Feb 10, 2011

TAUBAT SI JEMAAH TABLIGH (7) - Berdakwah Dalam Keadaan Jahil Agama

  PERINGATAN !!!

1.      Kami tidak menghalang orang-Orang Tabligh yang ingin berdakwah dan menghidupkan Sunnah Nabi saw, Mengajak mengerjakan Solah dan sebagainya.

2.      Tetapi, kami menghalang berkata-kata Agama di dalam Keadaan Jahil, dan berkata-kata Agama itu bersumberkan dari mulut-mulut orang lama Tabligh (Eldest) yang tiada bersumberkan dari mana-mana Kitab Muktabar.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

DI BAWAH INI ADALAH FAHAMAN TAUHID SAYA SEMASA BERGERAK SEBAGAI KARKUN DALAM DIDIKAN  GERAKAN TABLIGH DI MALAYSIA

D. TAUBAT YANG KE-7
(Berdakwah Dalam Keadaan Jahil Agama)


1. Pada ketika dahulu semasa aku bergerak di dalam usaha Tabligh, aku telah di ajar untuk berkata seperti begini oleh karkun-karkun lama (eldest) :

Contoh 1

- “Tuan-tuan, kita jangan takut nak bagi bayan, kita mesti berani. Ni majlis pikir tuan-tuan, bukan majlis ilmu. Majlis yang memikirkan risau bimbang Nabi SAW. Jadi kita cakap aje apa yang ada dalam fikiran kita. Kalau kita salah cakap tuan-tuan, Allah akan ampunkan kita, sebab kita ni niat nak belajar cakap.”

2. Ayat-ayat yang saya katakan di atas seolah-olah seperti begini.

a.  Jangan takut bayan, cakap aje sesuatu tentang agama. Fikir dan cakap sebarang aje janji tak syirikkan Allah.

b. Salah tak apa, Allah Taala boleh ampunkan sebab kita niat nak belajar cakap. Allah Maha Pengampun kan....

Maafkan aku kerana menyampaikan sesuatu yang salah kepada sahabat-sahabat.


F. PENERANGAN TAUBAT KE-7

1.      Seperti apa yang dinyatakan di atas, bagi mereka (orang awam) yang TIDAK pernah belajar ILMU Agama, pasti mereka sama sekali akan mudah termakan dengan apa yang dikatakan oleh Kakun (Orang Tabligh) di atas. Tetapi bagi mereka yang sudah belajar Kitab, kesalahan ini adalah kesalahan yang sangat besar sekali. Na’uzubillahiminzalik.

2.      Adakah tuan-tuan pembaca tahu apa kesalahannya? Kesalahannya ialah mereka menggunakan Aqal semata-mata untuk memahamkan orang ramai tentang Agama Islam, dan bukan berdasarkan mempelajari Kitab-kitab Tauhid yang Muktabar. Dari sebab itulah timbulnya akan perkataan, Fikir-fikir Agama.

3.      Kami juga tidak menghalang orang-orang Tabligh yang mahu mendekatkan diri kepada Allah, dan kami tidak menghalang perkara-perkara di dalam menghidupkan Sunnah Nabi saw,  tetapi kami menghalang orang-orang Tabligh yang Jahil di dalam Agama untuk berdakwah (berkata-kata Agama).

4.      Antara contoh perkataan-perkataan orang Tabligh yang Jahil, yang hanya berdasarkan Aqal sahaja dan bukan dengan dalil dan Nas ialah,

  1. “Semua perkara itu telah Allah tetapkan, tetapi Iman masih belum Allah tetapkan, ianya bergantung sejauh mana kita berkorban di jalan Allah (Keluar Cara Tabligh).”
  1. Allah Taala sangat mengasihi AGAMA-Nya lebih daripada NABI-NABI-Nya, ALLAH Taala sanggup lihat Nabi-Nya disusah payahkan. Tetapi tuan-tuan, Allah Taala tak sanggup biarkan agamanya runtuh walau sedikit pun.”
  1. “Tuan-tuan, Iman itu hanya dapat ditingkatkan dengan perantaraan dakwah sahaja. Jadi InsyaAllah, sapa nak keluar 4 Bulan, 40 Hari, 3 Hari.. Sila bangun tuan-tuan bagi nama.....”
  1. “Tuan-tuan, Agama itu dapat difahami dengan perantaraan dakwah sahaja, sejauh mana kita dapat membelanjakan harta, diri dan masa kita di Jalan Allah swt.”
  1. Kalau Allah swt tak boleh ubah Taqdir buruk (Kufur dan Maksiat) kita, maka Allah Taala bukan Tuhan.
  1. “Dalam Al-Quran ada perkataan Izin Allah, Tuan-tuan, kita ini melakukan sesuatu itu semua dengan Izin Allah. Tanpa Izin Allah kita semua tak boleh bergerak. Daun-daun di hutan, sehinggakan pasir-pasir dilautan semua bergerak dengan Izin Allah.”
  1. “Maksud hadis lebih kurang; Abu Bakar ra tanya Nabi saw selepas masuk Islam; “Apa kerja aku?” Nabi saw bersabda; “Kerja tuan sama lah dengan kerja saya.” Abu Bakar ra faham bahawa kerja Nabi saw ada lah dakwah. Abu Bakar terus buat dakwah dan dapat mengislamkan 6 orang pada masa hari itu juga. Apa yang Abu Bakar ra belajar masa itu? Iman.. yakin bahawasanya ALLAH taala sahaja rob sekelian alam. Abu Bakar terus buat dakwah, ilmu satu inci pun tarak apa yang tau? "Allah maha kuasa makhluk tiada kuasa" lagi? kalimah toibah.”
5.      Sila nyatakan Ayat Al-Quran dan Hadis yang menjelaskan perkara-perkara ini secara tepat, dari Kitab apa, karangan siapa, halaman dan juzu’ berapa, syarikat percetakan dan tahun percetakannya. Jika kata-kata di atas tidak berdasarkan mana-mana sumber atau Kitab, maka ia merupakan pendustaan oleh orang-orang Tabligh itu sendiri.

6.      Tiada langsung pembetulan yang telah dilakukan oleh pemuka-pemuka Tabligh, malah perkataan-perkataan ini turut keluar dari pemuka-pemuka Tabligh itu sendiri. Sila nyatakan, dari mana dalil benarnya perkataan-perkataan ini?

7.      Seperti apa yang telah disoal dan dikaji perkara ini, kebanyakan mereka bercakap Agama berdasarkan pengambilan dari sahabat-sahabat mereka sendiri. Dan, ia bukan di ambil dari mempelajari Kitab-kitab Tauhid yang Muktabar. Inilah alasan mereka,

“Tak kan salah, semua orang dah cakap begitu.”

8.      Ketahuilah olehmu, di dalam Agama Islam, tiada perkataan Majoriti. Apa yang salah, ia tetap salah walaupun majoriti berkata begitu. Ini kerana, perkara Agama itu mesti bersumberkan Al-Quran dan Hadis, Ijmak dan Qias yang diambil dari Al-Quran dan Hadis. Satu dalil dari Al-Quran, Al-Hadis, Ijmak dan Qias sahaja sudah cukup untuk menghapuskan segala majoriti yang ada.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

9.      Adakah saudara-saudari pembaca tahu akan sebabnya fahaman Muktazilah menjadi KAFIR di sisi Allah? Antara sebabnya ialah kerana mereka banyak menggunakan AQAL mereka sendiri, dan apakala didatangkan kepada mereka akan keterangan Nas-nas Al-Quran dan Hadis yang bercanggahan dengan pendapat mereka, mereka  menolak dan menafikannya.

10.  Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, fahaman Muktazilah yang asalnya dari Falsafah Rom ini, telah mula menjalar dan menular masuk ke dalam pemikiran orang-orang Tabligh sekarang. Apakala didatangkan kepada mereka akan Nas-nas Al-Quran yang di ambil dan diperolehi dari Kitab (Ulama’ dan fuqaha’), maka dilawannya dan dikatakan SESAT.

11.  Untuk saudara dan saudari pembaca mengenal lebih dalam siapakah Ahli Falsafah Rom ini, kami bawakan kepada Tuan dan Puan akan Kitab ‘Aqidatun Najin Fi ‘Ilmi Usuliddin, bagi Al-’Alim Al-’Allamah Asy-Syaikh Zainul ‘Abidin b. Muhammad Al-Fathani, m/s 92, baris 11 dari bawah. Siapa mereka ahli Falasifah Rom itu? 


- ...Bermula mereka itu (kaum Falasifah) kuffar (orang-orang kafir) daripada Rom, adalah mereka itu daripada ahli negeri Yunan. Dan, adalah mereka itu, Ahli Hikmah dan Aqal (Beragamakan Aqal dan fikiran semata-mata, tiada pegangan Kitab-kitab dan Petunjuk Rasul. – Pent.).

Dan, mengambil oleh mereka itu di dalam Riadah, yakni mengajar akan Nafsu (Latihan Kerohanian untuk membentuk nilai-nilai murni di dalam Jiwa. – Pent.), dan berbuat-buat Zuhud, yakni rupa-rupa mengajar Nafsu, bukan yang sebenar-benarnya. Dan, berbuat-buat rupa Zuhud bukan haqiqat.

Dan, adalah kepala mereka itu Failusuf. Telah berkata Ibnus Solah. “Dan tiada mereka itu ‘Alim (Orang yang Berilmu). Dan, tatkala dibangkitkan Nabi Musa as pada zaman mereka itu, menyeru oleh Nabi Musa as akan mereka itu kepada Syariatnya, maka enggan mereka itu dan Takabbur mereka itu.

Dan, berkata mereka itu, ‘Bermula kami ini di dalam kaya (tiada berhajat) daripada barang yang (ada) pada engkau. Maka, bahawasanya kami (juga) berkata dengan (seperti) barang yang engkau kata, dan (malah) lebih lagi.’”

(Mereka mengatakan bahawa Aqal mereka itu, lebih baik lagi dari Kitab Taurat yang di bawa oleh Nabi Musa as. - Pent.)

Dan, sesungguhnya telah berkata mereka itu dengan Qidam (Tiada mula) alam. Tetapi hanyasanya, yang dikatakan oleh mereka itu dengan Qidam usulnya (kejadian asas bumi), dan iaitu anasir yang empat, iaitu air, dan tanah, dan angin, dan api, tiada Ashkhasnya (diri manusia). Dan, demikian lagi, berkata mereka itu dengan Qidam (tiada mula) Aflak, yakni cakerawala.
...........................................

12.  Malah, telah banyak di antara mereka mengatakan dan melabelkan kata-kata Bayan (Penerangan Agama semata-mata berdasarkan Aqal mereka) itu sebagai kata-kata IMAN. Adakah mereka tidak pernah diingatkan akan tiga bala’ yang menimpa orang yang meninggalkan ulamak dan fuqaha’, iaitu Meninggalkan dari mempelajari Kitab-kitab Tauhid yang Muktabar?

13.  Baiklah, sekarang kami bawakan suatu peringatan yang datangnya dari Penghulu kita, Nabi SAW kepada mereka yang SUKA dan MINAT BERDAKWAH, tetapi hanya berasaskan pemikirannya sendiri @ Aqal dalam memahami permasalahan-permasalahan agama atau berdasarkan ilham sahaja, tanpa berpandukan Kitab-kitab Ulama’ dan Fuqaha’.

14.  Telah ternaqal di dalam Kitab Nasa’ihul ‘Ibad, syarah bagi (Kitab Munabihat, bagi Imam Ibnu Hajar Al-‘Asqalani ) yang disyarahkan oleh Asy-Syaikh Muhammad Nawawi Ibnu Umar, Al-Banteni At-Tanari, m/s 4, baris 10 dari bawah. 

 

- ...Telah bersabda Nabi SAW, “Akan datang di atas ummat Ku pada akhir zaman, mereka melarikan diri daripada Ulama’ dan Fuqaha’. Lalu, Allah Taala bala’ kan ke atas mereka dengan tiga bala’.

Yang pertama   ; Allah tarik keberkatan rezeqi dari kerja mereka.
Yang kedua       ; Allah keraskan ke atas mereka Sultan (Pemerintah) yang Zalim.
Yang ketiga       ; Keluar mereka itu dari dunia (mati) dengan ketiadaan iman.
................................

15.  Kebanyakan Ulama’ itu sudah mati tetapi Ilmunya tidak mati. Ilmu-ilmu Ulama’ itu tertulis di dalam Kitab-kitab Muktabar. Dan, sesungguhnya, barang siapa yang menolak atau Menghina Kitab-kitab Muktabar, ini bermakna mereka juga telah menolak dan menghina para Ulama’ itu sendiri. Hadis di atas ini merupakan suatu Amaran yang amat besar, bagi mereka yang suka Menghina dan memperlekehkan Kitab-kitab Muktabar.

16.  Mereka menyangka, dengan tidak berpegang dengan ulama’ dan fuqaha’ boleh selamat, tetapi akibat yang sebenarnya ialah mereka akan mati dalam ketiadaan iman, walaupun mereka berjubah, berserban dan berjanggut sekalipun. Ini kerana, mereka tidak kenal aqidah dan syariat Islam yang difardhukan ke atas mereka.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

17.  Di dalam Hadis di atas ada menyatakan, “Allah tarik keberkatan rezeqi mereka.” Baiklah! Kami bawakan kepada para pembaca yang budiman sekalian akan makna rezeqi yang ternaqal di dalam Kitab ‘AqidatunNajin.

18.  Marilah kita lihat sedikit pengertian dan pembahagian Rezeqi oleh Kitab ‘Aqidatun Najin Fi ‘Ilmi Usuliddin, bagi Al-’Alim Al-’Allamah Asy-Syaikh Zainul ‘Abidin b. Muhammad Al-Fathani, m/s 114, baris 16 dari bawah. 


               - ........(Dan) Bermula Rezeqi Ahlus Sunnah (Al-Asya’irah) itu barang yang dihila (dibentangkan) oleh Allah kepada segala Haiwan (Hidupan). Maka, mengambil manfaat ia dengan dia. Dengan perbuatan (usaha), maka masuk rezeki manusia, dan segala binatang, dan lain daripada keduanya (Jin). Dan, melengkapi akan yang dimakan, dan lainnya daripada barang yang mengambil Manfaat ia dengan dia. (Rezeki itu sama ada ia makanan yang dimakan, atau pun barang yang dimanfaatkan. – Pent.)

               Maka, barangsiapa milik ia akan sesuatu, dan memakan ia daripada mengambil manfaat dengan dia, dan tiada pengambil manfaat ia dengan dia dengan perbuatan. Maka, tiada demikian sesuatu itu Rezeqi baginya. 

(Jika sekiranya kemewahan dan kesenangan yang ada pada kita, tetapi belum dapat digunakan secara langsung. Contohnya; Wang di dalam bank, dan makanan yang disimpan, maka perkara ini tidak dikatakan sebagai rezeqi. – Pent.)

               Dan, tertentulah yang dinamakan rezeqi itu bagi orang yang mengambil manfaat ia, dengan dia dengan perbuatan. Maka, apabila kita ketahui akan makna rezeqi itu seperti yang tersebut itu, maka wajib kita Iktiqadkan bahawasanya Allah swt merezeqikan kita yang halal, dan yang makruh, dan yang haram. Seperti kata Asy-Syaikh Ibrahim Al-Laqqani di dalam Kitab Matan Jauharatut Tauhid dengan katanya ;


“Allah memberi rezeqi yang halal, silalah ketahui.
Dan, Dia juga memberi rezeqi yang Makruh, dan yang Haram.”

(Faedah), Bermula Rezeqi itu, 2 bahagi,

a.       Yang pertama, Rezeqi Zahir iaitu bagi Tubuh Badan seperti makanan yang mengenyangkan.

b.      Yang kedua, Rezeqi Batin iaitu bagi Hati seperti Ilmu pengetahuan dan Ma’rifat  (Ilmu  Tauhid bagi Mengenal Allah Taala).
.................................

19.  Kesimpulannya, dapatlah difahami bahawasa segala Rezeqi itu Allah Taala yang beri, samada ia merupakan Rezeqi yang halal dan juga Rezeqi yang haram. Inilah Haqiqat kejadian Perbuatan Allah. InsyaAllah, pada Risalah yang akan datang, kami akan menerangkan perkara Zahir dan Haqiqat, yang menyatakan Segala Perkara itu Allah yang jadikan dan gerakkan.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

20.  Apakah sebenarnya Masalah yang timbul di kalangan orang-orang Tabligh ini?

21.  Masalah yang timbul ialah, mereka (orang-orang Tabligh) melawan dengan apa yang telah disampaikan oleh Ulama dan Fuqaha’. Bukankah Ulama’ dan Fuqaha’ telah melarang dan mengharamkan berkata-kata Agama di dalam keadaan Jahil?

22.  Saudara dan Saudari pembaca yang budiman, di dalam Cabang Ilmu Furu’ atau lebih dikenali sebagai Ilmu Fiqh. Terdapat di dalam kebanyakan Kitab Ilmu Fiqh, ada  menerangkan Bab Riddah (Murtad).

23.  Ini ditujukan khas kepada Muslimin dan Muslimat agar sentiasa menjaga dan memelihara lidah dari perkara-perkara yang boleh membawa Murtad. Malah, inilah yang sering dilanggar dan sering berlaku kepada orang-orang Tabligh yang jahil di dalam Ilmu Agama.

24.  Untuk mempertegaskan dalil kami ini, marilah kita sama-sama menelaah Kitab  Bughyatut Talib Li Ma’rifatil Ilmid Diniyyil Wajib, bagi Asy-Syaikh Abdullah Al-Harari Al-Ma’ruf Bil Habasiyyi, Juzu’ 1, m/s 71.


BAB RIDDAH(MURTAD)
Sila baca 

No comments: