Feb 22, 2011

TAUBAT SI JEMAAH TABLIGH (12) - Mengumpat Itu Haram?

  PERINGATAN !!!

1.      Kami tidak menghalang orang-Orang Tabligh yang ingin berdakwah dan menghidupkan Sunnah Nabi saw, Mengajak mengerjakan Solah dan sebagainya.

2.      Tetapi, kami menghalang berkata-kata Agama di dalam Keadaan Jahil, dan berkata-kata Agama itu bersumberkan dari mulut-mulut orang lama Tabligh (Eldest) yang tiada bersumberkan dari mana-mana Kitab Muktabar.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

DI BAWAH INI ADALAH FAHAMAN TAUHID SAYA SEMASA BERGERAK SEBAGAI KARKUN DALAM DIDIKAN  GERAKAN TABLIGH DI MALAYSIA

D. TAUBAT YANG KE-12
(Mengumpat Itu Haram?)


1. Pada ketika dahulu semasa aku bergerak di dalam usaha Tabligh, aku telah berkata seperti begini:

Contoh 1

- Tuan-tuan, Allah Taala ni bagi pada kita, dua biji mata. Satu biji mata adalah untuk lihat kebaikan orang. Dan, satu lagi biji mata untuk lihat keburukan diri sendiri. Jadi, tuan-tuan semasa kita keluar ni jangan tegur-tegur kesilapan orang lain.

2. Daripada kata-kata ku di atas, apa yang difahami di waktu dahulu adalah sebegini.

-          Di dalam Tabligh, kita jangan suka mencari-cari kesalahan orang. Jika ada kesilapan, buat-buat tidak tahu tentangnya. Kesilapan kita lebih banyak dari kesilapan orang lain.

Maafkan aku wahai sahabat-sahabatku kerana menyampaikan sesuatu yang Salah kepada kamu semua.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

L. PENERANGAN TAUBAT YANG KE DUA BELAS

1.      Ketahuilah oleh Mu! Sifat tidak mengendahkan sesuatu kesalahan itu telah mengheret seseorang itu membuat sesuatu kemungkaran yang lain pula, dan kita tidak merasakan langsung bahawa kita juga telah tercebur ke dalam suatu kesalahan yang lain.

2.      Yaitu, redha akan maksiat dengan cara tidak menegurnya walaupun mampu mencegah dengan jalan menegur.

3.      Sebenarnya apa yang berlaku, bukanlah kerja mencari-cari kesalahan karkun-karkun Tabligh. Tetapi, kesalahan itu terpampang di hadapan mata dan didengar oleh telinga dari bayan-bayan mereka di Majlis Umum.

4.      Tidak perlu dicari dan diselidiki lagi, semuanya terbentang lagi terhidang, malah memang itulah yang dihidangkan sebagai satu hidangan untuk ummat Islam menikmati kesalahan itu bersama-sama.

5.      Sila fahamilah akan perkara yang kami nyatakan ini.

6.      Di atas apa jua keadaan, segala kesalahan yang sebegitu terang lagi terpampang dan terhidang, jika kita tidak mempunyai ilmu, masih lagi tidak nampak kesalahannya. Malah, sehingga ada yang berkata,

“Mana salahnya???”

7.      Beginilah keadaan jahilnya ummat hari ini tentang ilmu agama. Di dalam keadaan begitu pun, masih ada yang mengaku sebagai seorang yang ‘Amat Mahir dan Pakar di dalam Ilmu Agama.’ Inilah yang di katakan ‘Musibah Di Dalam Agama’ atau ‘Fitnah Kepada Agama.’ 

8.      Aku berlindung dengan Allah daripada kejahatan orang-orang yang jahil tentang Ilmu Agama!!!
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

9.      Ada juga di antara mereka (orang-orang Tabligh) mengatakan,

“Kita jangan menegur karkun yang lain kerana mereka niat nak belajar buat dakwah. Pada suatu masa dahulu sewaktu Bilal ra tersalah azan, para Sahabat ra memberitahu perkara ini kepada Nabi saw. Dan, Nabi saw memaafkan Bilal ra kerana tersalah cakap.”

10.  Sila nyatakan Ayat Al-Quran dan Hadis yang menjelaskan perkara-perkara ini secara tepat, dari Kitab apa, karangan siapa, halaman dan juzu’ berapa, syarikat percetakan dan tahun percetakannya. Jika kata-kata di atas tidak berdasarkan mana-mana sumber atau Kitab, maka ia merupakan pendustaan oleh orang-orang Tabligh di atas Kalimah “Dakwah Nabi saw.”

11.  Maka, sebagai kesan yang buruk daripada perkara ini,

a.       Orang-orang Tabligh tidak lagi menegur sahabat-sahabat seangkatan mereka jika ada di antara mereka yang membuat kesalahan, lebih-lebih lagi di dalam Masalah Fiqh atau Masalah Ilmu Tauhid.

b.      Malah, yang lebih parahnya. Jika ada di antara ustaz-ustaz yang menegur mereka di atas kesalahan mereka, mereka mula melabelkan ustaz-ustaz yang menegur itu sebagai, “Manusia yang suka mencari-mencari kesalahan dan keburukan orang lain.”

12.  Dan, dari kerana inilah, orang-orang Tabligh ini sudah mula keras hatinya untuk menerima teguran dan nasihat daripada sesiapa sahaja.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

13.  Ketahuilah oleh mu wahai saudara dan saudari pembaca sekalian! Sesungguhnya apabila seseorang Ustaz menegur kita tatkala kita melakukan sesuatu kesalahan, maka itu merupakan kasih sayang dan tanggungjawab seseorang ustaz itu.

14.  Jika satu orang Ustaz membiarkan kesalahan kita. Maka, kita yang jahil ini terus melakukan kesalahan itu sampai mati, dan kita tidak pernah merasakan ia satu dosa kerana kejahilan kita. Maka, matilah kita di dalam keadaan Murtad dan  dosa.

15.  Maka, berbahagialah apabila seseorang ustaz menegur perbuatan kita yang salah. Dan sebenarnya, haqiqat teguran itu juga datang dari Allah kepada kita.

16.  Tidakkah kamu semua wahai pembaca budiman, pernah membaca tentang Hadis Nabi saw yang tersebut di dalam Kitab Hasyiah Asy-Syaikh Muhammad bin ‘Ali As-Syinwani ‘Ala Mukhtasar Ibni Abi Jamrah Lil Bukhari, bagi Asy-Syaikh Muhammad bin ‘Ali As-Syinwani, m/s 62-63, Hadis Nabi saw yang ke-46.



Mengenai Teguran Rasululah saw kepada Ummatnya yang tidak menjaga Tuma’ninah di dalam Sembahyangnya. Adakah Nabi saw itu seorang manusia yang suka mencari-cari kesalahan dan keburukan orang lain?

- Hadis 42 – Daripada Abi Hurairah ra :

Bahawasanya Nabi saw masuk ia ke Masjid. Maka, masuk pula seorang lelaki. Lalu, bersembahyang ia kemudian datang ia. Maka, memberi salam ia di atas Nabi saw. Maka, membalas oleh Nabi saw di atasnya akan salam.

Maka, lalu bersabda Nabi saw,

“Patah baliklah engkau. Maka, sembahyanglah engkau lagi. Maka, sesungguhnya engkau tidak bersembahyang.”

(Iaitu, tiada sah sembahyang engkau. – Hasyiah Asy-Syaikh Muhammad ‘Ali Asy-Syafieyy Asy-Syinwaniyy, m/s 62, baris 9 dari atas.)

            Maka, lalu ia bersembahyang lagi. Kemudian, datang lagi ia. Maka, memberi salam di atas Nabi saw. Maka, lalu bersabda Nabi saw lagi, 
 
“Patah baliklah engkau. Maka, sembahyanglah engkau lagi. Maka, sesungguhnya engkau tidak bersembahyang.”

Nabi saw ulang suruhan ini sebanyak 3 kali.

( Berkata Al-Barmawiyy : Dan, bermula dia itu yakni suruhan mengulangi sebanyak 3 kali itu berta’alluq atau berhubung dengan masalah mengulang lagi sembahyang. – Hasyiah Asy-Syaikh Muhammad ‘Ali Asy-Syafieyy Asy-Syinwaniyy, m/s 62, baris 15 dari bawah.)

Maka, lalu berkata orang itu,


“Demi Allah Zat yang telah membangkitkan akan Engkau dengan sebenarnya sebagai Nabi. Maka, tiadalah aku dapat memperelokkan lagi akan selain darinya (cara sembahyang yang telah aku kerjakan. – Pent.) Maka, ajarkanlah oleh mu akan daku.”

Bersabda Nabi saw, 

“Apabila engkau berdiri pada sembahyang, maka bertakbirlah oleh mu. Kemudian, bacalah olehmu akan barang yang mudah serta engkau daripada Al-Quran.

( Dan perkara yang mudah bagi serta ini lelaki, iaitu Surah Al-Fatihah. Dan, dia itu, yakni Surah Al-Fatihah memanglah mudah bagi tiap-tiap seseorang. – Hasyiah Asy-Syaikh Muhammad ‘Ali Asy-Syafieyy Asy-Syinwaniyy, m/s 62, baris 3 dari bawah.)

Kemudian, ruku’ lah engkau hingga bertuma’ninah engkau sedangkan hal keadaan engkau itu ruku’. Kemudian, bangkitlah engkau hingga beriktidal engkau sedangkan hal keadaan engkau itu berdiri tegak.

( Iaitu, ruku’ dan diam bertuma’ninah di dalam ruku’. Kemudian, berdiri iktidal dan diam bertuma’ninah ketika iktidal. – Pent.)


Kemudian, sujudlah engkau hingga bertuma’ninah engkau sedangkan hal keadaan engkau itu sujud. Kemudian, bangkitlah engkau hingga bertuma’ninah engkau sedangkan hal keadaan engkau itu duduk.

( Iaitu, sujud dan diam bertuma’ninah di dalam sujud. Kemudian, duduk dan diam bertuma’ninah ketika duduk. – Pent.)


Kemudian, sujudlah engkau hingga bertuma’ninah engkau sedangkan hal keadaan engkau itu sujud. Kemudian, perbuatlah oleh mu seperti yang demikian itu dalam sembahyang engkau semuanya.

( Iaitu, sama ada sembahyang itu fardhu atau sunat. Dan, bermula ini Hadis telah menyebut akan dia oleh Al-Bukhariyy pada ‘Bab Perintah Nabi saw kepada orang yang tidak menyempurnakan Ruku’nya’ supaya mengulangi sembahyang lagi. – Hasyiah Asy-Syaikh Muhammad ‘Ali Asy-Syafieyy Asy-Syinwaniyy, m/s 63, baris 8 dari atas.)
.........................................

17.  Dapatlah difahami di sini, bahawa Nabi saw pun menegur ummatnya yang salah di dalam Sembahyang. Malah, Nabi saw juga menyuruh orang ini kembali bersembahyang semula sehingga 3 kali kesemuanya. Kemudian, barulah dikhabarkan kesalahannya kerana tidak menjaga Tuma’ninah.

18.  Bagaimana boleh timbul di sisi orang Tabligh yang melarang manusia menegur kesalahan yang dilakukan oleh mereka? Adakah mereka ini manusia yang tidak boleh lagi ditegur? 
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

19.  Para pembaca yang cintakan Allah! Marilah kita sama-sama mendengar lagi, dengan apa yang disampaikan oleh Ulama’ dan Fuqaha’ mengenai Hadis di atas.

20.  Tersebut di dalam Kitab Hasyiah Asy-Syaikh Muhammad ‘Ali Asy-Syafieyy Asy-Syinwaniyy, m/s 62, baris 10 dari atas.

- Telah berkata Qadi ‘Iyad,

“Pada ini Hadis, bahawasanya perbuatan-perbuatan si Jahil dalam beribadah di atas ketiadaan ilmu, tidaklah memadai atau sah.
Dan, dia itu dibinakan di atas bahawasanya maksud dengan penafian pada ‘Hadis Si Perosak Sembahyangnya’ itu sebagai penafian sahnya sembahyang. Dan, dia itulah yang zahir.(Nyata).”
…………………….

21.  Apa yang dapat dipelajari dari perkara ini ialah, jika sembahyang kita itu tidak dengan berlandaskan Ilmu Agama. Maka, sembahyang kita itu tidak sah. Dan, sembahyang kita tetap tidak bernilai apa-apa pun di sisi Allah.

22.  Belajarlah Ilmu Fiqh dari Kitab-kitab Muktabar sahabat-sahabat ku! Mudah-mudahan kita selamat dari di azab di akhirat kelak. Apa yang sangat di takuti ialah, kita seolah-olah telah bersembahyang. Tetapi, tidak diterima sembahyang kita kerana tidak menjaga Tuma’ninah.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

23.  Dan, marilah kita melihat lagi akan teguran Sahabat Nabi saw kepada sahabatnya yang lain mengenai kepentingan menjaga Tuma’ninah di dalam Sembahyang.

24.  Tersebut di dalam Kitab Hayatus Sahabah (Kitab ‘Arab), bagi Asy-Syaikh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi, Juzu’ ke-3, m/s 263-264.   


Pengajaran Huzaifah terhadap seorang lelaki yang tidak menjaga Rukun-rukun Sembahyangnya.

- Telah mengeluarkan oleh Abdur Razaq, dan Ibnu Abi Syaibah, dan Bukhariyy, dan Nasa’i, daripada Zaid bin Wahab berkatalah ia,

Telah masuk oleh Huzaifah ra ke dalam Masjid. Maka, dia mendapati ada seorang lelaki sedang mengerjakan sembahyang, tetapi lelaki itu tidak menyempurnakan ruku’ dan sujudnya.

( Iaitu, lelaki ini tidak menjaga Tuma’ninah. Lelaki ini rukuk, tetapi sebelum dia betul-betul diam bertuma’ninah di dalam rukuk, dia telah bangun ke pergerakan yang lain. Begitu juga dengan sujudnya. Sebelum dia betul-betul diam bertuma’ninah di dalam sujudnya, dia telah ke pergerakan yang lainnya. – Pent.)

Maka, apakala selesai lelaki itu bersembahyang, lalu menegurlah oleh Huzaifah ra akan lelaki itu, 
“Sejak berapa lamakah engkau bersembahyang seperti ini?”

Lalu, lelaki itu menjawab,

“Sejak 40 tahun yang lalu.”

Lalu, berkata lagi Huzaifah ra,

“Kalau begitu engkau tidak bersembahyang selama 40 tahun. Dan, kalaulah engkau mati dengan keadaan seperti ini rupa sembahyang engkau. Maka, engkau mati bukan di atas agama yang di bawa oleh Nabi Muhammad saw.”

Setelah itu, Huzaifah ra mengajar lelaki itu cara sembahyang yang betul. Lalu ia berkata,

“Bahawasanya seseorang itu boleh bersembahyang dengan cepat tetapi ia mesti menyempurnakan rukuk dan sujud.” ”
........................................

25.  Dapatlah diketahui di sini, bahawa Sahabat Nabi saw pun menegur orang lain untuk membetulkan apa yang salah. Dan, perkara ini bukan sebagai apa yang difitnahkan oleh orang-orang Tabligh sebagai mencari kesalahan dan keburukan orang lain.

26.  Wahai para pembaca yang insaf!!! Bukalah hati kita, bukalah hati kita untuk menerima teguran!!! Dan, jangan jadikan diri kita sebagai orang yang tidak boleh menerima teguran seperti kebanyakan orang-orang Tabligh.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

27.  Saudara-saudara pembaca sekalian! Kami ingin mengajak saudara-saudara sekalian menatap dan memahami Kitab Panduan Mengajar Bagi Guru-guru Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor yang telah diguna pakai sekian lamanya dari Tarikh 19 Mac 1939 M.

28.  Kami paparkan Khutbah Kitab ini, dan kami paparkan juga pada Kitab ini bab yang menyatakan Kaifiat Guru Agama Mengajar serta memantau perlakuan-perlakuan sembahyang murid-murid Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor, pada halaman 28.

 
Halaman ke-3


Halaman ke-28

- (Ketujuh) Guru-guru hendaklah cukup jaga pada masa Iktidal, kerana selalu murid-murid lalai akan Tuma’ninah padanya. Kerana, banyak kali terjumpa sedang badannya lagi bergerak, maka ia telah turun kepada sujud.

( Sedangkan tangannya masih dihayun-hayunkan, dan tidak dihentikan dengan tetap. Lalu, terus ke perbuatan sujud. Malah, ada yang tidak sempat berdiri tegak, sudah meluru ke sujud. Maka, tidak diterima sembahyang seperti ini walaupun dia sembahyang seumur hidupnya. – Pent.)

Dan, hendaklah diingatkan dia yaitu, adalah kehendak Tuma’ninah itu ialah memberhentikan segala anggota, kadar masa membaca Subhanallah memadai. 

( Sepatutnya seseorang itu mestilah melakukan Tuma’ninah dengan memberhentikan seluruh anggota badannya dengan diam dan tetap. Beku dari segala pergerakan anggota badan. Semua ini panjangnya dengan kadar masa menyebut Subhanallah. – Pent.)

            Dan lagi, pada tatkala ia sujud selalu ia tiada mendirikan dua kakinya. (Tiada mengadap jari kaki ke Qiblat). Dan, juga pada lelaki tiada merenggangkan dua sikunya dengan rusuknya, atau dua peha dengan perutnya.

            Pendeknya, pada tiap-tiap sesuatu dari gerak geri sembahyang itu wajib dibetulkan pada masa itu jua jika didapati ia tiada memperbuat bagaimana yang disuruh. Yaitu, sama ada pada perkara yang berkenaan yang dibaca atau yang dilakukan. Demikianlah dijaga dengan cermat hingga selesai sembahyang.
................................

29.  Erti Tuma’ninah itu ialah, diam pergerakan badan kemudian daripada bergerak, dengan sekira-kira tetap diam seluruh anggota badan pada tempat asalnya, dengan sekadar lafaz Subhanallah. 
30.  Untuk perincian hujjah kami ini, marilah kita sama-sama membuka Kitab Kasyifatus Saja Syarah ‘Ala Safinatin Naja, bagi Asy-Syaikh Muhammad Nawawi Ibnu Umar, Al-Banteni At-Tanari, m/s 66, baris 9 dari bawah. 

-........Kemudian, menerangkan oleh Tuan Pengarang (Matan Safinatun Naja) akan rupa bentuk Tuma’ninah. Maka berkatalah ia,

(Bermula Tuma’ninah itu ialah diam berhenti setelah bergerak) Iaitu, diam berhentinya segala anggota selepas pergerakan segala anggota itu.

Sama ada daripada pergerakan tunduk, dan pergerakan bangkit. Dan, kalau lah dikatakan Tuma’ninah itu ialah berhenti diamnya anggota badan di antara dua pergerakan, nescaya adalah ia lebih terang lagi.


(Dengan sekira-kira tetap diam oleh segala anggota badan pada tampatnya yang asal dengan kadar Subhanallah) Iaitu, dengan sekadar lafaz dengan demikian Tasbih itu.
.......................................

31.Peringatan! Sampaikanlah peringatan Nabi saw ini (mengenai Tuma’ninah ini) kepada seluruh ahli keluarga kita. Mudah-mudahan dengan penerangan Tuma’ninah ini, dapatlah kita semua terselamat dari sifat kejahilan yang akan menyebabkan kita di azab di akhirat kelak kerana tidak menjaga Tuma’ninah di dalam sembahyang.

32.  Dan, telah berkata sebahagian orang-orang Tabligh sebagai memberi alasan untuk tidak mengambil berat mengenai Ilmu Islam ini,

“Kita jangan bincang sangat pasal Ilmu Agama macam ini. Yang penting kita buat dakwah je kerana ramai orang lagi yang tak sembahyang. Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Allah pasti terima kita punya amalan. Janji kita buat dakwah. Allah akan ampun segala kesalahan kita.”


33.  Para pembaca yang budiman, janganlah kita memberikan alasan yang lain sebagai hujjah untuk tidak mengambil tahu Ilmu Fiqh. Dan lagi, di sini kami ingin memperingatkan kepada kamu (orang-orang Tabligh) bahawa, Allah Taala itu bukan sahaja bernama Ar-Rahman (Maha Pemurah) dan Ar-Rahim (Maha Pengasih).

34.  Tetapi, Allah Taala juga bernama Al-Jabbar (Yang Memaksa/Menggagahi Hambanya), Al-Muntaqim (Yang sangat membalas), Al-Qahhar (Sangat Gagah Perkasa), Syadidul ‘Iqab (Sangat Keras Pembalasannya) dan lain-lain lagi. Oleh itu, janganlah memandang ringan akan apa yang di syarakkan oleh-Nya.

35.  Wajib belajar Nama-nama Allah dan Sifat-sifat Allah supaya kita mencapai Ma’rifatullah. (Mengenal Allah dengan cara yang betul, dan bukan seperti fikir-fikir agama seperti orang Tabligh.)
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

36.  Di sini, kami ingin menyarankan kepada Para Karkun Tabligh supaya dapat pula menyarankan kepada Ustaz-ustaz Tabligh di Madrasah-madrasah Tabligh di seluruh Malaysia, supaya turut mengguna pakai Kitab Panduan Mengajar Bagi Guru-guru Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor yang kami nyatakan bagi memantapkan lagi mutu pengajaran mereka.

37.  Pengalaman kami sendiri apabila hadir di markaz-markaz Tabligh yang ada madrasahnya sekali, apabila kami melihat para pelajar Madrasah Tabligh tersebut semasa mengerjakan sembahyang amat menyedihkan, kerana perlakuan sembahyang mereka simpang siur seolah-olah mereka bukan pelajar Madrasah. Sila ambil perhatian terhadap saranan kami ini.

38.  Akibatnya, apabila kami menegur karkun-karkun tentang peri salah perlakuan sembahyang yang mereka lakukan, segera mereka melenting lalu berkata,

“Ahh... Di Madrasah-madrasah Tabligh yang besar lagi gagah pun tiada orang yang jaga Tuma’ninah. Ustaz yang hebat-hebat pun biasa je sembahyang. Sama je macam Karkun. Tiada cerita pun tentang batal sembahyang yang tiada Tuma’ninah.

Pelajar-pelajar yang ‘Alim di Madrasah-madrasah Tabligh sama sahaja sembahyang macam Karkun. Tidak ada pun sangat-sangat menjaga Tuma’ninah. Kami ikutlah macam mereka tu kerana mereka banyak korban. Dah tentu lebih faham agama dan cara sembahyang yang paling betul. Apa yang kamu nak sibuk-sibuk sangat?

Yang penting dakwah. Banyak lagi Ummat menderita. Anta ni banyakkan sibuk dengan benda-benda yang remeh-temeh. Baghdad tu jatuh pasal ‘Ulama-‘ulama hanya sibuk dengan Ilmu sahaja. Langsung tak nak buat dakwah (Cara Tabligh). Yang penting keluar Tabligh. Semua perkara beres.” 

39.  Bagaimana pendapat para pembaca sekalian? Setujukah anda dengan pernyataan Karkun (orang-orang Tabligh) seperti ini? Adakah dengan menyampaikan hukum Fiqh dari Nabi saw (Mengenai Tuma’ninah) itu suatu perkara yang remeh-temeh?

40.  Aku berlindung dengan Allah daripada jahil tentang Ilmu Agama!!!

No comments: