Showing posts with label Mufti Johor. Show all posts
Showing posts with label Mufti Johor. Show all posts

Jan 28, 2011

DATUK ABDULLAH MUSA - MUFTI KE-2 JOHOR

DATUK HAJI ABDULLAH BIN MUSA (1899-1907)




Artikel ini dimulai dengan membicarakan surat daripada seorang pembesar kepada seorang ulama. Pembesar yang dimaksudkan ialah Datuk Mufti dan Hakim Besar Johor, beliau ialah Datuk Paduka Mahkota Johor Abdullah bin Musa.

Dalam koleksi catatan dan surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani terdapat maklumat mengenai beliau.

Sepucuk surat daripadanya ditujukan kepada Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, surat tersebut bertarikh 25 Safar 1321 H/22 Mei 1903 M. Beliau menyebut Syeikh Muhammad Zain al-Fathani sebagai Hadhrat Ayahanda dan untuk Syeikh Ahmad al-Fathani dengan panggilan Hadhrat Al-Fadhil Kakanda. Sama ada Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani mahu pun Syeikh Ahmad al-Fathani (yang disurati), kedua-duanya adalah tokoh yang banyak berjasa dalam pembentukan watak Abdullah bin Musa. Pergaulan antara mereka memakan masa yang agak panjang, iaitu sama ada mereka berada di Patani dan Kelantan sehinggalah mereka berpindah ke Mekah. Hubungan pertalian kekeluargaan dan rangkaian ilmu, sama ada yang bercorak zahiri mahu pun yang bercorak batini tiada dapat dipisahkan. Oleh itu ilmu-ilmu yang berasal daripada ayah dan anaknya itu dipegang kejat-kejat oleh Abdullah dari sejak muda hinggalah beliau memperoleh kedudukan yang demikian tinggi di Kerajaan Johor.

Abdullah sungguhpun mendapat kedudukan yang tinggi di Johor, sebenarnya berasal dari Kelantan. Nampaknya memang ramai ulama Kelantan yang pernah menjadi mufti di luar Kelantan, di antaranya Wan Muhammad menjadi Mufti Perak yang pertama. Ismail bin Abdul Majid pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak, Haji Abdur Rahman bin Husein pernah menjadi Mufti Kerajaan Mempawah, dan ramai lagi.  
PENDIDIKAN 

Abdullah berasal dari Kelantan, kelahiran Pasir Pekan, Syawal 1279 H/April 1863 M. Biografi Abdullah juga belum banyak ditulis orang, maka riwayat ringkas mengenai beliau dijelaskan sebagai yang berikut: Pendidikan awalnya di beberapa pondok di Patani, merupakan kader Pondok Bendang Daya. Syeikh Muhammad Zain (Tok Wan Din) al-Fathani yang tersebut adalah salah seorang gurunya sewaktu berada di Pondok Bendang Daya, dan Abdullah belajar lagi kepada beliau sewaktu di Mekah. 

Di antara yang seangkatan dengan Abdullah sewaktu belajar di Bendang Daya ialah Ismail bin Mustafa al-Fathani (Cik Doi Kedah), Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani/Tok Kelaba, Kadi Muhammad Sa'id Umar Kedah, Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud al-Fathani), dan ramai lagi. Sewaktu melanjutkan pelajaran di Mekah Abdullah belajar kepada ramai ulama. Ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu di antaranya: Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, dan gurunya yang terakhir adalah Syeikh Ahmad al-Fathani. 

Selain belajar kepada ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu, Abdullah juga belajar kepada ulama-ulama bangsa Arab yang terkenal pada zaman itu, di antara mereka ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Abu Bakri Syatha, dan lain-lain. Ilmu khusus dalam bidang pentadbiran, siasah (politik), dan lain-lain yang bersangkutpaut pada kemaslahatan dunia, Abdullah hanyalah menerima pelajaran daripada Syeikh Ahmad al-Fathani bukan kepada ulama-ulama lainnya.  
Mengajar  

Abdullah pulang ke Kelantan mendapat arahan daripada Syeikh Ahmad al-Fathani supaya menyebarkan ilmu ke Tanah Jawi, lalu berpindah pula ke Johor pada 22 Disember 1882 M. Di Johor beliau mulai mengajar kitab secara berpindah-pindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Banyak masjid dan surau tempat beliau mengajar. Pada 22 Mac 1886 M. beliau pulang ke Kelantan dan pada 10 April 1886 M. atas permintaan murid-muridnya di Johor, maka Abdullah kembali ke Johor lagi. 

Pelantikan Abdullah sebagai Hakim Besar Johor dan berikutnya sebagai Datuk Mufti Johor di sebut oleh Abdul Rahman Al-Ahmadi dalam buku, Tokoh dan Pokok Pemikiran Tok Kenali diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia, 1983, hlm. 47 - 48 bahawa pada 22 Jun 1887 dilantik oleh Sultan Johor sebagai Hakim Besar Kerajaan Johor. Bererti jawatan sebagai Hakim Besar Johor lebih dulu disandangnya daripada Mufti Datuk Kerajaan Johor. Kariernya terus naik, dua tahun kemudian tepatnya pada 9 Mac 1889 dilantik pula sebagai Mufti Kerajaan Johor. Walau bagaimanapun tarikh ini berbeza dengan tulisan Othman Ishak dalam bukunya, Fatwa Dalam Perundangan Islam, terbitan Fajar Bakti, Kuala Lumpur, 1981, hlm. 31 bahawa Abdullah berkhidmat dari tahun 1899 hingga 1907, sebagai mufti yang kedua. 

Mufti Johor yang pertama ialah Datuk Syed Salim bin Ahmad al-Attas yang berkhidmat dari tahun 1896 hingga tahun 1899. Yang disebut oleh Othman Ishak ada persamaan dengan Buletin Majlis, terbitan Majlis Agama Islam Johor, bil. 18, 1424 H./ 2003 M., hlm. 7, yang menyebut tentang Mufti Johor 1895 - 2004 M., bahawa mufti yang pertama Datuk Syed Salim bin Ahmad al-Attas tahun 1895 - 1899 M. Mufti yang kedua, ialah Abdullah tahun 1899 - 1907 M. Daripada pertikaian penulisan yang tersebut di atas saya berpendapat bahawa kemungkinan Abdullah dilantik menjadi Mufti Johor dua kali. Yang pertama ialah 9 Mac 1889 M hingga tahun 1895 M. Sesudahnya ialah Datuk Syed Salim bin Ahmad al-Attas, sesudah itu Abdullah dilantik lagi untuk menjadi Mufti Johor untuk yang kedua kali pada tahun 1899 - 1907 M. 

Oleh sebab terjadinya maklumat yang berbeza seperti yang tersebut di atas, penelitian yang lebih kemas perlu dijalankan. Mufti Kerajaan Johor sesudah Abdullah (pelantikan kedua) ialah Datuk Syed Abdul Kadir bin Mohsin al-Attas tahun 1907 - 1933 M. dan seterusnya sehinggalah Mufti Johor yang sekarang Datuk Nooh bin Gadot yang dilantik tahun 1999 M. hingga sekarang. Jika kita perhatikan pelantikan kedua Abdullah (1899 - 1907 M) hingga pelantikan Datuk Nooh bin Gadot (1999 - 2005 M) mengambil jarak waktu sekitar lebih kurang 100 tahun. Abdullah wafat pada malam Jumaat, 19 Ramadan 1325 H./25 Oktober 1907 M. mendahului gurunya Syeikh Muhammad Zain dan Syeikh Ahmad al-Fathani sekitar lebih kurang tiga bulan.  

BUDI BAHASA PERSURATAN  

Pada mukadimah telah disentuh perkara `budi bahasa'. Oleh sebab budi bahasa baru-baru ini termasuk anjuran kerajaan, maka beberapa contoh kalimat yang mengandungi unsur budi bahasa dirasakan perlu memperkenalkannya. Di antara kalimat Abdullah yang berunsurkan budi bahasa seperti kata beliau, ``Sangatlah lama adinda tiada menulis kepada Hadhrat Ayahanda al-Haji Wan Muhammad Zain, demikian jua kepada Hadhrat Kakanda (maksudnya Syeikh Ahmad al-Fathani, pen:), maka iaitu semata-mata menunjukkan atas kebebalan dan kurang budi adinda jua. Daripada sebab itu haraplah adinda kiranya yang demikian itu dimaafkan.''  
Tawaduk  

Daripada kalimatnya ``...maka iaitu semata-mata menunjukkan atas kebebalan dan kurang budi adinda jua ...'' mencerminkan bahawa Abdullah seorang yang tawaduk dan tidak membesarkan diri. Sifat tawaduk, tidak membesarkan diri termasuk dalam kategori sifat mahmudah (sifat terpuji) yang dalam hal ini termasuk dalam golongan budi bahas. Beliau lama tidak berkirim surat kepada kedua-dua gurunya, melambangkan terputusnya hubungan silaturahim. Putus hubungan silaturahim bererti adalah sangat dicela oleh agama Islam. Secara terus terang mengaku kelemahan dan kesalahan dirinya, dengan kalimatnya, ``...menunjukkan atas kebebalan dan kurang budi adinda jua ...'' 

Jika kita bandingkan dengan kebanyakan orang pada zaman kita apabila mereka tidak dapat menghubungi keluarga atau pun teman dekat atau lainnya, mereka akan memberi alasan `kerana sibuk', atau pun beribu-ribu macam dalih. Sebenarnya kerana rendahnya budi bahasa sangat ramai orang sanggup mengabaikan hubungan dengan kedua-dua ibu bapanya. Kalimat di bawah ini juga mencerminkan kehalusan budi bahasa Abdullah, kata beliau, ``Dan lagi adinda harapkan kiranya kakanda berbuat kasihan dan tolong memberi sedikit kenyataan beberapa lagi baki hutang al-Haji Ya'qub Kangkung, Kelantan kepada ayahanda dahulu itu kerana hutang itu adinda telah sanggup hendak membayarkan ...'' 

Daripada kalimat ini dapat diambil beberapa kesimpulan bahawa Abdullah seorang yang pengasih terhadap sesama Islam, kerana mungkin meresapnya ajaran tentang sesama Islam itu adalah bersaudara. Langkah membayar hutang orang lain, yang telah meninggal dunia pernah diamalkan oleh para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Perkara yang lain pula, Abdullah kemungkinan dapat membayangkan bahawa orang yang tidak mahu membayar hutang ancamannya sangat keras, di antara amalannya tidak diterima oleh Allah s.w.t., amalan itu tergantung di antara bumi dan langit. 

Orang-orang yang berbudi bahasa apabila dia berhutang, di dalam hati tetap berazam untuk membayar hutang. Hanya orang-orang yang tidak berbudi bahasa saja yang senantiasa berbelit-belit mengelak membayar hutang. Daripada contoh budi bahasa dalam persuratan yang dilakukan oleh Abdullah di atas, memandangkan kedudukan beliau sebagai seorang Hakim Besar dan Mufti sangat menarik untuk diberi sedikit komentar.  

Komentar dari Almarhoum SW.Mohd Saghir  

Hampir semua orang tahu bahawa seorang hakim kerjanya ialah memutuskan sesuatu perkara di mahkamah atau pengadilan. Dalam ajaran Islam seorang hakim wajib menghukum dengan adil. Hakim yang tidak adil ancamannya adalah neraka. Pengertian mufti pula ialah orang yang dapat memberi fatwa dengan tepat dan betul menurut al-Quran, hadis, ijma' dan qiyas. Seseorang mufti yang memberi fatwa sesuai dengan kehendak syarak diberi pahala. Sebaliknya fatwa yang tidak betul juga diancam dengan hukuman keras di akhirat kelak. Daripada budi bahasa yang terdapat pada surat tersebut, kita dapat membayangkan Abdullah sama ada kedudukan beliau sebagai Hakim Besar mahu pun sebagai mufti, beliau berpegang teguh kepada ajaran Islam. Oleh itu kita wajib berbaik sangka, bukan sebaliknya. 

Kita berbaik sangka bahawa Abdullah menjalankan tugas dan memenuhi tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sangatlah kita harapkan terhadap semua orang yang berkedudukan seumpamanya berbuat demikian, mudah-mudahan kita terhindar daripada tindakan seseorang yang tidak berbudi bahasa sama ada dalam ucapan, persuratan mahu pun dalam tindakan kerana padah dan akibatnya sangat merugikan masyarakat.

  Al-Fatihah..
Sumber: WAN MOHD SAGHIR ABDULLAH

Aug 24, 2009

HAJI ABU BAKAR AL-MUARI

Haji Abu Bakar Al-Muari


NAMA lengkapnya ialah Haji Abu Bakar bin Haji Hasan al-Muari bin Haji Ahmad bin Anggak bin Datuk Sijo Bukit Moh, Muar Bandar Maharani, Johor. Beliau dilahirkan pada tahun 1292 Hijrah/1875 Masihi, dan meninggal pada tahun 1357 Hijrah/1938 Masihi. Selama 34 tahun beliau berada di Mekah untuk menuntut ilmu, iaitu ketika usianya enam tahun (1881 M/1299 H.) dan pulang ke tanah air pada tahun 1915 Masihi.

GURU GURU NYA

Semua ulama yang telah disebut dalam riwayat Syeikh Abdullah Fahim dan Abdul Lathif Melaka, adalah juga guru kepada Abu Bakar. Ulama yang paling rapat dengannya ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Kepada ulama yang berasal dari Lingga, Riau itu beliau mendalami hadis Bukhari. Sementara Ilmu Qiraat dipelajarinya dan menerima ijazah daripada Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri, iaitu ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menjadi ketua qiraat tujuh di Hijaz pada zaman itu. Seperti Abdullah Fahim, beliau juga mendalami Ilmu Falak dan menerima ijazah daripada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Selain itu ada dua orang ulama, gurunya yang banyak disebut dalam tulisannya, iaitu Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atharid Bogor dan Syeikh Umar bin Abdur Rasyid as-Sumbawi.

AKTIVITI

Abu Bakar al-Muari adalah Qadi Muar dan pernah menjadi Mufti Johor, selama seminggu sahaja. Bersama-sama Abdullah bin Isa, Syed Abdul Qadir bin Muhammad, Abdus Syukur bin Ismail, Yusuf bin Muhammad, Syed Muhammad bin Othman bin Yahya, Haji Muhammad Yunus bin Haji Ibrahim dan Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, mereka menggubal `Undang-Undang Jam`iyah Percadangan' (Bandar Maharani Muar, Mac 1925, dicetak oleh Mathba'ah al-Khairiyah Muar 1925).Abu Bakar al-Muari adalah pengasas Madrasah Al-Arabiyah Al-Khairiah di Muar. Beliau bukan hanya mendirikan madrasah, tetapi keterlibatannya di Bandar Muar meliputi keseluruhan aspek pembangunan di Muar, terutama sekali yang melibatkan urusan keIslaman.

MURID MURID NYA

Murid-muridnya sangat ramai, bukan hanya murid di madrasah tetapi termasuk murid-murid yang menadah kitab di masjid, surau dan di rumahnya, sehingga beliau dikenali dengan nama `Haji Abu Bakar Alim'. Di antara tokoh yang pernah mendapat pendidikan di Madrasah Al-Arabiyah Al-Khairiah ialah saudara sepupu beliau yang bernama Tan Sri Mohamed Noah. Setelah Mohamed Noah menerima pendidikan di madrasah tersebut, Abu Bakar lalu menghantarnya belajar ke Timur Tengah. Mohamed Noah adalah ayah mertua kepada allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia yang kedua). Murid Abu Bakar yang lain ialah Ustaz Muhammad Yasin. Beliaulah yang meneruskan perjuangan pendidikan madrasah yang diasaskan oleh gurunya itu. Muhammad Yasin adalah ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin (sekarang Menteri Pertanian Malaysia).Murid Abu Bakar yang lain ialah Datuk Haji Mohd. Noor. Di antara anak beliau ialah Datuk Haji Juma'at, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, (sekarang Bendahari) Persatuan Sejarah Malaysia. Menurut keterangan Mohammad, anak kepada Abu Bakar Muar, kedua-dua tokoh di atas sangat memuji dan mengenang jasa orang tuanya (Abu Bakar). Mohamed Noah pernah berkata, ``Kalaulah aku tidak dididik oleh sepupuku, Abu Bakar, tiadalah aku dapat ke Timur Tengah. Barangkali aku pun hidup dalam kejahilan tiada kenal hukum-hakam Islam ... ``.Muhammad Yasin pula pernah berkata, ``Ketika aku akan belajar ilmu kemegahan dunia di Sumatera, setelah diketahui oleh Abu Bakar Alim, aku lalu dinasihatinya supaya belajar kepada beliau sahaja. Sekiranya aku melanggar nasihat beliau, mungkin aku menjadi seorang yang jahat.''

KARYA KARYA NYA

Abu Bakar al-Muari menghasilkan karangan dalam jumlah yang banyak. Ia ditulis dalam bahasa Arab dan Melayu. Oleh sebab ruangan yang disediakan sangat terbatas, semua karangannya tidak dapat disenaraikan di ruangan ini.Keterangan ringkas hanyalah sebagai berikut, bahawa beberapa karyanya merupakan polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi al-Azhari. Walaupun Syeikh Tahir Jalaluddin adalah sahabatnya yang sama-sama belajar di Mekah, namun pendapat kedua-duanya adalah berbeza.

Abu Bakar merupakan benteng pertahanan Kaum Tua, sedangkan Syeikh Tahir Jalaluddin adalah pelopor pergerakan Kaum Muda. Abu Bakar juga mengarang risalah menolak pendapat Hasan Bandung. Sebuah lagi karyanya di dalam bahasa Arab juga menolak beberapa pendapat Sayid Rasyid Ridha, ulama Mesir, tokoh reformis yang sangat terkenal.

Karya-karya Abu Bakar Muar yang bercorak polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin yang telah ditemui ialah Taman Persuraian, ditulis pada 6 Ramadan 1346 Hijrah/1927 Masihi di Muar, Bandar Maharani.Kandungannya menyatakan tentang sunat sembahyang ba'diyah Jumaat dan qabliyahnya. Ia membatalkan perkataan Syeikh Thahir Jalaluddin al-Minankabawi, guru Madrasah Al-Haji Taib Parit Jamil Muar yang mengatakan sembahyang qabliyah itu bidaah. Dan menyatakan sembahyang sunat Tahiyatul Masjid, rumuz-rumuz ulama fikah, tarikh Imam ar-Rafi'ie, Imam an-Nawawi dan Ibnu Hajar al-Haitami. Dicetak oleh Mathba'ah al-Khairiyah, Muar (tanpa tarikh). Dicetak dengan perbelanjaan ahli-ahli al-khair Johor, Muar, Segamat, Kota Tinggi dan Kukup. Salah satu sebab penyusunan karya ini ialah pertanyaan Haji Utsman bin Haji Muhammad Said, guru agama Bandar Maharani, 14 Syaaban 1346 Hijrah. Surat dilampirkan pada halaman awal dan setelah pada halaman akhir dilampirkan surat Haji Utsman bin Haji Muhammad Said, tarikh, Bandar Maharani, 18 Zulhijjah 1346 Hijrah yang menyambut baik kitab ini.Judul selanjutnya ialah Taufan Yang Memalui Atas Huraian Haji Thahir Al-Minankabawi. Diselesaikan 10 Rabiulawal 1351 Hijrah/1932 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Jamiliyah, Muar, 1351 Hijrah/1932 Masihi. Kandungannya merupakan polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi, sebagai tanggapan atas karya yang berjudul Huraian Yang Membakar.

Di dalam Taman Persuraian Haji Bakar, yang dipersoalkan ialah mengenai sembahyang qabliyah Jumaat. Ia merupakan kelanjutan judul Taman Persuraian. Polemik dengan Hasan Bandung pula, Abu Bakar Muar menyusun risalah berjudul Majlis Uraian Muar-Johor. Diselesaikan 20 April 1932 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menjawab dan membatalkan fatwa pengarang Al-Fatwa Persatuan Islam Bandung yang mengatakan babi itu najis dimakan bukan najis disentuh, dan mulut anjing pun belum tentu najisnya. Salah satu sebab disusun karangan ini atas permintaan anggota Gubahan Setia Kelab Muar yang ditandatangani oleh ketuanya, Abdus Syukur bin Ismail bertarikh 2 April 1932. Surat tersebut dicetak pada halaman 1-2.Mengenai sanggahan pendapat Sayid Rasyid Ridha selain dalam bahasa Arab, terdapat terjemahannya dalam bahasa Melayu yang diberi judul Sanggamara Dalam Perkara Menolak dan Membatalkan Perkataan Sayid Muhammad Rasyid Ridha Yang Berkata Dengan Niat Ushalli Itu Bid'ah. Sama ada yang dalam bahasa Arab atau pun yang dalam bahasa Melayu hingga kini belum ditemui.Cogan Perikatan. Diselesaikan pada 3 Zulkaedah 1346 Hijrah/1928 Masihi, dalam Muar, Bandar Maharani, Johor.

Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Khairiyah, Muar, 15 Syawal 1346 Hijrah/1928 Masihi. Kandungan risalah ini juga merupakan polemik kerana mempertahankan pendapat golongan Mazhab Syafie daripada serangan Kaum Muda yang menolak mengucapkan lafaz `Ushalli'. Karya Abu Bakar Muar selain yang bercorak polemik, dilengkapi pula dengan pelbagai disiplin ilmu, di antaranya tentang Ilmu Falak, ditulis dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan belum diberi judul, diselesaikan pada 28 Rabiuakhir 1323 Hijrah/1905 Masihi di Mekah. Kandungan ilmu falakiyah merupakan syarah nazam al-Fadhil Abil Hasan Ali bin Abi ar-Rijal al-Katib al-Qairuani. Ilmu Wafaq, juga dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan belum diberi judul. Diselesaikan pada 1 Zulhijjah 1323 Hijrah/1905 Masihi di Mekah.


Tentang faraid (cara-cara membahagi pusaka) ditulis kitab berjudul Nihayatut Taqrib fi Ma'rifatil Irtsi wat Ta'shib, juga dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan diselesaikan pada 28 Jamadilawal 1324 Hijrah/1906 Masihi di Mekah.Tentang kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., disusun risalah bernama Peringatan. Diselesaikan pada 2 Rabiulawal 1338 Hijrah/1919 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menyatakan kalimah-kalimah yang ada di dalam kitab Kisah Maulid an-Nabi bagi karangan Sayid Ja'far al-Barzanji yang harus diubah-ubahkan bacaannya, cetakan yang pertama, Mathba'ah al-Khairiyah, Bandar Maharani, Muar, 1938. Juga tentang kelahiran Nabi s.a.w. beliau susun Mastika Ajaib. Diselesaikan pada 9 Safar 1350 Hijrah/26 Jun 1931 Masihi, dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menyatakan hukum dan kelebihan membaca Maulid an-Nabi s.a.w., cetakan yang pertama Mathba'ah al-Jamiliyah, Parit Jamil, Muar, 1350 Hijrah/1931 Masihi. Sebab disusun risalah ini memenuhi pertanyaan anggota Gubahan Setia Kelab Muar.

Tentang tajwid, Abu Bakar Muar menyusun risalah Pertinjauan, Penggal Pertama. Diselesaikan pada 1 Syaaban 1342 Hijrah dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama, Mathba'ah al-Khairiyah, Muar, 1342 Hijrah/1924 Masihi. Pada halaman pertama sesudah halaman kulit terdapat salinan ijazah daripada gurunya, Syeikh Abdullah bin Muhammad Qasim Senggora yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 25 Zulhijjah 1334 Hijrah di Mekah.Hikayat Qadhi Dengan Harami, diselesaikan pada 12 Rabiulawal 1343 Hijrah dalam Bandar Maharani, Muar.

Cetakan yang pertama, Mathba'ah al-Khairiyah, Muar, 1343 Hijrah/1924 Masihi. Kandungannya merupakan sastera Islam, menceritakan kisah seorang qadi pada zaman pemerintahan Harun ar-RasyidAbu Bakar juga menyusun buku-buku pengetahuan lain, seperti buku mengenai masakan yang terkumpul dalam judul Jangka Rampaian yang terdiri daripada tiga jilid. Saya simpulkan saja bahawa Abu Bakar Muar telah melakukan penulisan sejak tahun 1323 Hijrah/1905 Masihi hingga 18 Muharam 1357 Hijrah/20 Mac 1938 Masihi. Judul terakhir karyanya ialah Jadwal Tarikh Antara Nabi Adam Dengan Nabi Muhammad s.a.w. Dan Lainnya.

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SAIYID ALWI BIN THAHIR AL-HADDAD

Saiyid Alwi Thahir Al-Haddad

Mufti Kerajaan Johor

KETURUNAN Nabi Muhammad s.a.w. berbangsa ‘al-Haddad’ adalah salah satu keluarga ‘Saiyid’ yang penting dalam penyebaran Islam, pendidikan dan dakwah di dunia Melayu. Contohnya, Habib Muhammad bin Thahir al-Haddad yang lahir di Hadhramaut.

Beliau pernah menyebarkan Islam di India, akhirnya meninggal dunia di Tegal, Indonesia. Makam beliau sentiasa diziarahi hingga sekarang kerana beliau diakui oleh masyarakat sebagai wali Allah. Yang diriwayatkan dalam artikel ini ialah bangsa ‘al-Haddad’ yang menjadi Mufti Johor. Nama lengkapnya ialah Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad bin Abdullah bin Thaha Abdullah bin Umar bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ahmad bin Abi Bakar Abu Thahir al-Alawi asy-Syarif al-Huseini. Sampai nasabnya kepada Saidina Ali bin Abi Thalib yang kahwin dengan Saidatina Fatimah binti Nabi Muhammad s.a.w.. Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad lahir di Bandar Qaidun, Hadhramaut, Yaman pada 14 Syawal 1301 H/7 Ogos 1884 M

Dalam Tasynif al-Asma' oleh Abi Sulaiman Mahmud Sa'id bin Muhammad Mamduh menyebut bahawa Saiyid 'Alwi bin Thahir al-Haddad meninggal dunia di Jakarta, ibu kota Indonesia, pada bulan Jamadilakhir 1382 H (hlm. 383). Nik Yusri Musa dalam kertas kerja berjudul Polemik Datuk Sayed bin Tahir al-Haddad dan A. Hassan Bandung: Gambaran Pemikiran Fiqh Nusantara menyebut bahawa Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad meninggal dunia pada 14 November 1962 M dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmudiah Johor Bahru (lihat Prosiding Nadwah Ulama Nusantara III, 2005 M/1427 H, hlm. 538).

Ditinjau dari segi tarikh wafat kedua-dua maklumat di atas adalah sepakat kerana 14 November 1962 M adalah bersamaan dengan 17 Jamadilakhir 1382 H. Tetapi tempat wafat masih perlu ditinjau kerana Tasynif al-Asma' hanya menyebut Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad wafat di Jakarta dan tidak menyebut di mana dikebumikan.
Dalam kertas kerja Nik Yusri Musa pula dinyatakan bahawa beliau dikebumikan di Johor Bahru, tetapi tidak menyebutkan di mana sebenarnya Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad wafat. Apakah memang benar beliau wafat di Jakarta kemudian jenazahnya dibawa ke Johor Baharu juga tidak dijelaskan. Sekiranya benar beliau wafat di Jakarta ada kemungkinan dikebumikan di Jakarta ataupun Bogor kerana Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad sebelum ke Johor memang tinggal di sana. Murid beliau pun memang ramai di Jakarta dan Bogor.
Seperkara lagi ketika tarikh wafat Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad, 14 November 1962 M itu, urusan penerbangan dari Jakarta ke Singapura mungkin sedikit terganggu kerana detik-detik awal konfrontasi Indonesia-Malaysia, sedangkan Singapura ketika itu dalam Malaysia. Oleh itu sejarah yang demikian perlu diselidiki dengan lebih kemas lagi.

Dalam kertas kerja Nik Yusri Musa juga dinyatakan bahawa Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad bertugas sebagai Mufti Kerajaan Negeri Johor dari tahun 1934 - 1961 (Ibid, hlm. 538). Maklumat ini berbeza pendapat dengan tulisan Othman bin Ishak dalam buku Fatwa Dalam Perundangan Islam yang menyebut bahawa Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad menjadi Mufti Johor tahun 1934 - 1941, Datuk Haji Hasan bin Haji Yunus menjadi Mufti Johor 1941 - 1947 dan Datuk Haji Abd. Jalil Hasan menjadi Mufti Johor 1961 - 1964 (lihat terbitan Fajar Bakti, 1981, hlm. 31).

Mufti Johor yang berikutnya ialah Datuk Haji Abd. Rahim bin Haji Yunus tahun 1965 - 1977. Sesudahnya ialah Datuk Saiyid Alwi bin Abdullah al-Haddad. Mengenai nama ini hendaklah diperhatikan bahawa pada hujung nama sama-sama menggunakan ‘al-Haddad’. Jadi bererti ada dua orang keturunan ‘al-Haddad’ yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Johor.

PENDIDIKAN

Guru-gurunya di Hadhramaut ialah Habib Ahmad bin al-Hasan al-Attas al-Alawi, Habib Thahir bin Umar al-Haddad, dan Habib Muhammad bin Thahir al-Haddad. Banyak bidang ilmu tradisi yang beliau peroleh daripada keluarganya sendiri yang berketurunan Nabi Muhammad s.a.w..

Sungguhpun demikian yang lebih diutamakan ialah tentang hadis dan ilmu-ilmu yang dibangsakan kepada hadis itu. Berkali-kali Saiyid Alwi al-Haddad menamatkan kitab as-Sittah, Riyadh ash-Shalihin, Bulugh al-Maram, Jami' ash-Shaghir. Sehubungan dengan hadis Saiyid Alwi al-Haddad juga mempelajari kitab-kitab mengenai sanad hadis di antara kitab-kitab itu ialah ad-Dhawabidh al-Jaliyah fi al-Asanid al-'Aliyah karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Syamsuddin Abdullah bin Fathi al-Farghali al-Hamisyi. Demikian juga kitab ats-tsabat yang berjudul as-Samth al-Majid karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Shafiyuddin Ahmad bin Muhammad al-Qasyasy al-Madani. Saiyid Alwi al-Haddad telah berhasil memperoleh ilmu dan ijazah daripada para gurunya serta dengan sanad-sanad yang bersambung.

Selain guru tersebut, Saiyid Alwi al-Haddad juga memperoleh ilmu daripada ayah saudaranya Imam Habib Abdullah bin Thaha al-Haddad, juga dengan Habib Thahir bin Abi Bakri al-Haddad. Guru-guru beliau yang lain pula ialah al-Mu'ammar Sirajuddin Umar bin Utsman bin Muhammad Ba Utsman al-Amudi ash-Shiddiqi al-Bakari. Saiyid Alwi al-Haddad juga sempat mendengar riwayat hadis daripada al-Allamah as-Saiyid 'Abdur Rahman bin Sulaiman al-Ahdal yang wafat tahun 1250 H/1834 M.

Diriwayatkan bahawa Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang yang sangat cergas. Sedikit saja belajar namun pencapaian pengetahuan terlalu banyak. Ketika berumur 12 tahun Saiyid Alwi al-Haddad tamat belajar Ihya' 'Ulum ad-Din karya Imam al-Ghazali. Dalam usia 17 tahun beliau telah mulai mengajar dan mengajar kitab yang besar-besar dan ilmu yang berat-berat dalam usia 20 tahun. Ilmu-ilmu yang beliau ajar dalam usia itu ialah ilmu tafsir, hadis, fiqh, usul fiqh, tarikh, falak, nahu, sharaf, balaghah, falsafah dan tasawuf.

PEMIKIRAN

Saya mulai mengikuti tulisan-tulisan Saiyid Alwi al-Haddad sejak tahun 1966, iaitu yang dimuat dalam Warta Jabatan Agama Johor. Salah satu karya Saiyid Alwi al-Haddad bagi saya yang cukup menarik ialah sebuah karya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia yang diberi judul Sejarah Islam di Timur Jauh. Saya ringkaskan saja bahawa karya Saiyid Alwi al-Haddad yang telah diketahui sebagai berikut:

1. Anwar al-Quran al- Mahiyah li Talamat Mutanabi' Qadyani (dua jilid).
2. Al-Qaul al-Fashl fi ma li al-Arab wa Bani Hasyim min al-Fadhal. Kitab ini terdiri daripada dua jilid. Kandungannya merupakan sanggahan terhadap fahaman pembaharuan Islam yang dibawa oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati as-Sudani.
3. Al-Khulashah al-Wafiyah fi al-Asanid al-'Aliyah. Kitab ini menggunakan nama keseluruhan guru Saiyid Alwi al-Haddad tentang qiraat dan ijazah.
4. 'Iqd al-Yaqut fi Tarikh Hadhramaut.
5. Kitab as-Sirah an-Nabawiyah asy-Syarifah.
6. Dalil Khaidh fi 'Ilm al-Faraidh.
7. Thabaqat al-'Alawiyin (sepuluh jilid).
8. Mu'jam asy-Syuyukh.
9. 'Uqud al-Almas bi Manaqib al-Habib Ahmad bin Hasan al-'Athas.

Sekiranya kita sempat membaca keseluruhan karya Saiyid Alwi al-Haddad yang tersebut di atas, dapat disimpulkan bahawa sangat luas pengetahuan yang beliau bahaskan. Saiyid Alwi al-Haddad diakui sebagai seorang tokoh besar dalam bidang sejarah, ahli dalam bidang ilmu rijal al-hadis.

Lebih khusus lagi sangat mahir tentang cabang-cabang keturunan ‘al-'Alawiyin’ atau keturunan Nabi Muhammad s.a.w.. Setahu saya memang tidak ramai ulama yang berkemampuan membicarakan perkara ini selain Saiyid Alwi al-Haddad. Boleh dikatakan tidak ada ulama dunia Melayu menulisnya secara lengkap. Sekiranya ada juga ia dilakukan oleh orang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang pernah dilakukan Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Yahya al-Alawi, Mufti Betawi.

Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang ulama yang berpendirian keras dan tegas mempertahankan hukum syarak. Gaya berhujah dan penulisan banyak persamaan dengan yang pernah dilakukan oleh Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Yahya al-Alawi, Mufti Betawi. Saiyid Alwi al-Haddad selain menyanggah pendapat dan pegangan Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang lebih keras dibantahnya ialah A. Hassan bin Ahmad Bandung.

Bukan Saiyid Alwi al-Haddad saja yang menolak pegangan A. Hassan bin Ahmad Bandung tetapi perkara yang sama juga pernah dilakukan oleh Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar. Sanggahan Haji Abu Bakar Muar terhadap A. Hassan Bandung berjudul Majlis Uraian Muar-Johor. Di bawahnya dijelaskan judul, “Pada menjawab dan membatalkan Al-Fatwa pengarang Persatuan Islam Bandung yang mengatakan babi itu najis dimakan bukan najis disentuh dan mulut anjing pun belum tentu najisnya.” Sebenarnya apabila kita meninjau sejarah pergolakan Kaum Tua dan Kaum Muda dalam tahun 1930-an itu dapat disimpulkan bahawa semua golongan ‘Kaum Tua’ menolak pemikiran A. Hassan Bandung itu khususnya Kerajaan Johor yang muftinya ketika itu Saiyid Alwi al-Haddad yang mengharamkan karya-karya A. Hassan Bandung di Johor.

MURID-MURID

Saiyid Alwi al-Haddad mengembara ke pelbagai negara, antaranya Somalia, Kenya, Mekah, Indonesia, Malaysia dan lain-lain. Di negara-negara yang pernah beliau singgah, beliau berdakwah dan mengajar.
Di Jakarta, Saiyid Alwi al-Haddad pernah mengajar di Madrasah Jam'iyah al-Khair yang diasaskan oleh keturunan ‘Saiyid’ di Indonesia. Madrasah Jam'iyah al-Khair ialah sekolah Islam yang mengikut sistem pendidikan moden yang pertama di Indonesia, Saiyid Alwi al-Haddad pula termasuk salah seorang guru yang pertama sekolah itu diasaskan. Bahkan beliau ialah Wakil Mudir sekolah itu.

Mudirnya ialah Saiyid Umar bin Saqaf as-Saqaf. Para guru didatangkan dari pelbagai negara. Antara mereka ialah Ustaz Hasyimi yang berasal dari Tunis, Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang berasal dari Sudan (mengajar di Madrasah Jam'iyah al-Khair tahun 1911 - 1914), Syeikh Muhammad Thaiyib al-Maghribi yang berasal dari Maghribi, Syeikh Muhammad Abdul Hamid yang berasal dari Mekah.

Selain mengajar di Jakarta beliau juga pernah mengajar di Bogor dan tempat-tempat lain di Jawa. Muridnya sangat ramai. Antara tokoh dan ulama besar yang pernah menjadi murid Saiyid Alwi al-Haddad ialah:

1. Saiyid Alwi bin Syaikh Bilfaqih al-Alawi.
2. Saiyid Alwi bin Abbas al-Maliki.
3. Saiyid Salim Aali Jindan.
4. Saiyid Abu Bakar al-Habsyi
5. Saiyid Muhammad bin Ahmad al-Haddad.
7. Saiyid Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih.
8. Saiyid Husein bin Abdullah bin Husein al-Attas.
9. Syeikh Hasan Muhammad al-Masyath al-Makki.
10. Kiyai Haji Abdullah bin Nuh.

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah