berhijrah meninggalkan Mekah. Beliau memilih untuk pergi ke dunia Melayu.

Oleh kerana beliau ialah seorang ulama dan ayahnya memang cukup terkenal, Syeikh Mahmud asy-Syarwani ad-Daghistani mendapat perhatian Sultan Sambas dan Sultan Pontianak. Daripada perkenalan dan persahabatan saya dengan salah seorang keturunan Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani, beliau ialah Syeikh Isa asy-Syarwani (meninggal dunia pada 2005), tersingkaplah fenomena riwayat ulama yang sedang dibicarakan ini. Daripada Syeikh Isa asy-Syarwani, saya memperoleh sumber asli berupa dokumen bertulis mengenai Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani dan keturunannya di Pontianak.

Antara surat-surat yang penting sebagai dokumen ialah:
1. Surat daripada Syeikh Mahmud ad-Daghistani bin Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani ke hadrat Saiyidi asy-Syarif Qasim ibnu al-Marhum Saiyidi asy-Syarif Hasan al-Qadri. Tarikh 23 Jamadilakhir 1310 H.
2. Laporan Satu Upacara Perkahwinan Di Istana Al-Qadriyah Pontianak. Tarikh akhir Zulhijjah 1324 H.
3. Surat Kuasa dan Pengakuan Keturunan Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani di Pontianak dan lain-lain.

Maklumat daripada surat-surat di atas secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa semuanya adalah penting. Sekurang-kurangnya ia memberikan pelbagai informasi tentang sejarah, kebudayaan, adat-istiadat, kesenian dan lain-lain. Ada pun surat bertarikh 23 Jamadilakhir 1310 H/12 Disember 1892 M adalah merupakan laporan pelbagai peristiwa di Pontianak dan Sambas. Dimulai laporan pelbagai peristiwa kemasyarakatan pada persekitaran kesempitan dan kesusahan termasuk yang dialami sendiri oleh Syeikh Mahmud Syarwani. Walau bagaimanapun beliau selalu mendapat pertolongan terutama daripada Sultan Sambas.

Kandungan surat tersebut amat menarik. Selain seorang ulama, Syeikh Mahmud Syarwani juga ialah seorang ahli dalam kesenian gambus dan lagu-lagu Arab yang bercorak puji-pujian yang biasa digunakan oleh ahli sufi. Dalam surat diceritakan juga peristiwa di Sambas, bahawa dari Mekah datang seorang Arab ahli seni gambus yang terkenal bernama Syeikh Muhammad Amudi. Oleh sebab salah pengertian, pada mulanya Syeikh Muhammad Amudi tidak dibenarkan mengadakan persembahan seni dan sekali gus tidak dibenarkan tinggal di Sambas.
Peristiwa tersebut mendapat perhatian Syeikh Mahmud Syarwani. Beliau sendiri pergi menghadap Pangeran Bendahara Sambas sehingga Syeikh Muhammad 'Amudi dibenarkan tinggal di Sambas dan dibenarkan pula membuat siri pertunjukan seni gambus itu kepada masyarakat Sambas. Berdasarkan cerita yang termaktub dalam surat itu dapat dipelajari pemikiran Syeikh Mahmud Syarwani. Menurutnya jenis seni ada dua macam. Yang pertama adalah dicela oleh syarak dan kedua yang dibolehkan.

Lagu-lagu yang terdapat dalam permainan gambus iaitu yang bercorak pujian-pujian kepada Allah, selawat dan lain-lain sejenisnya adalah dibolehkan dalam Islam. Demikian juga khalayak yang hadir dan tempat melaksanakannya juga perlu diperhatikan, ertinya bukanlah bebas seperti pertunjukan-pertunjukan yang dilakukan oleh golongan-golongan yang melanggar norma-norma yang digariskan oleh Islam. Syeikh Mahmud Syarwani dan Syeikh Muhammad Amudi, sahabatnya dari Mekah, memperkenalkan gambus bertujuan menseimbangkan pelbagai seni yang ditolak oleh Islam. Dalam surat yang sama Syeikh Mahmud Syarwani dinyatakan berhasrat menyebarkan pelbagai kepandaian di Pontianak yang akan dipusatkan Kampung Melayu, iaitu sebuah kampung yang agak dekat dengan Istana Qadriyah (Istana Sultan Pontianak). Dalam surat dinyatakan bahawa beliau sangat mengasihi zuriat Nabi Muhammad s.a.w., termasuklah keluarga Sultan Pontianak, iaitu keturunan ‘Saiyid’, marga ‘Al-Qadri’. Tulisan Syeikh Mahmud Syarwani menyebut, “Seboleh-bolehnya mahu tetap di Pontianak sahaja, biarlah mati di Pontianak antara anak cucu Rasulullah....”

Dalam suratnya juga, Syeikh Mahmud Syarwani memperhatikan perkembangan dan pembangunan semasa dalam kerajaan Sambas. Beliau meriwayatkan bahawa Sultan Sambas akan menemui Residen di Pontianak yang akan memindahkan pusat pemerintahan ke arah sungai besar yang agak jauh ke Kuala Sungai Sambas.

Dengan langkah itu, Sultan Sambas bermaksud negeri Sambas menjadi ramai dan dua orang putera Sultan Sambas telah membawa dari Eropah fabrik tupu (belum jelas apa yang beliau maksudkan, pen:), fabrik kisaran padi dan lain-lainnya. Daripada bahagian ini dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Mahmud Syarwani juga seperti ulama-ulama lain menerima kebijaksanaan pemerintah dalam melaksanakan pembangunan dan kebajikan.
Walau bagaimanapun, sekiranya dalam pelaksanaan terdapat hal-hal negatif yang merosakkan ajaran Islam dan masyarakat penganutnya maka adalah wajib ulama menasihati. Hal ini sama ada dilakukan dalam bentuk lisan ataupun tulisan.

Surat yang kedua merupakan dokumen kerajaan Pontianak iaitu ‘Laporan Satu Upacara Perkahwinan Di Istana Pontianak’ yang tertulis malam Isnin, pukul 8, tarikh akhir Zulhijjah 1324 H/12 Februari 1907 M. Kandungan ringkasnya adalah laporan salah satu upacara perkahwinan di Istana Sultan Pontianak di Balai Cermin yang dihadiri oleh beberapa pembesar yang terdiri daripada Saiyidi Mufti, sekalian Pangeran Bendahara, Saiyid Ismail, Pangeran Temenggung, Pangeran Jaya, Pangeran Suma, Pangeran Perdana, Pangeran Aria, Pangeran Putra, Pangeran Seri, Pangeran Cakra, Pangeran Jaya, dan jemputan-jemputan kenamaan dan rakyat jelata.

Dari sini dapat diketahui nama-nama pangkat yang digunakan dalam kerajaan Pontianak. Perkahwinan yang dilakukan adalah salah seorang Kerabat Diraja Kerajaan Pontianak dengan Fatimah, anak seorang ulama besar bernama Syeikh Mahmud bin Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani. Perkahwinan keturunan umara (kesultanan Pontianak) dan keturunan ulama (Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani) yang tersebut bererti menambah keselarasan dan keserasian urusan pentadbiran pemerintahan dan urusan Islam. Dalam surat diceritakan adat istiadat baik sebelum mahupun sesudah perkahwinan secara terperinci.

Surat yang ketiga juga penting iaitu ‘Surat Kuasa dan Pengakuan Keturunan Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani’ yang tidak bertarikh. Kandungan ringkas membicarakan tentang pengurusan harta pusaka peninggalan Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani di Mekah. Mereka yang bertandatangan ialah cucu-cucu beliau di Pontianak iaitu Muhammad Syarwani, Ahmad Syarwani, Jamilah Syarwani dan Fatimah Syarwani. Yang tidak terdapat namanya ialah Isa Syarwani, kemungkinan sewaktu surat itu ditulis beliau masih kecil.
Ayah mereka yang termaktub dalam surat ialah Syeikh Mahmud bin Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani. Mereka telah memberi kuasa pengurusan kepada Saiyid Ali bin Saiyid Abdullah az-Zawawi. Daripada surat ini dapat kita ketahui betapa eratnya hubungan kekeluargaan ‘az-Zawawi’ dan ‘asy-Syarwani’. Kedua-dua keluarga tersebut telah berperanan dalam pendidikan Islam sejak di Mekah hinggalah mereka berhijrah ke Pontianak.
Ada pun yang dimaksudkan dengan Saiyid Ali bin Saiyid Abdullah az-Zawawi ialah ayah kepada Saiyid Yusoff az-Zawawi yang pernah menjadi Mufti Terengganu (berkhidmat pada 7 April 1953 hingga 31 Disember 1975). Saiyid Abdullah az-Zawawi pula ialah ulama besar yang pernah menjadi Mufti Mekah, kemudian pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak. Riwayatnya dapat dirujuk dalam halaman Agama Utusan Malaysia, Isnin, 1 Mei 2006.

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Tok Kenali



Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah (Tok Ku Paloh Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani).

Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali. Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam. Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).

Tradisi penulisan para ulama Islam juga banyak menceritakan tentang ‘karamah’ para Wali Allah. Tulisan saya dalam Utusan Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang ‘karamah’ sengaja tidak saya sentuh kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan fakta. Oleh kerana ramai yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah yang pernah berlaku pada Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan berdasarkan cerita yang telah saya kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak tahun 1950-an lagi.
Karamah Tok Kenali

Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.

Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.

Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.
Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.

Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.

Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.

Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.

Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.

Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.

Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).

Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.

Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)
Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).

Penulisan

Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.

Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.
Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma’ wal Af’al. Dicetak oleh Mathba’ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta’allum fi I’rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H.

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Sheikh Ahmad al-Fathani

Sheikh Ahmad al-Fathani

Sheikh Ahmad al-Fathani mengasaskan sebuah persatuan kaum cendekiawan Melayu di Mekah dengan nama Jam’iyah al-Fathaniyyah. Hampir semua ulama yang berasal dari dunia Melayu yang berada di Mekah pada zaman itu menjadi anggota persatuan itu. Sheikh Ahmad al-Fathani sendiri selaku ketuanya.Pada mulanya persatuan itu bergerak serentak, iaitu tidak saja mencetak kitab-kitab malah menyebarkannya ke dunia Melayu dan seterusnya ke tempat-tempat lain.
Tujuan persatuan itu juga untuk memberi kesedaran kepada putera-putera dunia Melayu agar berupaya membebaskan diri daripada cengkaman pihak penjajah

Sheikh Ahmad al-Fathani berasa insaf dan sedih kerana Patani dijajah oleh Siam yang beragama Buddha. Semenanjung Tanah Melayu dijajah oleh Inggeris yang beragama Kristian dan Hindia- Belanda (Indonesia) dijajah oleh Holanda (Belanda) juga beragama Kristian.
Jika disemak catatan sejarah, maka dipercayai bahawa Al-Fathaniyah yang diasaskan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah itu adalah merupakan organisasi politik Melayu yang pertama sekali ditubuhkan (1290 H/1873 M). Organisasi ini jauh mendahului Syarikat Islam (1912 M) yang ditubuhkan oleh H.O.S. Tjokroaminoto di Jawa.

Setelah murid-murid beliau pulang ke tanah air, maka mereka mengasaskan berbagai-bagai organisasi di dunia Melayu, antaranya pada peringkat awal yang dapat disebutkan di sini seperti di Riau-Lingga berdiri Jam’iyah ar-Rusydiyah yang kemudian lebih popular dengan Jam’iyah Rusydiyah atau Rusydiah Kelab dan Jam’iyah al-Khairiyah. Tokoh politik yang menjadi murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang berasal dari Riau-Lingga ialah Raja Haji Ali Kelana dan Raja Haji Utsman.
Dalam dunia politik, Raja Haji Utsman lebih dikenali dengan nama Raja Khalid al-Haitami (dalam percakapan Melayu disebut Hitam)
Al-Fathaniyah dengan Ar-Rusydiyah, jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu tidaklah berapa jauh perbezaan ertinya. Al-Fathanah, dalam bahasa Arab kadang-kadang digunakan juga al-fithnah, jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bererti: kepandaian, kecerdasan, lekas faham, kepintaran, dan lain-lain. Ia juga boleh diertikan dengan cerdik atau kecerdikan.

Adapun al-rusydu boleh diertikan dengan akal, fikiran, hal mengikut jalan yang lurus, dapat petunjuk, dan lain-lain, dan salah satu dari ertinya, ialah cerdik atau kecerdikan. Sebagaimana al-fathanah boleh diertikan dengan cerdik atau kecerdikan, demikian halnya dengan ar-rusydu. Dari perkataan al-fathanah, maka organisasi yang diasaskan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah dinamakan Al-Fathaniyah, sedang dari perkataan al-rusydu, untuk organisasi yang didirikan oleh murid-murid beliau di Riau dinamakan Rusydiyah.

Berdasarkan bukti-bukti yang ada, jelas bahawa keintelektualan perjuangan kerabat Diraja Riau-Lingga itu berasal dari pelbagai aspek perjuangan Sheikh Ahmad al-Fathani di Timur Tengah.
Catatan tentang Jam’iyah al-Khairiyah sukar diperoleh, namun dapat dikesan hanyalah berdasarkan daripada sebuah buku kecil yang berjudul Jalan Kesatuan atau judul lain Al-Irsyad ila Thariqat at-Ta-allufi wa al-Ittihad karya Raja Haji Muhammad Said bin Raja Haji Muhammad Thahir, yang ada memperkatakan organisasi tersebut.

Buku tersebut diterbitkan oleh Maktabah wa Mathba’ah al-Ahmadiah, 1345 H/1927 M atas usaha Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan.
Jam’iyah al-Khairiyah Riau masih aktif sehingga tahun 1937 M. Barangkali pengaruh Jam’iyah al-Khairiyah Riau itu begitu besar, maka pada 3 Safar 1342 H/14 September 1923 M di Mesir ditubuhkan pula Al-Jam’iyah al- Khairiyah li Thalabah al-Azhariyah al-Jawiyah oleh pelajar dunia Melayu di Mesir.

Murid Sheikh Ahmad al-Fathani pada peringkat awal yang sangat berminat dalam bidang itu ialah Raja Haji Ali Kelana yang berasal dari Riau-Lingga, berketurunan campuran Melayu-Bugis. Sesudah itu menyusul agak terkemudian sedikit ialah Raja Haji Utsman dan selanjutnya terkenal dengan nama Raja Khalid Hitam. Kader politik Sheikh Ahmad al-Fathani yang terakhir ialah seperti Nik Mahmud bin Ismail berasal dari Kelantan.

Tokoh tersebut dikenali dengan gelaran Datuk Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, Haji Muhammad bin Muhammad Said yang selanjutnya memperoleh gelaran Datuk Laksamana Kelantan, dan Haji Sulung al-Fathani, iaitu bapa Revolusi Islam Patani dalam masa Perang Dunia Kedua.

Sheikh Ahmad al-Fathani telah membawa beberapa orang muridnya, di antaranya Raja Haji Ali Kelana Riau, berulang kali menemui Sultan Turki, Sultan Abdul Hamid ats-Tsani, kerana meminta bantuan untuk melepaskan dunia Melayu daripada tangan penjajahan bangsa asing.
Raja Haji Ali Kelana Riau sekurang-kurangnya dua kali mengikut gurunya Sheikh Ahmad al-Fathani ke Turki, kali yang pertama dalam tahun 1301 H/1883 M dan yang kedua dalam tahun 1322 H/1904 M.

Lihat pula tulisan Dr. Virginia Matheson, “Pada akhir abad ke-19 perhubungan Riau dengan Timur Tengah dikuatkan lagi oleh Raja Ali Kelana supaya dapat bantuan Turki untuk menentang pemerintah penjajahan Belanda yang mahu menghapuskan kerajaan Riau-Lingga”. Berdasarkan tersebut, Virginia Matheson tidak menyebut peranan Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu orang yang bertanggungjawab mengajak Raja Haji Ali Kelana ke Turki untuk meminta bantuan menghapuskan semua bentuk penjajahan di dunia Melayu, selain Indonesia (Hindia- Belanda) dan Semenanjung Tanah Melayu, termasuk Patani dan Cam.

Hubungan politik Sheikh Ahmad al-Fathani dengan Turki-Utsmaniah itu bukan bererti gagal, tetapi tergendala kerana beliau meninggal dunia pada 11 Zulhijjah 1325 H/14 Januari 1908 M dan perkembangan Kerajaan Turki-Utsmaniah pun seterusnya mulai menurun dan lemah.
Pengetahuan dan pengalaman Sheikh Ahmad al-Fathani ketika membuat hubungan politik dengan negara luar menjadi sumber inspirasi kepada salah seorang muridnya iaitu Raja Haji Utsman/Raja Khalid Hitam bin Raja Hasan Riau. Beliau pergi ke Jepun sebanyak dua kali, iaitu pada 1912 dan 1913.

Tujuannya meminta bantuan dari Kerajaan Jepun mengusir penjajah Belanda dan Inggeris dari bumi Melayu. Keberangkatannya ke Jepun adalah setelah mendapat persetujuan Raja Haji Ali Kelana dan beberapa kerabat Diraja Riau-Lingga dan Johor lainnya. Raja Khalid Hitam meninggal dunia di Jepun pada 11 Mac 1914.

Dalam tahun 1939, ketika menghadapi Perang Dunia Ke-II barulah utusan Jepun datang ke Singapura mencari keturunan Raja Khalid Hitam. Yang berjaya ditemui oleh utusan dari Jepun itu hanyalah Ibrahim Ya’qub, yang ketika itu sebagai pemimpin kebangkitan Melayu.

Ibrahim Ya’qub bersama sahabatnya Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad pun mengadakan perundingan dengan utusan Jepun itu. Peristiwa itu menjadi titik bermulanya kedatangan orang-orang Jepun ke dunia Melayu untuk menghadapi perang Asia-Pasifik. Ibrahim Ya’qub diberi pangkat dalam militer Jepun sebagai Leftenan Kolonel, sedangkan Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad hanya sebagai Leftenan saja. Namun kerana kecergasannya, beberapa bulan kemudian Raja Haji Muhammad Yunus dilantik sebagai Mejar tanpa melalui pangkat Kapten terlebih dahulu.

Berdasarkan cerita ini dapat disimpulkan bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani turut terlibat dalam politik dunia Melayu pada peringkat awal hingga sampai ke pintu gerbang kemerdekaan.
Beberapa pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani tentang politik adalah cukup jelas seperti yang telah dibicarakan. Untuk lebih lengkap lagi dapat dirujuk melalui surat-surat antara Sheikh Ahmad al-Fathani dengan sultan-sultan di dunia Melayu. Di antaranya termasuk surat beliau kepada Sultan Zainal Abidin III, Terengganu dan Sultan Manshur, Kelantan. Selain surat yang tersebut, banyak lagi surat Sheikh Ahmad al-Fathani yang membicarakan isu politik yang ditujukan kepada murid-muridnya.

Di antara surat beliau yang membicarakan isu politik termasuk beberapa pucuk yang ditujukan kepada Nik Mahmud bin Ismail Kelantan, yang ketika itu masih belajar di Mesir.
Surat dari raja-raja Melayu yang ditujukan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani juga banyak, termasuklah surat daripada Raja Muda Jambu bertarikh 30 Jamadilawal 1316 H/1898 M. Surat tersebut adalah sebagai bukti bahawa Raja Jambu termasuk salah seorang yang anti penjajah Siam-Buddha.

Kata Raja Jambu, dalam surat tersebut, “Maka sangatlah bertambah- tambah harap sahaya mi[n]ta Tuan tolong mendoakan bagi sahaya wal ‘iyal, mi[n]ta Tuhan li[m]pahkan kebajikan dunia dan akhirat dan lepaskan sekalian kekeruhan dan dijauhkan sekalian bala’-waba’ dan kesusahan kuffar Siam, sekarang ia masuk duduk memerintah di dalam Jerim pula. Maka jadi dua raja sangatlah kesusahan dan kepicikannya. Mi[n]ta Tuhan pindahkan dia dengan segeranya …”
Daripada surat yang tersebut dan surat-surat raja-raja Melayu yang ditujukan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani, dapat dirumuskan bahawa beliau menjadi rujukan pelbagai persoalan termasuklah politik bagi sultan-sultan di dunia Melayu.

Pemikiran Politik

Pemikiran politik Sheikh Ahmad al-Fathani dapat dilihat dalam beberapa kitab beliau, antaranya Hadiqah al-Azhar, Faridah Faraid, Jumanah At-Tauhid, dan Al-Fatawa Al-Fathaniyah.

Koleksi Tulisan Allahyarham
WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SHEIKH DAUD ABDULLAH FATHANI

SHEIKH DAUD ABDULLAH FATHANI

NAMA penuh beliau ialah al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris (juga dikatakan Wan Senik) al-Fatani. Ibunya bernama Wan Fathimah anak Wan Salamah bin Tok Banda Wan Su bin Tok Kaya Rakna Diraja bin Andi (Faqih) Ali Datok Maharajalela bin Mustafa Datu Jambu (Sultan Abdul Hamid Syah) bin Sultan Muzaffar Waliullah bin Sultan Abu Abdullah Umdatuddin.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Syeikh Daud Patani ini mempunyai lima beradik iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan Abdul Rasyid, Syeikh Wan Idris dan seorang adik perempuan namanya Siti Khadijah bin Abdullah al-Fathani.

Syeikh Daud al-Fathani adalah keturunan Faqih Ali. Rujukan asal yang mengatakan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Faqih Ali diperolehi tulisan Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan iaitu: “Syahdan dan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah cerita anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali.
“Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya sendiri. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damit Kampung Bira pada tahun 1049 H.
“Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran orang di Patani memanggilnya Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Ce' Dewi anak Sri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 M”.

Berbalik kepada Syeikh Daud al-Fathani, beliau dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisek ini terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur.
Tahun kelahirannya tidak dapat dipastikan kerana terdapat perselisihan pendapat di kalangan penyelidik mengenainya. Dalam catatan-catatan beberapa keluarga penulis yang ada hubungan dengan beliau, ada yang mencatat tahun 1133 H, 1153 H dan tahun 1183 H.
Sheikh Daud dan ilmu pengetahuan
Ayah Sheikh Daud iaitu Sheikh Wan Abdullah dan datuknya Sheikh Wan Idris adalah ulama besar untuk zamannya. Sejak kecil Sheikh Daud al-Fathani ditanam dan dididik dengan ajaran Islam oleh datuk dan ayahnya.

Tambahan pula menjadi tradisi zaman itu di Patani sentiasa diperkenalkan Islam sejak kanak-kanak lagi. Anak-anak yang berumur lima atau enam tahun dipaksa supaya menghafal pengetahuan mengenal Allah (ilmu tauhid), dan seterusnya diberi pelajaran nahwu dan sharaf juga secara menghafal. Syeikh Daud al-Fathani telah melalui kesemua sistem pendidikan tradisional yang ada di Patani pada ketika itu.

Pada peringkat awalnya Syeikh Daud berguru dengan kaum keluarganya sendiri yang memang terkenal alim. Seorang daripada mereka ialah bapa saudaranya, Sheikh Shafiyuddin.
Ada yang berpendapat bahawa Sheikh Daud al-Fathani menerima pelajaran asasnya di Patani selama lima tahun, kemudian ke Aceh belajar dengan Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi selama dua tahun. Sheikh Muhammad Zain al-Asyi adalah seorang ulama terkemuka di Kesultanan Aceh.

Namun yang dapat dipercayai bahawa Sheikh Daud al-Fathani dan kawan-kawannya telah belajar di Mekah selama 30 tahun dan lima tahun di Madinah. Disebabkan masa belajar yang lama itu beliau digelar al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani.
Setelah demikian lama beliau menuntut ilmu pengetahuan, maka beliau pulang ke Patani untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di negeri tumpah darah sendiri. Namun timbul krisis peperangan antara Patani dengan Siam pada ketika itu. Diriwayatkan bahawa beliau melibatkan diri dalam peperangan itu, terjun secara langsung di gelanggang jihad fi sabilillah.

Apabila terjadi peperangan tersebut, akhirnya beliau kembali ke Mekah bersama-sama beberapa pelarian politik. Sampai di Mekah, beliau dilantik menjadi Ketua Sheikh Haji dan beliau adalah orang pertama dilantik secara langsung sebagai ketua. Beliau juga melibatkan diri dengan penulisan yang merupakan hobi beliau, di samping mengajar di Masjidil Haram. Karangannya dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab.

Karangan beliau dalam bahasa Arab tidak banyak tersebar di Asia Tenggara. Adapun dengan bahasa Melayu tersebar secara meluas, walaupun di zamannya masih merupakan kitab tulisan tangan sahaja kerana belum ada yang bercetak.

Dalam beberapa karyanya, beliau mengupas masalah-masalah keilmuan. Antara lain tulisan beliau: Maka lazimkan olehmu hai saudaraku dengan menuntut ilmu yang fardu ain yang wajib atasmu. Belajar akan dia pada syarak supaya engkau dapat sahkan iktikad kamu dan ibadat kamu. Dan supaya sejahtera daripada seksanya. Dan supaya engkau akan dapat pahala, keredaan dan kasihnya”.
Pada mukadimah karyanya Bughyatuth Thullab, beliau menulis, ertinya “Dan adapun kemudian daripada itu maka bahawasanya beberapa nafas yang cerdik-cerdik yang menuntut bagi beberapa martabat yang tinggi-tinggi sentiasa perangainya itu di dalam menghasilkan beberapa ilmu syarak.
Beliau juga membuat penafsiran dalam beberapa hadis. Antaranya hadis berikut, “Sedikit Fiqhi itu lebih baik daripada banyak ibadat” yang ertinya: “Barang siapa belajar ilmu dan tiada berkehendak dengan dia akan wajah Allah s.w.t., tiada kerana-Nya melainkan supaya mengena dengan dia akan kehendaknya daripada dunia tiada akan bilik syurga yang ke atas pada hari kiamat”.

Beliau mengulas tentang hadis-hadis tersebut dalam Bughyatuth Thullab seperti berikut: “Maka dapat difahami hadis ini, tiada dipuji daripada kelebihan ilmu itu melainkan jikalau ada qasadnya dan tuntutnya itu berkehendak dengan dia akan wajah Allah s.w.t. dan berkehendak ia mengeluarkan dirinya daripada kelam kabut jahilnya kepada Nur ilmu.

“Maka jika ada qasadnya akan dunia seperti harta atau kebesaran atau gelaran atau kemegahan atau masyhur atau melengkapi muka manusia kepadanya dan lainnya maka iaitu dicela seperti barang yang tersebut pada hadis itu”.

Menurut beliau lagi: “Maka tatkala adalah kelebihan ilmu demikian itu maka sebenarnya bahawa tiap-tiap orang yang kasih bagi dirinya kebajikan maka hendaklah ia ijtihad atas qadar kuasa pada menghasilkan dia, kadang-kadang mengaji, kadang-kadang mengajar, kadang-kadang menunjukkan orang yang jahil satu bab daripada masalah memberi manfaat pada agama istimewa pula jikalau lebih lagi”.

Daripada kalimat-kalimat beliau itu dapatlah kita fahami bahawa seseorang Islam yang bertanggungjawab adalah terlebih dahulu memberikan pendidikan agama Islam kepada anak-anaknya. Ini adalah merupakan kewajipan agama Islam.

Adapun pendapat Sheikh Daud al-Fathani bahkan ulama-ulama di zaman lampau lebih terikat dan menitikberatkan pendidikan Islam berbanding pendidikan lainnya. Menurut Islam, yang utama dipelajari ialah belajar akan memberi faham dua kalimah syahadat, wajib taharah (bersuci), solat, puasa, hukum zakat, hukum berjual-beli menurut Islam dan lain-lainnya, semuanya telah diatur dalam fikah Islam.

Sheikh Daud al-Fathani dalam Bughyatuth Thullab berkata: “Selagi seseorang masih tidak mengerti akan seluk belok tentang keIslaman, maka seseorang itu tetap masih jahil, walau pengetahuan lain masih dikuasai demikian rupa”.

Kewafatan

Sheikh Daud al-Fathani wafat dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersampingan dengan kubur Saidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w.. Tahun kewafatannya juga belum diketahui dengan pasti. Tetapi ada yang berpendapat beliau wafat sekitar tahun 1847 M, juga ada yang menyebut tahun 1265 H.

Menurut cerita ibu penulis Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, beliau mendengar daripada ibunya, Hajah Wan Siti Saudah binti Abdullah bahawa jenazah beliau telah dipindahkan oleh Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani ke Mekah, ditanam di bawah pohon Bedara di rumahnya.
Hal ini disebabkan pada zaman itu pihak Wahabi akan membongkar semua kubur yang dikeramatkan termasuk kubur Sheikh Daud al-Fathani.

Bagi penulis, walaupun beliau telah lama meninggal dunia namun jenazahnya tidak hancur, darah masih berjalan kecuali nafas sahaja yang tiada.
Salasilah keilmuan Syeikh Daud al-Fathani

SETELAH selesai membicarakan salasilah Sheikh Daud al-Fathani mengenai asal-usul keturunannya, pendidikannya dan kewafatannya, maka penulis bicarakan pula tentang guru-guru dan murid-muridnya. Sheikh Daud al-Fathani belajar daripada ramai guru-guru dalam pelbagai bidang. Beliau juga menurunkan ramai murid-murid yang menjadi ulama dan tokoh terkenal di Alam Melayu.

Guru-gurunya

Dipercayai bahawa Sheikh Daud al-Fathani mendapat pendidikan dasar keislaman dimulai dari lingkungan keluarga sendiri. Ayah dan datuknya adalah ulama besar yang bertanggungjawab dalam pendidikannya.Ada orang meriwayatkan bahawa Sheikh Daud al-Fathani pernah belajar di Aceh sekitar dua tahun. Dalam manuskrip nombor 486 yang tersimpan di Pusat Islam Malaysia (Kuala Lumpur) ada menyebut bahawa Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani mengambil ijazah muqaranah daripada Sheikh Muhammad Zain Aceh. Bererti tentunya Sheikh Daud al-Fathani juga belajar dengan Sheikh Muhammad Zain. Sheikh Muhammad Zain adalah penyusun kitab Bidayat al-Hidayat, Kasyf al-Kiram dan lain-lain. Nama pada kitab karya-karyanya ialah Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi.

Ketika melanjutkan pelajarannya di Mekah, Sheikh Daud al-Fathani mendekati para ulama Patani yang telah bermastautin di Mekah. Di antara ulama Patani yang telah diiktiraf dan dibolehkan mengajar di Masjidil Haram ialah Sheikh Muhammad Shaleh bin Abdur Rahman al-Fathani. Beliau adalah seorang tokoh ulama Ahli Syari'at dan Haqiqat yang lebih banyak terjun ke dunia kesufian. Kepadanya Sheikh Daud al-Fathani banyak memperoleh ilmu terutamanya ilmu kesufian.
Membai’ahDalam salasilah berasal dari tulisan Sheikh Ismail bin Abdul Lathif Pontianak (lebih dikenali dengan nama Haji Ismail Jabal) yang salasilah itu sekarang ada pada salah seorang muridnya seorang ulama Pontianak bernama Haji Abdur Rani Mahmud, bahawa Sheikh Daud al-Fathani belajar kepada Sheikh Ali bin Ishaq pada bidang Tarekat Samaniyah. Akan tetapi pada bidang Thariqat Syathariyah pula adalah sebaliknya, iaitu Sheikh Daud al-Fathani telah membai'ah Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani. Jadi bererti Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani adalah murid Sheikh Daud al-Fathani, bukan guru beliau.Daripada dua sumber yang bertentangan itu, penulis berpendapat bahawa sebelum Sheikh Daud al-Fathani menjadi seorang ulama besar, mungkin saja beliau belajar kepada Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani. Riwayat yang lain pula dikatakan bahawa Sheikh Daud al-Fathani belajar langsung kepada Sheikh Muhammad bin Abdul Karim Samman al-Madani penegak/pelopor Tarekat Samaniyah.

Tentang ia belajar kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim Samman itu telah penulis bicarakan dalam buku penulis berjudul Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani, juga buku penulis berjudul Perkembangan Ilmu Fiqhi dan Tokoh-tokohnya di Asia Tenggara. Berkemungkinan kerana Sheikh Daud al-Fathani yang termuda, lebih muda pula dari sahabatnya Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani, maka beliau merasa perlu mendapat didikan dan bimbingan dari yang lebih tua.

Namun Sheikh Daud al-Fathani belajar terus secara rutin sehingga ia menjadi seorang yang berkebolehan dalam banyak bidang, maka tidak mustahil sahabatnya yang jauh lebih tua daripadanya kembali belajar kepadanya. Kejadian seperti tersebut ini adalah lumrah dalam dunia pendidikan.Sheikh Daud al-Fathani memang memang belajar kepada banyak guru. Berbagai aliran mazhab dan aliran iktikad dan kepercayaan yang dipelajari.

Pegangan tetapnya tidak berganjak menurut tradisi nenek moyangnya iaitu Mazhab Syafi’e dalam Fiqh dan mengikut Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam iktikad. Beliau tetap tidak berani mengambil jalan keluar supaya dalam Islam ini mesti melepaskan diri dari Mazhab Syafie ataupun tidak mengikat diri dari fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah walaupun pengetahuan beliau dalam segala bidang sangat mendalam.

Pengetahuannya yang menyeluruh lengkap bukan hanya di bidang Islam sahaja, tetapi termasuk pengetahuan umum dan pengetahuan duniawinya. Ilmu kedoktoranDikuasainya juga ilmu kedoktoran walaupun beliau tidak menjadi seorang doktor. Beliau juga mendalami ilmu hisab dan ilmu falak.
Sungguhpun beliau bukan seorang ahli politik, tetapi beliau bukanlah seorang yang mudah dipengaruhi oleh ideologi politik yang menang di zamannya. Beliau tetap merupakan seorang ulama yang berideologi Islam sebagai dasar negara. Secara asasnya, tentang teori dan praktik zikir dalam Tarekat Syathariyah Sheikh Daud al-Fathani telah menerima bai’ah dari Sheikh Mursyidnya, yang diakui sebagai ulama Sufi yang 'Arif Billah iaitu Sheikh Muhammad As’ad. Salasilah mengenai Tarekat Syathariyah ini secara lengkapnya ada disebutkan di dalam naskhah tulisan tangan beliau sendiri iaitu Kaifiyat Khatam Quran.

Mengenai salasilah Tarekat Samaniyah mulai dari Sheikh Daud al-Fathani yang diikuti Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani, Sheikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani, Sheikh Abul Hasan dan Maulana Sheikh Hasib mungkin hidup segenerasi dan dapat menemui Sheikh Muhammad Karim Saman secara langsung. Ada pun tentang penerimaan bai’ah Tarekat boleh saja dibai’ah oleh murid yang lebih tinggi darjatnya atau lebih tua umurnya dengan syarat ada pelantikan Sheikh Mursyid sebagai khalifahnya. Salasilah lengkap Tarekat Samaniyah Sheikh Daud al-Fathani ini tertulis dalam kitab Siyarus Salikin karangan Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani.Adapun mengenai sanad Ilmu Tauhid/Usuluddin hingga sampai kepada al-Imam Abul Hasan al-Asy’ari, keterangannya adalah sebagai yang berikut.

Bahawa Sheikh Daud al-Fathani masih sempat menemui tahun-tahun kehidupan seorang ulama besar Mazhab Syafi’e yang menjadi Mahaguru di Universiti al-Azhar di Kaherah, Mesir, yang terkenal dengan sebutan Imam Syarqawi (1150 H- 1227 H). Ulama mazhab Syafie itu banyak murid-muridnya. Seorang di antaranya bernama Sheikh Muhammad bin Ali as-Syanwani yang sangat popular dengan Imam as-Syanwani saja.

Bahawa beliau adalah sezaman dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Tarekat SyazaliyahDari versi lain mengenai Ilmu Usuluddin ini, terkenal lagi dengan nama seorang Imam besar yang disebut Imam Abu Manshur al-Maturidi. Bahkan salasilah Sheikh Daud al-Fathani sampai kepada imam besar tersebut. Salasilah lengkap mengenai sanad Ilmu Tauhid/Usuluddin daripada kedua-dua Imam besar yang disebutkan di atas tidak disentuh, tetapi telah disebut dalam buku berjudul Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani: Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara.Pertalian salasilah Tarekat Syazaliyah adalah sebagai berikut iaitu Sheikh Wan Daud bin Abdullah al-Fathani belajar kepada Sheikh Muhammad Saleh bin Ibrahim, ketua Mazhab Syafi’e di Mekah (wafat pada 1226 H) dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan termasuk Tarekat Syazaliyah.

Susunan salasilah lengkapnya tidak penulis senaraikan, tetapi disebut juga dalam buku berjudul Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani: Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara.Sebilangan besar pula pernah penulis bicarakan mengenai riwayat hidup mereka sama ada dalam artikel ini mahupun buku-buku tulisan penulis sendiri. Dalam artikel yang akan datang, penulis akan memperkenalkan serba sedikit mengenai murid-murid Sheikh Daud Al-Fathani.

Koleksi Tulisan Allahyarham: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH