Feb 8, 2011

TAUBAT SI JEMAAH TABLIGH (4) - Allah SWT Uji kerana Nak Tahu?

  PERINGATAN !!!

1.      Kami tidak menghalang orang-Orang Tabligh yang ingin berdakwah dan menghidupkan Sunnah Nabi saw, Mengajak mengerjakan Solah dan sebagainya.

2.      Tetapi, kami menghalang berkata-kata Agama di dalam Keadaan Jahil, dan berkata-kata Agama itu bersumberkan dari mulut-mulut orang lama Tabligh (Eldest) yang tiada bersumberkan dari mana-mana Kitab Muktabar.

DI BAWAH INI ADALAH FAHAMAN TAUHID SAYA SEMASA BERGERAK SEBAGAI KARKUN DALAM DIDIKAN  GERAKAN TABLIGH DI MALAYSIA 

D. TAUBAT YANG KE-4
( Allah SWT Uji kerana Nak Tahu?)

1. Dahulu aku pernah berkata-kata seperti di bawah ini;

Contoh 1

- Tuan-tuan, kenapa Allah hantar kita ke dunia ini miskin, susah, malah banyak hutang lagi, sampai nak dibunuh Along, apa sebenarnya sebabnya? 

Jawapannya tuan-tuan, sebab Allah nak uji kita, Allah nak lihat kita, Allah nak tau siapa dikalangan kita yang dapat sabar dengan ujian-Nya.

Contoh 2

- Tuan-tuan, apa sebenarnya tujuan Allah hantar kita ke dunia bersama  anak, isteri, dan harta kekayaan kepada kita ni, tuan-tuan? 

Sebenarnya, sebab Allah nak uji kita, Allah nak tengok kita, sama ada kita ini bersedia atau tidak untuk tinggalkan segala kemewahan kita dan keluar berMujahadah (Bersusah-payah) ke Jalan Allah.

Contoh 3

- Kita kena bersyukur lagi dan lagi tuan-tuan, kerana apa? Kerana, kita diberi hidayah oleh Allah untuk datang ke rumahNya yang mulia ini. Tak semua manusia Allah pilih untuk datang ke rumah-Nya.

Sebenarnya tuan-tuan, sebelum kita dapat datang ke rumah Allah (Masjid) ini, tanpa pengetahuan kita, Allah sebenarnya telah tilik-tilik kita sebanyak 7 kali. 

Dia nak tengok kita ini, sama ada layak atau tidak untuk dipilih datang ke rumahNya. Mungkin disebabkan satu kebaikan yang Allah sudah nampak dalam diri tuan-tuan, Allah Taala telah pilih tuan-tuan datang ke rumah-Nya.  

2. Daripada kata-kata ku di atas, apa yang difahami di waktu dahulu adalah sebegini.

        - Allah Taala hantar kita ke dunia ini, sebab Allah nak tahu, dan nak uji kita sama ada kita ini beriman atau tidak?

- Selepas kita di uji oleh Allah, barulah Allah dapat tahu siapa di antara kita ini, yang sebenar-benar beriman atau engkar dengan Perintah dan Larangan-Nya.

        - Ayat Al-Quran yang menerangkan bahawa “Allah Nak Tahu” sama ada manusia itu Beriman atau Kufur, ialah  
Firman Allah, Surah Muhammad, Ayat 31.

 
  
Terjemahan - “Dan, pastilah ‘Kami menguji akan kamu hingga Kami dapat ketahui’ akan orang-orang yang berjihad di jalan Allah daripada kalangan kamu dan akan orang-orang yang sabar berjuang di jalan Allah.”

Maafkan aku wahai sahabat-sahabatku kerana menyampaikan sesuatu yang Murtad lagi memurtadkan ini kepada kamu semua.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------- 
D. PENERANGAN TAUBAT YANG KE-4

        1. Wahai para pembaca yang budiman yang takutkan Allah!

        2. Berhati-hatilah apabila menerima dan mendengar sesuatu perkara Agama yang disampaikan oleh seseorang pendakwah Agama yang tidak bersumberkan dari Ulama’ dan Fuqaha’ (Kitab-kitab Muktabar).

        3. Kemungkinan apa yang disampaikan itu bukanlah Madu. Tetapi, merupakan Racun yang amat berbisa. 

        4. Peliharalah Tauhid dan Iman yang ada di dalam dirimu dengan sebaik-baiknya dengan mempelajari Aqidah yang benar berdasarkan Ulama’ dan Fuqaha’ (Kitab-kitab Muktabar).

        5. Janganlah kita bermudah-mudah menerima dan mendengar perkataan-perkataan orang yang jahil Agama. Kelak, dirimu akan menyesal tanpa kesudahan di akhirat nanti.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

        6. Para pembaca yang budiman yang dimuliakan Allah!

        7. Apabila kita mendengar dan membaca petikan kata-kata di atas, ia sangat indah disusun dan sangat baik didengari. Lebih-lebih lagi apabila diselangi dengan ayat-ayat yang suci dari Al-Quran yang mulia.

        8. Malah, jauh sekali untuk kita mengatakan terdapat kesesatan Tauhid yang tersembunyi di  dalamnya.

        9. Di sini, kami ingin bertanya kepada orang-orang Tabligh di atas,  

“Perkataan ‘Nak Tahu’ dan ‘Nak Uji’ ini kamu sebenarnya
sandarkan kepada siapa?” 

        10. Tidakkah kamu sedar dengan apa telah kamu ucapkan?

11. Tidakkah kamu sedar, bahawa perkataan ‘nak tahu’ dan ‘nak uji’ itu kamu sandarkan kepada Allah Taala yang memiliki Sifat Maha Mengetahui sejak Tiada Mula lagi.

12. Bukankah, perkataan-perkataan di atas ini akan membawa maksud, bahawa Si Penguji ini merupakan seseorang yang tidak mengetahui haqiqat sebenar kejadian sesuatu perkara?

13. Maka, Si Penguji itu perlu membuat beberapa kajian di atas perkara yang perlu diuji itu. Setelah melakukan beberapa pengujian, barulah Si Penguji  mendapat tahu haqiqat sebenar kejadian sesuatu perkara itu.  

        14. Kami ingin bertanya lagi,

        a. Adakah benar diri Si Penguji ini, kamu sandarkan kepada Allah Taala?

b. Adakah Allah Taala itu terbatas Ilmu-Nya sehingga perlu mengkaji-kaji dahulu diri makhluq sebelum mendapat sesuatu keputusan?

c. Adakah Ilmu Allah Taala itu sememangnya terbatas untuk mengetahui apakah perkara yang akan berlaku di masa hadapan?

        d. Adakah Allah itu bersifat Jahil (Bodoh) kerana tidak mengetahui perkara-perkara yang berlaku di masa hadapan? 

        e. Adakah ini Allah SWT yang kamu kenal?

        15.  Ini suatu peringatan! Sedarlah wahai sahabat-sahabatku yang benar-benar takutkan Allah! 

16. Ini adalah suatu perkataan yang Kufur (Kafir) lagi Mensyirikkan Allah, kerana mengatakan bahawa Allah Taala itu ;

        a. Hanya tahu sebahagian perkara, iaitu hanya mengetahui perkara yang berlaku pada masa sekarang dan yang sudah lepas.
         
        b. Dan, tidak tahu sebahagian perkara, iaitu tidak mengetahui perkara yang akan berlaku di masa hadapan.

        17. Larangan dari Nabi saw supaya memelihara diri dari berkata-kata perkara yang boleh mengeluarkan Islam, telah pun kami sampaikan di dalam penerangan yang lepas.5

        18. Maka, barangsiapa yang pernah mengucapkan kata-kata di atas. Wajiblah ia menarik kembali kata-kata tersebut dan mengucap dua kalimah Syahadah.

        19. Antara contoh Taubat Aqidah, ialah ;

“Ya Allah, aku menarik kembali segala perkataanku yang mengatakan 
diri Mu bersifat Nak Tahu atau Jahil (Bodoh).  

Dan, Aku bersaksi bahawa Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan, aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.”

(Bahasa Melayu pun dibenarkan.)

        20. Ya Allah! Ampunkan lah kami kerana pernah mengatakan sesuatu yang tidak layak bagi Mu !!!
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 PERINGATAN KE-4 !!!

        1. Pak Ustaz, kami ingin bertanya lagi. Bukankah di dalam Al-Quran sendiri yang menyatakan bahawa Allah Taala itu sendiri yang bersifat Nak Tahu dan Nak Uji?

        2. Wahai penuntut agama yang diredhai Allah!

        3. Seperti apa yang telah lalu disebut, ayat Al-Quran itu terpecah kepada dua bahagian. Dan, ayat yang menyatakan bahawa ‘Allah Nak Tahu’ ini pula tergolong di dalam golongan ayat-ayat Mutasyabihat (Samar).

        4. Maka, ayat-ayat ini wajib ditakwilkan atau diertikan maknanya dengan ayat yang lain supaya tidak Menghina Allah Taala dan Mensyirikkan Allah Taala.

        5. Bagi semua ayat Al-Quran yang ada menerangkan dan menyatakan perkataan “Lina’lama yang bermaksud “Supaya Kami dapat Tahu.” Wajiblah perkataan ini ditakwil dengan dua perkataan yang lain, iaitu ;  

        a. “Linuzhira”Yang ertinya, “Kerana Kami nak zahirkan (tunjukkan).

b. Dan, “Linu’lima”, Yang ertinya, “Kerana Kami hendak memberitahu.”
      
  6. Maka, dengan ‘penakwilan’ ayat “Lina’lama ()” ini kepada kedua-dua perkataan di atas. Dapatlah kita menyucikan Sifat Allah Taala daripada bersifat Jahil (Bodoh) kepada bersifat ‘Alim (Mengetahui).

        7. Perkara yang kami nyatakan ini, adalah sama seperti apa dinyatakan di dalam Kitab Tuhfatul Murid, Hasyiah A’la Matni Jauharatit Tauhid, bagi Asy-Syaikh Al-‘Allamah ‘Ibrahim b. Muhamad Al-Bayjuri, pada halaman 41, baris 5 dari bawah.  

Ertinya,

Dan, barang yang ada kedatangan kenyataan-kenyataan yang seolah-olah membawa pengertian adanya kerja mencari-cari Ilmu pada Ilmu Allah Taala, seperti Firmannya (Maha Tinggi Zat yang Berkata), Surah Al-Kahfi, ayat 12.

 
“Kemudian, Kami bangunkan mereka (Ashabul Kahfi) supaya ‘Kami Dapat Tahu’ manakah di antara dua kumpulan itu yang lebih tepat perhitungannya. (tentang lama Ashabul Kahfi tidur di dalam gua itu). 

 Perkataan “Supaya Kami Dapat Tahu, “Lina’lama” ditakwilkan atau ditafsirkan bahawa kehendak ayat itu, (Dan bermula Allah Taala jualah yang sebenar-benar mengetahui maknanya), 
 

“Kerana Allah nak menzahirkan kepada manusia.”

Iaitu, berta’alluq (berhubung kait) dengan ilmu kita, iaitu makhluq.

(Iaitu, Allah nak zahirkan dan tunjukkan pada kita supaya dapat dijadikan pengajaran. Bukanlah Ilmu Allah yang bertambah, tetapi Ilmu kita lah yang bertambah menjadi matang. – Pent.) 

 Atau, ditakwilkan maknanya “Nu’lima, iaitu dengan dibaris hadapan bagi ‘Nun’ dan dibariskan bawah bagi ‘Lam’.  

Ertinya, “Nu’lima”, ialah, kerana hendak memberi tahu atau menjelaskan sesuatu.
.................................................

        8. Kitab ini adalah Kitab Tauhid yang Besar yang digunapakai oleh Penuntut-penuntut Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir. Ia merupakan buku teks bagi Mata Pelajaran Tauhid bagi Tahun 1, 2 dan 3 di sana.  

        9. Kitab ini dikarang oleh salah seorang Rektor serta Dosen besar yang ke-19 di Universitas Al-Azhar.

        10. Dengan membaca apa yang terkandung di dalam Kitab di atas, dapatlah kita mengetahui titik perbezaan yang amat besar di dalam Proses Menterjemah dan Menafsirkan Al-Quran. 

        11. Dan kerana inilah, orang-orang awam dilarang dan diharamkan dari membaca sebarang terjemahan Al-Quran semata-mata tanpa disertakan Tafsiran Muktabar. Apalagi mahu menterjemahkan Al-Quran tanpa bimbingan Ulama dan Fuqaha’ (Kitab-kitab Muktabar).7

        12. Baiklah, kini kami bawakan pula akan penerangan yang disampaikan oleh Al-Alim Al-‘Allamah Asy-Syaikh Abdullah Al-Harari Al-Ma’ruf Bil Habasiyyi, di dalam Kitabnya yang bernama Asy-Syarhul Qawwim Fi Halli Al-Fazi Assiratil Mustaqim, m/s 56, baris 6 dari atas.

  
Ertinya,

- Dan, adapun Firman Allah Taala, Surah Muhammad, Ayat 31.


Terjemahan - “Dan pastilah ‘Kami menguji akan kamu hingga Kami dapat ketahui’ akan orang-orang yang berjihad di jalan Allah daripada kalangan kamu, dan akan orang-orang yang sabar berjuang di jalan Allah.”

Maka, tiadalah makna demikian ayat ini, 

“Sesungguhnya Allah Taala itu lagi akan mengetahui (nak tahu) akan siapakah orang-orang yang berjihad.”

Yang mana, pada asalnya Allah Taala tidak mengetahui tentang mereka, melainkan dengan diuji dan dicuba. Bermula ini makna, mustahil atas Allah Taala. 

(Adalah sesuatu yang Mustahil, jika Allah nak tahu akan sesuatu perkara, Allah perlu uji dan cuba-cuba. – Pent. )

Bahkan, makna ayat ini ialah;  

 
Tafsir - “Hingga kami bezakan, iaitu hingga ‘kami zahirkan,kepada para hamba akan siapakah orang-orang yang berjuang di jalan Allah daripada kalangan kamu, dan orang-orang yang sabar daripada selain mereka itu.” 

( Maksudnya, Allah nak zahirkan dan Allah nak tunjukkan kepada kita, siapakah di antara kita yang Allah Taala jadikan ia berjuang dan sabar dengan segala Perintah-Nya. – Pent.)

............................................... 

        13. Jika kita mengambil terjemahan Al-Quran semata-mata tanpa ketiadaan penerangan Ulama’ dan Fuqaha’ (Kitab-kitab Tafsir Muktabar), terjerumus kita ke lembah Riddah (Murtad) kerana mengatakan Allah itu tidak tahu, dan hanya dapat tahu selepas menguji hamba-hamba-Nya.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

        14. Baiklah, sekarang kami akan bawakan penerangan Tafsir ayat-ayat Al-Quran yang lain mengenai “Takwilan” perkataan “Supaya Kami Dapat Tahu, “Lina’lama” ini.

        15. Maka, tersebut di dalam Kitab Tafsir Al-Quran Al-‘Azim (Tafsir Ibni Katsir), bagi Imam Abul Fida’ Al-Hafiz Ibni Katsir, Juzu’ 1, m/s 239, baris 8 dari atas.  

Ertinya, 

Dan, FirmanNya Allah Taala, Surah Al-Baqarah, ayat 143;


Terjemahan –  “Dan, tiada lah Kami jadikan Qiblat yang adalah engkau mengadap di atasnya melainkan supaya Kami Dapat Tahu’ siapa yang mengikut akan Rasul daripada orang-orang berpaling di atas sebaliknya. 

Dan, jika adalah pertukaran Qiblat itu perintah yang sangat berat melainkan di atas orang-orang yang memberi Hidayat akan dia oleh Allah.” 

Tafsir – Berfirman oleh Allah Taala ;

“Hanya Sesungguhnya! Kami Syarakkan atau Perintahkan kepada engkau Hai Muhammad! akan kerja mengadap Qiblat pada awalnya ke arah Baitul Maqdis. 

Kemudian, kami palingkan (tukarkan) akan engkau daripadanya ke arah Kaabah pula, supaya “nampak zahirlah” hal keadaan orang-orang yang mengikut akan engkau. 

Dan, mentaati akan engkau dan mengadap Qiblat Kaabah bersama engkau sekira-kira ke mana sahaja engkau mengadap.”
..........................................

        16. Maka, jelas di sini bahawa Ayat Al-Quran yang terkandung di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143 bukanlah bermaksud Allah swt nak tahu. Tetapi, Allah nak zahirkan kepada Nabi saw, siapakah orang-orang yang mengikut Nabi saw dan siapakah orang-orang yang engkar.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

        17. Wahai sahabat-sahabatku yang Takutkan Allah!

        18. Jika kita ada mendengar sesiapa sahaja yang menyampaikan dakwah Agama yang mengatakan bahawa;

“Allah Taala nak ‘ test ’ dan Allah nak uji dari hamba-hambanya, siapakah di antara hamba-hambanya yang beriman !!!”

        19. Wajiblah kita menegurnya semampu yang mungkin.  

        20. Ini kerana, perkataan ini adalah suatu perbuatan yang Menghina Allah Taala.

        21. Perkara ini bukan perkara yang kecil kerana ia membabitkan perkara Tauhid (Aqidah). Apabila rosaknya Aqidah seseorang, rosaklah asas agama seseorang.

        22. Apabila rosaknya asas Agama seseorang. Maka, tiada bernilailah pun sezarah amalannya. 

        23. Jika ia tidak bertaubat sehingga ke akhir hayatnya, mati ia di dalam kekufuran (kekafiran).
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
D. KESIMPULANNYA

        1. Berdasarkan penerangan Ulama’ dan Fuqaha’ (Kitab-kitab Muktabar) di atas. Dapatlah difahami bahawa kita tidak boleh mengatakan Allah nak tahu dan Allah nak uji hamba-hambanya.

        2. Jika begitu Pak Ustaz, apakah jawapannya bagi persoalan di bawah ini ;

“Kenapa Allah hantar kita ke dunia ini susah dan miskin. Walaupun sudah berusaha keras membanting tulang. Tetapi tetap miskin dan papa, apakah sebabnya?”

        3.  Maka, jawapan yang sebenarnya ialah ;  

“Kerana Allah nak zahirkan kepada kita dan Allah nak tunjukkan pada kita, siapakah dikalangan kita ini yang termasuk di dalam golongan orang-orang yang dapat mentaati Perintah Allah dan menjauhi Larangan Allah swt, sekalipun di dalam keadaan yang amat susah.”

        4. Maka, inilah Aqidah dan Tauhid yang di ajarkan oleh Nabi saw kepada kita.  

        5. Tidak pernah Nabi saw mengajarkan kepada kita bahawa Allah itu bersifat dengan sesuatu Sifat yang Mustahil, seperti Jahil (Bodoh).  
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

        6. Baiklah, untuk membezakan di antara kefahaman orang-orang yang Jahil Agama dengan Kefahaman orang-orang yang Berilmu Agama di sisi Allah.

        7. Marilah kita sama-sama menelaah dan mempelajari dengan apa yang telah  disampaikan oleh Asy-Syaikh Zainul ‘Abidin Al-Fathani di dalam Kitab ‘Aqidatun Najin Fi ‘Ilmi Usuliddin, m/s 28, baris 7 dari atas.

 
Ertinya,

(Dan kata) Musannif.  

(Kata pengarang Kitab Matan Sanusi, iaitu Imam Sanusi Rahmatullah ‘Alaihi. – Pent.) 

  Dan bermula Ilmu. Ertinya, yang ketiga daripada Sifat Ma’ani itu Ilmu. Ertinya, Mengetahui.  

Yaitu, sifat yang Maujudah (ada) yang berdiri ia dengan Zat Allah Taala, yang ta’alluq (berhubung kait) ia dengan suatu atas wajah meliputi dengan dia atas barang yang ia dengan dia tiada terdahulu sembunyi.

(Ayat di atas ini membawa maksud, bahawa Allah mengetahui segala perkara secara terperinci sebagaimana hal keadaan sebenar sesuatu perkara. Tidak ada perkara yang terselindung bagi Allah. Jika ada sesuatu perkara itu terselindung dan tidak diketahui sama ada perkara itu benar atau tidak. Maka, inilah yang dinamakan Jahil. – Pent.)

Maka, diketahui-Nya akan yang dahulu, dan yang lagi akan datang, dan yang sekarang dengan ilmunya yang Satu. 

(Janganlah sesekali kita mengatakan bahawa Allah Taala tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Ini kerana, pengetahuan Allah Taala itu meliputi masa lepas, sekarang dan masa hadapan. – Pent.) 

Maka, diketahui-Nya barang yang di dalam tujuh petala langit, dan yang di dalam tujuh petala bumi, hingga suatu yang amat tersembunyi, seperti kaki semut yang hitam, berjalan di atas batu yang hitam, di dalam malam yang sangat kelam (gelap).

Dan, diketahui-Nya pula, barang yang terlintas pada hati seorang, dan barang yang memandang oleh mata. 

(Apa yang terlintas di dalam hati kita pun diketahui oleh Allah swt. Bahkan, apa yang terlihat oleh mata kita pun diketahui oleh Allah swt. – Pent.)

Maka, diketahui-Nya yang Maujud (Ada) dan Ma’dum (Tiada).  

(Bukan setakat Allah mengetahui perkara yang wujud sahaja. Perkara yang tidak wujud juga Allah mengetahuinya. - Pent.)

Maka, tiada dikatakan Ilmu-Nya itu mudah, dan payah, dan usaha, dan nazar yakni tilik, dan fikir. 

Maka, diketahui-Nya akan segala yang wajib daripada ZatNya, dan Segala SifatNya. 

Dan, diketahuiNya akan segala yang Mustahil seperti Syirik bagi-Nya. Yakni, diketahuiNya akan Syirik-Nya itu tiada Maujud (tidak wujud) sekali-kali, dan jikalau ada nescaya datang kebinasaan bahagian-bahagian.    

(Allah Taala juga mengetahui bahawa tiada Sekutu bagi-Nya. – Pent.)
.............................................

        8. Maka, jelas di sisi kita bahawa, tiada pada Zat Allah Taala itu untuk memperolehi sesuatu Ilmu itu dengan Allah kaji-kaji, Allah tilik-tilik, Allah perhati-perhati, Allah fikir-fikir, Allah timbang-timbang dan sebagainya.  

        9. Ini kerana perbuatan sebegini iaitu, tilik-tilik dan perhati-perhati adalah satu perbuatan  yang jahil, lagi bodoh dan tidak layak dengan Zat Allah Taala.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

        10. Marilah kita memerhatikan pula, akan huraian serta penjelasan daripada Guru kepada Asy-Syaikh Muhammad Nawawi Ibni Umar Al-Jawiyy Al-Banteni At-Tanariy Asy-Syafie, iaitu Asy-Syaikh As-Sayyid Ahmad Ibni As-Sayyid Abdirrahman An-Nahrawiy, di dalam Kitabnya yang berjudul Ad-Durrul Farid Fi ‘Ilmi Tauhid pada Hamish (tepi) Kitab Fathul Majid Fi Syarhi Ad-Durril Farid Fi ‘Ilmi Tauhid, m/s 27.

     
Ertinya, 

Bermula sifat yang ke-Sembilan yang Wajib bagi Allah itu, Al-‘Ilmu. 

Dan, dia Ilmu itu suatu Sifat bagi Allah Taala yang ‘Azali (tiada tarikh mula), yang memang ada, yang berdiri ia dengan Zat Allah Taala. 

Terdedahlah kepada Zat Allah Taala, dengan sebab Sifat Ilmu ini akan tiap-tiap maklumat. 

 Dan, termasuk di dalam perkara yang Maklum (Yang diketahui oleh Allah) itu, tiap-tiap perkara ;

        a. Wajib Aqal,  (Allah mengetahui Zat dan Sifat-Nya. – Pent.)

        b. dan perkara Harus Aqal,  (Allah mengetahui tentang segala yang dijadikan-Nya (Makhluq). – Pent.)

        c. dan perkara Mustahil Aqal. (Allah mengetahui tiada lawan bagi-Nya. – Pent.)

Terdedahnya perkara yang diketahui oleh Allah ini dengan pendedahan yang sempurna. 

(Allah Taala mengetahui sesuatu itu secara keseluruhan. – Pent.)

Tidak mengandungi dalam Pengetahuan Allah Taala itu, akan yang berlawanan dengan suatu wajah (cara) pun. 

(Tidak terdapat di dalam Pengetahuan Allah itu, saling bertentangan di antara satu sama lain. - Pent.) 

Keluarlah dengan perkataan sempurna, iaitu Zan , dan Syak, dan Waham

(Tidak termasuk dalam erti kata Berilmu jika ada 3 perkara ini, iaitu Zan (Kuat sangka - 75% tahu, 25% tak tahu), Syak (Ragu-ragu - 50%-50%), dan Waham (Tidak pasti - 25% tahu, 75% tak tahu). – Pent.)

Dan, tiap-tiap perkara  yang demikian itu, Mustahil bagi Allah Taala. Kerana sesungguhnya, perkara yang tiga ini tidak dapat menghasilkan kepada pendedahan yang sempurna. 

(Jika Pengetahuan Allah Taala itu mempunyai Zan, Syak, dan Waham. Maka, tersisiplah Sifat Jahil bagi Allah Taala kerana tidak mengetahui sesuatu perkara dengan sempurna. – Pent.)

Dan, tidaklah termasuk di dalam perbahasan Ilmu Allah itu, bahawa Ilmu Allah itu menanggung perkara yang berlawanan dengan Ilmu, iaitu At-Taqlid. Iaitu, mengikut-ngikut tanpa Pengetahuan dan Bukti.  

Maka, tidaklah Allah Taala itu Muqallid (mengikut kepada orang lain), kerana Taqlid itu Mustahil atas Allah Taala. Kerana sesungguhnya, Taqlid itu menerima lawan Ilmu, dengan kerja mengesyakkan oleh si pengesyak. 

(Adalah mudah untuk menjatuhkan keyakinan orang yang bertaqlid, kerana keyakinan mereka ini boleh disyak-syakkan dan diragu-ragukan oleh orang yang berilmu. – Pent.)

Tidak boleh terhasil dengan sebab “boleh diragukan orang” oleh pendedahan yang sempurna.

(Tidak dikatakan mengetahui secara keseluruhan jika masih boleh diragukan orang.  – Pent.) 
...........................

(Baiklah, marilah kita mengenali pula pengertian Ta’alluq’. Bermula Ta’alluq’ bermaksud, hubungkait kerja sesuatu sifat. – Pent.)

Sifat Ilmu itu, mempunyai Ta’alluqu Tanjizi Qadim.

(Iaitu, kerja Sifat Ilmu ini telah beroperasi sejak tiada tarikh mula. – Pent.) 

Dan, dia Ta’alluqu Tanjizi Qadimin itu, terdedahnya dengan sempurna perkara-perkara yang Wajib Aqal, dan Harus Aqal, dan Mustahil Aqal kepada Allah Taala. 

(Secara ringkas ianya bermaksud, Allah Taala telah mengetahui segala perkara secara keseluruhan sama ada ia Wajib Aqal, Harus Aqal dan Mustahil Aqal, dengan Sifat Ilmu-Nya yang tiada tarikh mula, lagi tiada titik akhir, serta tiada berubah-ubah Pengetahuan-Nya. – Pent.)

Dan, makna berta’alluqnya Sifat Ilmu dengan Zat Allah dan Sifat Allah, iaitu Sesungguhnya Allah Taala sentiasa tahu bahawa ;  

        a. Sesungguhnya Ia Tidak Ada Permulaan

        b. Dan, Wajib Ada,
 
        c. Dan, tidak kena mengena Zat Allah itu Tiada,  

        d. Dan, Zat Allah itu Tiada Bertempat,  

        e. Dan, tiada lalu pada Zat Allah itu masa,  

        f. Dan, Allah tahu kekuasaan-Nya am meliputi kepelbagaian.

Dan, adapun makna berta’alluq (bekerja) pada perkara Mustahil Aqal, iaitu  Sesungguhnya, Allah SWT tahu bahawasanya, perkara Mustahil Aqal seperti adanya rakan kongsi (Syarik). (Allah tahu tidak ada lawan bagi-Nya. – Pent.)
..................................

        11. InsyaAllah, perbahasan Ta’alluq’ dengan lebih dalam akan kami huraikan di dalam Risalah yang akan datang.

        12. Mudah-mudahan dengan mengetahui dan memahami Sifat Ilmu Allah Taala ini, para pembaca budiman akan lebih mudah memahami permasalahan Qada’ dan Qadar yang akan kami huraikan di dalam Risalah yang akan datang.

        13. Ini kerana, permasalahan Qada’ dan Qadar ini hanya akan dapat difahami dengan menguasai (Master) sekurang-kurangnya tiga Sifat Allah ini, iaitu ;

        a. Sifat Ilmu dan Ta’alluqnya,

        b. Sifat Iradah dan Ta’alluqnya,

        c. Sifat Qudrah dan Ta’alluqnya.

        14. Perkara yang kami nyatakan di atas ini, adalah seperti apa yang telah ternaqal di dalam Kitab Tuhfatul Murid Hasyiah ‘Ala Jauharatit Tauhid, bagi Asy-Syaikh Ibrahim Ibni Muhammad Al-Bayjuriy, m/s 67.

Ertinya, 

Maka, perkara Qada’ dan Qadar .

Kembalilah kefahaman kedua-dua perkara itu (Qada’ dan Qadar) kepada apa yang telah terdahulu penjelasan dan penerangan tentang Sifat Ilmu, dan Sifat Iradah, dan Sifat Qudrat beserta dengan memahami perbahasan Ta’alluq segala Sifat-sifat yang tersebut itu.

(Maksud pengarang Kitab ini ialah, perkara Qada’ dan Qadar sebenarnya dapat difahami setelah memahami dan menguasai perbahasan tiga sifat iaitu, Ilmu, Iradat dan Qudrat. Dan, tidak perlu lagi diadakan suatu bab yang membahaskan secara khusus tentang Qada’ dan Qadar. Akan tetapi, sangat ramai orang yang tidak memahami dan menguasai perbahasan Tiga Sifat beserta Ta’aluqnya iaitu Ilmu, Iradat dan Qudrat. Maka, terpaksalah para Ulama Tauhid mengadakan secara khusus bab yang membahaskan Qada’ dan Qadar. – Pent.)

Akan tetapi, tatkala adalah bahaya pada bodohnya tentang ini ilmu Tauhid terlalu sangat besar. Lalu, para Ulama’ menyusun Bab yang membahaskan secara khusus tentang Qada’ dan Qadar.

(Contoh-contoh Kitab Tauhid yang tidak membahaskan secara khusus Bab Qada’ dan Qadar ialah Kitab ‘AqidatunNajin Fi Ilmi Usuliddin, Kitab Ad-Durrus Samin, Kitab Hasyiah Dusuqi ‘Ala Ummil Barahin, Kitab Hasyiah Bayjuriy ‘Ala Ummil Barahin, Kitab Fathul Majid Fi Syarhil Durril Farid dan lain-lain lagi. – Pent.)
......................................

        15. Mudah-mudahan Allah Taufiqkan kita faham akan Agama yang Nabi saw sampaikan dengan sebenar-benar faham. 
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PERINGATAN TERAKHIR !!!

        1. Pak Ustaz, apakah kesannya kepada orang-orang yang tidak mahu mendengar nasihat yang di sampaikan Ulama’ dan fuqaha’ (Kitab-kitab Muktabar) ini, dan tetap degil untuk meneruskan kerja-kerja menterjemahkan dan menafsirkan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis-hadis Nabi saw berdasarkan pendapatnya semata-mata?

        2. Bagi orang-orang yang Inad (Degil dan ungkal) di dalam mendengar nasihat Ulama dan Fuqaha’ (Kitab-kitab Muktabar) ini. Nabi saw telah menjanjikan ke atasnya tiga bala bencana.

        3. Perkara ini seperti apa yang ternaqal di dalam Kitab Nasa’ihul ‘Ibad, Syarah bagi Kitab Munabihat, bagi Imam Ibnu Hajar Al-‘Asqalani, yang disyarahkan oleh Asy-Syaikh Muhammad Nawawi Ibnu Umar Al-Banteni At-Tanari, m/s 4, baris 10 dari bawah.


Ertinya, 

...Telah bersabda Nabi saw,  

“Akan datang di atas ummat Ku pada akhir zaman, mereka melarikan diri daripada Ulama’ dan Fuqaha’. Lalu, Allah Taala bala’ kan ke atas mereka dengan tiga bala’.

Yang pertama, Allah tarik keberkatan rezeqi dari kerja mereka.
 
Dan yang kedua, Allah keraskan ke atas mereka Sultan (Pemerintah) yang Zalim.

Dan yang ketiga, keluar mereka itu dari dunia (mati) dengan ketiadaan Iman.”
...................................

        4. Mudah-mudahan Allah Taala menjadikan kita sebagai manusia yang menerima teguran dan peringatan yang disampaikan oleh Ulama’ dan Fuqaha’ (Kitab-kitab Muktabar). 

        5. Janganlah kita menjadi seperti kebanyakan orang-orang Tabligh yang Inad (Degil dan Ungkal) dari menerima sebarang teguran dari Ulama’ dan Fuqaha’ (Kitab-kitab Muktabar). 

        6. Apalah guna cara hidupnya dan matinya seperti zahir keadaan orang-orang yang Soleh, tetapi haqiqat sebenar itu, mati di dalam ketiadaan Iman kerana banyak menentang dengan apa yang diperingatkan oleh Ulama’ dan Fuqaha’ (Kitab-kitab Muktabar). 

        7. Wal ‘Iyazubillahiminzalik. (Aku berlindung kepada Allah dari perkara ini)     

        8. Ingatlah pesanan kami ini,  

“Salam 'Ala Man Ittaba'al Huda.”

“Salam itu hanya bagi mereka yang mahu mengikut Petunjuk sahaja.”


No comments: