Feb 10, 2011

TAUBAT SI JEMAAH TABLIGH (8) - TAKLID BUTA KEPUTUSAN MESYUARAT

  PERINGATAN !!!

1.      Kami tidak menghalang orang-Orang Tabligh yang ingin berdakwah dan menghidupkan Sunnah Nabi saw, Mengajak mengerjakan Solah dan sebagainya.

2.      Tetapi, kami menghalang berkata-kata Agama di dalam Keadaan Jahil, dan berkata-kata Agama itu bersumberkan dari mulut-mulut orang lama Tabligh (Eldest) yang tiada bersumberkan dari mana-mana Kitab Muktabar.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

DI BAWAH INI ADALAH FAHAMAN TAUHID SAYA SEMASA BERGERAK SEBAGAI KARKUN DALAM DIDIKAN  GERAKAN TABLIGH DI MALAYSIA

D. TAUBAT YANG KE-8
(Taklid Buta Keputusan Mesyuarat)

1. Dahulu aku pernah berkata bahawa;

Contoh 1

- “Jika ada sesuatu hal dalam Jemaah Tabligh berlaku, kita mesti rujuk kata-kata Mesyuarat, Hitam kata Mesyuarat, maka Hitamlah. Putih kata Mesyuarat, maka putihlah. Kalau seseorang Budak Tabligh tak ikut mesyuarat, maka dia terkeluar dari Jemaah Tabligh.”

2. Demikian lagi, aku telah dididik sebegini, dengarlah wahai para ustaz yang suka membela Jemaah Tabligh. Dengarkanlah akan cerita seram ku ini!!!

Orang yang banyak berkorban dalam Jemaah Tabligh, dia dapat kefahaman khas yang melebihi daripada orang yang belajar ilmu. Jika sekiranya apa-apa yang ia dapat daripada jemaah Tabligh, dan menyalahi Kitab-kitab Ulama’ Islam, maka segera dikatakannya,

“Ulama’-ulama Tabligh lebih faham dari ulama’-ulama’ Islam yang mengarang Kitab.”

Sekalipun masalah yang disalahinya itu adalah Masalah Tauhid dan masalah Ijma’ Ulama’, kerana beri’tiqad bahawa ulama’ Tabligh sahajalah yang faham agama dan segala tafsiran agama.

Ulama’-ulama’ yang bukan ulama’ Jemaah Tabligh, jika pengajarannya menyalahi apa-apa tafsiran dan pegangan ulama’-ulama’ Tabligh, dilabelnya sebagai tidak betul dan tidak boleh dipakai sama sekali sekalipun disertakan dengan Nas Al-Quran dan Hadis, dan juga Nas dari Kitab Muktabar. Ini kerana Ulama’ yang bukan dari kalangan Karkun Tabligh tidak pernah berkorban dalam perjuangan Tabligh.

Dakwah yang sah hanyalah dakwah cara Tabligh sahaja, seluruh dakwah yang bukan cara Tabligh sebenarnya bukan dakwah. Dakwah ertinya cara Tabligh sahaja. Dakwah yang sah hanyalah dakwah yang diiktiraf dan didaftarkan di Markaz Tabligh sahaja iaitu keluar 3 Hari, 40 Hari, 4 Bulan, dan Satu Tahun. Selain daripada ini, adalah BUKAN dakwah.

Antara perkara-perkara yang juga diiktiraf sebagai bukan dakwah ialah Majlis-majlis Ilmu yang di adakan di masjid, dan ustaz-ustaz yang mengajar ilmu di Masjid dan di Pondok-pondok.

Selagi tidak pernah mengikut jemaah Tabligh, tidak boleh dianggap telah berdakwah. Dakwah itu hanyalah dakwah cara jemaah Tabligh, adapun dakwah yang dijalankan tidak mengikut cara Tabligh bukan dakwah sama sekali dan itu hanyalah dakwah rekaan yang tidak mengikut jalan dakwah Rasulullah SAW, dan tidak sah sama sekali selagi tidak mengikut keluar bersama Jemaah Tabligh.

“Apa macam tuan-tuan Ustaz yang suka membela-bela dan mempertahankan Jemaah Tabligh. Majlis Ilmu antum langsung tiada nilai dakwah, dan memang bukan dakwah sama sekali di sisi karkun Tabligh???”

G. PENERANGAN TAUBAT KE-8

1.      Telah berkata guruku yang amat ku kasihi,

“Taubatlah Hai Murid Ku, akan sebagai Taubat yang sebenar-benar Taubat daripada berkeyakinan sedemikian itu, dan daripada apa jua yang berta’alluq dengan keyakinan sedemikian itu.”

2.      Maka, telah beristhigfar aku akan barang yang diperbuat oleh aku pada ketika dahulu. Telah sampai kepada kami oleh perkhabaran yang menyatakan ada di antara Budak-budak Tabligh yang telah belajar Kitab-kitab Muktabar, lalu tidak berapa lama kemudian sudah tidak belajar Kitab lagi, dan mula keluar Bertabligh semula.

3.      Setelah diselidiki, banyak di antara mereka (Budak Tabligh yang dah belajar Kitab) itu mereka mula Berdakwah semula (Dakwah Cara Tabligh tanpa didasari Ilmu Pengetahuan) setelah ditegur oleh pemuka-pemuka Tabligh mereka.

4.      Setelah diperhatikan, antara sebab utama yang paling besar perkara ini boleh berlaku ialah kerana mereka suka bergaul dengan pemuka-pemuka Tabligh mereka (Di Malam Markaz). Lantaran itu, maka bersatulah hati-hati mereka.

5.      Perkara seperti ini serupa dengan satu Kisah Firaun dahulu yang telah tercatit di dalam lembaran  Kitab-kitab Tafsir Muktabar. Kisah ini menerangkan tentang Firaun yang memilih kebatilan, walaupun telah disampaikan kebaikan dan peringatan oleh Nabi Musa as sendiri. Kebaikan dan peringatan yang baik itu telah  dimesyuaratkan bersama Haman (Penasihat Firaun) dulu sebelum diterimanya. 

6.      Marilah kita melihat kisah sejarah tersebut sebagai pedoman hidup kita, yang bersumberkan Kitab ‘Aqidatun Najin Fi ‘Ilmi Usuliddin, bagi Al-’Alim Al-’Allamah Asy-Syaikh Zainul ‘Abidin bin Muhammad Al-Fathani, m/s 67. Baris 13 dari bawah.


- ....(Dan lagi) setengah daripada dalil Naqli yang mentsabitkan Allah Taala ada sifat Mendengar lagi Melihat, ayat Firman Allah Taala ;


Ertinya, “Bahawasanya Aku (Allah Taala) serta kedua kamu, (Musa as dan Harun as), Aku Mendengar, Aku Melihat.”

Yakni, ayat ini turun kepada Nabi kita, Nabi SAW kerana menghikayatkan Firmannya (Allah Taala) kepada Musa dan Harun ‘Alaihimas Salam. Maka, menyuruh oleh Allah Taala kepada keduanya pergi kepada Firaun ‘Alaihi Laknatullah, bahawasanya dia amat Zalim, melampau had.

Maka, katakanlah kepada Firaun ‘Alaihi Laknatullah akan perkataan yang lemah lembut, mudah-mudahan takut ia kepada Allah Taala. Maka, sembah keduanya oleh Musa dan Harun ‘Alaihimas Salam,

“Hai Tuhan kami, bahawasanya kami takut disegerakan dengan bunuh, dan diazabkan, atau ia zalim akan (ke atas) kami.”

Maka Firman-Nya, jangan takut oleh kamu, bahawasanya “Aku serta kedua kamu, Aku Lihat, dan Aku Dengar,” akan kalam (perkataan) kedua kamu.

Ini satu peringatan! Apa yang telah diperkatakan ini menunjukkan seolah-olah Allah Taala telah berdialog dengan Nabi Musa dan Harun ‘Alaihimas Salam. Sebenarnya, Allah Taala bukanlah berdialog dan berkata-kata dengan menggunakan BUNYI dan HURUF. Tetapi, Allah Taala telah membuka hijab ke atas Nabi Musa as supaya dapat mendengar kata-kata Allah Taala yang Qadim (Tiada Mula).

Perihal ini telah saya naqalkan di dalam Taubat ke-2 saya . Tanpa pengetahuan ilmu Tauhid, dan hanya memahaminya berdasarkan Kitab Terjemahan semata-mata sahaja akan membawa kepada Murtad kerana meyakini Allah Taala berdialog dengan Nabi Musa as. Na’uzubillahi Taala. – Pent.)

            Maka, datanglah keduanya Musa dan Harun ‘Alaihimas Salam kepada Firaun ‘Alaihi Laknatullah. Maka, berkatalah baginya oleh Musa as,

            “Adakah bagi mu suka pada bersuluh (beriman) kepada Tuhan kamu. Maka, sesungguhnya telah mengikut engkau, akan nafsu engkau selama 450 tahun. Maka,  ikut olehmu akan Dia (Allah) setahun, nescaya diampun akan segala dosa kamu. Maka, jika tiada, maka sebulan. Maka, jika tiada, maka 7 hari. Maka, jika tiada, maka satu hari. Maka, jika tiada, maka satu sa’at (1 jam).

            Maka, jika tiada pun, maka kata oleh mu pada nafas yang satu jua,


            Maka, adalah itu jumlah orang yang bersuluh (beriman).”

(Sampai begitu sekali seruan Nabi Musa AS kepada Firaun ‘Alaihi Laknatullah untuk beriman kepada Allah. Jikalau tiada boleh ikut sekalipun, ucapkan LaaIlaha’Illallah hanya sekalipun sudah mencukupi. – Pent.)

            “Dan, tiada dihilangkan muda kamu, dan tiada hilang kekayaan kamu. Dan, tiada ditanggalkan daripada kamu kerajaan melainkan mati, maka tinggallah kerajaan kamu. Dan, kekal bagimu lazat yang amat besar makan dan minum, dan berkahwin hingga mati. Dan, di masukkan kamu ke dalam syurga.” Maka, mengelokkan oleh Firaun akan perkataan Nabi Musa AS itu.

(Maka, apabila Firaun ‘Alaihi Laknatullah dengar tawaran itu, dia mahu beriman dan mahu mengikut Syariat Nabi Musa AS. – Pent.)     

            Maka, adat Firaun ‘Alaihi Laknatullah itu, tiada ia memutuskan sesuatu pekerjaan jika tiada hadir Haman, kerana ia Wazir yang amat besar baginya.


Dan, padahal ia (Haman) gha’ib (tiada) pada waktu itu. Maka, tatkala datang Haman, maka ia (Firaun) mengkhabarkan dengan seruan oleh Nabi Musa as kepadanya. Dan, berkata ia (Firaun),

“Aku berkehendak mengikut akan dia.”

Maka berkata Haman baginya (kepada Firaun),

“Adalah aku lihat bagi mu itu BerAqal, dan mempunyai tilik (Pengetahuan). Engkau itu Tuhan, (adakah) engkau berkehendak bahawa bagi kamu Tuhan yang lain? Dan, kamu disembah oleh orang. Dan, (adakah) berkehendak kamu menyembah akan Tuhan yang lain?”

Maka, berkata Firaun ‘Alaihi Laknatullah,

“Perkataan engkau ini Benar.”

Lalu, dihimpunkan tenteranya. Lalu menyeru ia serta berkata ia (Firaun),

“Aku Tuhan Kamu Yang Maha Tinggi, Yang Tiada Tuhan Melainkan Aku.”
..................................

7.      Inilah kesannya kerana perkara kebaikan itu perlu dimesyuaratkan dahulu sebelum menerimanya. Kesannya, jadilah seperti Firaun ‘Alaihi Laknatullah yang terpedaya mengikut kata Haman, sedangkan Firaun ‘Alaihi Laknatullah itu sudah mahu beriman kepada Allah swt tatkala Nabi Musa as berjumpa dengannya.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

8.      Telah dikhabarkan kepada kami mengenai seorang budak Tabligh yang sudah belajar Kitab, dan telah mendapat kebenaran dari apa yang diterangkan oleh Kitab, tetapi tiada yakin ia dengan apa yang dipelajarinya. Lalu, di tanya kepada pemuka-pemuka Tabligh itu,

“Apa benar perkara-perkara yang disampaikan oleh Kitab-kitab Muktabar itu, iaitu tidak boleh berdakwah di dalam Keadaan Jahil Agama?”

9.      Lalu dijawab pemuka-pemuka Tabligh dengan Aqalnya seperti Ahli Falsafah itu,

“Mana ada.....  Kitab tu betul, tapi ustaz yang mengajar tu tak betul kerana menghalang kerja dakwah Nabi saw. Kamu tetap kena keluar Bertabligh. Umat akhir zaman banyak lagi yang menderita. Ustaz yang mengajar Kitab itu tak pernah keluar Tabligh, jadi dia tak faham agama.”

10.  Lantas, kata-kata orang-orang Tabligh itu yang dikuti. Manakala, segala Dalil Nas Al-Quran dan Al-Hadis, Ijmak dan Qias yang bersumberkan Al-Quran dan Hadis dilemparkan kebelakangnya tanpa sedikit pun difikirkan di dalam Hati.

11.  Dan, kesan daripada perkara ini, “Keputusan Mesyuarat” orang-orang Tabligh telah melarang semua orang-orang Tabligh belajar Tauhid berdasarkan Kitab-kitab Muktabar, kerana katanya,

“Orang Berilmu Menghalang Kerja Dakwah Nabi saw.”

12.  Bukti lain keputusan mesyuarat yang banyak diikut oleh orang-oleh Tabligh ialah, apabila ditunjukkan Hadis Nabi saw yang mengatakan Iman telah ditentukan, langsung tak diterimanya. Keputusan mesyuarat yang BATIL ini telah menentukan bahawa,

“Iman masih belum ditentukan, hanya dengan kerja dakwah iman dapat ditingkatkan.”
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

13.  Di sini, kami ingin menarik perhatian saudara-saudara pembaca yang budiman sekalian untuk melihat dan mengenali lebih jauh akan mereka yang suka membuat mesyuarat untuk mengubah Agama Allah. Mereka itulah orang-orang Yahudi dan Nasrani.

14.  Mereka telah menukar apa yang ada dalam Kitab Zabur, Taurat dan Injil. Mereka mengumpul Rahib-rahib di dalam mesyuarat mereka untuk menukar Kitab Allah yang tidak sesuai dengan pendapat mereka. Lalu, mereka menamakan ia sebagai, KEPUTUSAN MESYUARAT.

15.  Seperti apa yang saudara-saudara pembaca sudah sedia maklum, seperti apa yang termaktub di dalam lembaran sejarah, mereka yang mengubah-ngubah Kitab Allah yang SEBENARNYA adalah Rahib-rahib dan Pendeta-pendeta mereka sendiri (Yahudi dan Nasrani) dan bukanlah budak-budak nakal Yahudi dan Nasrani.

16.  Samalah dengan orang Tabligh yang berjubah, berserban dan berjanggut dan membuat keputusan mesyuarat yang mengubah Nas Al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Tiada lagi saya dengari ada di antara pemuka-pemuka Tabligh yang mengatakan Iman SUDAH ditentukan dan TIDAK boleh berubah.

17.  Baiklah! Kami bawakan kepada saudara dan saudari pembaca akan suatu Kisah mengenai para Pendeta Yahudi dan Nasrani ini, yang tersebut di dalam Kitab Tafsir Marah Labid Li Kasyfi Ma’na Quran Majid Asyahir bi Tafsiril Munir Tafsir An-Nawawi Al-Jawi, bagi Asy-Syaikh Muhammad Nawawi Al-Jawi Al-Banteni, Sayyidu Ulama’il Hijaz, Juzu’ 1, m/s 337. Baris 9 dari bawah.

Terjemahan - “Mereka mengambil akan para Ahbar mereka dan para Ruhban mereka, akan sebagai Tuhan-tuhan selain dari Allah.”

Tafsir - Iaitu mengambil oleh orang Yahudi akan ulama’ mereka dari anak cucu Nabi Harun as, dan mengambil oleh orang Nasrani akan ulama’ mereka daripada Paderi-paderi Gereja, akan sebagai Tuhan disamping bertuhankan Allah. Dengan cara mereka mematuhi akan paderi-paderi mereka, yang telah mengubah hukum Allah di dalam Kitab Taurat dan Injil.

Seperti, mengharamkan oleh Paderi itu apa-apa yang telah Allah halalkan di dalam Taurat dan Injil, dan menghalalkan apa yang Allah haramkan. Dan, orang-orang Yahudi dan Nasrani sujud mematuhi para pendeta-pendeta mereka, walaupun mereka tahu pendeta mereka telah mengubah kandungan Taurat dan Injil.

“Dan, (mengambil) Al-Masih Ibnu Maryam (sebagai Tuhan)

- Iaitu mengambil oleh Nasrani akan Al-Masih Isa Ibnu Maryam as sebagai Tuhan yang disembah dengan cara mereka berkata, “Sesungguhnya Al-Masih Isa Ibnu Maryam itu anak Allah”.

“Dan, tiadalah mereka diperintahkan”

Iaitu, Hal keadaan yang sebenarnya orang-orang kafir itu tidak pernah diperintah mereka itu di dalam Taurat dan Injil.

“Melainkan hendaklah mereka menyembah akan tuhan yang satu,”

Yang Maha Besar iaitu Dialah Allah Taala sahaja.

“Tidak ada tuhan melainkan Dia”

Ayat ini menerangkan sifat yang ke-2 bagi Tuhan yang Satu. Sifat yang pertama iaitu perkataan “Yang Satu” pada ayat yang lepas. Manakala, perkataan “Tidak ada tuhan melainkan Dia” adalah sifat yang ke-2 bagi Allah Taala.
 
“Maha suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.”

Iaitu, Suci Allah Taala daripada mempunyai sekutu (rakan) dalam hal menentukan hukum-hakam dan kewajipan agama, tidak ada orang lain boleh menukar hukum-hakam peraturan Allah Taala di dalam Kitab-kitab-Nya dan membuat aturan yang baharu. Dan, Suci Allah Taala daripada mempunyai rakan yang sama-sama turut disembah dan disujud kepadaNya, yakni dipatuhi segala arahan-Nya dengan sehabis-habis patuh.
................................

18.  Dan, tersebut lagi di dalam Kitab Tafsir Ibnu Katsir, bagi Al-Imam Ismail b. Katsir Ad-Dimasyqiy. Bagi Surah At-Taubah, ayat 31. Juzu’ ke-2, m/s 425.


- Telah meriwayatkan oleh Imam Ahmad, dan At-Tirmiziyy, dan Ibnu Jarir daripada beberapa jalan daripada ‘Adi bin Hatim ra, sesungguhnya tatkala sampai kepadanya dakwah Rasulullah saw, maka larilah ia ke Negeri Syam. Adalah ‘Adi bin Hatim beragama Nasrani semasa zaman Jahiliyyah.

            Kemudian merahsiakan oleh saudara perempuannya dan jamaah dari Qaumnya. Kemudian, mengurniakan (mengajak masuk Islam) oleh Rasulullah saw di atas saudara perempuannya. Maka, kembalilah saudara perempuannya kepada saudaranya yang lelaki (‘Adi bin Hatim) serta menggemarkan saudaranya masuk kepada Islam.

            Dalam masa perjalanan menemui Rasulullah saw, maka ‘Adi ke Madinah. Beliau merupakan ketua Qaumnya iaitu Qaum Thai’. Bapanya Hatim At-Tha’i, masyhur dengan kemuliannya. Maka, bercakap-cakaplah manusia dengan kedatangan ‘Adi bin Hatim ke Madinah. Maka, bertemulah ia dengan Rasulullah saw, sedangkan di leher ‘Adi ada Salib daripada Perak. Lalu, Nabi saw membaca ayat 31, Surah At-Taubah.


            Lalu ‘Adi bin Hatim berkata,

“Sesungguhnya orang-orang Nasrani tidak pernah menyembah akan Rahib-rahib mereka.”

Lalu, Rasulullah saw bersabda,

“Bahkan, sesungguhnya mereka para Rahib Yahudi dan Nasrani mengharamkan di atas pengikut mereka, apa yang halal di dalam Taurat dan Injil. Dan, para Rahib mereka menghalalkan bagi pengikut mereka, akan yang Haram di dalam Taurat dan Injil.

Dan, mereka (orang-orang Yahudi dan Nasrani) tetap mengikuti mentaati akan Rahib-rahib mereka (walaupun mereka tahu Si Rahib-rahib itu mengubah-ngubah akan Kitab Allah Taala). Maka, demikian inilah yang dikatakan menyembahnya orang-orang Yahudi dan Nasrani akan para Rahib-rahib mereka.”

Lalu, Rasulullah saw bersabda,

“Hai ‘Adi, apa kata Engkau? Adakah memudaratkan engkau bahawa dikatakan Allah itu Maha Besar? Maka, Adakah engkau tahu ada suatu benda lain yang lebih agung daripada Allah, lalu dapat memudaratkan akan engkau? Adakah memudaratkan akan engkau, bahawa dikatakan tidak ada tuhan melainkan Allah? Apakah memang engkau tahu, apa bolehkah ada tuhan selain Allah?”

Kemudian, menyeru oleh Rasulullah saw akan dia masuk kepada Islam. Maka, Islam lah ia, dan mengucap ia akan Syahadah.

Demi sesungguhnya, aku (perawi hadis) lihat wajahnya penuh kegembiraan. Kemudian, berkata lagi ‘Adi bin Hatim,

“Sesungguhnya, orang-orang Yahudi itu dimurkai atas mereka. Dan, orang-orang Nasrani itu sesat mereka itu.”

Beginilah, telah berkata Huzaifah bin Al-Yaman dan Abdullah bin ‘Abbas dan lain dari keduanya pada Tafsir ayat 31, Surah At-Taubah.

            Sesungguhnya, orang-orang Yahudi dan Nasrani mengikut mereka itu akan Rahib-rahib mereka pada apa yang mereka halalkan, apa yang haram dalam Taurat dan Injil. Dan, mengikut akan rahib-rahib mereka pada apa yang mereka haramkan, apa yang halal dalam Taurat dan Injil.

Dan, berkata ‘Allamah As-Suddiyy, Tafsir Ayat 31, Surah At-Taubah ini ialah,

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani meminta nasihat daripada lelaki-lelaki (Rahib-rahib mereka), dan mereka lontarkan Kitab Allah Taala di belakang mereka (Mereka pakai nasihat Rahib walaupun menyalahi Nas Taurat dan Injil).”

            Dan, kerana inilah berfirman Allah Taala,


Ertinya, “Dan tiadalah diperintahkan mereka melainkan supaya menyembah akan Tuhan yang satu,”

Tafsir – Iaitu, Allah lah yang apabila ia mengharamkan akan sesuatu, maka perkara itu adalah Haram. Dan, apa-apa yang ia halalkan akan dia, maka perkara itu adalah Halal. Dan, apa-apa yang ia syarakkan akan ia, hendaklah diikut. Dan, apa-apa yang ia telah tetapkan hukuman pada suatu perkara, tetaplah akan lulus dan akan berlaku.


Ertinya, “Tiada tuhan melainkan Dia, Maha Suci Ia daripada apa yang mereka Sekutukan.”

Tafsir – Iaitu, Tinggi Allah, Suci Ia, Bersih Ia, daripada segala sekutu dan segala yang sepertinya. Dan, penolong-penolong dan lawan-lawannya, dan anak-anak. Tidak ada Tuhan melainkan Dia. Tidak ada Rabb selain Dia.
.................................

19.  Cuba tuan-tuan pembaca perhatikan, apakah tidak sama dengan perbuatan Budak Tabligh yang berpegang teguh dengan “Keputusan Mesyuarat” Tabligh, dengan keadaan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang mematuhi keputusan mesyuarat pendeta-pendeta mereka untuk mengubah-ngubah kandungan Kitab Taurat dan Injil?

20.  Lihatlah “Keputusan Mesyuarat” yang ditentukan oleh orang Tabligh itu sendiri.

a.       Mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Islam. – Melarang orang-orang Tabligh belajar Tauhid berdasarkan Kitab-kitab Muktabar, walaupun ia merupakan Hadis Nabi saw yang mewajibkan menuntut Ilmu Agama.

b.      Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Islam. -  Menghalalkan berkata-kata Agama walaupun di dalam Keadaan Jahil, walaupun ada Hadis yang mengancam berkata-kata tentang Agama di dalam keadaan Kejahilan.
 
21.  Ini semua kerana takut nanti apabila telah berilmu nanti, pasti akan meninggalkan Jamaah Tabligh. Memang jelas, siapa-siapa yang telah Berilmu, pasti akan nampak Kebatilan-kebatilan yang dibawa oleh Karkun-karkun Tabligh.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

22.  Para pembaca yang dimuliakan oleh Allah! Sebenarnya tentang masalah dan cara berdakwah. Tidak ada keterangan sama sekali yang menjelaskan bahawa cara berdakwah itu telah ditetapkan sebagaimana cara Mengerjakan Sembahyang, sehingga mana timbul ada satu cara dakwah yang sah yang mesti digunakan dan jika tidak digunakan cara itu, dakwah tersebut tidak akan sah.

23.  Contohnya, sepertimana tidak sahnya sembahyang apabila tidak menurut Kaifiat (Cara) yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran dan Hadis.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

24.  Dari manakah timbulnya perkataan orang Tabligh yang mengatakan;

“Dakwah yang bukan cara dan bentuk perlakuan amali fi’li (bentuk gerak geri perbuatan) daripada Rasulullah SAW adalah dakwah yang salah (Bid’ah Dholalah), dan tidak diterima dalam agama sebagai dakwah?”

25.  Seperti apa yang didapati dalam Kitab-kitab tentang dakwah seperti Kitab Ad-Da’watut Taammah, bagi Al-Habib Abdullah Al-Hadad hanyalah hukum berdakwah, kumpulan sasaran dakwah, dan kepentingan dakwah terhadap kumpulan sasaran tersebut dan lain-lain perkara secara am.

26.  Tidak ada dinyatakan sama sekali tentang cara berdakwah seperti cara mengerjakan sembahyang yang telah tetap, dan tidak boleh diubah sama sekali. Dan, tidak ada dinyatakan sama sekali cara bentuk amali dakwah yang di sepakati seluruh ulama’ dan tidak boleh menyalahi bentuk praktik amali dakwah tersebut.

27.  Sila datangkan Hujjah wahai karkun-karkun yang mengatakan bahawa, praktik amali dakwah itu mesti mengikut praktik amali dakwah Rasulullah SAW, dan dakwah bentuk praktik amali yang dibuat oleh Rasulullah ialah bentuk dakwah Jemaah Tabligh sahaja. Dan, bentuk praktik amali dakwah yang lain daripada bentuk dakwah Jemaah Tabligh adalah bentuk dakwah Bid’ah dan tidak mendatangkan manfaat bagi mendapat hidayat dan pertolongan Allah.

28.  Adakah Kamu mengaku akan kenyataan yang kamu keluarkan itu wahai Karkun-karkun Tabligh?

No comments: