Showing posts with label Fahaman Sesat. Show all posts
Showing posts with label Fahaman Sesat. Show all posts

Feb 12, 2011

FAHAMAN JABARIYYAH DAN MUKTAZILAH

1.      Mudah-mudahan hari ini lebih baik dari semalam, mudah-mudahan hari ini dilimpahkan kepada kita akan keberkatan dari Allah Taala kerana sibuk mencari Kebenaran dan Keredhaan Allah SWT.

2.      Wahai para pembaca yang dirahmati oleh Allah, telah sampai kepada kami akan suatu berita, ada yang menerangkan erti usaha ikhtiar itu sebegini,

“Usaha dan Ikhtiar itu adalah berusaha bekerja. Orang yang tiada usaha ikhtiar adalah orang yang berfahaman Jabariyyah. Itulah sebabnya Jabariyyah ini seorang yang pemalas dan mereka ini malas nak bangunkan ekonomi negara. Jangan kita jadi Jabariyyah ni, perabihkan beras aje.”

3.      Ketahuilah wahai para pembaca sekalian, erti “Ikhtiar” di dalam bahasa Arab itu membawa maksud, perkara yang sengaja dilakukan. Lawan perkataan “Ikhtiar” itu sendiri ialah “Idtirar” yang membawa maksud, perkara yang tidak sengaja dilakukan.

4.      Di manakah sumber Ilmu yang mengatakan bahawa Ikhtiar itu bermaksud, berusaha untuk bekerja? Apabila kami ingin menasihati mereka, mereka mengatakan bahawa mereka tidak pernah berkata seperti itu. Inilah sebabnya kami kembali mengaji menggunakan Kitab-kitab Muktabar sebagai RUJUKAN dan SKEMA PEMBELAJARAN kami.

5.      Kami faham ulama’ dan fuqaha’ itu manusia dan membuat kesalahan. Akan tetapi jika sebarang perkara yang bersurat atau bertulis (Kitab-kitab Muktabar) yang dikatakan TIDAK benar penyampaiannya, maka penyanggahan itu mestilah disertakan Hujjah serta Nas dan Dalil Al-Quran dan Al-Hadis, Ijmak Ulamak, dan Qiyas yang Sarih daripada Al-Quran dan Al-Hadis.

6.      Tidak boleh hanya menggunakan pendapat sendiri untuk melawan hujjah-hujjah Kitab-kitab Muktabar. Inilah undang-undang Ilmu itu sendiri.

7.      Ketahuilah wahai saudara dan saudari pembaca yang ingin mencari Keredhaan Allah bahawa, fahaman Jabariyyah itu bercanggahan dengan Ahlus Sunnah dengan mengatakan bahawa,

“Hamba TIDAK BERDOSA sekalipun melakukan maksiat kerana segala perkara Allah yang jadikan. Dan, Hamba tiada perbuatan langsung (ikhtiar) sekalipun pada penilaian ZAHIR.”

8.      Demikianlah sebagaimana dijelaskan oleh Kiyai Haji Sirajuddin Abbas di dalam Kitabnya yang Masyhur iaitu IKTIQAD AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH, cetakan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, m/s 229. 

9.      Mereka telah mengatakan bahawa, tiada usaha Ikhtiar pada ZAHIR. Oleh kerana itu, TIDAK BERDOSA berbuat maksiat kerana dengan alasan semua perbuatan mereka adalah Allah yang jadikan dan gerakkan Pada Zahir dan Haqiqat. Mereka mengambil segala ayat-ayat Al-Quran yang HAQIQAT dan menafikan segala ayat-ayat Al-Quran yang ZAHIR.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

10.  Ketahuilah lagi wahai saudara dan saudari pembaca, fahaman Muktazilah itu bercanggahan dengan Ahlus Sunnah dengan mengatakan bahawa,

“Hamba itu ada Kuasa dan Ikhtiar secara Haqiqat yang boleh melakukan sesuatu. Oleh kerana adanya Usaha dan Iktiar secara HAQIQAT, maka Hamba mendapat dosa dan pahala kerana Hamba lah yang melakukan sesuatu perbuatan secara Haqiqat.”

11.  Mereka telah mengatakan bahawa, mereka ada usaha (ikhtiar) pada Haqiqat, dan kerana itulah adanya dosa dan pahala. Mereka mengambil dan menggunakan segala ayat-ayat Al-Quran yang ZAHIR sebagai Hujjah mereka, dan mereka menafikan segala ayat HAQIQAT di dalam Al-Quran.

12.  Antara soalan yang dapat digunakan untuk mematahkan Hujjah mereka ialah dengan mengatakan pada Haqiqatnya,

“Silalah tunjukkan kepada kami, manakah perkara yang Allah tidak mahu dan tidak berkehendak akan wujudnya atau adanya, tetapi perkara itu tetap wujud atau terjadi?
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

13.  Baiklah! Marilah kita sama-sama memerhatikan dengan apa yang dinyatakan oleh Asy-Syaikh Muhammad Ibnu Umar An-Nawawi Al-Banteni di dalam Kitab Fathul Majid Syarah Ad-Durril Farid Fi ‘Aqaidi Ahlit Tauhid, m/s 18.

 
- (Bermula ini perkara) Iaitu, Wujudnya Perbuatan bagi seseorang daripada makhluq turut dinafikan juga. (Maka, semua perbuatan Hamba adalah Makhluq bagi Allah Taala @ digerakkan oleh Allah Taala). Dan, adapun Hamba itu, dia berikhtiar cuma pada Zahir sahaja kerana Ikhtiarnya itu pun dijadikan oleh Allah Taala (digerakkan oleh Allah Taala).

Maka, Hamba itu berikhtiar cuma pada Zahir sahaja. Tetapi, sebenarnya tergagah (Majbur) pada Batin atau Haqiqat. Maka, Hamba itu sebenarnya Jabariyyah (Majbur) dalam rupa Zahir seolah-olah dia lah yang berikhtiar.

Bersalahan pula dengan Muktazilah yang berkata,

“Sesungguhnya Hamba itu berikhtiar pada ZAHIR dan pada BATIN (HAQIQAT).”

( Mereka mengatakan, sememangnya bagi Hamba ada Ikhtiar atau Perbuatan yang terasing selain daripada Perbuatan Allah pada Haqiqatnya. – Pent.)

Dan, bersalahan pula bagi Jabariyyah yang berkata,

“Sesungguhnya Hamba itu tergagah atau Majbur pada ZAHIR dan BATIN (HAQIQAT).”

( Dengan maksud, bahawa membuat maksiat itu tidak berdosa.- Pent.)
.................................

14.  Kesimpulannya, dapatlah diketahui bahawa Ahlus Sunnah Wal Jamaah Al-Asya’irah beriktiqad bahawa, Hamba ada perbuatan (usaha dan ikhtiar) cuma pada ZAHIR sahaja. Sedangkan pada HAQIQAT sahaja, Hamba adalah tergagah (Majbur atau Jabariyyah).
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

15.  Di sisi Ahlus Sunah Wal Jamaah Al-Asya’irah;

a.       Pada Zahirnya, pemberian dosa dan pahala adalah kerana berdasarkan perbuatan baik dan buruk makhluq itu.

b.      Adapun Pada Haqiqat TAUHID, pemberian dosa dan pahala adalah atas Dasar Haq Allah Taala, kerana perbuatan baik dan buruk makhluq itu, Allah lah yang sebenarnya menggerakkan dan menjalankannya.

16.  Bagi mempertegaskan dalil kami ini mengenai Pemberian Dosa dan Pahala bagi Ahlus Sunnah Wal Jamaah Al-Asya’irah, marilah sama-sama kita memerhatikan apa yang dinyatakan oleh Kitab ‘Aqidatun Najin Fi ‘Ilmi Usuliddin, bagi Al-’Alim Al-’Allamah Asy-Syaikh Zainul ‘Abidin b. Muhammad Al-Fathani, m/s 57, baris ke 12 dari atas.


- Ertinya, maka jika memberi pahala Ia akan kita, maka dengan semata-mata KurniaanNya. Dan, menyeksa Ia akan kita, maka dengan semata-mata ‘Adilnya. Ertinya, apabila kita ketahui, bahawasanya Allah Subhanahu Wa Taala, Tunggal Ia, dengan menjadikan sekalian perbuatan kita, sama ada kebajikan atau kejahatan.

Dan, Qudrah yang baharu (Usaha ikhtiar yang ZAHIR) itu tiada memberi bekas sekali-kali.

Maka, jikalau diberi pahala atas perbuatan yang kebajikan, seperti Taat. Maka, dengan semata-mata KurniaanNya jua.

Dan, jika diseksakan kita dengan mengerjakan Maksiat, dengan ‘Adilnya jua, kerana Taat dan Maksiat itu, perbuatanNya pada keduanya.
.............................

17.  Untuk lebih memperjelaskan lagi tentang pengurniaan pahala dan balasan dosa, marilah sama-sama kita menelaah Kitab Tafsir Marah Labid li Kasyfi Makna Quran Majid bagi Sayyid Ulama’ Al-Hijaz (Penghulu alim-ulama’ Tanah Hijaz) iaitu Asy-Syaikh Muhammad Ibnu Umar An-Nawawi Al-Banteni As-Syafie Al-Asya’ari Al-Jawi, Juzu’ 1, m/s 229.


Terjemahan - “Jika Engkau (Ya Allah) ‘Azab akan mereka (orang-orang kafir). Maka, sesungguhnya mereka itu Hamba-hamba Engkau (Hak Milik Engkau)”

Tafsir – Dan, sesungguhnya mereka berhak akan yang demikian itu (memang sepatutnya menerima ‘Azab), sekira-kira dari sudut mereka telah menyembah akan yang selain Engkau.
 

Tafsir - Iaitu pada segala apa yang Engkau Perbuat. Tidak ada bangkangan suatu apapun di atas Engkau. Maka, jika Engkau MengAzab seseorang, maka iaitu atas dasar Keadilan (Haq Engkau). Dan, jika sekiranya Engkau Ampunkan seseorang, maka iaitu di atas dasar limpah Kurnia (Memang Engkau suka akan seseorang).

Dan bermula, ketiadaan mengampuni akan Syirik itu hanyalah ketetapan janji, (mengenai keterangan Syariat, iaitu janji dalam Al-Quran). Maka, tidak ada sebarang halangan padanya (iaitu mengampunkan dosa syirik) kerana dipandang dari sudut ZatNya.

(Iaitu dipandang dari sudut Haqiqat syirik itu adalah Makhluq, dan makhluq itu masih masuk di dalam umum Ta’alluk Qudrat Allah, iaitu Harus (boleh) Allah melakukan apa sahaja ke atas makhluqNya, tiada yang Mustahil pada diri makhluq @ Mumkinat atau Benda yang boleh ada. – Tunggulah penjelasan kami yang terang dan jelas mengenai Sifat-sifat Allah yang berta’alluq di dalam Risalah yang akan datang. Insya Allahu Taala. – Pent.)
 
Dan, bermula maksud Nabi ‘Isa AS daripada ini perkataan,


Iaitu, menyerahkan segala perkara kepada Allah.

(Tentang Hikmah memberi Dosa dan Pahala, kerana segala perkara Iman dan Kufur sebenarnya Allah yang Kehendaki atau Taqdirkan, dan Allah jua yang jadikan. – Pent.)

Dan lagi, maksud Nabi ‘Isa as daripada ini perkataan, iaitu meninggalkan kerja (perkara) membangkang di atas Allah Taala dengan secara menyeluruh, kerana sesungguhnya Harus @ Boleh bagi Allah Taala pada Mazhab kita (Al-Asya’irah), memasukkan orang-orang Kafir ke dalam Syurga.

Dan, Harus (Boleh) bagi Allah memasukkan Hambanya yang Beribadah atau Beriman ke dalam Neraka, kerana seorang Raja itu menguasai akan KerajaanNya (Boleh buat apa sahaja tanpa bangkangan dan adalah wajar sahaja). Tidak ada satu bangkangan pun di atas Raja itu.
................................

18.   Daripada keterangan Risalah ini, dapatlah di simpulkan bahawa memang benarlah kata-kata Ulama’ dan Fuqaha’ (Kitab-kitab Muktabar) terdahulu yang mengatakan Ahlus Sunnah itu mengambil jalan yang pertengahan bahawa Ahlus Sunnah Wal Jamaah itu berfahaman Muktazilah pada ZAHIR tetapi berfahaman Jabariyyah pada Batin (HAQIQAT). 
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

19.  Pada masa ini, mereka-mereka yang mempertahankan Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah (Asya’irah dan Maturidiyyah) semakin kurang. Siapakah lagi yang akan mempertahankan Aqidah ini kalau bukan saudara dan saudari pembaca sekalian? Siapakah lagi yang akan membangun dan melawan fahaman Muktazilah ini jika bukan tuan dan puan pembaca sekalian?

20.  Mudah-mudahan dengan adanya pewaris pemegang Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah (Asya’irah dan Maturidiyyah) ini, sekurang-kurangnya ada segolongan yang masih terselamat walaupun ditentang oleh Fahaman Wahabiyyah (Fahaman Menjisimkan Allah, yang juga mengaku Ahlus Sunnah Wal Jamaah) yang mengusai hampir keseluruhan dunia Islam sekarang (Makkah dan Madinah dikuasai oleh Wahabiyyah @ Mujassimah), dan juga fahaman Muktazilah (Qadariyyah) yang semakin menjalar ke serata ‘alam ini.

21.  Mudah-mudahan di lindungkan Allah kepada kita dari fahaman-fahaman TAUHID YANG SALAH yang akan menyebabkan kita MASUK ke dalam Jahannam.  Wal ‘Iyazubillahiminzalik....   
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bagi mengakhiri Risalah Taubat yang Ke-4 ini, kami bawakan di sini kata-kata Pentashih Kitab AqidatunNajin Fi ‘Ilmi Usuliddin, iaitu Haji Ilyas Yaakub Al-Azhari, sebagai PenTashih di Syarikat Percetakan Dar Ihya’ Al-Kutub Al-‘Arabiyyah, kepunyaan ‘Isa Al-Babil Halabi dan Syarikatnya di Tanah Mesir.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kata-kata Pentashih yang perlu di ambil perhatian ialah, “....Tiada lah syak bahawa Perbicaraan Dalam Perkara Tauhid, iaitu sesukar-sukar dan sepenting-penting perbicaraan, kerana Ta’alluknya (perhubungannya) dengan Iktiqad, apabila tersalah Iktiqad seseorang, tentulah amalannya menjadi sia-sia sahaja.....”



Nov 18, 2009

HIZBU AL-TAHRIR

Organisasi ini didirikan pada tahun 1953 di Jerussalem oleh Taqiyuddin Al-Nabhani, bersama para pengikutnya yang telah memisahkan diri dari Ikhwanul Muslimin (organisasi Islam di Mesir). Al-Nabhani adalah lulusan Al-Azhar Mesir yang beeprofession senagai guru sekolah agama dan hakim. Ia berasal dari Ijzim Palestin Utara. Ketika didirikan, organisasi ini menyatakan diri sebagai parti politik dengan Islam sebagai ideologinya dan kebangkitan Islam sebagai tujuannya.

Sistem keanggotaan merupakan cirri khas dari organisasi ini. Untuk mencapai tujuannya, para pemimpin organisasi ini mengambil bahan-bahan idealogi yang mengikat anggotanya. Pelajar sekolah menengah, mahasiswa serta para ilmuwan mendominasi latar belakang anggota organisasi ini. Organisasi ini mendesak kaum muslimin untuk berijtihad dalam mengkaji syariat secara terus menerus. Organisasi ini meniadakan bentuk ijma’ kecuali ijma’ para sahabat Nabi SAW dan menolak illat(alas effectif rasional) sebagai dasar bagi qiyas.

Bentuk utama organisasi ini antara lainnya adalah Al-Takattu al-Hizbi, Al-Syakhsiyah al-Islamiyah, Nidhom al-Islam, Mafahim Hizbu al-Tahrir, Nidhomu al-Hukmi fi al-Islam, Nadharat Siyasiyah li Hizbi At-Tahrir dan Kaifa Hudimat al-Khilafah.

Syeikh Muhammad Abdullah al-Syiby al-Ma’ruf bi Al-Habasyi dalam kitabnya Al-Aroh Al-Imaniyah fi Mafasid al-Tahririyah berkata “Pendiri organisasi ini telah mengaku sebagai mujtahid mutlak dan melakukan penyelewengan terhadap ayat-ayat Al-Quran dan Hadis, serta mengingkari ijma’ di berbagai persoalan pokok agama dan persoalan furu’ agama”. Lebih lanjut beliau membuktikan beberapa kebatilan dari organisasi ini. Dapat saya sebutkan diantaranya adalah : Dalam kitab mereka, Syaksiyah Islamiyah juz 1 hal 71-72 disebutkan : “ Dan semua perbuatan manusia ini tidak ada campur tangan Qada Allah. Kerana setiap manusia dapat menentukan kemahuan dan keinginannya sendiri”. Pada halaman 74 : Maka mengaitkan pahala atau siksa Allah dengan hidayah atau kesesatan menunjukkan bahawa hidayah atau kesesatan adalah perbuatan manusia sendiri bukan dari Allah SWT”

Ini jelas pendapat kaum kaum Qadariyah yang menyimpang dari ajaran Ahlussunnah wal Jamaah kerana bertentangan dengan beberapa ayat Al-Quran dan hadis. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas RA, sesungguhnya beliau berkata : “ Sesungguhnya perkataan kaum Qadariyah adalah kufur “. Diriwayatkan dari Umar bin Abdul Aziz dan Imam Malik bin Anas dan Imam Awza’I “ Sesungguhnya mereka ini diminta untuk bertaubat, jika tidak mahu maka dibunuh”. Diriwayatkan dari Ma’mar, dari Thowus dari bapanya. Sesungguhnya seorang lelaki telah berkata kepada Ibnu Abbas : "Ramai orang mengatakan perbuatan buruk bukan dengan Qadar Allah SWT”. Maka Ibnu Abbas menjawab : “Yang membezakan aku dengan pengikut Qadariyah adalah ayat ini : “Katakanlah, Allah mempunyai hujah yang jelas lagi kuat, maka jika Dia menghendaki, pastu Dia member petunjuk kepada kamu semua “ (Al-An’am - 149)

Dalam satu edaran fatwanya,tahun 1969 tertulis : “ Tidak haram hukumnya berjalan dengan tujuan akan berzina atau berbuat maksiat dengan seseorang. Yang tergolong maksiat adalah perbuatannya”. Dalam edaran fatwa pada 24 Rabiul Awal 1390H. Pemimpin mereka menghalalkan bercium meskipun disertai dengan syahwat. Dalam edaran fatwa pada 8 Muharam 1390H ditulis : “Dan barangsiapa mencium orang yang baru tiba dari musafir, baik lelaki mahupun perempuan, serta tidak bermaksud melakukan tujuan zina, maka hukumnya adalah halal”.

Dalam kitab Al-Tafkir hal. 149, dijelaskan : “ Sesungguhnya apabila seseorang mampu menggali hukum dari sumbernya, maka dia telah menjadi mujtahid. Oleh kerananya, maka menggali hukum atau ijtihad dibolehkan bagi sesiapapun, dan mudah bagi sesiapapun, apalagi setelah mempunyai beberapa kitab lughat(Tatabahasa Arab) dan Fiqh Islam “. Perkataan ini mengesahkan terbukanya kemungkinan untuk berijtihad oleh sesiapa meskipun dengan modal pengetahuan yang sedikit tentang ilmu agama.

Wallahu A’alam

Dipetik dari Siri Soal Jawab dan Panduan bagi Warga dan Pengurus Nahdlatul Ulama oleh Al-Ustaz H.Muhibbul Aman Ali, Wakil Khatib Syuriyah, Pengurus Cabang Nahdlatul Ulama Kabupaten Pasuruan,2007. Hal.36-38

Nov 10, 2009

FAHAMAN WAHABI

KITA mulakan tulisan ini dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pegangan dan amalannya. Mengenai Ahli Sunnah tidak perlu kita berbicara panjang sebab ia diketahui umum. Kalau hendak disebut pun kita boleh membuat beberapa kenyataan seperti istilah itu diterima pakai oleh ulama sejak awal dengan Imam Tahawi, al-Asyari, Abu Hanifah, Imam Syafie, Baqillani, Baghdadi, al-Ghazali dan al-Nawawi.

Bagaimanapun, boleh disebut bahawa istilah itu dalam hadis Nabi SAW yang dinukil dalam ‘al-Milal wa al-Nihal’ oleh al-Shahrastani dan juga dalam hadis al-Tabarani.
Mengenai pegangan, kita hanya boleh sebut secara ringkas iaitu Ahli Sunnah berpegang kepada Rukun Iman yang enam, Rukun Islam yang lima, berpegang kepada ajaran akidah Imam al-Asyari dan Maturidi dan yang mengikuti mereka sampai masa kini; mereka beriman mengenai Allah memiliki sifat sempurna tidak terhisab, tetapi sekurang-kurang perlu diketahui semua orang ialah sifat ada, sedia kala, kekal, tidak menyerupai semua yang baru, berdiri sendiri, Maha Esa, hidup, mengetahui, berkehendak, mendengar, melihat dan berkata-kata dengan kalam-Nya yang kadim dan azali tidak menyerupai makhluk dalam semua perkara. Zat-Nya tidak seperti zat makhluk, perbuatan-Nya tidak seperti makhluk.

Kalau sesiapa mengatakan ia mempunyai sifat makhluk atau menyerupai makhluk, maka ia terkeluar daripada iman. Sebab itu Imam Tahawi, Syafie, Abu Hanifah dan seterusnya menyebut Ia tidak bertempat, tidak tertakluk oleh masa, tidak berada dalam ruang.
Tidak boleh dikatakan Tuhan berada di atas, di bawah, di kanan, atau di kiri, di belakang atau di hadapan, sebab ia tidak berpihak.

Dalam Ahli Sunnah, ayat al-Quran dan hadis nabi yang menyebut sifat Allah seperti sifat makhluk, maka disuruh kita sama ada menerima seperti asalnya (tafwidh) menyerahkan erti hakikinya kepada Allah SWT, atau mentakwilkannya dengan sifat yang layak dengan-Nya.

Ini dilakukan umpamanya oleh penghulu orang Salaf al-Tabari.
Orang Wahabi menerimanya secara literal dan hakiki, kalau disebut Tuhan ada tangan, tanganlah, kalau kaki, kakilah, kalau jari maka jarilah. Ini membawa kepada menyerupakan Allah dengan makhluk. Nauzu billahi min zalik.

Seperkara lagi mereka membahagikan tauhid kepada tiga, tauhid Rububiah, tauhid Uluhiah, dan tauhid Asma Wassifat. Setiap satunya terasing daripada yang lain. Rububiah ertinya tauhid mengakui Tuhan Pencipta Alam, Esa, Berkuasa dan lainnya, tauhid Uluhiah ertinya menyembah-Nya dan taat kepada-Nya. Maka dengan skema ini, mereka boleh berkata Abu Jahal itu ahli tauhid dan ikhlas tauhidnya lebih daripada orang yang mengucap ‘Lailahailallah’.

Dengan skema ini juga mereka mengkafirkan orang yang berdoa meminta keberkatan di makam salihin dan anbia dan bertawassul dengan mereka. Ini pula satu tajuk yang tersendiri huraiannya.

Mengenai nabi, Ahli Sunnah mengajarkan, anbia ada sifat maksum (tidak berdosa), apa lagi Nabi Muhammad SAW dan mereka mempunyai sifat benar, amanah, menyampai kebenaran, dan bijaksana; mereka manusia yang makan dan minum serta berkahwin, tetapi mereka sempurna kerana itu diturunkan wahyu kepada mereka oleh Tuhan.
Ini diikuti dengan iman mengenai malaikat, akhirat (termasuk nikmat dan azab kubur), dan qada dan qadar yang menentukan segalanya ialah Allah, manusia diperintah berusaha dan berikhtiar dalam perkara yang baik dan mengelak daripada perkara yang jahat.

Ahli Sunnah mengajarkan kewajipan mengucap syahadah dengan yakin ertinya, menjalankan sembahyang lima waktu, melakukan puasa, menunaikan zakat dan menunaikan haji bagi mereka yang berkemampuan.
Ia mengajarkan kewajipan menunaikan nazar dan sumpah. Ia mengajarkan membaca al-Quran, lebih-lebih lagi dengan mengerti ertinya, melakukan zikir mengingati Allah dan berdoa kepada-Nya. Ia mengajarkan manusia bersangka baik terhadap Allah SWT dan jangan bersangka buruk terhadapnya.

Ahli Sunnah mengajarkan bahawa dosa besar ialah sihir, mencuri, berzina, berjudi, membuat sumpah palsu, memakan rasuah, memakan riba, yang terbesar ialah syirik yang berupa dosa yang tidak terampun, melainkan sebelum mati orang yang berkenaan bertaubat dan kembali kepada tauhid. Seseorang yang beriman tidak menjadi kafir dengan melakukan dosa bagaimana besar sekalipun, ia menjadi kafir hanya kerana kufur iktikad, kata-kata atau perbuatannya seperti ia menyembah berhala, kecuali ia dipaksa seperti diancam bunuh.

Orang Wahabi boleh menghukum orang kafir kerana dosa, bahkan kerana bertawassul di kubur nabi dan yang sepertinya.
Ahli Sunnah mengajarkan bahawa amalan orang hidup sampai kepada orang mati, baik dalam rupa bacaan seperti bacaan al-Quran, bertasbih, berdoa, bersedekah, dan amalan lain asalkan diniatkan untuk orang yang mati itu; kalau anak jika tidak diniatkan pun amalan itu sampai kepada kedua-dua ibu bapanya kerana ia lahir kerana mereka. Fahaman Wahabi mengatakan amalan orang hidup tidak sampai kepada orang mati.
Ahli Sunnah Wal-Jamaah mengajarkan Muslimin wajib taat kepada ulil-amri mereka, tidak boleh derhaka atau keluar menentang mereka, melainkan mereka itu kafir. Orang Wahabi tidak sedemikian sebab itu mereka menentang dan memberontak menentang Sultan Othmaniah dan wakilnya, tetapi mereka berbaik dengan British dan Perancis seperti yang jelas dalam sejarahnya. Ahli Sunnah mewajibkan memberi nasihat yang baik dan ikhlas kepada ulil-amri bukan memberontak. Tidak ada teori memberontak dalam Ahli Sunnah.

Dalam Ahli Sunnah, ulamanya mengajarkan bidaah ada yang baik dan ada yang buruk, tetapi Wahabi mengajarkan semua bidaah tidak dibolehkan; talkin, berwirid ramai-ramai selepas sembahyang, qunut subuh, tahlil arwah, majlis Maulud Nabi dan membaca Yassin pada malam Jumaat.

Banyak lagi perbezaan antara fahaman Wahabi dan Ahli Sunnah jika mahu diperkatakan. Hakikatnya kita melihat fahaman Wahabi berlainan daripada pegangan dan amalan Ahli Sunnah dan kita tidak boleh membiarkan orang Islam di negara ini terpengaruh dengannya kerana banyak implikasi negatifnya. Berwaspadalah. Wallahualam.

- Tulisan Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady