Feb 18, 2011

TAUBAT SI JEMAAH TABLIGH (11) - Hakikat Perbuatan Baik & Buruk

  PERINGATAN !!!

1.      Kami tidak menghalang orang-Orang Tabligh yang ingin berdakwah dan menghidupkan Sunnah Nabi saw, Mengajak mengerjakan Solah dan sebagainya.

2.      Tetapi, kami menghalang berkata-kata Agama di dalam Keadaan Jahil, dan berkata-kata Agama itu bersumberkan dari mulut-mulut orang lama Tabligh (Eldest) yang tiada bersumberkan dari mana-mana Kitab Muktabar.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

DI BAWAH INI ADALAH FAHAMAN TAUHID SAYA SEMASA BERGERAK SEBAGAI KARKUN DALAM DIDIKAN  GERAKAN TABLIGH DI MALAYSIA

D. TAUBAT YANG KE-11
(Hakikat Perbuatan Baik & Buruk)
1. Pada ketika dahulu semasa aku bergerak di dalam usaha Tabligh, telah berkata aku seperti begini :

Contoh 1

- Akhir kata sebelum saya mengundurkan diri dari Majlis ini, saya memohon maaf atas kesalahan saya.

“Yang BAIK itu datangnya dari Allah swt, dan yang BURUK itu datangnya dari diri saya sendiri.”

2. Daripada kata-kata ku di atas, apa yang difahami di waktu dahulu adalah sebegini.

-          Segala yang baik itu semuanya dari Allah, dan segala yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri. Bukan Allah Taala yang menjadikan perkara Buruk. Perkara Buruk itu hanya saya yang jadikan.

-          Ini bertujuan hendak membersihkan Allah Taala dari segala perkara yang buruk.

Maafkan aku wahai sahabat-sahabatku kerana menyampaikan sesuatu yang Murtad lagi memurtadkan ini kepada kamu semua.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
J. PENERANGAN TAUBAT YANG KE SEPULUH

1.      Orang awam yang tidak belajar Tauhid menyangka mereka itu Ahlus Sunnah, dan akan mati di dalam Ahlus Sunnah, lalu bangkit semula bersama-sama Nabi saw di Padang Masyhar dengan golongan Ahlus Sunnah. Ketahuilah saudara dan saudari pembaca sekalian, bahawa kebanyakan orang awam yang tidak pernah belajar Tauhid, sesungguhnya mereka itu banyak menganut fahaman Muktazilah yang KAFIR, dan bukannya Ahlus Sunnah.

2.      Seperti apa yang tuan-tuan pembaca telah selami di dalam Risalah ke-4 kami, kami ada menerangkan bahawa, jika seseorang itu bercakap di dalam Majlis Ilmu (Tauhid) atau Majlis yang menceritakan Haqiqat Tauhid, majlis itu adalah majlis yang menjelaskan Haqiqat kejadian suatu perkara. Di majlis Ilmu Tauhid ini, tidak boleh dicampur-adukkan di antara Ayat Haqiqat dengan Ayat Zahir.

3.      Jika seseorang karkun (Budak Tabligh) telah membuat sesuatu penerangan Agama (bayan), maka ini merupakan sesuatu penerangan mengenai Haqiqat Tauhid, dan bukan penerangan Zahir @ perbualan seharian. Maka, kata-kata di atas ini secara tidak langsung merupakan penerangan berkaitan Haqiqat, yang seolah-olahnya mengatakan begini;

“Pada Haqiqatnya, Yang Baik itu datangnya dari Allah, dan Yang Buruk itu datangnya dari diri saya sendiri.”

4.      Ketahuilah para pembaca sekalian, Jika sesungguhnya, seseorang itu benar-benar meyakini (beriktiqad) bahawa, “Pada Haqiqatnya, Allah sememangnya menjadikan yang baik-baik sahaja, dan bukan yang buruk.” Maka, keyakinan ini boleh membawa kita, jatuh kepada Kafir dan Murtad.

5.      Walaupun pada luarannya, seseorang itu kelihatan seperti seorang yang Islam di kaca mata manusia, tetapi di sisi Allah, sebenarnya dia seorang yang KAFIR. Ini kerana kefahaman seperti ini, adalah bersamaan dengan salah satu fahaman MUKTAZILAH yang mengatakan, bahawa Allah hanya WAJIB menjadikan sesuatu yang BAIK dan TERBAIK sahaja.

6.      Sedangkan sesungguhnya, Ahlus Sunnah Wal Jamaah Al-Asya’irah mengatakan bahawasanya, Allah lah yang menjadikan dan menggerakkan segala perkara yang Baik, dan juga segala perkara yang Buruk, pada Haqiqatnya.

7.      Para pembaca yang budiman, untuk tafsilan atau perincian penghujjahan kami ini, baiklah, secara “Tabarrukan Wa Tawasullan”, kami bawakan apa yang dinyatakan di dalam Kitab Maqsidut Talibin Fi Ajwibati Matnis Siratil Mustaqim, bagi Majlis Ulama’ Darul Masyari’ (Bairut, Lubnan), m/s 111-112, baris 3 dari atas.

Sanggahan Terhadap Mereka yang mengatakan Allah menjadikan yang BAIK sahaja, dan BUKAN yang BURUK pada Haqiqat.

      
- Dan, barangsiapa yang menyandarkan kepada Allah Taala menjadikan yang Baik dan BUKAN yang Buruk, sesungguhnya dia sandarkan kepada Allah sifat LEMAH. Kalaulah keadaannya memang sebegini, nescaya pada alam ini ada 2 pentadbir (2 tuhan), iaitu Pentadbir Kebaikan (Di sandarkan kepada Allah. - Pent.) dan Pentadbir Keburukan (Disandarkan kepada diri sendiri. – Pent.). Ini KAFIR dan mensyirikkan Allah Taala.

Ini fikiran yang bodoh/tiada akal. Dan, bermula fikiran yang bodoh ini daripada satu jihat (arah) yang lain menjadikan oleh Allah Taala pada KerajaanNya itu benda yang terpaksa, kerana sesungguhnya sekira-kira atas kepercayaan dia, bahawasanya Allah Taala nak yang BAIK sahaja. Maka, telah jadi suatu yang buruk daripada musuh Allah, iaitu Iblis dan orang-orang kafir, menyanggah kehendak Allah Taala. (Allah Taala tidak boleh berbuat apa-apa. – Pent.)

Maka, KAFIR lah siapa yang beraqidah sebegini kerana menyalahi Firman Allah Taala, Surah Yusof, Ayat 21;

“Dan bermula Allah menguasai/memenangi di atas segala perkara.”

( Jika ada benda yang Allah telah tetapkan kita membuatnya, tetapi kita tidak membuatnya. Bererti Ta’alluq Qudrat Allah tidak umum, ada sebahagian perkara yang Allah tidak takluqi, tidak merangkumi atau tidak bekerja atas perkara itu. Ini adalah Mustahil bagi Allah. InsyaAllah, kami akan bincangkan perkara Ta’alluq ini pada masa akan datang. - Pent.)

Tidak ada seseorang yang menghalang kemahuan Allah Taala. Dan, hukum orang yang menyandarkan Allah Taala itu kebaikan, dan menyandarkan Hamba itu Keburukan sebagai Adab, itu tiada apa-apa kesusahan ke atas dirinya. (Jika sebagai beradab kepada Allah itu, dia di maafkan. Ini telah kami terangkan di dalam Risalah ke-4. – Pent. )

Adapun jika ia beriktikad, bahawasanya Allah jadikan Kebaikan, dan Bukan Keburukan, maka hukumnya KAFIR.

(Ayat di bawah ini menyanggah kepada mereka yang mengatakan, “Kalau lah Allah menjadikan yang baik dan yang buruk,  Allah itu Zalim lah.” – Pent.)

Ketahuilah saudara-saudara ku, mudah-mudahan merahmati akan kamu oleh Allah SWT. Bahawasanya Allah Taala, apabila Allah mengazab akan orang-orang maksiat itu, dengan Keadilan Dia (Hak Allah – Pent.), bukan daripada Kezaliman. (Apakah erti adil? Adil itu meletakkan sesuatu memang kena pada tempatnya. – Pent.)

Dan, apabila Allah beri pahala akan orang yang Taat, maka itu dengan limpah kurnia Dia, daripada bukan wajib (mesti). Kerana, Zalim itu dapat digambarkan bagi orang yang ada ketua, penyuruh dan pelarang. Tiada ada penyuruh bagi Allah, tiada ada pelarang bagi Allah.

Maka, Dia Allah. Dia boleh pelbagaikan pada kerajaanNya, sebagaimana Dia mahu. Kerana, Dia jadikan sesuatu perkara, dan memiliki akan Dia.

( Allah menetapkan segala yang baik, dan yang buruk ke atas hambanya pada Haqiqat, lalu Allah menyeksa hambaNya yang melakukan keburukan, dan memberi kurnia ke atas hambaNya yang melakukan kebaikan. Allah tetap tidak Zalim, kerana seluruh hambanya dan makhluknya adalah kepunyaanNya. Inillah Haq Mutlaq Allah Taala. – Pent.)
......................
8.      Dan, tersebut lagi di dalam ini Kitab, m/s 112.

            - Soalan 142, sebutkan oleh mu akan Hadis, yang ada padanya pengKafiran terhadap orang yang tidak beriman dengan Taqdir (Al-Qadar)?

Ada Hadis yang Sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, pada Kitab Musnad (Kitab Hadisnya), dan juga Imam Abu Daud pada Kitab Sunan (Kitab Hadisnya), dan Ibnu Hibban.
           
- Daripada Ibnu Dailami, berkatalah Ia, Aku datangi akan Ubai Ibnu Kaab, lalu aku berkata,

“Wahai Abu Munzir, sesungguhnya ada bercakap-cakap pada diri saya satu benda (Hati Abu Munzir berkata-kata. – Pent.), daripada ini perkara urusan Taqdir. Ceritakan (kuatkan) dalil pada aku mudah-mudahan Allah memberi manfaat kepada aku.” (Mudah-mudahan Allah kuatkan Iman aku. - Pent.)

Lalu, berkata Ubai b. Kaab,

“Sesungguhnya Allah Taala, kalau ia mengazab akan ahli bumi dan ahli tujuh petala langit, pasti Allah azab mereka itu. Allah tak Zalim, dan dia tak Zalim kepada mereka.

(Allah Taala boleh menyeksa Hamba-hambanya, kerana Hamba-hambanya itu adalah MilikNya, itu kan Hak Allah Taala. - Pent.)

Kalau Allah sayangi mereka itu, adalah kasih sayang Allah itu lebih baik bagi mereka itu dari seluruh amalan mereka itu.

(Limpah kurnia Allah itu lebih bernilai dari seluruh amalan Makhluk, kerana seluruh amalan makhluk itu Allah Taala jua yang menjadikan. – Pent.)

Kalau engkau nafkahkan/belanjakan seperti Gunung Uhud emas pada jalan Allah sekalipun, tidak menerima akan dia emas itu oleh ALLAH daripada engkau, sehinggalah engkau percaya pada ketetapan Allah Taala.

(Tidak bernilai gunung emas walaupun dinafkahkan kepada Allah sekalipun, jika tidak percaya kepada ketetapan Baik dan Buruk dari Allah – Pent. )

Dan, sehinggalah engkau tahu (Engkau beriktiqad), bahawasanya apa-apa yang akan Allah timpakan akan engkau, tidaklah akan menyalahi engkau (tidak terlepas daripada mengena engkau). Dan apa-apa yang Allah menyisihkan akan engkau (tidak mengenakan engkau), tidak akan menimpa akan engkau. Dan, kalau engkau mati dalam keadaan BUKAN di atas ini Aqidah, nescaya masuk Engkau akan Neraka.

( Dan, sehinggalah engkau beriktiqad, apa-apa yang Allah hendak lakukan sesuatu perkara pada seseorang, pastilah orang itu akan terkena perkara itu. Dan, apa-apa yang Allah tidak mahu mengenakan seseorang itu sesuatu perkara, maka orang itu tidak akan terkena perkara itu. – Pent.)

Kemudian, berkata Ibnu Dailami,

“Aku pergi jumpa Ibnu Mas’ud, dia ceritakan benda yang sama. Kemudian, aku pergi berjumpa Huzaifah di Yaman, diceritakan sebegitu juga.”

( Tujuan Hadis ini adalah untuk menerangkan bahawasanya, apa-apa yang berlaku pada makhluk, adalah telah ditentukan oleh Allah. Dan, bukanlah makhluk itu yang berusaha mendapatkannya walaupun Allah tidak tentukan. Dan, apa-apa yang terlepas daripada makhluk ini, bukanlah kerana ia berjaya melarikan diri dari apa-apa yang telah Allah tentukan. – Pent.)
............................

9.      Kesimpulannya, jika seseorang berkata seperti di atas, iaitu

“Yang BAIK itu datang dari Allah swt, dan yang BURUK itu dari diri saya sendiri.”

10.  Diwajibkan memberi penerangan yang lengkap kepada Hadirin sekalian tentang perkara Adab kepada Allah (Ta’adduban Ma’Allah) dan pengertian ZAHIR dan HAQIQAT, seperti apa yang kami telah rungkaikan dan terangkan Nas dan Dalilnya di dalam Risalah ke-4.

11.  Jika tidak diterangkan mengenai Zahir dan Haqiqat, dilarang menggunakan ayat di atas. Dikhuatiri orang awam akan menjadi MURTAD jika meyakini bahawa perkara Buruk itu memang BUKAN Allah yang jadikan pada Haqiqat, tetapi diri mereka sendiri yang menjadikannya.

12.  Antara contoh kata-kata yang tidak menyalahi Aqidah, ialah :

 “Yang Baik datangnya dari Allah Taala. Yang Buruk itu datang dari kelemahan diri saya sendiri. Tuan-tuan, ini hanya sebagai Adab kepada Allah Taala, sedangkan pada Haqiqatnya, Baik dan Buruk itu semuanya datang dari Allah Taala.”
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

13.  Wahai para pembaca yang mencari keampunan Allah, perkara ini bukanlah perkara yang KECIL. Kesannya boleh membawa Murtad kerana meyakini bahawa Allah Taala mempunyai Sifat Kekurangan atau Lemah walaupun tidak mengatakan ia melalui kata-kata @ suara.

14.  Untuk seseorang itu TERBATAL Solahnya, tidak perlu seseorang itu KENTUT sehingga berbunyi semasjid, tetapi apabila meyakini sahaja adanya angin yang terkeluar dari Duburnya, sudah mencukupi syarat untuk Solahnya terbatal.

15.  Begitu juga dengan Aqidah. Untuk seseorang itu TERBATAL Imannya atau MURTAD, tidak perlu seseorang itu pergi ke Kuil menampakkan diri menyembah berhala, tetapi apabila meyakini sahaja adanya Allah itu Bersifat Lemah (Sifat Mustahil Bagi Allah) walaupun tidak mengeluarkan suara, sudah cukup untuk IMANNYA terbatal.

16.  Wahai para pembaca yang Insaf, jika ada di antara kita di sini yang telah berkata-kata seperti di atas, maka kesalahan ini sudah berkaitan dengan masalah Iktiqad Yang Salah, ini adalah satu kesalahan yang amat berat yang membawa kepada Riddah (Murtad).

17.  Maka, cara Taubat Iktiqad itu ialah Mengakui Kesalahan, Serta Menarik Balik Kenyataan atau Kepercayaan Yang Salah itu, sebagaimana yang dinyatakan dalam Kitab ‘Aqidatun Najin Fi ‘Ilmi Usuliddin, bagi Al-’Alim Al-’Allamah Asy-Syaikh Zainul ‘Abidin b. Muhammad Al-Fathani, m/s 120. Baris 3 dari atas.


- Dan lagi, disyaratkan rujuk (kembali) Ia (orang yang Murtad) daripada barang yang mengharus(mengboleh) ia akan dia (akan perkara yang haram) itu, serta mengucap dua kalimah itu. Jika adalah kufurnya dengan engkar akan (suatu) fardhu umpamanya, atau mengharuskan(membolehkan) apa yang diharamkan, maka hendaklah ia rujuk (kembali) pada engkarnya (Dengan menarik balik kata-kata yang engkar. – Pent.) serta mengucap 2 kalimah itu.

( Panggillah beberapa Sahabat yang boleh dipercayai. Yang pertama, menarik kembali kata-kata yang SALAH itu semula seperti apa yang saya lakukan. Yang keduanya, mengucap 2 Kalimah Syahadah. Ini satu Peringatan! Selagi saudara dan saudari pembaca tidak menarik kembali kata-kata yang Murtad itu, syarat Taubat masih belum sempurna. – Pent. )
.........................

18.  Contoh terbaik dalam perkara Taubat dan rujuk kembali daripada keyakinan dan aqidah yang Salah ialah Qisah Taubat Al-Imam Abul Hasan Al-Asya’ari, Imam Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Beliau mengisytiharkan Taubatnya pada Hari Jumaat di atas Mimbar Masjid Jamek di Basrah, Iraq. Sila rujuk Kitab Muzakkiratut Tauhid Wal Firaq, bagi Asy-Syaikh Hasan As-Sayyid Mutawalli, Juzu’ yang pertama, m/s 18-19.  

   
..........................

1.      Kesimpulannya, dapatlah difahami bahawa :

a.             Jika seseorang itu tersalah Iktiqad, maka hendaklah ia bertaubat dengan menarik balik kata-kata yang salah itu. Buatlah seperti apa yang dilakukan oleh Abul Hasan Al-Asy’ari.

b.            Tidak boleh berkata-kata di dalam agama tanpa belajar ilmu Tauhid berdasarkan Kitab-kitab Muktabar, kerana kesannya membawa Murtad.

c.             Haram hukumnya berkata-kata agama seperti berkata-kata di dalam bayan, muzakarah adab, gash, khususi, dan takrir, tanpa didasari Ilmu Tauhid.

2.      Dengarlah Nasihat yang berguna dari Al-‘Alim Al-‘Allamah Raja ‘Ali Haji Ibni Raja Ahmad Riau, di dalam Kitabnya yang bernama As-Samaratul Muhimmah Diyafah Lil Umara’ Wal Kibria’ Li Ahlil Mahkamah, pada m/s 30. 7 baris dari atas.


- Wahai kiranya Hubaya-hubaya (jaga-jaga), segala Qadi-qadi dan orang besar-besar yang memegang hukuman, hendaklah ia bersungguh-sungguh Thalabul ‘Ilmi (Menuntut ‘Ilmu) serta dengan rajin Mutala’ah segala Kitab-kitab Fiqh serta rajin berulang-ulang kepada Ulama’ yang Rashikhin (Teguh pengetahuan agamanya), memeriksai segala masalah yang Musykil-musykil dan yang Nadir-nadir, yakni yang jarang-jarang supaya jangan tersalah kepada menghukumkan manusia.

Istimewa pula Qadi Darurat, yakni Qadi yang tidak cukup syarat Qadi, sekadarkan jangan hampa seperti kebanyakan Qadi-qadi pada tempat kita ini, maka iaitu fardhulah tiap-tiap hendak menjatuhkan hukuman, memeriksa segala Kitab-kitab dengan sehabis-habis periksa. Intaha...

- Tamatlah perkataan Al-‘Alim Al-Alamah Al-Marhum Raja ‘Ali Al-Haji Ibnu Al-Marhum Raja Ahmad Al-Haji, Menteri Besar kerajaan Melayu Johor-Riau, tamat dikarang pada 10 haribulan Sya’ban, malam Selasa, jam pukul 2, sanah (tahun) 1375 H di atas tangan, Al-Faqir Al-Haqir Bi Zanbin Kasirin Wa Taqsir Al-Raji Ila Afwi Maulah Al-Ghani, Wa huwa Al-Haji ‘Ali Ibnu Raja Ahmad Ibni Raja Haji Yang Di-Pertuan Muda Al-Marhum Asy-Syahid Fi Sabilillah. Intaha.. 


5 comments:

Anonymous said...

Tuan,

Ini tgjawab tuan utk betulkan mereka2 yg masih belajar. Cuba ingat kembali sebelum tuan aktif bertabligh. Ada tuan kisah pasal menda2 ni semua? Lagipun, apa yg saya tau, ungkapan 'yg buruk dtgnya dari diri sendiri' bukanlah bermaksud yang buruk tak dtg dari ALlah. ianya lebih kepada ungkapan utk merendah diri. Ada juga yg ungkapkan 'yg buruk juga dtg dari Allah, atas kelemahan duru saya'. Takkan lah kita nak cakap 'yg buruk dtg dari Allah'. Nanti semua benda kita salahkan Allah. Kita tak solat kita salahkan Allah. Kita berzina pun salahkan Allah. Wallahu'alam...

Yazir Rajim said...

Assalamu alaikum

Terima Kasih atas huraian yang begitu terang.. Mohon ijin untuk copy.

Terimah Kasih

Anonymous said...

Setuju sgt dgn awak.....kita ada aqal dan fikiran itulah yg membezakan kita dgn haiwan....maka letakkanlah akal dan difikiran ditempat yg wajar

Anonymous said...

aish,pelik plak tuan ni..kenapa tuan keluar tabligh dulu tuan ckp mcm tu..? org lain y ckp mcmtu pon slah sebenarnya,,mgkin dorg tak tau,jd kita yg tahu kena bgtau..
selama sy kluar buat usaha,sy tak pernah ckp mcmtu..
kalau ade yg ckp mcmtu sy akan tegur..sbb mgkin dorg tersasul..
ayat yg sy sebut mcmni..
"Segala yg baik dtg dr ALLAH.
dan yg buruk pon dtg dr ALLAH.
Tp atas sebab kelemahan diri sy juga.."

Anonymous said...

SEPATUTNYA “Yang BAIK itu datangnya dari Allah swt, dan yang BURUK itu KERANA kelemahan diri saya sendiri.”
dan kebanyakan jemaah tabligh mmg menekankan benda ni. Allahu a'lam