Aug 18, 2009

SYEIKH NURUDDIN ar- RANIRI

Syeikh Nuruddin Ar-Raniri


Nama Syeikh Nuruddin ar-Raniri cukup banyak mendapat perhatian dan ditulis orang. Jauh sebelum kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri ke Aceh, pada masa pemerintahan Sultan Husein (pengganti Sultan sebelumnya), yang mangkat tahun 975 H/1567 M, di Aceh telah ada seorang ulama yang digelar Syeikh Nuruddin. Mengenainya disebut dalam Hikayat Aceh.

Perlu dibezakan, apabila kita menulis nama lengkap Syeikh Nuruddin ar-Raniri dengan nama ayah saudaranya yang pernah datang ke Aceh. Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang diriwayatkan ini nama lengkapnya berdasarkan kepada karya-karyanya ialah Syeikh Nuruddin Muhammad ibnu 'Ali ibnu Hasanji ibnu Muhammad Hamid ar-Raniri al-Quraisyi. Syeikh Nuruddin ar-Raniri walau pun berasal daripada keturunan Arab di India dari pihak ayahnya dan bangsa Melayu dari sebelah ibu, namun beliau lama tinggal di Pahang dan Aceh, dan banyak mengarang kitab-kitab dalam bahasa Melayu. Sebahagian besar karangannya ditujukan membantah fahaman 'Wahdatul Wujud' yang diajarkan oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i.

Banyak perkara menarik mengenai ulama ini, di antaranya kitab fikah dalam bahasa Melayu yang pertama sekali berjudul ash-Shirath al-Mustaqim adalah karya beliau. Demikian juga mengenai kitab hadis yang berjudul al-Fawaid al-Bahiyah fi al-Ahadits an-Nabawiyah atau judul lainnya Hidaya al-Habib fi at-Targhib wa at-Tarhib, adalah kitab membicarkan hadis yang pertama sekali dalam bahasa Melayu.

Hampir semua penulis menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri dilahirkan di Ranir, berdekatan dengan Gujarat. Asal usul beliau ialah bangsa Arab keturunan Quraisy yang berpindah ke India. Tetapi salah seorang muridnya bernama Muhammad 'Ali atau Manshur yang digelarkan dengan Megat Sati ibnu Amir Sulaiman ibnu Sa'id Ja'far Shadiq ibnu 'Abdullah dalam karyanya Syarab al-'Arifin li Ahli al-Washilin menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah "Raniri negerinya, Syafi'ie nama mazhabnya, Bakri bangsanya."

Pendidikan asasnya dipercayai diperolehnya di tempat kelahirannya Raniri atau Rander. Raniri/Rander, sebahagian riwayat mengatakan berdekatan dengan Kota Surat, dan riwayat lain mengatakan dekat Bikanir, kedua-duanya di negeri India. Syeikh Nuruddin ar-Raniri berhasil berangkat ke Mekah dan Madinah dalam tahun 1030 H/1621 M dan di sana beliau sempat belajar kepada Syeikh Abu Hafash 'Umar bin 'Abdullah Ba Syaiban atau nama lain ulama ini ialah Saiyid 'Umar al-'Aidrus. Kepada ulama ini beliau mengambil bai'ah Thariqat Rifa'iyah. Dalam sektor Thariqat Rifa'iyah itu syeikh yang tersebut adalah murid kepada Syeikh Muhammad al-'Aidrus. Selain Thariqat Rifa'iyah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri juga pengamal Thariqat Qadiriyah.

Kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri buat pertama kalinya ke Aceh diriwayatkan dalam tahun 1577 M, tetapi ada juga ahli sejarah mencatat bahawa beliau sampai di Aceh pada tahun 1637 M. Ini bererti setahun setelah mangkatnya Sultan Iskandar Muda (memerintah dari tahun 1606 M hingga 1636 M). Syeikh Nuruddin ar-Raniri seakan-akan kedatangan pembawa satu pendapat baru, yang asing dalam masyarakat Aceh. Setiap sesuatu yang baru selalu menjadi perhatian dan pengamatan orang, sama ada pihak kawan atau pun pihak lawan. Fahaman baru yang dibawa masuk oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu ialah fahaman anti atau penolakan tasawuf ajaran model Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Kedua-dua ajaran ulama sufi itu adalah sesat menurut pandangan beliau.

Syeikh Nuruddin ar-Raniri mendapat tempat pada hati Sultan Iskandar Tsani, yang walaupun sebenarnya pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda beliau tidak begitu diketahui oleh masyarakat luas.

Oleh sebab ketegasan dan keberaniannya ditambah lagi, Syeikh Nuruddin ar-Raniri menguasai berbagai-bagai bidang ilmu agama Islam, mengakibatkan beliau sangat cepat menonjol pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Tsani itu. Akhirnya Syeikh Nuruddin ar-Raniri naik ke puncak yang tertinggi dalam kerajaan Aceh, kerana beliau mendapat sokongan sepenuhnya daripada sultan. Beliau memang ahli dalam bidang ilmu Mantiq (Logika) dan ilmu Balaghah (Retorika). Dalam ilmu Fikah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah penganut Mazhab Syafie, walaupun beliau juga ahli dalam ajaran mazhab-mazhab yang lainnya. Dari segi akidah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah pengikut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang berasal daripada Syeikh Abul Hasan al-Asy'ari dan Syeikh Abu Manshur al-Maturidi. Pegangannya dalam tasawuf ialah beliau adalah pengikut tasawuf yang mu'tabarah dan pengamal berbagai-bagai thariqah sufiyah. Tetapi suatu perkara yang aneh, dalam bidang tasawuf beliau menghentam habis-habisan

Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Walau bagaimanapun Syeikh Nuruddin ar-Raniri tidak pernah menyalahkan, bahkan menyokong Syeikh Muhyuddin ibnu 'Arabi, Abi Yazid al-Bistami, 'Abdul Karim al-Jili, Abu Manshur Husein al-Hallaj dan lain-lain. Perkataan yang bercorak 'syathahiyat' yang keluar daripada ulama-ulama sufi yang tersebut itu tidak pernah beliau salahkan tetapi sebaliknya perkataan yang bercorak 'syathahiyat' yang berasal daripada Syeikh Hamzah al- Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i selalu ditafsirkan secara salah oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Di dalam karyanya Fath al-Mubin 'ala al-Mulhidin, Syeikh Nuruddin ar-Raniri berpendapat bahawa al-Hallaj mati syahid. Katanya: "Dan Hallaj itu pun syahid fi sabilillah jua." Padahal jika kita teliti, sebenarnya Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i itu pegangannya tidak ubah dengan al-Hallaj.

Ajaran Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i berpunca daripada ajaran Syeikh Muhyuddin ibnu 'Arabi, Syeikh Abi Yazid al-Bistami, Syeikh 'Abdul Karim al-Jili dalam satu sektor. Dan bahagian lain juga berpunca daripada ajaran Imam al-Ghazali, Syeikh Junaid al-Baghdadi dan lain-lain, adalah dipandang muktabar, sah dan betul menurut pandangan ahli tasawuf. Bahawa ajaran tasawuf telah berurat dan berakar di kalbi, bahkan telah mesra dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, dari kulit hingga daging, dari tulang hingga ke sumsum pencinta-pencintanya, yang tentu saja mereka mengadakan tentangan yang spontan terhadap Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Bahkan kepada siapa saja yang berani menyalah-nyalahkan pegangan mereka. Pengikut-pengikut Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i menganggap kedua-dua guru mereka adalah wali Allah, yang faham terhadap pengetahuan syariat, tarekat, haqiqat dan makrifat. Mereka beranggapan, walaupun diakui bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri sebagai seorang ulama besar, yang dikatakan juga telah mengetahui ilmu tasawuf, namun tasawuf yang diketahui oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu hanyalah tasawuf zahir belaka. Bahawa beliau hanyalah mengetahui kulit ilmu tasawuf, tetap tidak sampai kepada intipati tasawuf yang sebenar-benarnya. Bahawa beliau baru mempunyai ilmu lisan sebagai hujah belaka, tetapi belum mempunyai ilmu kalbi, yang dinamakan juga dengan ilmu yang bermanfaat. Oleh itu, wajiblah mereka membela guru mereka yang mereka sanjung tinggi itu.

Selama menetap di Pahang atau pun setelah beliau pindah ke Aceh, ramai penduduk yang berasal dari dunia Melayu belajar kepada ulama besar yang berasal dari India itu, namun sampai riwayat ini saya tulis, belum dijumpai tulisan yang menyenaraikan nama murid-murid Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Untuk memulakan penjejakan mengenainya di sini dapat saya perkenalkan hanya dua orang, iaitu: Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi/al-Maqasari al-Khalwati yang berasal dari Makasar/tanah Bugis. Tidak begitu jelas apakah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati ini belajar kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri sewaktu beliau masih di Aceh atau pun Syeikh Yusuf datang menemui Syeikh Nuruddin ar-Raniri di negerinya, India. Sementara pendapat lain menyebut bahawa Syeikh Yusuf Tajul Khalwati benar-benar dapat berguru kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri sewaktu masih di Aceh lagi, dan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati menerima bai'ah Tarekat Qadiriyah daripada Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Yang seorang lagi ialah Syeikh Muhammad 'Ali, ulama ini berasal dari Aceh.

Ada yang berpendapat bahawa beliau meninggal dunia di India. Pendapat lain menyebut bahawa beliau meninggal dunia di Aceh. Ahmad Daudi, menulis: "Maka tiba-tiba dan tanpa sebab-sebab yang diketahui, Syeikh Nuruddin ar-Raniri meninggalkan Serambi Mekah ini, belayar kembali ke tanah tumpah darahnya yang tercinta, Ranir untuk selama-lamanya. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1054 H (1644 M)." Bahawa beliau meninggal dunia pada 22 Zulhijjah 1069 H/21 September 1658 M. Tetapi Karel A. Steenbrink dalam bukunya, Mencari Tuhan Dengan Kacamata Barat berpendapat lain, bahawa hingga tahun 1644 M bererti Syeikh Nuruddin masih berada di Aceh. Menurutnya terjadi diskusi yang terlalu tajam antara beberapa kelompok pemerintah: Seorang uskup agung (ar-Raniri) di satu pihak dan beberapa hulubalang dan seorang ulama dari Sumatera Barat di pihak lain. Pihak yang anti ar-Raniri akhirnya menang, sehingga ar-Raniri dengan tergesa-gesa kembali ke Gujarat. Tulisan Karel itu barangkali ada benarnya, kerana secara tidak langsung Syeikh Nuruddin mengaku pernah kalah berdebat dengan Saiful Rijal, penyokong fahaman Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i, perkara ini beliau ceritakan dalam kitab Fath al-Mubin.
Ada pun tempat meninggalnya, H.M. Zainuddin, berbeza pendapat dengan Ahmad Daudi di atas. Menurut Zainuddin dalam Tarich Atjeh Dan Nusantara, jilid 1, bahawa terjadi pertikaian di istana, dalam perebutan itu telah terbunuh seorang ulama, Faqih Hitam yang menentang tindakan Puteri Seri Alam. Dalam pada itu Syeikh Nuruddin diculik orang, kemudian mayatnya diketemukan di Kuala Aceh. Menurut H.M. Zainuddin pula, bahawa makam Syeikh Nuruddin itu dikenal dengan makam keramat Teungku Syiahdin (Syeikh Nuruddin ar-Raniri) terletak di Kuala Aceh.

Dalam masa pemerintahan Iskandar Muda, kerajaan Aceh maju, ajaran sufi tidak menghalang kemajuan yang berasaskan Islam. Sebaliknya masa pemerintahan Iskandar Tsani, ajaran sufi dianggap sesat, ternyata kerajaan Aceh mulai menurun. Bantahan terhadap sesuatu pegangan yang pernah berkembang di dunia Islam perlulah ditangani dengan penuh kebijaksanaan. Siapa saja yang memegang urusan keislaman janganlah tersalah penilaian, sering terjadi yang benar menjadi salah, atau sebaliknya yang salah menjadi benar.

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Sheikh Idris Al-Marbawi

Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi


ULAMA besar yang diperkenalkan pada kali ini tidak asing bagi kebanyakan pelajar-pelajar Alam Melayu amnya, dan di Malaysia khususnya. Beliau sangat terkenal dengan kamus Arab-Melayunya, iaitu Qamus al-Marbawi. Beliau ialah Sheikh Muhammad Idris Abdur Rauf al-Marbawi, seorang ulama yang berketurunan dari Kampung Merbau, Perak. Dilahirkan pada tahun 1893 M di Mekah, dan tarikh kembalinya beliau ke rahmatullah juga telah banyak ditulis orang pada 10 Oktober 1989, dimakamkan di Kampung Lubuk Merbau, Perak pada usia 96 tahun.

Tok Kenali antara Guru Sheikh Idris al-Marbawi

Ilmu yang paling banyak diperolehnya adalah dari Tok Kenali Kelantan. Sebelum ini, artikel mengenai Tok Kenali pernah dibicarakan penulis dengan judul Tok Kenali: Ulama Peringkat Wali yang dikeluarkan pada Isnin, 2 Oktober 2006.
Namun dirasakan perlu dibicarakan lagi secara umum berkenaan guru kepada Sheikh Idris Marbawi tersebut.
Tok Kenali adalah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam bersistemkan pondok di Malaysia, bahkan juga seluruh Alam Melayu.
Beliau ialah murid yang paling dipercayai oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, sehinggakan tiada satu rahsia perjuangan Sheikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh beliau.

Beliau meninggalkan murid yang sangat ramai. Antara yang menjadi ulama besar adalah Sheikh Idris Marbawi dan Sheikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber ini penulis perolehi daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, seorang Mufti Mempawah Indonesia, yang didengar penulis pada tahun 1969 di Indonesia, Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah, yang didengar pada tahun 1970, Kadi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala Patani pada tahun 1970, Kadi Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ramai yang lain yang belum perlu disebutkan).

Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi

Karya-karya yang dihasilkan

Sheikh Idris al-Marbawi meninggalkan karya-karya yang tidak kurang banyaknya. Terdapat dua karya beliau yang sangat terkenal, sehingga masih digunakan sehingga ke hari ini iaitu Qamus al-Marbawi dan Bahrul Mazi. Keterangan maklumat mengenai kedua-dua karya tersebut adalah berikut:

A. Qamus Idris al-Marbawi
Qamus Idris al-Marbawi adalah judul sebenar dalam persuratan. Dalam percakapan umum dinamakan kamus Marbawi. Kamus ini bukan kamus Arab-Melayu yang pertama ditulis. Terdapat kamus lain ditulis sekitar tahun berhampirannya. Namun, kamus ini mendapat tempat tersendiri dalam bidang perkamusan.

Paling luas penyebarannya
Antara keistimewaan kamus ini berbanding yang lainnya adalah kamus Arab-Melayu yang ditulis dengan Melayu-Jawi dan yang pertama paling luas penyebarannya di seluruh dunia Melayu. Bahkan ia turut digunakan oleh masyarakat Melayu di Mekah, Mesir dan beberapa tempat lain.
Ia turut digunakan oleh hampir semua orang yang belajar bahasa Arab dari kalangan suku kaum Melayu, Jawa, Bugis dan sebagainya.

Dalam mukadimahnya, beliau meluahkan yang terkandung dalam hatinya demi kemajuan bangsa Melayu, iaitu katanya: “Kemudian dari itu, maka sebelum masuk mengarang kamus ini, lebih dulu menerangkan maksudku mengadakannya, ialah memajukan bangsaku Melayu, sekiranya menuntut bahasa Arab adalah kamus penyuluhnya yang diharap, mendapatkan pelajarannya umpama nahu dan saraf.”

Kamus ini mengandungi dua juzuk. Juzuk pertama yang mengandungi 384 halaman dimulakan huruf Alif dan berakhir dengan Zha, yang mengandungi 18,000 kosa kata perkataan Arab yang diberi takrif atau ertinya ke dalam bahasa Melayu, dan terdapat juga 700 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.
Dalam juzuk kedua pula mengandungi 401 halaman, yang dimulakan daripada huruf ‘Ain dan berakhir dengan huruf Ya, juga terdapat 18,000 kosa kata Arab dan 500 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.

Berkenaan maklumat-maklumat lainnya berkaitan kamus Marbawi tersebut, telah banyak penulis bicarakan dalam Berita Harian, 28 Mac 2006 (Selasa) dengan judul ‘Kamus Marbawi Rujukan Pelajar Kuasai Bahasa Arab.’

B. Bahrul Mazi
Karya Syeikh Idris al-Marbawi yang berupa hadis yang terkenal ialah Bahrul Mazi, judul lengkapnya Bahrul Mazi li Syarh Mutkhtasar Sahihit Tarmizi. Ia merupakan terjemahan kitab Sahih Tarmizi dan disyarah oleh beliau.
Terjemahan Sahih Tarmizi secara lengkap ini adalah merupakan yang pertama sekali dilaksanakan dalam bahasa Melayu.
Bahrul Mazi adalah karya besar yang terdiri daripada 22 jilid yang sudah diterbitkan. Maklumat ringkas tentang keseluruhan jilidnya, adalah seperti berikut:
- Jilid I : Tanpa menyebut tarikh. Tebal 227 halaman. Menerangkan bicara bersuci dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 126 hadis dan 591 masalah.
- Jilid II: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 454 masalah.
- Jilid III: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 240 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 161 hadis dan 558 masalah.
- Jilid IV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang; zakat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 115 hadis dan 519 masalah.
- Jilid V: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 208 halaman. Menerangkan bicara puasa dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 110 hadis dan 473 masalah.
- Jilid VI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara haji dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 108 hadis dan 458 masalah.
- Jilid VII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara umrah dan jenayah. Terdiri daripada 114 hadis dan 483 masalah.
- Jilid VIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan baki bab-bab jenayah dan membicarakan Kitabun Nikah. Terdiri daripada 99 hadis dan 330 masalah.
- Jilid IX: Tarikh selesai menulis malam Rabu, 29 Syawal 1357 H di rumah berdekatan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Tebal 224 halaman. Menerangkan bab-bab talak, li’an dan jual beli. Terdiri daripada 117 hadis dan 226 masalah.
Bab-bab jualan
- Jilid X: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Menerangkan baki bab-bab jualan, bab-bab kadi, diat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 180 hadis dan 259 masalah.
- Jilid XI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan korban, nazar-nazar, sumpah-sumpah, perjalanan Nabi dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 151 hadis dan 486 masalah.
- Jilid XII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan perang sabil, pakaian, makanan dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 170 hadis dan 353 masalah.
- Jilid XIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan minum-minuman, kebaktian, perhubungan rahim dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 152 hadis dan 472 masalah.
- Jilid XVI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Melengkapi atas baki bab-bab perhubungan rahim, perubatan, faraid, wala’, hibah, qadar dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 395 masalah.
- Jilid XV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 248 halaman. Melengkapi bab-bab huru-hara, ta’bir mimpi dan saksi-saksi. Terdiri dari 105 hadis dan 301 masalah.
- Jilid XVI: Tarikh akhir Bab ar-Ru‘ya dan mengiringi bab-bab syahadah. Selesai malam Rabu, 21 Ramadan 1359 H/1940 M. Melengkapi atas bab-bab mimpi, saksi-saksi dan zuhud. Terdiri daripada 128 hadis dan 237 masalah.
- Jilid XVII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat kiamat; pelembut hati, wara’ dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 100 hadis dan 210 masalah.
- Jilid XVIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat syurga, neraka, iman dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 109 hadis dan 210 masalah.
Minta izin
- Jilid XIX: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab ilmu, minta izin dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 148 hadis dan 266 masalah.
- Jilid XX: Tarikh dicatat oleh pengarangnya, katanya: “Telah selesai hamba daripada menulis dan mengarangkan juzuk yang kedua puluh ini dengan kurnia Allah SWT kemudian daripada tergendala mengarangnya 16 tahun. Iaitu mula perang Inggeris dengan Jerman dan Jepun dan Itali pada tahun 1949, dan sudah juzuk ini pada malam Rabu 25 Ramadan dan 1373 bersamaan 18 Mei 1955.” Melengkapi atas baki bab-bab adab, misal-misal, bab-bab pahala Quran dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 127 hadis dan 311 masalah.
- Jilid XXI: Mulai penulisan pada hari Khamis, 26 Syaaban 1374 H/19 Mei 1955 M, dan diselesaikan pada 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M. Tebal 255 halaman. Melengkapi atas segala bab tafsir. Terdiri daripada 92 hadis dan 335 masalah.
- Jilid XXII: Dimulai 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M, dan selesai pada malam 2 Jamadilakhir 1377 H/24 Disember 1957 M. Tebal 242 halaman. Melengkapi atas tafsir setengah-setengah ayat di dalam surah al-Maidah dan lain-lainnya. Terdiri daripada 95 hadis dan 351 masalah.
Penerbitan keseluruhan diusahakan oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir, mulai tahun 1352 H/1933 M.

Pada kata aluan jilid pertama, pengarangnya menerangkan bahawa beliau telah belajar ilmu hadis daripada Sheikh Muhammad Ibrahim as-Samaluti, iaitu guru hadis yang mengajar berpuluh-puluh tahun di Jami’ Saiyidina Husein di Kaherah, Mesir. Bahawa ketika pulang ke rumah, beliau terus mencatat pelajarannya sehingga tersusunlah kitab besar Bahrul Mazi tersebut.
Kurang tersebar

Sebuah lagi karangan Sheikh Idris al-Marbawi yang kurang tersebar ialah kitab Tafsir Surah Yasin. Asal kitab ini adalah karangan Imam Muhammad bin Ali bin Muhammad asy-Syaukani dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sheikh Idris al-Marbawi atas permintaan Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H.
Pada mukadimah Sheikh Idris al-Marbawi menulis: “Adapun kemudian daripada itu, maka telah menuntut kepada hamba oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir bahwa hamba terjemahkan tafsir yasin karangan asy-Syaukani daripada Arab kepada Melayu…”.
Kitab ini telah diterbitkan oleh Mathba‘ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H/ 1935 M.


Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Tok Kenali



Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah (Tok Ku Paloh Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani).

Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali. Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam. Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).

Tradisi penulisan para ulama Islam juga banyak menceritakan tentang ‘karamah’ para Wali Allah. Tulisan saya dalam Utusan Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang ‘karamah’ sengaja tidak saya sentuh kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan fakta. Oleh kerana ramai yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah yang pernah berlaku pada Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan berdasarkan cerita yang telah saya kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak tahun 1950-an lagi.
Karamah Tok Kenali

Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.

Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.

Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.
Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.

Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.

Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.

Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.

Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.

Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.

Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).

Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.

Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)
Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).

Penulisan

Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.

Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.
Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma’ wal Af’al. Dicetak oleh Mathba’ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta’allum fi I’rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H.

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SYEIKH FAQIH ALI AL-FATHANI

SYEIKH FAQIH ALI AL-FATHANI

Nama lengkap tokoh dan ulama yang diriwayatkan ini ialah Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad al-Fathani bin Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih al-Abbasi. Beliau adalah cucu salah seorang penyebar Islam peringkat awal di Patani, iaitu Syeikh Shafiyuddin. Syeikh Shafiyuddin adalah salah seorang keturunan Khalifah Bani Abbas yang datang menyebar Islam di Aceh.

Datuk nenek Syeikh Shafiyuddin telah lama tinggal di Aceh, tetapi beliau sendiri meneruskan dakwah ke bumi Patani. Setelah di Patani lalu diberi gelar dengan Tok Raja Faqih. Dalam penelitian saya bahawa Syeikh Shafiyuddin keturunan Bani Abbas adalah sahih sedang versi yang satu lagi, yang menyebut bahawa Syeikh Shafiyuddin adalah anak Faqih Ali al-Malabari atau pun anak Raja Bugis masih diragukan kerana belum cukup hujah.

Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi atau Tok Raja Faqih memperoleh dua orang anak iaitu; Raja Ducang Bukit Jala bergelar Raja Fathani Long Cang. Seorang lagi bernama Wan Muhammad bergelar Orang Kaya Seri Akar Diraja Mahaputeri Bagi Sultan Digalang Ismail Zhillullah fil Alam. Wan Muhammad memperoleh enam orang putera, iaitu; 1. Datuk Pujut (Pujuk Wan Cang, bergelar Raja Luqman). 2. Wan Jaharullah. 3. Ratu Saiburi. 4. Datuk Long Tarat. 5. Syeikh Faqih Ali, yang dibicarakan dalam rencana ini dan 6. Long Yunus.

PANGKAT DAN KEDUDUKAN

Mulai dari Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi, Wan Muhammad dan Syeikh Faqih Ali mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi dalam kerajaan Fathani Darus Salam. Syeikh Faqih Ali menyandang gelar Datu Maharajalela. Bererti pada zamannya beliau bertugas seperti Perdana Menteri. Anak saudara beliau, iaitu Wan Abdul Lathif bin Raja Luqman bin Wan Muhammad menyandang pangkat Wazaratul Harbiyah (Menteri Pertahanan). Pada tahun 1632 terjadi serangan dahsyat tentera Siam terhadap Patani. Syeikh Faqih Ali al-Fathani atau Datu Maharajalela dan beberapa orang pembesar terpaksa hijrah ke Bugis di Sulawesi Selatan.
Dari sumber tanah Bugis pula, Roeli Sanre dalam Mutiara, 280, 27 Oktober - 9 November 1982, hlm. 30, menulis, “Tahun 1632 pada masa pemerintahan I Mengarangi Daeng Manrabbi, Raja Gowa XIV, datang lagi serombongan raja dari Patani yang dipimpin oleh Datuk Maharajalela membawa dua keponakannya, Paduka Raja dan Puteri Senapati. Kedatangan mereka sekaligus memboyong simbol tahta kerajaan Patani, sebuah bendera emas, yang oleh keturunan Melayu di Ujungpandang, disebut Datuk Buluh Perindu.”
Dalam sepucuk surat dari Bapak Arena Wati (Sasterawan Negara) kepada saya (tahun 1982, sewaktu beliau sebagai Karyawan Tamu Yayasan Sabah), beliau menyebut bahawa khazanah kerajaan Patani yang tersebut masih tersimpan dengan baik oleh kerajaan Bone.

Dari sumber yang lain, Kenallah Sulawesi Selatan juga menyebut perkara yang sama. Bahkan dinyatakan pula bahawa Datu Maharajalela, Patani, menjadi ketua orang-orang Melayu di Sulawesi Selatan. Pada zaman itu ramai orang Melayu yang datang dari pelbagai tempat dari seluruh negeri-negeri Melayu di Makasar. Dari sini dapat kita fahami bahawa Syeikh Faqih Ali atau Datu Maharajalela Patani adalah seorang yang berpengaruh dan berwibawa sehingga beliau dilantik menjadi Ketua Melayu di negeri Bugis itu.

Bahkan bukan hanya itu saja, diriwayatkan bahawa keturunan Syeikh Faqih Ali atau Datu Maharajalela berperanan aktif dalam perang melawan penjajah Belanda di Sulawesi Selatan ketika Sultan Hasanuddin dikepung oleh Belanda di bawah pimpinan Admiral Spelman keturunan pembesar Patani itu bangkit mengadakan perlawanan. Sikap anti penjajah mereka bukan hanya di negeri sendiri saja tetapi juga di negeri perantauan.

Ada riwayat lain yang ceritanya hampir serupa dengan di atas bahawa Datu Mustafa mempunyai anak bernama Ali digelar dengan Tok Koda Bonang. Beliau ini mengembara di tanah Bugis, di Sulawesi Selatan juga. Setelah beberapa lama di tanah Bugis beliau pulang ke Patani pada masa pemerintahan Raja Ungu (1624 - 1635 M). Ali inilah yang dikatakan menggantikan Faqih Ali al-Malabari yang mati terbunuh dalam perang antara Patani dengan Siam tahun 1634. Faqih Ali al-Malabari digelar dengan “Temenggung Seri Paduka”, sedang yang menggantinya digelar dengan Datu Seri Maharajalela.

Versi riwayat lain yang ceritanya hampir serupa pula seperti yang ditulis oleh Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Kelantan, kata beliau, “Syahdan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali.

Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damid Bira pada tahun 1049 H (kira-kira bersamaan dengan tahun 1639 M). Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran, orang di Patani memanggilnya, Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Cik Dewi anak Seri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 H (tahun yang diberikan kemungkinan keliru, seharusnya ialah tahun 1049 H/1639 M).”

Setelah membanding semua kisah di atas dan pelbagai maklumat lain yang tidak dinyatakan di sini, saya menyimpulkan bahawa yang bernama Syeikh Faqih Ali al-Fathani kemungkinan terdapat beberapa orang atau pun hanya seorang saja. Iaitu Syeikh Faqih Ali al-Fathani bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi. Mengenai ini dapat dibuktikan dari hasil karya beliau yang berjudul Tarikh Patani.

TARIKH PATANI

Berdasarkan maklumat dalam manuskrip Tarikh Patani, Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiuddin al-Abbasi sendiri menyebut bahawa kandungan asal Tarikh Patani adalah dari sebuah karya dalam bahasa Arab yang ditulis oleh datuk beliau Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih. Syeikh Faqih Ali menterjemah kitab bahasa Arab itu ke bahasa Melayu serta menambah kandungannya dengan beberapa peristiwa yang beliau ketahui. Tarikh Patani karya Syeikh Faqih Ali tersebutlah sejarah Patani yang pertama sekali yang dapat kita pelajari sekarang ini.

Walau bagaimanapun manuskrip yang asli tidak ditemui, yang ada sekarang ialah salinan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Syeikh Daud membuat salinan dalam tahun 1228 H/1813 M. Salinan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani itu disalin pula oleh salah seorang murid beliau ialah Syeikh Wan Muhammad bin Zainal Abidin al-Fathani atau lebih dikenali sebagai Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani. Salinan Syeikh Muhammad Zain itu telah saya perbanyak sama ada dalam bentuk asli mahu pun transliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada Rumi.

Kata pengantar

Dalam manuskrip Tarikh Patani terdapat dua kata pengantar (mukadimah). Mukadimah yang pertama oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan mukadimah yang kedua oleh pengarangnya, Syeikh Faqih Ali al-Fathani. Di antara tulisan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada mukadimah, “Ini suatu risalah aku salin daripada Syeikh Faqih Ali iaitu Tarikh Patani pada zaman lama. Bahawasanya tarikh lama itu boleh kita tahu akan manusia zaman dahulu di negeri ini. Tarikh zaman lama itu tiada ada lagi dikarang di negeri Patani melainkan susunan Tuan Syeikh yang mulia ini. Boleh terhimpunkan dengan sempurna.

“Kefaedahannya ialah boleh mengetahui perihal keadaan orang zaman dahulu hingga sampai ke zaman kita Atau zaman jahil dengan zaman nur ... Boleh kita kenal dan nampak bahawasanya orang Melayu zaman dahulu, apakah duduk dalam tanah bumi ‘Patani’ ini ? Maka negeri lama di tanah Melayu ini ialah di kawasan Kedah dan Patani, dan Senggora, dan Legor. Termasuk juga negeri ‘Cahaya’ (sekarang Cayya) di sebelah hilir. Sekelian zaman purbakala, belum masuk Islam Dan seumpamalah dengan zaman belum zahir negeri Islam di tanah Arab....”

Mukadimah Syeikh Faqih Ali al-Fathani adalah seperti berikut, “Perhamba seorang yang tak berguna, lagi hina, Syeikh Faqih Ali bin Muhammad bin Shafiyuddin dititah oleh sultan banyak kali dah (maksudnya: sudah, pen:) supaya mengarang dan menyusun Tarikh Fathani kerana takut hilang riwayat kisah-kisah purbakala. Dan perhamba pun ikhtiar mengikut titah sultan yang mulia. Bahawasanya sultan memberi riwayat kisah-kisah sangat banyak dan boleh tulisan-tulisan peringatan zuriat-zuriat orang- orang tua titih (maksudnya: keturunan, pen:) Raja Patani asli kurun yang lama. Maka bahasa-bahasa[nya] tiada perhamba mengetahui setengah-setengahnya. Maka adalah seorang Legor agama Budha dia terjemah dapat banyaklah kepada perhamba. Dan raja pun hadiah tanah kepada orang tua itu....”

Setelah itu Syeikh Faqih Ali al-Fathani menyatakan pula, Syahdan ada tulisan bahasa Arabiyah daripada nenek perhamba Syeikh Shafiyuddin, maka bahasa Arabiyah ini perhamba fahamlah dan senanglah ambil maknanya. Dan ada seorang datang dari Bogor, iaitu seorang yang asalnya dari Bogor, Jawa duduk tumpang Sultan Patani. Dan dia tahu bahasa Jawa. Dan banyaklah dia tolong perhamba.

“Perhamba mengucap syukran kepadanya banyak-banyak. Dan lama membuat ini risalah Tarikh Patani, alhamdulillah dengan ditakdirkan Allah Taala hasilnya sekadar perhamba boleh. Dan mana salah itu tentu ada dengannya. Harapkan betul dengan ikhlas sahaja. Kerana salah bagi makhluk tentu ada. Dan perhamba payah sangat-sangat hendak karang ini tarikh....”

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Sheikh Ahmad al-Fathani

Sheikh Ahmad al-Fathani

Sheikh Ahmad al-Fathani mengasaskan sebuah persatuan kaum cendekiawan Melayu di Mekah dengan nama Jam’iyah al-Fathaniyyah. Hampir semua ulama yang berasal dari dunia Melayu yang berada di Mekah pada zaman itu menjadi anggota persatuan itu. Sheikh Ahmad al-Fathani sendiri selaku ketuanya.Pada mulanya persatuan itu bergerak serentak, iaitu tidak saja mencetak kitab-kitab malah menyebarkannya ke dunia Melayu dan seterusnya ke tempat-tempat lain.
Tujuan persatuan itu juga untuk memberi kesedaran kepada putera-putera dunia Melayu agar berupaya membebaskan diri daripada cengkaman pihak penjajah

Sheikh Ahmad al-Fathani berasa insaf dan sedih kerana Patani dijajah oleh Siam yang beragama Buddha. Semenanjung Tanah Melayu dijajah oleh Inggeris yang beragama Kristian dan Hindia- Belanda (Indonesia) dijajah oleh Holanda (Belanda) juga beragama Kristian.
Jika disemak catatan sejarah, maka dipercayai bahawa Al-Fathaniyah yang diasaskan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah itu adalah merupakan organisasi politik Melayu yang pertama sekali ditubuhkan (1290 H/1873 M). Organisasi ini jauh mendahului Syarikat Islam (1912 M) yang ditubuhkan oleh H.O.S. Tjokroaminoto di Jawa.

Setelah murid-murid beliau pulang ke tanah air, maka mereka mengasaskan berbagai-bagai organisasi di dunia Melayu, antaranya pada peringkat awal yang dapat disebutkan di sini seperti di Riau-Lingga berdiri Jam’iyah ar-Rusydiyah yang kemudian lebih popular dengan Jam’iyah Rusydiyah atau Rusydiah Kelab dan Jam’iyah al-Khairiyah. Tokoh politik yang menjadi murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang berasal dari Riau-Lingga ialah Raja Haji Ali Kelana dan Raja Haji Utsman.
Dalam dunia politik, Raja Haji Utsman lebih dikenali dengan nama Raja Khalid al-Haitami (dalam percakapan Melayu disebut Hitam)
Al-Fathaniyah dengan Ar-Rusydiyah, jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu tidaklah berapa jauh perbezaan ertinya. Al-Fathanah, dalam bahasa Arab kadang-kadang digunakan juga al-fithnah, jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bererti: kepandaian, kecerdasan, lekas faham, kepintaran, dan lain-lain. Ia juga boleh diertikan dengan cerdik atau kecerdikan.

Adapun al-rusydu boleh diertikan dengan akal, fikiran, hal mengikut jalan yang lurus, dapat petunjuk, dan lain-lain, dan salah satu dari ertinya, ialah cerdik atau kecerdikan. Sebagaimana al-fathanah boleh diertikan dengan cerdik atau kecerdikan, demikian halnya dengan ar-rusydu. Dari perkataan al-fathanah, maka organisasi yang diasaskan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah dinamakan Al-Fathaniyah, sedang dari perkataan al-rusydu, untuk organisasi yang didirikan oleh murid-murid beliau di Riau dinamakan Rusydiyah.

Berdasarkan bukti-bukti yang ada, jelas bahawa keintelektualan perjuangan kerabat Diraja Riau-Lingga itu berasal dari pelbagai aspek perjuangan Sheikh Ahmad al-Fathani di Timur Tengah.
Catatan tentang Jam’iyah al-Khairiyah sukar diperoleh, namun dapat dikesan hanyalah berdasarkan daripada sebuah buku kecil yang berjudul Jalan Kesatuan atau judul lain Al-Irsyad ila Thariqat at-Ta-allufi wa al-Ittihad karya Raja Haji Muhammad Said bin Raja Haji Muhammad Thahir, yang ada memperkatakan organisasi tersebut.

Buku tersebut diterbitkan oleh Maktabah wa Mathba’ah al-Ahmadiah, 1345 H/1927 M atas usaha Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan.
Jam’iyah al-Khairiyah Riau masih aktif sehingga tahun 1937 M. Barangkali pengaruh Jam’iyah al-Khairiyah Riau itu begitu besar, maka pada 3 Safar 1342 H/14 September 1923 M di Mesir ditubuhkan pula Al-Jam’iyah al- Khairiyah li Thalabah al-Azhariyah al-Jawiyah oleh pelajar dunia Melayu di Mesir.

Murid Sheikh Ahmad al-Fathani pada peringkat awal yang sangat berminat dalam bidang itu ialah Raja Haji Ali Kelana yang berasal dari Riau-Lingga, berketurunan campuran Melayu-Bugis. Sesudah itu menyusul agak terkemudian sedikit ialah Raja Haji Utsman dan selanjutnya terkenal dengan nama Raja Khalid Hitam. Kader politik Sheikh Ahmad al-Fathani yang terakhir ialah seperti Nik Mahmud bin Ismail berasal dari Kelantan.

Tokoh tersebut dikenali dengan gelaran Datuk Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, Haji Muhammad bin Muhammad Said yang selanjutnya memperoleh gelaran Datuk Laksamana Kelantan, dan Haji Sulung al-Fathani, iaitu bapa Revolusi Islam Patani dalam masa Perang Dunia Kedua.

Sheikh Ahmad al-Fathani telah membawa beberapa orang muridnya, di antaranya Raja Haji Ali Kelana Riau, berulang kali menemui Sultan Turki, Sultan Abdul Hamid ats-Tsani, kerana meminta bantuan untuk melepaskan dunia Melayu daripada tangan penjajahan bangsa asing.
Raja Haji Ali Kelana Riau sekurang-kurangnya dua kali mengikut gurunya Sheikh Ahmad al-Fathani ke Turki, kali yang pertama dalam tahun 1301 H/1883 M dan yang kedua dalam tahun 1322 H/1904 M.

Lihat pula tulisan Dr. Virginia Matheson, “Pada akhir abad ke-19 perhubungan Riau dengan Timur Tengah dikuatkan lagi oleh Raja Ali Kelana supaya dapat bantuan Turki untuk menentang pemerintah penjajahan Belanda yang mahu menghapuskan kerajaan Riau-Lingga”. Berdasarkan tersebut, Virginia Matheson tidak menyebut peranan Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu orang yang bertanggungjawab mengajak Raja Haji Ali Kelana ke Turki untuk meminta bantuan menghapuskan semua bentuk penjajahan di dunia Melayu, selain Indonesia (Hindia- Belanda) dan Semenanjung Tanah Melayu, termasuk Patani dan Cam.

Hubungan politik Sheikh Ahmad al-Fathani dengan Turki-Utsmaniah itu bukan bererti gagal, tetapi tergendala kerana beliau meninggal dunia pada 11 Zulhijjah 1325 H/14 Januari 1908 M dan perkembangan Kerajaan Turki-Utsmaniah pun seterusnya mulai menurun dan lemah.
Pengetahuan dan pengalaman Sheikh Ahmad al-Fathani ketika membuat hubungan politik dengan negara luar menjadi sumber inspirasi kepada salah seorang muridnya iaitu Raja Haji Utsman/Raja Khalid Hitam bin Raja Hasan Riau. Beliau pergi ke Jepun sebanyak dua kali, iaitu pada 1912 dan 1913.

Tujuannya meminta bantuan dari Kerajaan Jepun mengusir penjajah Belanda dan Inggeris dari bumi Melayu. Keberangkatannya ke Jepun adalah setelah mendapat persetujuan Raja Haji Ali Kelana dan beberapa kerabat Diraja Riau-Lingga dan Johor lainnya. Raja Khalid Hitam meninggal dunia di Jepun pada 11 Mac 1914.

Dalam tahun 1939, ketika menghadapi Perang Dunia Ke-II barulah utusan Jepun datang ke Singapura mencari keturunan Raja Khalid Hitam. Yang berjaya ditemui oleh utusan dari Jepun itu hanyalah Ibrahim Ya’qub, yang ketika itu sebagai pemimpin kebangkitan Melayu.

Ibrahim Ya’qub bersama sahabatnya Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad pun mengadakan perundingan dengan utusan Jepun itu. Peristiwa itu menjadi titik bermulanya kedatangan orang-orang Jepun ke dunia Melayu untuk menghadapi perang Asia-Pasifik. Ibrahim Ya’qub diberi pangkat dalam militer Jepun sebagai Leftenan Kolonel, sedangkan Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad hanya sebagai Leftenan saja. Namun kerana kecergasannya, beberapa bulan kemudian Raja Haji Muhammad Yunus dilantik sebagai Mejar tanpa melalui pangkat Kapten terlebih dahulu.

Berdasarkan cerita ini dapat disimpulkan bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani turut terlibat dalam politik dunia Melayu pada peringkat awal hingga sampai ke pintu gerbang kemerdekaan.
Beberapa pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani tentang politik adalah cukup jelas seperti yang telah dibicarakan. Untuk lebih lengkap lagi dapat dirujuk melalui surat-surat antara Sheikh Ahmad al-Fathani dengan sultan-sultan di dunia Melayu. Di antaranya termasuk surat beliau kepada Sultan Zainal Abidin III, Terengganu dan Sultan Manshur, Kelantan. Selain surat yang tersebut, banyak lagi surat Sheikh Ahmad al-Fathani yang membicarakan isu politik yang ditujukan kepada murid-muridnya.

Di antara surat beliau yang membicarakan isu politik termasuk beberapa pucuk yang ditujukan kepada Nik Mahmud bin Ismail Kelantan, yang ketika itu masih belajar di Mesir.
Surat dari raja-raja Melayu yang ditujukan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani juga banyak, termasuklah surat daripada Raja Muda Jambu bertarikh 30 Jamadilawal 1316 H/1898 M. Surat tersebut adalah sebagai bukti bahawa Raja Jambu termasuk salah seorang yang anti penjajah Siam-Buddha.

Kata Raja Jambu, dalam surat tersebut, “Maka sangatlah bertambah- tambah harap sahaya mi[n]ta Tuan tolong mendoakan bagi sahaya wal ‘iyal, mi[n]ta Tuhan li[m]pahkan kebajikan dunia dan akhirat dan lepaskan sekalian kekeruhan dan dijauhkan sekalian bala’-waba’ dan kesusahan kuffar Siam, sekarang ia masuk duduk memerintah di dalam Jerim pula. Maka jadi dua raja sangatlah kesusahan dan kepicikannya. Mi[n]ta Tuhan pindahkan dia dengan segeranya …”
Daripada surat yang tersebut dan surat-surat raja-raja Melayu yang ditujukan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani, dapat dirumuskan bahawa beliau menjadi rujukan pelbagai persoalan termasuklah politik bagi sultan-sultan di dunia Melayu.

Pemikiran Politik

Pemikiran politik Sheikh Ahmad al-Fathani dapat dilihat dalam beberapa kitab beliau, antaranya Hadiqah al-Azhar, Faridah Faraid, Jumanah At-Tauhid, dan Al-Fatawa Al-Fathaniyah.

Koleksi Tulisan Allahyarham
WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SHEIKH DAUD ABDULLAH FATHANI

SHEIKH DAUD ABDULLAH FATHANI

NAMA penuh beliau ialah al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris (juga dikatakan Wan Senik) al-Fatani. Ibunya bernama Wan Fathimah anak Wan Salamah bin Tok Banda Wan Su bin Tok Kaya Rakna Diraja bin Andi (Faqih) Ali Datok Maharajalela bin Mustafa Datu Jambu (Sultan Abdul Hamid Syah) bin Sultan Muzaffar Waliullah bin Sultan Abu Abdullah Umdatuddin.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Syeikh Daud Patani ini mempunyai lima beradik iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan Abdul Rasyid, Syeikh Wan Idris dan seorang adik perempuan namanya Siti Khadijah bin Abdullah al-Fathani.

Syeikh Daud al-Fathani adalah keturunan Faqih Ali. Rujukan asal yang mengatakan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Faqih Ali diperolehi tulisan Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan iaitu: “Syahdan dan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah cerita anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali.
“Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya sendiri. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damit Kampung Bira pada tahun 1049 H.
“Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran orang di Patani memanggilnya Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Ce' Dewi anak Sri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 M”.

Berbalik kepada Syeikh Daud al-Fathani, beliau dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisek ini terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur.
Tahun kelahirannya tidak dapat dipastikan kerana terdapat perselisihan pendapat di kalangan penyelidik mengenainya. Dalam catatan-catatan beberapa keluarga penulis yang ada hubungan dengan beliau, ada yang mencatat tahun 1133 H, 1153 H dan tahun 1183 H.
Sheikh Daud dan ilmu pengetahuan
Ayah Sheikh Daud iaitu Sheikh Wan Abdullah dan datuknya Sheikh Wan Idris adalah ulama besar untuk zamannya. Sejak kecil Sheikh Daud al-Fathani ditanam dan dididik dengan ajaran Islam oleh datuk dan ayahnya.

Tambahan pula menjadi tradisi zaman itu di Patani sentiasa diperkenalkan Islam sejak kanak-kanak lagi. Anak-anak yang berumur lima atau enam tahun dipaksa supaya menghafal pengetahuan mengenal Allah (ilmu tauhid), dan seterusnya diberi pelajaran nahwu dan sharaf juga secara menghafal. Syeikh Daud al-Fathani telah melalui kesemua sistem pendidikan tradisional yang ada di Patani pada ketika itu.

Pada peringkat awalnya Syeikh Daud berguru dengan kaum keluarganya sendiri yang memang terkenal alim. Seorang daripada mereka ialah bapa saudaranya, Sheikh Shafiyuddin.
Ada yang berpendapat bahawa Sheikh Daud al-Fathani menerima pelajaran asasnya di Patani selama lima tahun, kemudian ke Aceh belajar dengan Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi selama dua tahun. Sheikh Muhammad Zain al-Asyi adalah seorang ulama terkemuka di Kesultanan Aceh.

Namun yang dapat dipercayai bahawa Sheikh Daud al-Fathani dan kawan-kawannya telah belajar di Mekah selama 30 tahun dan lima tahun di Madinah. Disebabkan masa belajar yang lama itu beliau digelar al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani.
Setelah demikian lama beliau menuntut ilmu pengetahuan, maka beliau pulang ke Patani untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di negeri tumpah darah sendiri. Namun timbul krisis peperangan antara Patani dengan Siam pada ketika itu. Diriwayatkan bahawa beliau melibatkan diri dalam peperangan itu, terjun secara langsung di gelanggang jihad fi sabilillah.

Apabila terjadi peperangan tersebut, akhirnya beliau kembali ke Mekah bersama-sama beberapa pelarian politik. Sampai di Mekah, beliau dilantik menjadi Ketua Sheikh Haji dan beliau adalah orang pertama dilantik secara langsung sebagai ketua. Beliau juga melibatkan diri dengan penulisan yang merupakan hobi beliau, di samping mengajar di Masjidil Haram. Karangannya dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab.

Karangan beliau dalam bahasa Arab tidak banyak tersebar di Asia Tenggara. Adapun dengan bahasa Melayu tersebar secara meluas, walaupun di zamannya masih merupakan kitab tulisan tangan sahaja kerana belum ada yang bercetak.

Dalam beberapa karyanya, beliau mengupas masalah-masalah keilmuan. Antara lain tulisan beliau: Maka lazimkan olehmu hai saudaraku dengan menuntut ilmu yang fardu ain yang wajib atasmu. Belajar akan dia pada syarak supaya engkau dapat sahkan iktikad kamu dan ibadat kamu. Dan supaya sejahtera daripada seksanya. Dan supaya engkau akan dapat pahala, keredaan dan kasihnya”.
Pada mukadimah karyanya Bughyatuth Thullab, beliau menulis, ertinya “Dan adapun kemudian daripada itu maka bahawasanya beberapa nafas yang cerdik-cerdik yang menuntut bagi beberapa martabat yang tinggi-tinggi sentiasa perangainya itu di dalam menghasilkan beberapa ilmu syarak.
Beliau juga membuat penafsiran dalam beberapa hadis. Antaranya hadis berikut, “Sedikit Fiqhi itu lebih baik daripada banyak ibadat” yang ertinya: “Barang siapa belajar ilmu dan tiada berkehendak dengan dia akan wajah Allah s.w.t., tiada kerana-Nya melainkan supaya mengena dengan dia akan kehendaknya daripada dunia tiada akan bilik syurga yang ke atas pada hari kiamat”.

Beliau mengulas tentang hadis-hadis tersebut dalam Bughyatuth Thullab seperti berikut: “Maka dapat difahami hadis ini, tiada dipuji daripada kelebihan ilmu itu melainkan jikalau ada qasadnya dan tuntutnya itu berkehendak dengan dia akan wajah Allah s.w.t. dan berkehendak ia mengeluarkan dirinya daripada kelam kabut jahilnya kepada Nur ilmu.

“Maka jika ada qasadnya akan dunia seperti harta atau kebesaran atau gelaran atau kemegahan atau masyhur atau melengkapi muka manusia kepadanya dan lainnya maka iaitu dicela seperti barang yang tersebut pada hadis itu”.

Menurut beliau lagi: “Maka tatkala adalah kelebihan ilmu demikian itu maka sebenarnya bahawa tiap-tiap orang yang kasih bagi dirinya kebajikan maka hendaklah ia ijtihad atas qadar kuasa pada menghasilkan dia, kadang-kadang mengaji, kadang-kadang mengajar, kadang-kadang menunjukkan orang yang jahil satu bab daripada masalah memberi manfaat pada agama istimewa pula jikalau lebih lagi”.

Daripada kalimat-kalimat beliau itu dapatlah kita fahami bahawa seseorang Islam yang bertanggungjawab adalah terlebih dahulu memberikan pendidikan agama Islam kepada anak-anaknya. Ini adalah merupakan kewajipan agama Islam.

Adapun pendapat Sheikh Daud al-Fathani bahkan ulama-ulama di zaman lampau lebih terikat dan menitikberatkan pendidikan Islam berbanding pendidikan lainnya. Menurut Islam, yang utama dipelajari ialah belajar akan memberi faham dua kalimah syahadat, wajib taharah (bersuci), solat, puasa, hukum zakat, hukum berjual-beli menurut Islam dan lain-lainnya, semuanya telah diatur dalam fikah Islam.

Sheikh Daud al-Fathani dalam Bughyatuth Thullab berkata: “Selagi seseorang masih tidak mengerti akan seluk belok tentang keIslaman, maka seseorang itu tetap masih jahil, walau pengetahuan lain masih dikuasai demikian rupa”.

Kewafatan

Sheikh Daud al-Fathani wafat dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersampingan dengan kubur Saidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w.. Tahun kewafatannya juga belum diketahui dengan pasti. Tetapi ada yang berpendapat beliau wafat sekitar tahun 1847 M, juga ada yang menyebut tahun 1265 H.

Menurut cerita ibu penulis Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, beliau mendengar daripada ibunya, Hajah Wan Siti Saudah binti Abdullah bahawa jenazah beliau telah dipindahkan oleh Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani ke Mekah, ditanam di bawah pohon Bedara di rumahnya.
Hal ini disebabkan pada zaman itu pihak Wahabi akan membongkar semua kubur yang dikeramatkan termasuk kubur Sheikh Daud al-Fathani.

Bagi penulis, walaupun beliau telah lama meninggal dunia namun jenazahnya tidak hancur, darah masih berjalan kecuali nafas sahaja yang tiada.
Salasilah keilmuan Syeikh Daud al-Fathani

SETELAH selesai membicarakan salasilah Sheikh Daud al-Fathani mengenai asal-usul keturunannya, pendidikannya dan kewafatannya, maka penulis bicarakan pula tentang guru-guru dan murid-muridnya. Sheikh Daud al-Fathani belajar daripada ramai guru-guru dalam pelbagai bidang. Beliau juga menurunkan ramai murid-murid yang menjadi ulama dan tokoh terkenal di Alam Melayu.

Guru-gurunya

Dipercayai bahawa Sheikh Daud al-Fathani mendapat pendidikan dasar keislaman dimulai dari lingkungan keluarga sendiri. Ayah dan datuknya adalah ulama besar yang bertanggungjawab dalam pendidikannya.Ada orang meriwayatkan bahawa Sheikh Daud al-Fathani pernah belajar di Aceh sekitar dua tahun. Dalam manuskrip nombor 486 yang tersimpan di Pusat Islam Malaysia (Kuala Lumpur) ada menyebut bahawa Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani mengambil ijazah muqaranah daripada Sheikh Muhammad Zain Aceh. Bererti tentunya Sheikh Daud al-Fathani juga belajar dengan Sheikh Muhammad Zain. Sheikh Muhammad Zain adalah penyusun kitab Bidayat al-Hidayat, Kasyf al-Kiram dan lain-lain. Nama pada kitab karya-karyanya ialah Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi.

Ketika melanjutkan pelajarannya di Mekah, Sheikh Daud al-Fathani mendekati para ulama Patani yang telah bermastautin di Mekah. Di antara ulama Patani yang telah diiktiraf dan dibolehkan mengajar di Masjidil Haram ialah Sheikh Muhammad Shaleh bin Abdur Rahman al-Fathani. Beliau adalah seorang tokoh ulama Ahli Syari'at dan Haqiqat yang lebih banyak terjun ke dunia kesufian. Kepadanya Sheikh Daud al-Fathani banyak memperoleh ilmu terutamanya ilmu kesufian.
Membai’ahDalam salasilah berasal dari tulisan Sheikh Ismail bin Abdul Lathif Pontianak (lebih dikenali dengan nama Haji Ismail Jabal) yang salasilah itu sekarang ada pada salah seorang muridnya seorang ulama Pontianak bernama Haji Abdur Rani Mahmud, bahawa Sheikh Daud al-Fathani belajar kepada Sheikh Ali bin Ishaq pada bidang Tarekat Samaniyah. Akan tetapi pada bidang Thariqat Syathariyah pula adalah sebaliknya, iaitu Sheikh Daud al-Fathani telah membai'ah Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani. Jadi bererti Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani adalah murid Sheikh Daud al-Fathani, bukan guru beliau.Daripada dua sumber yang bertentangan itu, penulis berpendapat bahawa sebelum Sheikh Daud al-Fathani menjadi seorang ulama besar, mungkin saja beliau belajar kepada Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani. Riwayat yang lain pula dikatakan bahawa Sheikh Daud al-Fathani belajar langsung kepada Sheikh Muhammad bin Abdul Karim Samman al-Madani penegak/pelopor Tarekat Samaniyah.

Tentang ia belajar kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim Samman itu telah penulis bicarakan dalam buku penulis berjudul Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani, juga buku penulis berjudul Perkembangan Ilmu Fiqhi dan Tokoh-tokohnya di Asia Tenggara. Berkemungkinan kerana Sheikh Daud al-Fathani yang termuda, lebih muda pula dari sahabatnya Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani, maka beliau merasa perlu mendapat didikan dan bimbingan dari yang lebih tua.

Namun Sheikh Daud al-Fathani belajar terus secara rutin sehingga ia menjadi seorang yang berkebolehan dalam banyak bidang, maka tidak mustahil sahabatnya yang jauh lebih tua daripadanya kembali belajar kepadanya. Kejadian seperti tersebut ini adalah lumrah dalam dunia pendidikan.Sheikh Daud al-Fathani memang memang belajar kepada banyak guru. Berbagai aliran mazhab dan aliran iktikad dan kepercayaan yang dipelajari.

Pegangan tetapnya tidak berganjak menurut tradisi nenek moyangnya iaitu Mazhab Syafi’e dalam Fiqh dan mengikut Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam iktikad. Beliau tetap tidak berani mengambil jalan keluar supaya dalam Islam ini mesti melepaskan diri dari Mazhab Syafie ataupun tidak mengikat diri dari fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah walaupun pengetahuan beliau dalam segala bidang sangat mendalam.

Pengetahuannya yang menyeluruh lengkap bukan hanya di bidang Islam sahaja, tetapi termasuk pengetahuan umum dan pengetahuan duniawinya. Ilmu kedoktoranDikuasainya juga ilmu kedoktoran walaupun beliau tidak menjadi seorang doktor. Beliau juga mendalami ilmu hisab dan ilmu falak.
Sungguhpun beliau bukan seorang ahli politik, tetapi beliau bukanlah seorang yang mudah dipengaruhi oleh ideologi politik yang menang di zamannya. Beliau tetap merupakan seorang ulama yang berideologi Islam sebagai dasar negara. Secara asasnya, tentang teori dan praktik zikir dalam Tarekat Syathariyah Sheikh Daud al-Fathani telah menerima bai’ah dari Sheikh Mursyidnya, yang diakui sebagai ulama Sufi yang 'Arif Billah iaitu Sheikh Muhammad As’ad. Salasilah mengenai Tarekat Syathariyah ini secara lengkapnya ada disebutkan di dalam naskhah tulisan tangan beliau sendiri iaitu Kaifiyat Khatam Quran.

Mengenai salasilah Tarekat Samaniyah mulai dari Sheikh Daud al-Fathani yang diikuti Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani, Sheikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani, Sheikh Abul Hasan dan Maulana Sheikh Hasib mungkin hidup segenerasi dan dapat menemui Sheikh Muhammad Karim Saman secara langsung. Ada pun tentang penerimaan bai’ah Tarekat boleh saja dibai’ah oleh murid yang lebih tinggi darjatnya atau lebih tua umurnya dengan syarat ada pelantikan Sheikh Mursyid sebagai khalifahnya. Salasilah lengkap Tarekat Samaniyah Sheikh Daud al-Fathani ini tertulis dalam kitab Siyarus Salikin karangan Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani.Adapun mengenai sanad Ilmu Tauhid/Usuluddin hingga sampai kepada al-Imam Abul Hasan al-Asy’ari, keterangannya adalah sebagai yang berikut.

Bahawa Sheikh Daud al-Fathani masih sempat menemui tahun-tahun kehidupan seorang ulama besar Mazhab Syafi’e yang menjadi Mahaguru di Universiti al-Azhar di Kaherah, Mesir, yang terkenal dengan sebutan Imam Syarqawi (1150 H- 1227 H). Ulama mazhab Syafie itu banyak murid-muridnya. Seorang di antaranya bernama Sheikh Muhammad bin Ali as-Syanwani yang sangat popular dengan Imam as-Syanwani saja.

Bahawa beliau adalah sezaman dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Tarekat SyazaliyahDari versi lain mengenai Ilmu Usuluddin ini, terkenal lagi dengan nama seorang Imam besar yang disebut Imam Abu Manshur al-Maturidi. Bahkan salasilah Sheikh Daud al-Fathani sampai kepada imam besar tersebut. Salasilah lengkap mengenai sanad Ilmu Tauhid/Usuluddin daripada kedua-dua Imam besar yang disebutkan di atas tidak disentuh, tetapi telah disebut dalam buku berjudul Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani: Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara.Pertalian salasilah Tarekat Syazaliyah adalah sebagai berikut iaitu Sheikh Wan Daud bin Abdullah al-Fathani belajar kepada Sheikh Muhammad Saleh bin Ibrahim, ketua Mazhab Syafi’e di Mekah (wafat pada 1226 H) dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan termasuk Tarekat Syazaliyah.

Susunan salasilah lengkapnya tidak penulis senaraikan, tetapi disebut juga dalam buku berjudul Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani: Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara.Sebilangan besar pula pernah penulis bicarakan mengenai riwayat hidup mereka sama ada dalam artikel ini mahupun buku-buku tulisan penulis sendiri. Dalam artikel yang akan datang, penulis akan memperkenalkan serba sedikit mengenai murid-murid Sheikh Daud Al-Fathani.

Koleksi Tulisan Allahyarham: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SYEIKH NAWAWI AL-BANTANI

Syeikh Nawawi Al-Banteni

DIGELAR IMAM NAWAWI KEDUA


NAMA Imam Nawawi tidak asing lagi bagi dunia Islam terutama dalam lingkungan ulama-ulama Syafi'iyah. Ulama ini sangat terkenal kerana banyak karangannya yang dikaji pada setiap zaman dari dahulu sampai sekarang. Pada penghujung abad ke-18 lahir pula seorang yang bernama Nawawi di Banten, Jawa Barat. Setelah dia menuntut ilmu yang sangat banyak, mensyarah kitab-kitab bahasa Arab dalam pelbagai disiplin ilmu yang sangat banyak pula, maka dia digelar Imam Nawawi ats-Tsani, ertinya Imam Nawawi Yang Kedua. Orang pertama memberi gelaran demikian ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Gelaran yang diungkapkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam seuntai gubahan syairnya itu akhirnya diikuti oleh semua orang yang menulis riwayat ulama yang berasal dari Banten itu. Sekian banyak ulama dunia Islam sejak sesudah Imam Nawawi yang pertama (wafat 676 Hijrah/1277 Masehi) sampai sekarang ini belum ada orang lain yang mendapat gelaran Imam Nawawi ats-Tsani, kecuali Syeikh Nawawi, ulama kelahiran Banten yang dibicarakan ini. Rasanya gelaran demikian memang dipandang layak, tidak ada ulama sezaman dengannya mahupun sesudahnya yang mempertikai autoritinya dalam bidang ilmiah keislaman menurut metode tradisional yang telah wujud zaman berzaman dan berkesinambungan.

Sungguhpun Syeikh Nawawi ats-Tsani al-Bantani diakui alim dalam semua bidang ilmu keislaman, namun dalam dunia at-thariqah ash-shufiyah, gurunya Syeikh Ahmad Khathib Sambas tidak melantik beliau sebagai seorang mursyid Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, tetapi yang dilantik ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani, iaitu ayah saudara kepada Syeikh Nawawi al-Bantani, yang sama-sama menerima thariqat itu kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Apakah sebabnya terjadi demikian hanya diketahui oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas dan Syeikh Nawawi al-Bantani. Syeikh Nawawi al-Bantani mematuhi peraturan yang diberikan itu, sehingga beliau tidak pernah mentawajuh/membai'ah seseorang muridnya walaupun memang ramai murid beliau yang menjadi ulama besar yang berminat dalam bidang keshufian.

LAHIR DAN PENDIDIKAN

Nama lengkapnya adalah Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar ibnu Arabi bin Ali al-Jawi al-Bantani. Beliau adalah anak sulung seorang ulama Banten, Jawa Barat, lahir pada tahun 1230 Hijrah/1814 Masehi di Banten dan wafat di Mekah tahun 1314 Hijrah/1897 Masehi. Ketika kecil, beliau sempat belajar kepada ayahnya sendiri, dan di Mekah belajar kepada beberapa ulama terkenal pada zaman itu, di antara mereka yang dapat dicatat adalah sebagai berikut: Syeikh Ahmad an-Nahrawi, Syeikh Ahmad ad-Dumyati, Syeikh Muhammad Khathib Duma al-Hanbali, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Maliki, Syeikh Zainuddin Aceh, Syeikh Ahmad Khathib Sambas, Syeikh Syihabuddin, Syeikh Abdul Ghani Bima, Syeikh Abdul Hamid Daghastani, Syeikh Yusuf Sunbulawani, Syeikhah Fatimah binti Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Yusuf bin Arsyad al-Banjari, Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman al-Falimbani, Syeikh Mahmud Kinan al-Falimbani, Syeikh Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani. Demikian saja para gurunya yang dapat dicatat daripada berbagai-bagai sumber, dan berkemungkinan banyak yang belum dapat dicatat di sini.

Dipercayai beliau datang ke Mekah dalam usia 15 tahun dan selanjutnya setelah menerima pelbagai ilmu di Mekah, beliau meneruskan pelajarannya ke Syam (Syiria) dan Mesir. Setelah keluar dari Mekah kerana menuntut ilmu yang tidak diketahui berapa lamanya, lalu beliau kembali lagi ke Mekah. Keseluruhan masa beliau tinggal di Mekah dari mulai belajar, mengajar dan mengarang hingga sampai kemuncak kemasyhurannya lebih dari setengah abad lamanya. Diriwayatkan bahawa setiap kali beliau mengajar di Masjidil Haram sentiasa dikelilingi oleh pelajar yang tidak kurang daripada dua ratus orang. Kerana sangat terkenalnya beliau pernah diundang ke Universiti al-Azhar, Mesir untuk memberi ceramah atau fatwa-fatwa pada beberapa perkara yang tertentu.

Belum jelas tahun berapa beliau diundang oleh ahli akademik di Universiti al-Azhar itu, namun difahamkan bahawa beliau sempat bertemu dengan seorang ulama terkenal di al-Azhar (ketika itu sebagai Syeikhul Azhar), iaitu Syeikh Ibrahim al-Baijuri (wafat 1860 Masehi) yang sangat tua dan lumpuh kerana tuanya. Kemungkinan Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Syeikhul Azhar yang terkenal itu termasuk salah seorang di antara guru kepada Syeikh Nawawi al-Bantani.

MURID MURID

Diriwayatkan bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani mengajar di Masjidil Haram menggunakan bahasa Jawa dan Sunda ketika memberi keterangan terjemahan kitab-kitab bahasa Arab. Barangkali ulama Banten yang terkenal itu kurang menguasai bahasa Melayu yang lebih umum dan luas digunakan pada zaman itu. Oleh sebab kurang menguasai bahasa Melayu, maka tidak berapa ramai muridnya yang berasal dari luar pulau Jawa (seperti Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu dan Patani). Tetapi Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa beliau menerima satu amalan wirid daripada Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani, dan Syeikh Abdul Qadir itu menerimanya daripada Syeikh Nawawi al-Bantani. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II) sebenarnya bukan peringkat murid kepada Syeikh Nawawi al-Bantani tetapi adalah peringkat sahabatnya. Syeikh Nawawi al-Bantani (1230 Hijrah/1814 Masehi) lebih tua sekitar empat tahun saja daripada Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II, 1234 Hijrah/1817 Masehi). Adapun murid Syeikh Nawawi al-Bantani di pulau Jawa yang menjadi ulama yang terkenal sangat ramai, di antara mereka ialah, Kiyai Haji Hasyim Asy'ari, Pengasas Pondok Pesantren Tebuireng, Jawa Timur, bahkan beliau ini dianggap sebagai bapa ulama Jawa dan termasuk pengasas Nahdhatul Ulama. Murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang terkenal pula ialah Kiyai Haji Raden Asnawi di Kudus, Jawa Tengah, Kiyai Haji Tubagus Muhammad Asnawi di Caringin, Purwokerto, Jawa Barat, Syeikh Muhammad Zainuddin bin Badawi as-Sumbawi, Syeikh Abdus Satar bin Abdul Wahhab as-Shidqi al-Makki, Sayid Ali bin Ali al-Habsyi al-Madani dan ramai lagi.

Salah seorang cucunya, yang juga mendapat pendidikan sepenuhnya daripada beliau ialah Syeikh Abdul Haq bin Abdul Hannan al-Jawi al-Bantani (1285 Hijrah/1868 Masehi - 1324 Hijrah/1906 Masehi). Pada halaman pertama Al-Aqwalul Mulhaqat, Syeikh Abdul Haq al-Bantani menyebut bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani adalah orang tuanya (Syeikhnya), orang yang memberi petunjuk dan pembimbingnya. Pada bahagian kulit kitab pula beliau menulis bahawa beliau adalah `sibthun' (cucu) an-Nawawi Tsani. Selain orang-orang yang tersebut di atas, sangat ramai murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang memimpin secara langsung barisan jihad di Celegon melawan penjajahan Belanda pada tahun 1888 Masehi. Di antara mereka yang dianggap sebagai pemimpin pemberontak Celegon ialah: Haji Wasit, Haji Abdur Rahman, Haji Haris, Haji Arsyad Thawil, Haji Arsyad Qasir, Haji Aqib dan Tubagus Haji Ismail. Semua mereka adalah murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang dikaderkan di Mekah.

KARYA KARYA

Berapa banyakkah karya Syeikh Nawawi ats-Tsani al-Bantani yang sebenarnya belum diketahui dengan pasti. Barangkali masih banyak yang belum masuk dalam senarai yang ditulis oleh penulis-penulis sebelum ini. Saya telah memiliki karya ulama Banten ini sebanyak 30 judul. Judul yang telah saya masukkan dalam buku berjudul Katalog Besar Persuratan Melayu, sebanyak 44 judul. Semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani ditulis dalam bahasa Arab dan merupakan syarahan daripada karya orang lain. Belum ditemui walau sebuah pun karyanya yang diciptakan sendiri. Juga belum ditemui karyanya dalam bahasa Melayu, Jawa ataupun Sunda. Oleh sebab kekurangan ruangan di antara 44 judul di bawah ini saya catat sekadarnya saja, ialah:

1. Targhibul Musytaqin, selesai Jumaat, 13 Jamadilakhir 1284 Hijrah/1867 Masehi. Cetakan awal Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 Hijrah.
2. Fat-hus Shamadil `Alim, selesai awal Jamadilawal 1286 Hijrah/1869 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah Daril Kutubil Arabiyah al-Kubra, Mesir 1328 Hijrah.
3. Syarah Miraqil `Ubudiyah, selesai 13 Zulkaedah 1289 Hijrah/1872 Masehi. Cetakan pertama Mathba'ah al-Azhariyah al-Mashriyah, Mesir 1308 Hijrah.
4. Madarijus Su'ud ila Iktisa'il Burud, mulai menulis 18 Rabiulawal 1293 Hijrah/1876 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, akhir Zulkaedah 1327 Hijrah.
5. Hidayatul Azkiya' ila Thariqil Auliya', mulai menulis 22 Rabiulakhir 1293 Hijrah/1876 Masehi, selesai 13 Jamadilakhir 1293 Hijrah/1876 Masehi. Diterbitkan oleh Mathba'ah Ahmad bin Sa'ad bin Nabhan, Surabaya, tanpa menyebut tahun penerbitan.
6. Fat-hul Majid fi Syarhi Durril Farid, selesai 7 Ramadan 1294 Hijrah/1877 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1304 Hijrah.
7. Bughyatul `Awam fi Syarhi Maulidi Saiyidil Anam, selesai 17 Safar 1294 Hijrah/1877 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah al-Jadidah al-'Amirah, Mesir, 1297 Hijrah.
8. Syarah Tijanud Darari, selesai 7 Rabiulawal 1297 Hijrah/1879 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah `Abdul Hamid Ahmad Hanafi, Mesir, 1369 Masehi.
9. Syarah Mishbahu Zhulmi `alan Nahjil Atammi, selesai Jamadilawal 1305 Hijrah/1887 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1314 Hijrah atas biaya saudara kandung pengarang, iaitu Syeikh Abdullah al-Bantani.
10. Nasha-ihul `Ibad, selesai 21 Safar 1311 Hijrah/1893 Masehi. Cetakan kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1323 Hijrah.
11. Al-Futuhatul Madaniyah fisy Syu'bil Imaniyah, tanpa tarikh. Dicetak di bahagian tepi kitab nombor 10, oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1323 Hijrah.
12. Hilyatus Shibyan Syarhu Fat-hir Rahman fi Tajwidil Quran, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1332 Hijrah.
13. Qatrul Ghaits fi Syarhi Masaili Abil Laits, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.
14. Mirqatu Su'udi Tashdiq Syarhu Sulamit Taufiq, tanpa tarikh. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah 1304 Hijrah.
15. Ats-Tsimarul Yani'ah fir Riyadhil Badi'ah, tanpa tarikh. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Bahiyah, Mesir, Syaaban 1299 Hijrah. Dicetak juga oleh Mathba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, 1342 Hijrah.
16. Tanqihul Qaulil Hatsits fi Syarhi Lubabil Hadits, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, tanpa tarikh.
17.Bahjatul Wasail bi Syarhi Masail, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Haramain, Singapura-Jeddah, tanpa tarikh.
18. Fat-hul Mujib Syarhu Manasik al- 'Allamah al-Khatib, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1328 Hijrah.
19. Nihayatuz Zain Irsyadil Mubtadi-in, tanpa tarikh. Diterbitkan oleh Syarikat al-Ma'arif, Bandung, Indonesia, tanpa tarikh.
20. Al-Fushushul Yaqutiyah `alar Raudhatil Bahiyah fi Abwabit Tashrifiyah, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Bahiyah, Mesir, awal Syaaban 1299 Hijrah.

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Sheikh Muhammad Arsyad Al-Banjari

Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari
(17/3/1710 – 13/10/1812)

Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari dilahirkan pada 15 Safar 1122 Hijrah bersarnaan 17 Mac 1710 Masihi di Kampung Lok Gabang, Martapura, Banjarmasin. Bapanya Abdullah merupakan seorang pemuda yang dikasihi sultan (Sultan Hamidullah atau Tahmidullah bin Sultan Tahlilullah 1700 1734M). Bapanya bukan asal orang Banjar, tetapi datang dari India, mengembara untuk menyebarkan dakwah. Beliau seorang ahli seni ukiran kayu.
Semasa ibunya hamil, kedua ibu bapanya sering berdoa agar dapat melahirkan anak yang alim dan zuhud. Setelah lahir, ibu bapanya mendidik dengan penuh kasih sayang setelah mendapat anak sulung yang dinanti nantikan ini. Beliau dididik dengan dendangan Asmaul ¬husna, di samping berdoa kepada Allah. Setelah itu diberi pendidikan Al Quran kepadanya. Kemudian barulah menyusul kelahiran adik-adiknya iaitu 'Abidin, Zainal Abidin, Nurmein, dan Nurul Amien.

Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari Semasa Kecil

Sejak kecil, Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari kelihatan cergas dan cerdas serta mempunyai akhlak yang baik dan terpuji. Kehebatan beliau sejak kecil ialah dalam bidang seni lukis dan seni tulis, sehingga sesiapa sahaja yang melihat karyanya akan berasa kagum dan terpukau.
Pada suatu hari, sultan mengadakan kunjungan ke kampung kampung. Apabila baginda sultan sampai ke kampung Lok Gabang, baginda berkesempatan melihat hasil karya lukisan Muhammad Arsyad yang indah lagi memukau hati itu. Justeru, sultan berhajat untuk memelihara dan mendidik Muhammad Arsyad yang tatkala itu baru berusia 7 tahun.
Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari mendapat pendidikan penuh di istana sehingga usianya mencapai 30 tahun. Kemudian, beliau dikahwinkan dengan seorang perempuan yang solehah bernama Tuan Bajut. Hasil perkahwinan, beliau memperoleh seorang puteri yang diberi nama Syarifah.
Syeikh Muhammad Arsyad telah meneruskan pengembaraan ilmunya di Makkah dan Madinah. Segala perbelanjaannya ditanggung oleh Sultan Tamjidillah (1745 1778M) dan pengganti baginda Sultan Tahmidillah (1778 1808M). Selama belajar di Makkah, Syeikh Muhammad Arsyad tinggal di sebuah rumah yang dibeli oleh Sultan Banjar yang terletak di kampung Samiyyah iaitu dikenali sebagai Barhat Banjar.

Syeikh Muhammad Arsyad AI Banjari Semasa Di Makkah Dan Madinah

Semasa di Makkah, Syeikh Muhammad Arsyad belajar dengan tekun di Masjidil Haram dalam pelbagai bidang ilmu. Beliau berguru dengan ulama' ulama' terkenal pada masa itu seperti Syeikh Ataillah Bin Ahmad al Misriy, Syeikh Muhammad Bin Sulaiman al Kurdiy, Syeikh Muhammad Bin Abd Karim al Qadiri, Syeikh Ahmad Bin Abd Mun'im al Damanhuri, Syeikh Hasan Bin Ahmad 'Akisy al Yamani, Sheikh Salim Bin Abdullah al¬Basri, dan banyak lagi.
Sahabat sahabat Syeikh Muhammad Arsyad merupakan golongan pencinta kepada ilmu pengetahuan sehingga setiap perternuan yang merupakan majlis ilmu, mereka saling ber-muzakarah bersama sama. Antara sahabat beliau ialah: Syeikh Abdul Samad al Falimbani, Syeikh Abdul Rahman Mesri, Syeikh Daud bin Abdullah al Fatani, Syeikh Abdul Wahab Sadengreng (Bugis), dan Syeikh Muhammad Salih bin Umar al Samarani atau 'Semarang'.
Untuk menambah ilmu, Syeikh Muhammad Arsyad bersama sahabatnya ingin merantau pula ke Mesir. Namun, setelah bersiap untuk berangkat, mereka mendapat khabar bahawa ulama' besar Mesir iaitu Syeikh Muhammad Bin Sulaiman al¬-Kurdie datang ke Madinah. Lantas beliau bersama sahabat pergi ke Madinah untuk berguru dengan syeikh tersebut.

Pulang Ke Tanah Air

Setelah berada selama 30 tahun di Makkah dan lima tahun di Madinah, Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari pulang ke tanah air untuk menyebarkan Islam. Setibanya beliau ke kampung halaman, beliau membuka pusat pusat pengajian untuk memudahkan masyarakat Islam menimba ilmu pengetahuan. Selain itu, Syeikh Muhammad Arsyad
turut membiasakan diri bersama orang kampong berkebun, bersawah, dan bertani.
Di samping aktif mengajar dan mendidik masyarakat Islam yang datang dari pelbagai pelosok daerah, beliau turut turun berdakwah ke segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada rakyat biasa hinggalah kepada golongan pembesar dan bangsawan.
Dalam menyampaikan dakwah, Syeikh Muhammad Arsyad menggunakan pelbagai kaedah pendekatan iaitu Dakwah bil Hal (dakwah yang menggunakan pendekatan contoh dan akhlak yang dipamerkan oleh beliau), Dakwah bil Lisan (dakwah dengan menggunakan pendekatan lidah iaitu mengajak dan menyeru) dan Dakwah bil Kitabah (dakwah dengan menggunakan pendekatan penulisan buku dan risalah).

Karya karya Syeikh Muhammad Arsyad AI Banjari

1. Kitab Usuluddin Ditulis pada 1188H (1774 M), ditulis dalam bahasa Melayu, yang memuatkan masalah tauhid dan keimanan. Risalah ini belum pernah dicetak.
2. Luqthatul 'AjIan fi Bayan Haid wa istihadhati wa nifas al Niswan Iaitu kitab yang mengupas mengenai masalah haid, istihadhah, dan nifas. Isi kitab ini terdiri daripada muqaddimah, 15 fasal, dan penutup. Dicetak pada tahun 1992 di Indonesia. Dalam kitab ini dinyatakan bahawa wajib hukumnya bagi perempuan belajar masalah haid, istihadhah, dan nifas. Jika suami orang berilmu, dia wajib mengajar isterinya; jika sebaliknya, dia wajib memberi keizinan kepada isterinya untuk belajar mengenainya.
3. Kitab Tuhfat al Raghibin Ditulis pada 1188H (1774M). Pernah diterbitkan di Mesir pada 1353H. Kitab ini membincangkan masalah tauhid iaitu penjelasan tentang hakikat iman, perkara¬-perkara yang boleh merosakkan iman, tanda seseorang menjadi murtad, dan sebagainya. Kitab ini terdiri daripada muqaddimah, tiga fasal, dan penutup.
4. Kitab al Qawl al Mukhtasar fi 'Alamat al¬Mahdi al Muntazar Kitab ini mula dikarang pada tahun 1196H. Mengandungi perbahasan tentang tanda tanda kiamat seperti Imam Mahdi, Dajjal, turunnya Nabi Isa, terbit matahari sebelah barat. Ditulis dalarn tulisan jawi dan pernah dicetak di Singapura tahun 1356H (1937M).
5. Kitab Ilmu Falak Kitab ini ditulis dalam bahasa Arab. Penulisannya mernuatkan kaedah bila terjadinya gerhana matahari dan bulan. Walau bagaimanapun kitab ini belum sempat dicetak.
6. Kitab al Nikah Kitab ini menerangkan tentang pengertian wali dan kaedah melaksanakan akad nikah berdasarkan apa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. Kitab ini pernah diterbitkan di Istanbul pada 1304H.
7. Kitab Kanzul Ma'rifah Kitab ini berkaitan dengan ilmu tasawuf serta penjelasan mengenai hakikat mengenal diri untuk mencapai makrifat kepada Allah. Isi kandungannya ditulis dalam bahasa Melayu dan belum dicetak.
8. Kitab Sabil al Muhtadin Inilah kitab beliau yang paling masyhur. Kemasyhuran kitab ini akhirnya menjadi khazanah di beberapa perpustakaan besar iaitu di Makkah, Mesir, Turki, dan Beirut. Kitab ini amat popular di Nusantara yang merangkumi Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Kemboja, dan Brunei.

Karya Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari yang paling terkenal ini merupakan kitab fiqh Melayu yang tersebar luas di seluruh alam Melayu. Terdapat di dalam dua jilid, jilid pertama mempunyai 252 halaman dan jilid kedua 272 halaman. Perbincangan dalam kitab ini meliputi persoalan ibadah yang menyentuh thaharah, solat, puasa, zakat, haji, akikah, korban, makanan yang halal dan haram serta sembelihan.
Kitab ini ditulis atas permintaan Sultan Tahmidillah Bin Sultan Tamjidillah. Penulisannya mengambil masa selama dua tahun iaitu dimulai pada 1193H/1779M dan selesai pada 27 Rabiul Akhir 1195H. Kitab ini pertama kali dicetak di Istanbul pada tahun 1300H/1882M kemudian diulang cetak di Kaherah dan Makkah.
Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari Meninggal Dunia
Beliau meninggal dunia pada malam Selasa iaitu di antara waktu Maghrib dan Isyak, pada 6 Syawal 1227 Hijrah bersamaan 13 Oktober 1812 Masihi. Beliau meninggal dunia pada usia 105 tahun dengan meninggalkan sumbangan yang besar terhadap masyarakat Islam di Nusantara.
Bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau, beberapa tempat di Indonesia telah mengabadikan nama dan karya beliau. Antaranya ialah Universitas Islam Kalimantan Muhammad Arsyad al Banjari dan Masjid Raya Sabilal Muhtadin.

(Sumber: Dewan Agama, Mei 2005, ms46-47)

Aug 14, 2009

MUNAJAT UNTUK HAMBA YANG MENDAMBAKAN KEDAMAIAN

Alhamdulillah, disebabkan ramainya sahabat-sahabat diluar sana yang berada didalam keadaan kedukaan, keresahan dan kebimbangan yang membelenggu diri. Terlintas dihati saya untuk berkongsi sedikit coretan yang diharapkan dapat membantu sahabat sekalian dalam mencari kedamaian dan ketenangan didalam menempuh perjalanan hidup yang panjang dan penuh dengan dugaan ini.. 
Diharapkan coretan ini dapat membantu sahabat sekalian untuk :

1. Mengubati luka dijiwa akibat daripada peristiwa silam
2. Melalui hari-hari yang mendatang dengan jiwa yang sentiasa tenang.
3. Menerima semua Qada’ dan Qadar dari Allah dengan syukur
4. Sentiasa berfikiran positif walau dalam keadaan apa sekalipun

ALLAH MAHA MENGETAHUI YANG TERBAIK UNTUK HAMBANYA

Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Baqarah : Ayat 216 yang bermaksud :

“ Dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu : dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu, sedang ia melarat kepadamu. Dan ALLAH mengetahui, tetapi kamu tidak mengetahui. “

Daripada ayat diatas ini dapatlah kita ketahui bahawa Allah SWT adalah Maha Mengetahui dalam semua perkara baik yang kita suka mahupun tidak. Kerana sesungguhnya kita hanyalah makhluk ciptaan Allah. Dan hanya Allah jua yang menentukan segalanya. Qada dan Qadar yang diputuskan Allah ini adalah yang terbaik untuk hambanya. Allah pastinya tidak akan mengabulkan hajat dan doa hambanya sekiranya ia membawa keburukan kepada kita kerana DIA Maha Mengetahui apa yang akan berlaku dimasa hadapan. Seperti Sabda Rasulullah SAW :

“Demi dzat yang diriku ada ditangannya, tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan kepada hamba-NYA yang mukmin melainkan akan membawa kebaikan kepadanya” (HR MUSLIM)

Mungkin Allah ingin menganugerahkan kepada kita sesuatu yang lebih baik daripada apa yang telah kita hilang dan mungkin juga Allah ingin mengelakkan kita daripada malapetaka yang lebih buruk. Oleh itu janganlah kita berasa dukacita atas apa sahaja yang berlaku kepada diri ini, terimalah Qada’ dan Qadar Allah dengan redha dan tawadu’ , pasti kita akan menjadi orang yang bersyukur.

HIDUP INI ADALAH PENGABDIAN KEPADA ALLAH SWT

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ankabut: Ayat 2 &3 yang bermaksud :

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami Beriman !, dan mereka tidak akan diuji(dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benar beriman “

Hidup kita ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa. Oleh itu, pastinya ia penuh dengan dugaan dan cabaran yang diberikan oleh Allah SWT. Semua dugaan ini juga menunjukkan kasihnya Allah kepada kita kerana Allah seakan-akan memberikan peringatan kepada kita supaya kita lebih mengingatinya. Peringatan ini juga dapat mengelakkan kita daripada terus tersesat jauh dari jalan Allah.

Sabda Rasulullah SAW : Ada dua perkara jika ada pada diri seseorang, maka ALLAH akan mencatatnya menjadi orang-orang yang bersyukur serta sabar dan jika tidak,ALLAH mencatat sebaliknya.

Barangsiapa dalam perkara agama dia melihat kepada orang yang lebih tinggi darinya, lalu dia mengikutinya. Seadangkan tentang hal dunia, dia melihat orang yang lebih rendah darinya, lalu dia bersyukur kepada ALLAH SWT atas nikmat yang telah diberikan. Allah akan mencatat orang ini sebagai orang yang bersyukur dan sabar. Begitu juga sebaliknya, ALLAh akan mencatat sebaliknya.
(HR Tarmizi)

Daripada hadis diatas, dapat kita simpulkan bahawa sekiranya kita menyangka ujian yang kita terima itu sungguh berat, pasti ada hamba lain yang menerima dugaan yang lebih teruk daripada kita. Contohnya : “Penduduk di Gaza yang sedang menghadapi peperangan dengan tentera Zionis Israel sekarang ini”. Dan sekiranya kita merasakan telah banyak beribadah dan membuat amal kebajikan, pasti masih jauh jika ingin dibandingkan dengan keimanan para sahabat, malahan jika dibandingkan dengan para wali ALLAH pun bagai langit dan bumi..Subhanallah..

Kesimpulannya, ingatlah bahawa dunia ini adalah siri ujian dan Tarbiyyah daripada Allah SWT termasuklah dugaan yang kita terima. Janganlah kita sesekali mendurhakai Allah, hadapilah ia dengan penuh ketaatan dan keredhaan bagi menunjukkan kesyukuran kita terhadap semua nikmat dan rahmatnya…

DUGAAN DAPAT MENCUCI DOSA DAN MENGANGKAT DARJAT

Sabda Rasulullah :  

“Tiada sesuatupun yang menimpa seseorang muslim dari susah hati, dukacita, penat dan penyakit yang berterusan, tidak pula dengan kesedihan dan kesakitan, hinggakan kepada tusukan duri, melainkan dihapuskan dengannya Allah dosa hamba itu” (HR AL-BUKHARI & MUSLIM)

Daripada hadis diatas, dapatlah diketahui bahawa daripada sekecil-kecil kesulitan seperti tusukan duri hinggalah menghidap sakit yang teruk seperti kusta merupakan salah satu cara Allah menyucikan dosa dan kesalahan kita. Dugaan ini dapat membersihkan jiwa dan mengangkat darjat kita, contonya : selepas mendapat bala, Allah mengangkat darjat kita sekiranya kita menjadi seorang Islam yang lebih baik dari dahulu.

JANGAN BERPUTUS ASA DARI RAHMAT ALLAH SWT

Firman Allah SWT dalam Surah Yusuf : Ayat 87 yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu berputus asa dari Rahmat ALLAH. Sesungguhnya tiadalah yang berputus asa dari rahmat ALLAH melainkan kaum yang kafir “.

Pastinya ramai diantara kita yang pernah berputus asa terhadap sesuatu perkara, saya sendiri pernah melalui saat-saat seperti itu. Jika dilihat dari ayat diatas, Allah telah melarang kita daripada berputus asa daripada rahmatnya. Oleh itu, apabila kita menghadapi sesukar manapun sesuatu masalah itu, berusahalah kita untuk menyelesaikannya, pertolongan Allah pasti akan tiba sekiranya kita betul-betul sabar seperti Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah : Ayat 214 yang bermaksud :

“Bilakah datangnya pertolongan ALLAH ? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada Agama Allah).

Dan juga Sabda Rasulullah :

Akan dikabulkan (doa) seseorang kamu selama dia dia tidak terburu-buru, sehingga dia mengatakan : Aku sudah berdoa tetapi tidak dikabulkan bagiku. (HR BUKHARI,MUSLIM,ABU DAUD & AT-TIRMIZI)

Ingatlah sahabatku, semua masalah itu pasti ada jalan penyelesaiannya, janganlah kita mengambil jalan mudah dengan berputus asa sahaja. Berusaha dan bertawakallah kita kepada Allah SWT, semoga kita semua termasuk didalam orang-orang yang sentiasa didalam rahmat ALLAH..amin ya rabbal alamin..

KEBAHAGIAAN PASTI DATANG SELEPAS KEDUKAAN

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nasrh : Ayat 5&6 yang bermaksud :

“Oleh itu(tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesusahan disertai kemudahan “

Dan Sabda Rasulullah SAW :

“Dan ketahuilah bahawa kemenangan itu terhasil sesudah kesabaran, dan kelapangan itu mencul sesudah kesusahan. Dan ingatlah bahawa bersama kesulitan itu sentiasa akan timbul kesenangan” (HR IBNU ABBAS).

Ingatlah sahabat-sahabat ku bahawa sesungguhnya kesenangan yang kita kecapi sekarang ini tidak akan selamanya. Begitu juga selepas sesuatu kesusahan yang menimpa diri kita, pastinya ada kesenangan selepas itu sepertimana Firman Allah dan Sabda Rasulullah SAW diatas. Oleh itu hendaklah kita sentiasa berfikiran positif dan sentiasa ingat kepada Allah SWT apabila sesuatu musibah menimpa kita. Ingatlah pada janji-janji Allah ini,pastinya kita akan sentiasa berasa tenang dalam menghadapi apa jua yang perkara dihari yang mendatang.

-SAHABATKU, renung dan fikirkanlah tulisan saya yang tidak seberapa ini, sebarang komen amatlah dialu-alukan. Semoga anda semua menemui kedamaian itu seperti mana saya telah menemuinya. Selepas melalui pelbagai dugaan didalam hidup yang serba mencabar ini, akhirnya Allah SWT menunjukkan jalan kepada hamba yang mendambakan kedamaian ini.

Insyaallah, semoga kita semua dapat bermuhasabah diri dengan tulisan ini, bagi menguatkan diri dan ikatan kita kepada Allahu Taala..INSYAALLAHU TAALA..AMIN...

-Al-Faqir Ilallah-