Feb 9, 2011

TAUBAT SI JEMAAH TABLIGH (6) - Fitnah Atas Para Alim Ulama'


  PERINGATAN !!!

1.      Kami tidak menghalang orang-Orang Tabligh yang ingin berdakwah dan menghidupkan Sunnah Nabi saw, Mengajak mengerjakan Solah dan sebagainya.

2.      Tetapi, kami menghalang berkata-kata Agama di dalam Keadaan Jahil, dan berkata-kata Agama itu bersumberkan dari mulut-mulut orang lama Tabligh (Eldest) yang tiada bersumberkan dari mana-mana Kitab Muktabar.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

DI BAWAH INI ADALAH FAHAMAN TAUHID SAYA SEMASA BERGERAK SEBAGAI KARKUN DALAM DIDIKAN  GERAKAN TABLIGH DI MALAYSIA

D. TAUBAT YANG KE-6
(Fitnah Atas Para Alim Ulama')

1. Dahulu aku pernah bercerita seperti di bawah ini, sumber rujukan ku berdasarkan orang-orang Tabligh, dan orang-orang lama (eldest-eldest) di dalam Tabligh. Dengarkanlah cerita karutan ku ini yang Menghina Para Alim Ulama’! ;

Contoh 1

            “Tuan, sebenarnya tuan-tuan tahu tak, apa sebab kejatuhan kerajaan Islam ‘Abbasiyyah? Ini sebenarnya disebabkan kerja dakwah Nabi saw ini telah ditinggalkan oleh semua orang.

Masih ada satu puak pendakwah yang fikir agamanya masih tinggi dan risau akan agama telah berjumpa dengan ulama’-ulama’ dan orang-orang awam pada masa itu. Rata-ratanya penduduk Baghdad telah menolak dakwah yang di sampaikan oleh mereka. Apabila mereka berjumpa dengan ulama’ dan mengajak mereka untuk berdakwah, ulama’-ulama’ tersebut telah menolak mereka dengan mengatakan,

“Kami tidak ada masa untuk berjumpa orang awam sebab masih banyak kitab kami belum karang dan masih banyak persoalan fiqh yang kami belum bincangkan.”

Jadi puak pendakwah (orang-orang Tabligh) yang sedikit ini pulang dalam keadaan sedih kerana tidak dapat mengajak ulama’ atau orang yang banyak ilmunya untuk berdakwah. Ada dikatakan, ulama’-ulama’ tersebut sentiasa berfikir dan berbincang masalah-masalah yang tidak masuk akal seperti; Apakah batal najis kutu yang berada di atas kepala kita jika kita nak sembahyang?

Lantaran sentiasa berdebat dan banyak berhujah sesama sendiri, maka dakwah (jumpa manusia untuk ajak kepada Allah) telah ditinggalkan.

Puak pendakwah ini seterusnya menemui orang awam dan mengajak mereka untuk berdakwah tetapi ditentang oleh mereka dengan berkata,

“Siapalah kami nak berdakwah, kami ini jahil. Jika ulama’ tak mahu buat dakwah, siapa lagi kami,  yang nak buat dakwah.”

Maka, pulanglah para pendakwah ini dalam keadaan sedih dan amat dukacita kerana dakwah mereka di tolak oleh kedua-dua puak yang besar ini. Kemudian, setelah tentangan demi tentangan mereka lalui dan kemudiannya mereka keluar dari Kota Baghdad. Tinggallah ulama’-ulama’ dengan sibuk mengarang kitabnya dan juga orang awam yang tak mahu buat dakwah.

Nak dijadikan cerita tuan-tuan, semakin lama, orang yang baik berubah menjadi jahat, dan orang yang jahat pun bertambah jahat, ini semua berlaku sebab dakwah ditinggalkan.

Pada satu riwayat telah datang kapal Tatar berdagang ke Kota Baghdad dan kapal itu telah diserang oleh penghuni Baghdad, semua anak kapal telah mati dibunuhnya, dan telah datang kapal yang kedua pada masa yang berlainan dan peristiwa yang sama telah berlaku. Tetapi malangnya, seorang anak kapal telah berjaya kembali dan memberitahu kepada Raja Tatar tentang peristiwa yang berlaku.

Maka, inilah yang menyebabkan Baghdad di serang oleh Tatar. Pada riwayat yang kedua, telah berlaku satu pergaduhan yang besar di antara puak Tatar dengan penghuni Baghdad, ini disebabkan penghuni kota Baghdad telah mengganggu seorang wanita dari puak Tatar.

Pergaduhan inilah yang menyebabkan Tatar ingin menyerang Baghdad. Kesimpulannya ialah hampir semua penghuni Baghdad telah menjadi jahat dan yang bakinya hanyalah ulama’ yang sibuk dengan kitabnya sahaja.

Pada ketika itu, kerajaan Islam amatlah digeruni oleh Tatar disebabkan kelebihan tentera Islam ialah mereka mempunyai Tuhan (Allah Taala) sebagai pembantu mereka. Yang lebih mengejutkan lagi tuan-tuan, sebelum orang-orang Tatar menyerang Kota Baghdad, walaupun mereka tak Islam, tetapi mereka telah meminta bantuan Allah untuk menumpaskan orang-orang Islam yang sudah menjadi jahat.(Maksudnya orang Tatar di pihak yang benar dan orang Baghdad di pihak yang salah.)

Dan peperangan telah berlaku sehingga semua penghuni Baghdad telah dibunuh. Tuan-tuan, apabila dakwah ditinggalkan inilah yang berlaku. Allah akan selamatkan orang yang membuat dakwah dan Allah akan hancurkan orang yang tinggalkan kerja dakwah.

Ada riwayat yang lain mengatakan bahawa semasa 10 orang-orang lelaki dewasa Baghdad sedang melarikan diri di dalam ketakutan, tiba-tiba seorang perempuan Tatar telah terlihat mereka, lalu perempuan Tatar itu menjerit dan menyuruh mereka berhenti di situ. Oleh sebab Allah dah letakkan ketakutan ke dalam hati orang Islam pada ketika itu, mereka (orang Baghdad) itu pun telah berhenti. Lalu wanita Tatar itu pun mengambil pisau dan membunuh mereka semua.

Beginilah tuan-tuan akibatnya mereka yang meninggalkan dakwah di dalam hidup mereka. Jadikanlah dakwah sebagai maksud hidup kita. Jangan kita jadi seperti ulama’ yang sibuk dengan kitabnya dan meninggalkan dakwah dan orang awam yang langsung tak nak buat dakwah.”  

2. Ayat-ayat yang saya katakan di atas seolah-olah seperti begini.

- Apabila kita meninggalkan dakwah seperti cara Nabi saw, kita akan di timpa musibah yang amat dahsyat.

- Satu-satunya cara dakwah Nabi saw yang saya maksudkan ialah jumpa manusia dari lorong ke lorong, rumah ke rumah, pintu ke pintu, muka ke muka dan dari hati ke hati. Cara yang lain, adalah bukan cara dakwah atau dakwah cara Sunnah Nabi saw yang sebenar.

Maafkan aku wahai sahabat-sahabatku kerana menyampaikan sesuatu yang salah lagi menyesatkan ini kepada kamu semua.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

D. PENERANGAN TAUBAT YANG KE-6

1.      Pada kebiasaannya, cerita ini diterangkan semasa seseorang Keluar 40 hari atau lebih dari masa itu, untuk menaikkan semangat berdakwah (Cara Tabligh). Dan, perkara ini biasa didengari dari Karkun (orang Tabligh) yang fikir agamanya tinggi.

2.      Tetapi, sayang seribu kali sayang. Antara sebab lain kisah ini ditujukan ialah, mereka  (orang-orang Tabligh) ingin menunjukkan kepada kita, bahawa orang ‘Alim yang sibuk berbahas tentang Ilmu, akan kena Musibah kerana meninggalkan dakwah. (Cara Tabligh)

3.      Ada di antara mereka mengatakan bahawa,   

“Kejatuhan Baghdad adalah disebabkan Para ‘Alim Ulama’ sudah tidak lagi menghidupkan Kerja Dakwah (Cara Tabligh). Ini kerana, mereka terlalu sibuk berdebat dan berhujjah dengan Ilmu Agama. Mereka telah meninggalkan Kerja Dakwah (Cara Tabligh), iaitu Kerja jumpa manusia dari lorong ke lorong, rumah ke rumah, pintu ke pintu, muka ke muka dan dari hati ke hati.”.

4.      Sila nyatakan Ayat Al-Quran dan Al-Hadis yang menjelaskan perkara-perkara ini secara tepat, dari Kitab apa, karangan siapa, halaman dan juzu’ berapa, syarikat percetakan dan tahun percetakannya. Jika kata-kata di atas tidak berdasarkan mana-mana sumber atau Kitab, maka ia merupakan pendustaan oleh orang-orang Tabligh itu sendiri.

5.      Ini adalah satu Fitnah yang amat besar kepada ulama’-ulama’ Baghdad dan juga semua ulama’. Inilah sebabnya ulama’ mengharamkan berdakwah di dalam keadaan Jahil Agama. Orang-orang Tabligh ini bukan lagi menyampaikan yang salah dalam berdakwah, tetapi sudah membawa kepada mencaci dan menghina para ‘Alim Ulama’.

6.      Baiklah! Sebagai Hujjah untuk mematahkan pendustaan orang-orang Tabligh ini, kami bawakan kepada para pembaca yang budiman sekalian, akan sebuah Kitab Sejarah yang di karang pada Zaman Kerajaan Uthmaniyah Turkiyy. Kitab ini akan menerangkan tentang peristiwa sebenar apa yang menyebabkan kejatuhan Kota Baghdad, dan Punca terjadinya peristiwa itu.

7.      Tersebut di dalam Kitab Tahzibu Tarikhid Dualil Islamiyyah Bil Jadawilil Mardiah (Ringkasan Tarikh Kerajaan-kerajaan Islam Dalam Jadual-jadual Yang Di Redhai), bagi Asy-Syaikh Ahmad bin Zaini Dahlan, Mufti As-Syafi’iah di Makkatal Mukarramah. Wafat ia pada tahun 1304 H. Kitab ini dicetak oleh Darul Masyari’, Bairut, Lubnan, m/s 37-39.


DAULAH ‘ABBASIYYAH

Khalifah yang terakhir bagi Bani ‘Abbasiyyah, Abdullah Al-Musta’sim Billah, lahir pada 506 H, dan wafat pada tahun 656 H. Mula memerintah wilayah Islam pada tahun 640 H, umurnya 50 tahun. Masa lama memerintah Kerajaan Bani Abbasiyah yang terakhir ialah 16 tahun. Maka, adalah tamat masa khilafah pemerintahan di Tanah Baghdad pada 14 Safar 656 H, iaitu jatuhnya (Kerajaan ‘Abbasiyyah) pada Zaman Pemerintahan Khilafah Al-Musta’sim Billah Ibni Al-Mustansir Billah.

Al-Musta’sim Billah bermaksud orang yang minta perlindungan kepada Allah, adalah anak lelaki kepada Al-Mustansir Billah, yang bermaksud orang yang minta bantuan daripada Allah Taala. Adalah hilangnya atau perginya Khilafah ‘Abbasiyyah adalah sebab masuknya Tentera Tatar di Tanah Baghdad.

(Siapa orang Tatar? – Pent.) Dan, mereka adalah orang-orang kafir. Mereka keluar dari negeri China, mereka telah menguasai atas kerajaan-kerajaan Islam, adalah mereka itu membunuh orang-orang lelaki, perempuan dan anak-anak. Dan, mereka makan atas tiap-tiap sesuatu, sehinggalah anjing, hingga serangga dan binatang-binatang merayap. (Lipan, ular, tikus dsb – Pent.).

Dan, mereka tak kenal erti keluarga, dan pernikahan. (Mengamalkan penzinaan - Pent). Dan, mereka tak pernah mengharamkan sesuatu apa-pun. (Hidup yang tak pernah tahu haram, tak tau larang, dan tak tahu salah adalah suku Tatar. – Pent.)

Adalah permulaan keluar mereka (orang-orang Tatar ini) daripada negeri untuk mengalahkan orang-orang Islam pada awal kurun ke-7 Hijrah. Dan, mula nyata zahir pemerintahan mereka pada tahun 617 H ( Pada tahun ini telah mula nampak orang-orang Tatar ini menguasai negeri-negeri di bawah selatan China. – Pent.).

Dan, adalah bala bencana dari mereka itu adalah daripada sebesar-besar bala bencana, tidak pernah berlaku bagi orang Islam berlaku sesuatu bala seperti balanya mereka itu. Dan, sentiasalah mereka (orang-orang Tatar) itu menguasai di atas negeri-negeri besar, dan bandar-bandar besar dan kampung-kampung, sehinggalah mereka dapat menguasai di atas Tanah Baghdad. Dan, mereka menjatuhkan akan kerajaan Khilafah Bani ‘Abbas daripada Tanah Baghdad.

(Apa sebesar-besar sebab Kejatuhan Baghdad? – Pent.)

Dan, adalah sebesar-besar sebab masuknya orang Tatar ke dalam Kota Baghdad( Kota Baghdad adalah Kota Ahlus Sunnah Wal Jamaah Al-Asya’irah, juga bermazhab Fiqh As-Syafi’iah). ini adalah kerana bahawasanya Ibnul ‘Alqami, iaitu Perdana Menteri Khalifah Al-Musta’sim Billah, bahawasanya dia itu bermazhab Syiah.

(Sebab kejatuhan Baghdad di Tanah Baghdad ialah sebabnya ada orang yang beriktiqad Bida’ah (Syiah) yang menjadi Penguasa. Jatuhnya Baghdad bukan sebab Ulama’, tapi disebabkan orang yang beriktiqad rosak sudah berkuasa dan berpengaruh di Baghdad. Tetapi, perkara ini telah diselewengkan oleh setengah-tengah orang yang mengaku Pendakwah yang mengatakan, kejatuhan kerajaan ‘Abbasiyah disebabkan ulama’ tak buat dakwah (Cara Tabligh). – Pent.)

Adalah Ibnul ‘Alqami yang bermazhab Syiah berkehendak ia pindahkan Khalifah, iaitu dari Pemerintahan Khalifah yang Bermazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah Al-Asya’irah kepada orang-orang yang mengagungkan “Al-Alawiyyin” (iaitu bermazhab Syiah).

( Khalifah ‘Abbasiyyah yang pertama yang mengangkat Ahlus Sunnah Wal Jamaah Al-Asya’irah ialah Khalifah Al-Muttawakil ‘Alallah. Sebelum ini, semua pemerintahan ‘Abbasiyyah adalah Muktazillah. Al-Muttawakil ‘Alallah menaikkan fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah Al-Asya’irah pada akhir kurun ke-3 H dan awal kurun ke-4 H. seperti yang diterangkan dalam Kitab Tauhid. Ibnul ‘Alqami telah membesar-besarkan kelebihan Baghdad, untuk menarik perhatian Tatar supaya menyerang Baghdad. – Pent.)

Maka, ia (Ibnul ‘Alqami) saling berutus-utus surat dengan orang-orang Tatar. Dan, dia (Ibnul ‘Alqami) mentamakkan orang Tatar pada mengusai Kerajaan Baghdad. Dan, adalah askar Baghdad jejak sampai 100 000 orang, maka dia (Ibnul ‘Alqami) memberikan pemandangan yang elok kepada Khalifah Al-Musta’sim bahawa Khalifah boleh melawan mereka itu, dan dapat menolak mereka itu daripada negerinya.

Lalu Khalifah dan orang-orang Baghdad memutus untuk melawan mereka itu, Khalifah telah mengurangkan sehingga hanya 20 ribu bala tentera sahaja untuk melawan mereka.

(Ini disebabkan Ibnul ‘Alqami menyatakan orang Tatar itu tidaklah kuat, dan bukan lawan mereka. Ini memang perancangan Ibnul ‘Alqami untuk menjatuhkan Baghdad – Pent.).

Kemudian Ibnul ‘Alqami mengutus surat kepada orang Tatar, dan menyeru orang-orang Tatar untuk melawan tentera Baghdad yang dikurangkan tadi. Lalu, mereka (Orang-orang Tatar) berjalan ke arah Tanah Baghdad pada kekuatan yang sangat besar.

Dan, keluarlah bala tentera Khalifah bagi melawan tentera Tatar. Maka, bertemulah mereka di atas 2 marhalah pada Tanah Baghdad. (Mereka berperang di atas tanah yang lapang sebesar 2 marhalah dan bukan di dalam bandar. – Pent.)

Maka, berbunuh-bunuhanlah mereka itu pada perang yang besar, maka telah hancur leburlah bala tentera Khalifah. Dan, terus masuk sebahagian tentera Tatar ini ke Tanah Baghdad, dan berjalan sebahagian lagi ke Syam. (Kemungkinan tentera-tentera Tatar itu jumlahnya beratus-ratus ribu banyaknya – Pent.).

Maka, berhentilah orang Tatar di Tanah Baghdad kerana mengepung akan Tanah Baghdad. Maka, keluarlah kepada mereka (orang-orang Tatar) itu Ibnul ‘Alqami, sebagai utusan Khalifah dan mengambil janji keamanan untuk dirinya. (Ibnul ‘Alqami sebenarnya hanya membuat janji keamanan untuk dirinya sahaja, iaitu jangan bunuh dirinya sebab dia yang mengajak mereka datang ke Baghdad – Pent.)

Maka, dia balik semula bertemu Khalifah, (Maknanya dia olok-olok menjadi orang tengah antara orang Tatar dan Khalifah – Pent.). Dan, dia Ibnul ‘Alqami berkata kepada khalifah:

“Sesungguhnya Hulagu (Raja Tatar) nak kekalkan engkau pada Khalifah, dan dia berkehendak bahawa mengahwinkan anak perempuannya kepada anak lelaki engkau.”

(Maksudnya, Ibnul ‘Alqami membuat cerita palsu dan membohongi Khalifah – Pent.),
 
Lalu, Ibnul ‘Alqami ini memberi pandangan elok kepada Khalifah supaya keluar dan berjumpa Hulagu (Ketua Tatar) untuk berdamai, maka keluarlah Khalifah Al-Musta’sim bersama Pembesar-pembesarnya. Dan, duduk di dalam Khemah yang besar.

Dan, kemudian memanggil pula Ibnul ‘Alqami kepada fuqaha’-fuqaha’ (ahli-ahli fiqh) dan ulama’-ulama’ dan orang-orang besar kerajaan yang lain.

Dan, telah berkumpul di sana seluruh pembesar-pembesar Baghdad dan seluruh ulama’-ulama’ di Baghdad atas ajakan Ibnul ‘Alqami. (Kerana apa? Kerana semua orang percaya kepada Ibnul ‘Alqami yang mengatakan Raja Tatar mahu berdamai dan ingin mengahwinkan anaknya dengan anak Khalifah – Pent.)

Dan, apabila cukup sahaja mereka semua berkumpul, lalu DIBUNUH SEMUA MEREKA yang ada di situ.

(Ini semua hasil Khianat Ibnul ‘Alqami. Apa rasa apabila kita dikhianat sebegini? Pengajarannya, jika ada di antara kita seseorang yang tidak betul aqidahnya. Dia akan berusaha dengan apa cara sekalipun untuk menghancurkan semua orang yang beraqidah selain dari Aqidah mereka. Inilah sejarahnya, berhati-hatilah dengan mereka yang beraqidah selain Ahlus Sunnah Wal Jamaah Al-Asya’irah. Sampai satu tahap, mereka akan bunuh kita. Mudah-mudahan Allah Taala menyelamatkan kita dari fitnah sebegini.– Pent.)

Dan akhir sekali, barulah mereka bunuh akan Khalifah. (Maksudnya, Khalifah dianiaya dulu dan selepas semua orang dibunuh, barulah Khalifah di bunuh. – Pent.)

Tetapi, sewaktu nak di bunuh Khalifah mereka tidak mengetahui cara nak dibunuh(takut hendak membunuh). Kata setengahnya, Khalifah dijerut (digantung) sampai mati, kata setengahnya yang lain, Khalifah diletakkan di dalam guni dan selepas itu ditendang dan dipijak sehinggalah mati dan selepas itu dikaramkan di sungai Dajlah. (Orang Tatar ni memang gila. – Pent.).

Kemudian, masuklah mereka ke dalam Tanah Baghdad. Dan, mereka serang akan Istana Khalifah. Dan, mereka bunuh akan tiap-tiap orang pembesar yang tinggal di dalamnya, tidak ada yang selamat melainkan adalah ia budak-budak kecil, maka diambil sebagai hamba tawanan. Kemudian, mereka bunuh semua orang yang berada di dalam Tanah Baghdad dan mereka merampas akan rumah-rumah orang Baghdad. Dan, mereka menjarah (menghapuskan) rumah-rumah di sana, dan penjarahan itu berlaku selama 40 hari.

Kemudian, mereka menyeru supaya aman selepas mereka membunuh hampir kepada angka 1 000 000 nyawa, dan dikatakan sampai 2 300 000 nyawa. Dan, tidak ada yang selamat melainkan orang yang menyorok di dalam telaga (perigi) atau lubang air (terusan air).

Ada dikatakan, bahawa pembunuhan Khalifah Al-Musta’sim pada 14 hari bulan Safar 656 H, bermula demikian ini semuanya berlaku pada 10 Muharram 656 H. (1235 M)

Adapun Ibnul ‘Alqami, maka sesungguhnya tidak sempurna baginya apa yang dia hendak. Dan, dia telah merasa daripada orang Tatar akan penghinaan dan penghinaan. (Maksudnya, Tatar tak berpuas hati kepada apa yang mereka hendak seperti apa yang dikhabarkan oleh Ibnul ‘Alqami).

Maka, sesungguhnya Hulagu (Ketua Tatar) menyeru dengan kedua tangannya (panggilnya ke hadapan). Dan, memaki hamun akan dia, dan gurunya yang Syiah, dan mereka kemudiannya di bunuh dengan seburuk-buruk pembunuhan. Dan, setengahnya dikatakan dia dibiarkan. Dan, kata setengahnya, dia (Ibnul ‘Alqami) mati dalam keadaan sedih dan dukacita. (Akhirnya Ibnul ‘Alqami ni mati menyesal akibat perbuatannya – Pent.)

Berkata Imam Jalaluddin Al-Suyuti, pada Kitab Husnul Muhadarah (Keelokan Kemajuan), adalah berlaku kehancuran Khilafah Baghdad dan apa yang berlaku ke atas orang Muslimin pada negeri Baghdad itu telah didahului peringatan-peringatan di atasnya oleh para ulama’ dengan beberapa peringatan awal. (Maknanya kehancuran-kehancuran Baghdad itu ada beberapa tanda-tanda awal yang ulama’ dah bagi tau supaya berjaga-jaga. – Pent.)

a.      Pertama;

Sesungguhnya pada 10 Rabi’ul Akhir tahun 644 H, telah bertiup angin yang sangat kuat di Tanah Makkah. Maka, telah menerbangkan akan Kiswah (Kelambu) Baitullah yang mulia. Dan, hilanglah Tanda Hitam di Kaabah (sebab Kelambu Kaabah itu berwarna Hitam – Pent.), sedangkan tanda warna Hitam itulah Syiar Bani ‘Abbasiyyah, tidaklah mereka memakai melainkan warna hitam. (Yang suka memakai pakaian warna hitam ini ialah Bani ‘Abbasyiah – Pent.) Dan, mereka tak memakai pakaian melainkan warna hitam.

Dan, berkekalanlah Kaabah selama 21 hari tidak memakai Kiswah, (Ulama’ dah peringatkan supaya memasang balik secepat mungkin kepada Khilafah, dan Kerajaan Bani Abbasiyah tetapi tidak diendahkan. Di dalam hal ni ulama’ tak salah, sebab dah memperingatkan – Pent.) Berkata Al-Hafiz Ibnu Katsir,

“Ini adalah tanda di atas jatuhnya Kerajaan ‘Abbasiyyah, dan memberi peringatan apa yang akan berlaku selepas ini daripada kejadian orang Tatar. Mudah-mudahan Melaknat akan mereka (orang-orang Tatar) itu oleh Allah Taala.”

b.      Kedua;

Setengah daripada tanda awal yang ulama’ pesan atau jaga-jaga pada tahun 647 H, telah naik air bah di Tanah Baghdad hingga menenggelamkan banyak daripada harta rumah yang masyhur, hingga uzur tidak dapat didirikan Jumaat dengan sebab perkara tersebut.

c.       Ketiga;

Pada tahun 650 H, telah terbakar daerah Halab sebanyak 600 buah rumah, ada dikatakan ini adalah perbuatan orang Faranji. Mudah-mudahan melaknat akan mereka oleh Allah Taala, merekalah yang mencampakkan api dengan sengaja.

d.      Keempat;

Dan pada tahun 652 H, keluar api dari gunung ‘Adin sehingga menerbangkan lahar hingga ke laut pada waktu malam, naik daripadanya asap yang besar pada tengah hari.

e.       Kelima;

Pada tahun 654 H, air sungai Dajlah telah bertambah dan telah tenggelamlah makhluk yang banyak daripada penduduk Tanah Baghdad. Mati makhluk di bawah runtuhan rumah (seperti Tsunami – Pent.), manusia naik pada sampan-sampan dan perahu, mereka meraung-raung meminta pertolongan daripada Allah. Dan, mereka nampak dengan mata kepala mereka, lebur segala harta dan binasa.

Masuklah air dari sempadan-sempadan negeri, runtuhlah binasa rumah Perdana Menteri sebanyak 380 buah rumah, hancurlah segala khazanah Khalifah, hancurlah segala senjata. Berkatalah Imam Subki,

“Ini semuanya daripada tanda-tanda awal permulaan Allah peringatkan bagi akan berlaku kedatangan Tatar.”

f.       Keenam;

Pada tahun 654 H pada bulan Jumadal Akhirah, berlaku di Madinah Al-Munawarah, suara yang menyerupai suara guruh berkekalan selama 2 hari (meletup-letup petir di Tanah Madinah – Pent.) dan di ikuti dari gempa yang besar. Terbelah permukaan bumi dan juga rumah-rumah istana. Dan, bergegar Mimbar Nabi saw yang mulia.

Berkekalan satu jam selepas ke satu jam daripada malam Rabu sampai ke malam Jumaat. Kemudian lahirlah api yang besar dari Hirah, mengalirlah melalui lembah-lembah air. Dan, mengalirlah oleh gunung akan api hingga berjalanlah laharnya itu melalui jalan jemaah haji Iraq, maka terhenti dan tenggelam kembali ke dalam bumi. 

Bagi ini semua kejadian, tiap-tiap hari terdengar suara besar daripada akhir malam sehingga waktu Dhuha (suara berdentum-dentum – Pent.), berkekalan api lebih sebulan, huru-hara manusia dengan bertaubat dan memohon syafaat dari Nabi saw dan Bertawasul dengan dia, mudah-mudahan Allah Taala bukakan akan dia daripada kesusahan.

Kemudian, selepas hancurnya Baghdad disebabkan tentera Tatar yang masuk ke Tanah Baghdad, dan putuslah Pemerintahan Khalifah ‘Abbas selama 3 ½ tahun. Sampailah pergi sebahagian daripada orang yang selamat daripada Bani ‘Abbas ke Tanah Mesir (Maknanya selepas Tatar mengusai Tanah Baghdad selama 3 ½ tahun, ada di antara orang-orang yang selamat telah lari ke Tanah Mesir – Pent.), lalu mewujudkan Khilafah di Tanah Mesir.

Adapun lama tempoh panjang Khilafah ‘Abbasiyah daripada dinaikkan Abu ‘Abbas As-Saffah (Khalifah Bani Abbas yang pertama) sampailah dibunuhnya Al-Musta’sim ialah 524 tahun. Dan, bilangan khalifah mereka itu sebanyak 37 khalifah.

Telah terdahulu daripada Ali bin Abdullah bin Abbas r.a.huma adalah ia berkata,

“Sesungguhnya, adalah pada anaknya akan kekal pada mereka itu, hinggalah datang pada mereka itu Al-‘Ilju.”

Maksudnya Ali bin Abdullah bin Abbas r.a.huma berkata bahawa pemerintahan akan berada pada anak dan cucu dia, kekal pada mereka itu hingga datang daripada mereka itu Kafir Ajam dari Khurasan. Mereka akan merentap daripada anak cucunya. Benarlah perkataan dia, iaitu datangnya Hulagu (Raja Tatar) dan kaumnya meruntuhkan kerajaan Bani ‘Abbasiyyah.

(Ini suatu faedah), ada tersebut pada tarikh Imam Ibnu Katsir, daripada Asy-Syaikh Afifuddin, Yusuf bin Baqal yakni salah seorang Ahli Zuhud Tasawwuf dan berkata ia,

“Dan, sampailah kepada aku di Tanah Mesir, apa yang berlaku di Tanah Baghdad daripada pembunuhan. Maka, aku engkarkan perkara itu dengan hatiku.”

(Maknanya dia marah akan peristiwa yang terjadi. - Pent), lalu aku (Yusuf bin Baqal) berkata,

“Wahai Tuhan ku, bagaimana ini boleh terjadi, sedangkan anak-anak dan orang yang tiada dosa ada di Tanah Baghdad?”

Maka aku lihat dalam mimpi, ada satu orang lelaki. Pada tangannya ada satu surat, aku ambil darinya. Tiba-tiba, aku dapati pada surat itu tertulis satu rangkap daripada syair:

a.       Tinggalkan soal jawab. Tidak ada apa-apa urusan bagi Engkau untuk di soal jawab.  


( Jangan di tanya-tanya lagi, seperti mengatakan “Kenapa perkara buruk ini boleh terjadi?” – Pent.)

b.      Tidak ada sebarang Hukum untuk dikenakan pada Falaq.

(Tidak ada komen tentang Hukum Falaq, dan tiada Tarikh yang perlu dipersalahkan. – Pent.)

c.       Jangan tanya Allah tentang Perbuatan-Nya. Siapa yang cuba mengharung gelombang lautan, dia akan binasa.

(Jangan cuba mengharung masalah taqdir ini, siapa yang mengharung masalah taqdir ini, dia akan binasa. Semuanya Hak Allah Taala yang menjadikan dan menggerakkan segala perkara yang Baik (Iman dan Taat), dan segala perkara yang Buruk (Kufur dan Maksiat). InsyaAllah, pada risalah akan datang kami akan menerangkannya. – Pent.)

            Berkata lagi Imam Jalaluddin Al-Suyuti, pada Kitab Husnul Muhadarah (Keelokan Kemajuan), Aku kata,

“Allah menjalankan kebiasaannya, bahawasanya orang awam apabila bertambah-tambah kerosakannya, mereka melanggar akan batasan agama Allah. (Perkara haram yang dilarang Allah. – Pent.), dan tak didirikan atas mereka itu akan had-had hukum Allah swt (Pemerintah yang tidak menjalankan hukum Allah swt – Pent.), Allah utuskan kepada mereka itu tanda-tanda, pada ekoran tanda demi tanda. 

Maka, jika tidak berfaedah tanda-tanda itu. Allah datangkan kepada mereka itu azab dari sisiNya. Dan, Allah akan keraskan atas mereka itu akan barang yang mereka tak sanggup untuk menolaknya. Ya Allah, selamatkanlah Ya Allah, Selamatkanlah Ya Allah.” Wallahua’lam...
...............................

8.      Kesimpulannya, tiada pun di dalam Kisah Sebenar ini yang menyatakan bahawa Ulama’ itu tidak membuat dakwah, lalu menyebabkan kerajaan Bani ‘Abbasiyyah jatuh. Telah tersanggah segala pendustaan-pendustaan orang-orang Tabligh yang dilemparkan ke atas para ‘Alim Ulama’.

9.      Baiklah! Di bawah ini kami bawakan kepada Saudara dan Saudari pembaca yang budiman akan kisahnya bagaimana para Wali Allah (Yang Mengamalkan Tarikah) berdakwah kepada Hulagu melalui Karamah Aulia’.

10.  Tersebut di dalam Kitab Tahzibu Tarikhid Dualil Islamiyyah Bil Jadawilil Mardiah (Ringkasan Tarikh Kerajaan-kerajaan Islam Dalam Jadual-jadual Yang Di Redhai), bagi Asy-Syaikh Ahmad bin Zaini Dahlan, Mufti As-Syafi’iah di Makkatal Mukarramah. Wafat ia pada tahun 1304 H. Kitab ini dicetak oleh Darul Masyari’, Bairut, Lubnan, m/s 96-97.


DAULAH TATAR
                       
Sesungguhnya kita menyebutkan Daulah Tatar yang mana mereka telah merosakkan tiap-tiap kerosakan, mereka hancurkan negeri-negeri. Tak pernah jatuh berlaku bagi ahli Islam, oleh fitnah seperti fitnahnya (kekacauan) mereka itu.

Dia itu musibah yang besar. Tidak pernah sedih orang Islam sejak lahirnya agama Islam, seperti ini kesedihan. Ketahuilah bahawasanya raja orang Islam yang berada di akhir sekali garisan negeri ialah “Khata”, dan mereka orang Tatar adalah dari kawasan “Ma Wara An Nahri”  merujuk kepada perbatasan Negeri China.

Perjalanan ke sana mengambil masa 8 bulan, sedangkan orang Tatar itu kafir yang tak terkira bilangannya, melainkan Allah Taala yang menjadikan merekalah yang tau berapa banyak bilangan mereka. Adalah di antara kerajaan China Tatar dan Kerajaan Malik Khata (Kerajaan Islam) bermusuh.

Kemudian, setelah peperangan demi peperangan, mereka meneruskan peperangan hinggalah mereka memiliki Baghdad. Mereka membunuh Khalifah, sesungguhnya telah kita ceritakan dia pada akhir kerajaan Bani ‘Abbasiyyah. Kemudian mereka mengusai seluruh Iraq, Mausil, Halaq, sebahagian Negeri Syam, dan sebahagian dari tanah-tanah Rom.

Dan, adalah orang yang masuk pada Tanah Baghdad di kalangan mereka bernama Hulagu bin Tuli Khan bin Genghis Khan, kerana Genghis Khan mati pada 624 H. (Jadi Hulagu ini adalah cucu kepada Genghis Khan. - Pent). Maka, mengusai pula kerajaan Tatar selepas Genghis Khan iaitu anaknya Tuli Khan, dan memiliki kerajaannya pula selepas itu anaknya, Hulagu.

Maka, dia telah buat apa yang dilakukan di Tanah Baghdad, dia mengusai Tanah Iraq (Arab Baghdad) dan Ajam (Arab Iran), Mausul, Jazirah, Syam dan lain-lainnya. Dan, kekallah kerajaannya. Dan, selepas demikian semuanya (selepas ia mengusai semuanya), Allah Taala telah taufik kan Hulagu masuk Islam. Maka, Allah Taala telah tunaikan KehendakNya pada yang Allah telah Takdirkan pada orang Islam, dan Allah berkehendak mengangkat bala dari mereka, dilepaskan mereka daripada peperangan dan tawanan.

Allah Taala telah zahirkan ke atas Hulagu di atas perkara-perkara yang berlawanan adat (Karamah) di atas tangan para Wali Allah, maka sebab itulah dia masuk Islam. Imam Baidawi telah menyebutnya di dalam Kitab Tarikh Baidawi,

“Sesungguhnya Allah Taala telah mengilhamkan sebahagian Para Wali Allah dengan limpah kurniaNya, bahawa Wali itu menzahirkan sesuatu Karamah Waliyullah untuk berhadapan dengan Hulagu. Setengah daripada para wali itu ialah, Abu Ya’kub dan Muhammad Hawaaja Darbandi, mudah-mudahan Allah muliakan perkuburan keduanya.

Maka, hadir keduanya iaitu Abu Ya’kub dan Muhammad Hawaaja Darbandi di hadapan Hulagu. Dan, dia telah hidupkan akan api. Lalu, masuk kedua-dua wali Allah ini ke dalam api dan keluar dengan keadaan selamat, tidak terbakar oleh api dari sesuatu apa pun dari badan keduanya. Dan, mereka telah minum akan racun.

Maka, apakala telah nampak dengan mata kepalanya akan hal demikian. Maka, telah rujuk Hulagu dari kekafiran. Takut ia daripada Wali Allah, dan masuk ia ke dalam Islam. Maka, ia telah “Ta’zim” kan (besarkan) Islam sebesar-besar Ta’zim.

Kisah Islam Hulagu, telah menyebut oleh ‘Allamah Qirmani, di dalam Kitab Tarikhnya.

“Dan, adalah masuknya (Hulagu) ke Tanah Baghdad pada Bulan Muharram 656 H. Dan, mati ia pada tahun 663 H, sedangkan umurnya 60 tahun. Telah menguasai kerajaan Baghdad oleh anak-anaknya sebanyak 17 orang lelaki, dan telah digantikan oleh anaknya yang bernama Abra, dan ini kadar memadailah menerangkan pemerintahan mereka.

Dan, kami sebutkan nama-nama permulaan keturunannya iaitu Ghengis Khan, Tuli Khan, Hulagu, Abra, Ahmad, Turran, Bido, Arrun, Gharan, Khadabanda, Abu Said (pada 717 H) dan selepasnya tiada diketahui nasabnya kerana selepas itu kerana kebanyakannya di bunuh dan dirahsiakan kerana cemburu atas kerajaan.

Dan, barang siapa yang selamat telah mencari tempat persembunyian dengan disorokkan identiti mereka. Selepas itu wujudlah Kerajaan lain seperti Timur Leng dan sebagainya.

..................................

11.  Kesimpulannya dari kedua ceria di atas, dapatlah difahami kejatuhan Kota Baghdad bukan di sebabkan Ulama’ tak buat dakwah, seperti apa yang difitnahkan dan didustakan. Tetapi, adalah kerana Pengkhianatan Perdana Menteri Khalifah iaitu Ibnul ‘Alqami itu sendiri.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

12.  Untuk pengetahuan para pembaca yang budiman sekalian, masih ada lagi Kitab yang berasal dari Zaman ‘Abbasiyyah pada tangan guru-guru yang mengajar kami, dan  ia masih dicetak sampai hari ini.

13.  Kitab Sejarah itu ialah sebuah Kitab Tafsir Al-Quran yang bernama Kitab Tafsirul Khazin Al-Musamma Lubabut Ta’wil Fi Ma’anit Tanzili, bagi Al-Imam ‘Alauddin Ali bin Muhammad bin Ibrahim Al-Baghdadiyy.

14.  Kitab Tafsir ini telah dikarang pada Zaman Kesultanan Mongol (Selepas Kejatuhan Baghdad), wafat pengarangnya ini pada tahun 617 H (1196 M). Inilah Halaman 2 pada Kitab tersebut.


15.  Di dalam kitab ini, terdapat dua bahagian.

a.       Bahagian Dalam Halaman – Merupakan Kitab Tafsir Khazin.

b.      Bahagian Luar atau Tepi Halaman – Merupakan Kitab Tafsir Baghawiyy.

16.  Kitab Tafsir Al-Quran Baghawiyy adalah Kitab Tafsir Al-Quran yang lebih Tua berbanding Kitab Tafsir Khazin itu sendiri. Pengarang Kitab Tafsir Al-Quran Baghawiyy ini wafatnya pada 516 H (1095 M).

17.  Kitab Tafsir Baghawiyy ini merupakan Kitab Tafsir Al-Quran pada masa zaman Daulah Bani ‘Abbasiyyah. Manakala, Kitab Tafsir Khazin yang mempunyai 5 jilid besar ini, ia amat masyhur digunakan sejak ia dikarang pada 800 tahun yang lepas. Ia masih digunakan sehingga ke hari ini oleh para ‘alim Ulama di seluruh dunia yang mengikuti pengajian Kitab-kitab Turas (Kitab-kitab Kuning.)

No comments: